Translate

Sahabat Bapak

Thursday, April 29, 2010

Nasi Kandar oh Nasi Kandar...

Di Ipoh, restoran dan kedai makan yang mudah didapati ialah restoran mamak. Kalau tak biasa dengan selok-belok Ipoh, memang payah nak cari kedai makan Melayu terutamanya pada siang hari.

Bapak masa mula-mula sampai Ipoh kira-kira empat tahun dulu, boleh dikatakan hari-hari makan nasi kandar terutamanya untuk makan tengah hari.

Apa nak buat, sekurang-kurang ada empat restoran terdekat dengan opis Bapak; ke sana dengan berjalan kaki sahaja.

Kalau nak kedai makan lain, kena berkereta. Itu yang payah kerana susah nak cari parking kereta yang selalunya penuh. Apabila sudah dapat dinasihatkan jangan keluar sebelum habis waktu bekerja kecuali ada urusan penting.

Kalau tidak, ruang letak kereta itu diambil orang lain. Terpaksa kita cari lain yang biasanya susah nak dapat. Mahu tak mahu kena parking ikut suka yang biasanya cekap dihidu penguatkuasa MBI untuk menyaman...

Berbalik dengan topik asal, akhirnya Bapak naik muak makan nasi kandar. Alhamdulillah sejak berkahwin hampir dua tahun lalu, makan minum Bapak lebih terjaga..hheheh...

Beberapa hari lalu Bapak terkejut apabila Orang Rumah Bapak memberitahu teringin nak makan nasi kandar. Sebab sayangkan isteri, Bapak layan jugak. Orang Rumah Bapak dan Khalish di bawa ke Restoran Vaggey selepas Maghrib.

Bukan restoran Vaggey yang terkenal di Jalan Yang Kalsom tu tapi cawangannya di Greentown yang turut beroperasi pada waktu malam.

Sambil Orang Rumah Bapak pergi ke kaunter untuk memilih lauk, Bapak yang meletakkan Khalish di kerusi bayi cuma memesan roti nan cheese. Tak lama kemudian, Orang Rumah Bapak menatang pinggan berisi nasi dan lauk dengan muka masam.

Orang Rumah Bapak (ORB) : Nasi kandar tu nasi putih ke? Kita tak selera nak makan nasi putih.

Bapak : Eh? walaupun cara masak lain, nasi kandar tetap nasi putih...(memandang ORB dengan pelik..)
ORB : la silap ingat nasi kandar tu nasi yang warna-warni tu. Dah lama tak makan...kita tukar ambil nasi beriani la pulak...

Biar betul Orang Rumah Bapak ni... takkan nasi kandar pun tak kenal..harap muka cam Pakistan...hhehehe...

Wednesday, April 28, 2010

Bantuan Beras Percuma

Baru-baru ini Bapak berkesempatan menghadiri Seminar Kepenggunaan anjuran Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM).

Seperti biasa pengisiannya berupa ceramah mendidik menjadi pengguna bijak dan menyentuh isu kepenggunaan seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), pemakanan sihat dan GST.

Namun berbeza dengan seminar kepenggunaan yang lain, di tengah-tengah perjalanan program, ada acara cabutan bertuah.

Bapak tak pasti motif acara selingan itu diadakan, mungkin untuk menarik perhatian peserta untuk mengikuti seminar tersebut kot...

Bapak terkejut diumumkan salah seorang peserta yang bertuah itu dan tambah terperanjat hadiah yang dimenangi ialah sekampit beras!
Gambar hiasan

Tersengih-sengih Bapak memikul kampit beras itu menuruni pentas ala-ala penerima beras bantuan...heheh..

Rupa-rupanya bukan Bapak seorang, hampir semua pemenang cabutan bertuah itu masing-masing menerima sekampit beras.

Akhir program, Bapak cuba merisik Presiden PPPM, Datuk Firdaus Abdullah, rasional disebalik pemberian beras.

"Lazimnya hamper yang mengandungi banyak makanan dalam tin dan snek akan menjadi hadiah cabutan bertuah. Kami persatuan pengguna, tak gunalah buat ceramah pengguna bijak dan pemakanan sihat tapi jadi seperti cakap tak serupa bikin dengan memberi hamper terbabit kepada peserta.

"Sehubungan itu, kami ganti dengan sekampit beras. Lebih praktikal lagipun hadiah itu dapat dirasai seisi keluarga kerana ia makanan ruji kita," katanya.

Logik..logik...

Tuesday, April 27, 2010

Apa bezanya sate Tanjung Bidara?

Antara yang menarik setiap kali kami balik kampung di Melaka ialah kelibat penjual sate yang mengelilingi kampung dengan bermotosikal.

Biasanya peniaga sate tersebut akan menjelajah Tanjung Bidara,Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru dan sekitarnya dengan bermotosikal mulai awal petang hingga lewat malam setiap hari.
Apabila ditahan pelanggan, dia akan berhenti dan mula membakar sate di halaman rumah pelanggannya itu. Difahamkan sate berkenaan sudah separuh masak bagi memastikan proses membakar tidak memakan masa yang terlalu lama.

Daya menarik sate tersebut ialah kuah yang sedap dipercayai rasanya tidak pernah berubah sejak tiga puluh tahun lalu. Aktiviti menjual sate dengan bermotosikal adalah turun-temurun dan sudah melibatkan tiga generasi.

Sepanjang hampir dua tahun Bapak menjadi ahli keluarga Masjid Tanah ni, rasanya ada dua kali Ayah Mertua Bapak membeli sate tersebut termasuk yang terbaru hujung dua minggu lalu.

Lagi gambar di imejcerita.blogspot.com

Saturday, April 24, 2010

Kenapa serabai dipanggil kuih mayat?

Awal minggu lalu Orang Rumah Bapak membaca satu artikel mengenai kuih serabai di akhbar. Tak pasal-pasal dia teringin makan kuih tersebut.

Bapak memang tak pernah makan kuih itu dan itulah kali pertama dengar wujud kuih bernama serabai. Yang paling penting setahu Bapak seluruh Ipoh dan Perak tiada orang jual kuih tersebut....heheh..

Katanya kuih serabai popular di Melaka dan pernah menjadi antara hidangan wajib semasa kenduri arwah.

Kuih yang diperbuat daripada beras, santan dan yis ini sedap dimakan bersama kuah durian atau kuah gula melaka dan proses pembuatan kuih tersebut mengambil masa yang agak lama.

Proses membuatnya bermula dengan beras direndam semalaman sehingga kembang. Kemudian beras itu dikisar dan dicampur dengan santan sebelum dimasak.

Kuihnya yang berbentuk bulat, leper dan berlubang-lubang kecil adalah metafora kepada keadaan jenazah yang sedang mereput di dalam liang lahad...

Namun secara praktikalnya, kuih tersebut menjadi sajian kenduri tahlil kerana kos membuatnya dalam kuantiti banyak adalah murah.

Keinginan Orang Rumah Bapak terhadap kuih serabai diketahui juga Mak Mertua Bapak. Oleh itu sebelum kami pulang ke kampung hujung minggu lalu, kuih serabai telah ditempah khas.

Menurut Ayah Mertua Bapak, kuih serabai dijual tiga keping RM1.

Sukalah Orang Rumah Bapak tapi macam biasalah bukannya habis pun di makan kuih tu... Bapak ada makan sekeping dua, rasanya macam apam manis yang pernah Bapak makan di sebuah gerai Mamak roti canai di Ipoh...

Friday, April 23, 2010

LHDN, ku tunggu duitku

Awal pagi tadi Bapak terjaga dari tidur pada pukul 2.30 pagi. Mata segar, langsung tak rasa nak tidur walaupun secara logiknya Bapak baru terlelap 4 jam.

Bapak termenung sekejap (Orang Rumah Bapak & Khalish punya nyenyak tidur).. Apabila Bapak tengok kalendar, baru teringat ada urusan wajib bulan ini yang perlu diselesaikan.

Alang-alang tak boleh tidur baik Bapak selesaikan hal ehwal percukaian menerusi e-filing. Bapak terus ke bilik komputer dan membuka salah satu fail.

Setelah memeriksa audit dalaman yang dibuat beberapa minggu lalu, Bapak log on website LHDN dan tak sampai 5 minit, urusan yang sering dibuat saat-saat akhir itu selesai.

Seperti diduga setelah ditolak pelepasan cukai seperti pembelian buku, takaful dan zakat, Bapak dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan. Apatah lagi pendapatan tahunan 2009 Bapak merosot lebih RM10,000 daripada 2008...

Yang ditunggu kini cek pemulangan potongan cukai berjadual (PCB) daripada LHDN...Walaupun tak berapa banyak seperti tahun lepas tapi rasanya nilainya cukup untuk membeli 'hadiah' yang Orang Rumah Bapak request sempena ulang tahun kelahirannya tidak lama lagi.
-----------------------------------------------------------------------------------
Baru-baru di FB, Bapak ditag dengan gambar ini.

Bukannya kes baru, peristiwa ni terjadi pada 2009. Bapak tersengih je, malas nak layan...

Cuma nak pesan kat hamba Allah ni, bayar zakat bukan sanggup-sanggup, ia perkara wajib. Zakat pendapatan pun ada pelepasan gak, bukan semua kena bayar. Selepas bayar zakat, dapat pula rebat cukai pendapatan...

Thursday, April 22, 2010

Mandi Air Kelapa

Pada suatu pagi setelah Khalish demam beberapa hari, tumbuh bintik-bintik merah pula di belakang tubuhnya.

Mulanya Bapak dan Orang Rumah Bapak ingatkan kesan gigitan nyamuk ataupun alahan kerana cuaca panas sejak akhir-akhir ini. Namun apabila ruam merah itu mula menular ke muka Khalish, kami mengesyakinya demam campak.

Mengikut jadual ditetapkan Kementerian Kesihatan Khalish yang kini berusia 11 bulan hanya akan disuntik imunisasi demam campak pada bulan depan apabila genap setahun. Kiranya awal dia kena demam campak ni..

Begitupun suhu badannya normal dan tingkah lakunya aktif, cuma sesekali merengek mahu menggaru badannya yang gatal terutama pada malam yang bahang.

Malam itu Bapak membawanya ke klinik panel, malangnya klinik ditutup awal kerana doktor bertugas kurang sihat..

Mama dan Mak Mertua yang dirujuk kemudiannya mengesyorkan Khalish diberi minum dan mandi air kelapa. Daun bambu juga dicadangkan tapi bukan setakat tak tahu nak cari daun tersebut di Ipoh ni malah rupa daun tersebut pun tak pernah Bapak nampak...hehehhe

Esoknya Bapak membawa bekas air besar bersama sewaktu pergi bekerja dan berjumpa dengan gerai menjual air kelapa muda segar di Batu Gajah.

Khalish minum dan mandi air kelapa walaupun berperasaan pelik. Tidak lama kemudian ruam merah itu merebak ke seluruh badan termasuk ke bahagian kaki.

Malamnya dia dibawa ke klinik dan doktor mengatakan demam campak Khalish hampir sembuh walaupun baru dua hari menghidap penyakit itu...

Thursday, April 15, 2010

Time Tunnel Museum

Bapak selalu membaca reviu tentang Time Tunnel Museum menerusi artikel di surat khabar, majalah dan blog. Setelah beberapa kali cuma melintasi, kali ini Bapak, Orang Rumah Bapak dan Khalish berkesempatan berkunjung ke galeri berkenaan.

Secara ringkas, galeri tersebut menawarkan kita mengenali sejarah dan kenangan silam menerusi foto dan barangan antik. Contohnya biarpun cuma sebuah tin susu, ia mampu membuatkan kita berimanigasi bagi memahami budaya dan gaya hidup masyakat terdahulu.

Selain itu, foto-foto di galeri itu juga bercerita tentang sejarah awal Cameron Highlands. Salah satu yang menarik, berbeza dengan kebanyakan muzium dan galeri di seluruh dunia, di sini kita dibenarkan merakam foto.

Ok, kita lihat foto poyo kami sekeluarga.

Bermula dengan Khalish.
Kemudian Bapak
Akhir sekali Orang Rumah Bapak.
Fakta ringkas Time Tunnel Museum : -

Pemilik : See Kok Shan
Lokasi : Brinchang

Mula dibuka : Februari 2007

Bayaran masuk : RM5 (Dewasa), RM3 (Kanak-Kanak)

Waktu : 9 pagi hingga 6 petang

Tuesday, April 13, 2010

Foto itu kini lengkap...

Semasa bulan-bulan awal kehamilan Khalish, Orang Rumah Bapak alah teruk. Kami tak dapat ke mana-mana sepanjang tempoh itu. Sindrom morning sickness tersebut hanya berakhir ketika Orang Rumah Bapak hamil lima bulan.

Kemudiannya pada Januari 2009, kami bersiar-siar di Cameron Highlands. Salah satu foto yang diabadikan semasa percutian tersebut ialah kami bergambar bersama di sebuah ladang teh.
Sebelum meninggalkan Cameron Higlands, kami berazam untuk kembali ke ladang teh tersebut untuk merakam foto bersama bayi yang sedang berada di dalam kandungan tersebut.

Empat bulan kemudian Khalish lahir dan setelah dia berusia 9 bulan, azam itu akhirnya terlaksana...

Monday, April 12, 2010

Teh & Skon



Antara moment yang Bapak suka setiap kali bercuti di Cameron Higlands ialah minum teh sambil makan skon ditemani angin-angin sepoi bahasa dan panorama teh yang menghijau..hehhehe

Setahu Bapak , ada dua pengeluar teh terbesar di Cameron iaitu Cameron Bharat dan Boh. Kunjungan kali ini kami pergi kedua-dua tempat sekali.

Memang ada perbezaan aroma, citarasa teh dan susun atur landskap di kedua-dua tempat berkenaan. Namun Cameron Bharat dan Boh mempunyai keistimewaannya tersendiri....
Semasa bersantai di Boh, kami perasan dicetak sebuah buku berkaitan tentang pembuatan teh yang sesuai untuk kanak-kanak. Buku yang berwarna-warni ini Bapak beli untuk Khalish.

Buku bertajuk 'The Tea-riffic Adventure of Mr. Boh & Mr Teaf' itu dwi-bahasa. Membaca terjemahan bahasa Melayu, membuatkan Bapak tersengih. Maksudnya memang tak lari tapi janggal kerana diterjemah perkataan demi perkataan...heheheh
Contohnya : - Up in the cool Cameron Highlands where the jungle meets the sky.

Di tanah tinggi Cameron Highlands yang dingin di mana hutan bertemu langit

Marathon : Awards

Award ini diberikan oleh Kak Tirana & Nik Hakimah. Terima kasih.

Award ini diberikan oleh EjaMaria. Terima kasih

1. Thank & link the person that gave you the award.
2. Pass this award onto 15 bloggers you’ve recently discovered and think are fantastic
Kedua-dua awards ini ditujukan kepada semua yang sudi berkunjung di blog ini...

3. Contact said Blogs and let them know they’ve won the award

4. State 7 things about yourself.
i) Suami kepada seorang isteri dan bapa kepada seorang anak
ii) Dilahir di Teluk Intan, dibesarkan di Petaling Jaya, mendapat pendidikan di Kuala Lumpur dan kini berkhidmat di Ipoh
iii) Anak sulung dan bertemu jodoh dengan anak sulung juga.
untuk empat yang lain, rerajin jenguk sini.

Saturday, April 10, 2010

Panas membahang, Sejuk Menggigil...

Sejak kebelakangan ni cuaca agak berbahang terutamanya pada waktu malam . Tidur Khalish dan ayahnya jarang nyenyak...

Bermula petang semalam, suhu badan Khalish agak dedau. Dari seorang bayi yang aktif dan lasak, Khalish berubah pasif, asyik terbaring saje. Sesekali dia merengek....

Keadaan itu mengingatkan Bapak kepada peristiwa pertengahan Februari lalu. Masa itu Ipoh telah diisytihar antara bandar terpanas di Malaysia.

Bahangnya bukan sahaja orang dewasa macam Bapak dan Orang Rumah Bapak tak tahan tetapi Khalish juga yang ketika itu baru berusia 9 bulan. Dia asyik gelisah kerana kerap berpeluh.

Bagi 'melarikan' diri daripada kepanasan buat seketika, kami membawa Khalish ke Cameron Highlands yang jarak tak sampai 100 km dari rumah kami.

Walaupun ramai kata Cameron tak sesejuk macam dulu-dulu namun dibandingkan Ipoh yang bersuhu sekitar 36 darjah celsius, memang terasa perbezaannya.
Hari pertama sampai, Khalish tidur nyenyak (biarpun tidur berjaket sepanjang malam). Namun masuk hari kedua. hidungnya mula kemerahan dan asyik memeluk Bapak semasa tidur.

Dia mula batuk-batuk dan penyudahnya, semasa menuruni untuk pulang ke Ipoh, Khalish muntah tiga kali di dalam kereta.

Sampai di rumah, suhu badannya mula meningkat dan selsema. Apabila di bawa ke klinik, doktor memberitahu paru-paru kiri Khalish sudah penuh dengan kahak.

Ubat diberi dan doktor memberitahu jika Khalish tidak sembuh dalam jangkamasa dua hari, doktor itu mencadangkan Khalish diberi wap untuk mencairkan kahak.
Akhirnya, Khalish menjalani rawatan tersebut. Bapak dan Orang Rumah Bapak sayu melihat dia meronta-ronta dan menangis semasa dipaksa menyedut wap dari mulutnya.

p/s : Semoga permata kami cepat sembuh...

Friday, April 9, 2010

Ngidam Gulai Patin Masak Tempoyak?

Beberapa hari lalu Bapak off, pagi-pagi lagi Orang Rumah Bapak dah buat permintaan khas.

Orang Rumah Bapak (ORB) : Hari ini ingat nak makan gulai ikan Patin masak tempoyak la

Bapak : Ok, nanti B beli ikan patin kat pasar atau Tesco. Tempoyak ada kat peti ais, ok lagi kot...

ORB : Tak nak masak, nak makan kat kedai.

Bapak : Tak kan kena pergi Kuala Kangsar atau Temerloh kot... yang lain tak sedap.. (ayat nak berdalih...)

ORB : Eh, kat Restoran Tasik Raban kan ada, sedap juga...

Alamak ingat pulak Orang Rumah Bapak ni...heheheh

Akhirnya selepas Khalish selesai makan tengah hari dengan buburnya seperti biasa, kami ke Restoran Tasik Raban yang terletak berhampiran Stadium Perak.

Tasik Raban yang hanya menyediakan hidangan makan tengah hari ni memang terkenal dengan makanan kampung, ulam-ulaman dan ikan bakar.Biasanya yang menjadi perhatian ikan bakar yang disapu dengan sambal khas dan dicecah dengan kuah asam. Ikan-ikannya dikatakan segar dari Tasik Raban, Lenggong.

Tapi sejak-sejak akhir ni Bapak kurang sikit selera dengan ikan bakar di situ. Ye la asyik ikan talapia merah dan kaloi jer menunya...

Sampai di restoran tersebut, baru tahu menu gulai Patin masak tempoyak sengaja ditiadakan kerana hari itu giliran gulai Baung masak tempoyak pula. Akhirnya Orang Rumah Bapak ambil lauk-lauk lain termasuk sambal tempoyak dan sambal kelapa.

"Lepas ni kena datang lagi ke, cari gulai Patin masak tempoyak lagi?," tanya Bapak kepada Orang Rumah Bapak yang sedang enak menyuap.

Beliau cuma bersenyum dan Bapak dah tahu maksudnya....

Thursday, April 8, 2010

Bapak & Kereta II

Sambungan posting Bapak & Kereta

Pagi-pagi Bapak dah hubungi pusat servis Proton yang biasa pergi bagi menyelesaikan masalah kunci kereta tersebut. Namun pusat servis berkenaan memberitahu masalah cip kunci kereta hanya boleh diselesaikan Proton Edar Sdn. Bhd. yang terletak di Menglembu.

Sesudah Bapak hubungi Proton Edar Menglembu, Bapak diberi nombor telefon pegawai skuad Proton I Care, Azizi pula.

Azizi memberitahu masalah itu tak sukar diselesaikan dan setelah diberi nombor plat kereta Bapak dan lokasi kenderaan itu berada, beliau segera menuju ke situ.

Bapak pula meminta pertolongan kawan seopis, Najib untuk membawa Bapak ke lokasi kereta berada dari rumah.

Tak sampai 5 minit kunci kereta baru diterima dan enjin dapat dihidupkan... Bayaran yang dikenakan pula cuma RM61.80 tak termasuk upah membuat coding yang Azizi tu kata ikut seikhlas Bapak...

Kalau ikutkan Bapak nak kasi RM5 je (kata ikut ikhlas..heheh) tapi selepas dia kata biasanya RM20, akhirnya RM80 bertukar tangan.
"Apasal abang tak call Proton I Care malam tadi, kalau tak dah lama settle. Tak payah abang naik teksi balik rumah. Servis kami 24 jam," kata Azizi.

"Ye ker? Saya ingat perkhidmatan Proton I Care untuk enjin breakdown, ganti bateri dan tunda kereta je. Lagipun masa tu dah lewat malam," balas Bapak.

Sampai di rumah, Orang Rumah Bapak yang diberitahu kagum dengan kos ganti kunci bercip yang cuma RM80 je.

"Dulu buat kat kedai kunci minta sampai beratus. Bukannya elok, jahanam juga," kata Orang Rumah Bapak mengingatkan peristiwa Bapak membuat kunci pendua kereta di sebuah kedai kunci kira-kira dua tahun lalu....

Wednesday, April 7, 2010

Bapak menang lagi!

Sepanjang terjebak dalam arena blog sejak setahun empat bulan lalu, Bapak pernah memasuki 5 contest yang dianjurkan rakan-rakan blogger. Itupun dikalangan bloglist sahaja...bukan apa, Bapak segan...heheheh

Niat hati cuma nak memeriahkan..alhamdulillah tiga kali Bapak terpilih sebagai salah seorang pemenang termasuk terbaru Ole-Ole Bali Contest anjuran Nik Hakimah aka Queen yang diumumkan semalam.

Sebab soalan nombor dua dalam contest tu tiada seorang pun yang betul, pemenang ditentukan menerusi foto percutian yang dihantar dan terharu Bapak dipilih sebagai Peserta Favourite..heheh
Ada tiga soalan dalam contest tersebut, dua soalan mudah sebab ada dicatatkan dalam posting blog Nik Hakimah tetapi pasal ikan Gurami, Bapak tak perasan.

Bapak google di internet tapi kebanyakan artikelnya dalam bahasa Indonesia dan infonya berlatar belakangkan negara jiran itu. Artikel dalam bahasa Inggeris pula tak banyak membantu.

Akhirnya pasal jumpa nama saintifik Gurami iaitu Osphronemus goramy. Apabila digoogle, ia sepadan dengan ikan kaloi... Tapi jawapan sebenarnya ialah ikan Talapia.(ilmu baru ni..)

Anyway terima kasih kepada Nik & Zul.

-------------------------------------------------------------------------------
Entry ni dah lama Bapak buat, rasanya akhir Februari lalu dan disimpan dalam salah satu pen drive Bapak. Pen drive tiba-tiba menghilang dan baru dijumpai semalam..hehehhe

Kisah Bapak menang contest juga iaitu Contest Berdialog bersama Naman.

Kisahnya bulan Disember lalu Bapak menyertai contest tersebut dan alhamdulillah apabila keputusan diumumkan pada Januari lalu, Bapak dipilih sebagai pemenang tempat kedua contest tersebut.

Akhir Februari lalu, Bapak menerima hadiah yang dijanjikan. Terima kasih kepada Naman aka Cekgu..(nampak cam bertambah je hadiahnya...hehehe)
Sebenarnya ini contest dialog kedua yang pernah Bapak sertai sejak terjebak dalam arena blog ni dan alhamdulillah kedua-dua terpilih... ada sesiapa yang nak anjur contest berdialog lagi..hehhe

p/s : masa pertama kali memang contest berdialog dulu, penganjurnya dah sound awal-awal jangan buat entry pasal hadiah tapi Naman tak bagi warning pun, Bapak buat entry je la ye..heheh

Tuesday, April 6, 2010

Kenangan Meru

Setelah enjin kereta Bapak tidak boleh dihidupkan kerana masalah kunci, Bapak tahan teksi untuk pulang ke rumah.

Mula-mula pemandu itu minta tambang RM15, pastu RM20 pula.

"Oh, Meru Raya, saya ingat tadi Taman Meru tadi. Kalau Meru Raya RM20 cik, boleh tak?" tanya pemandu teksi tu.

Sebab dah lewat malam, terdesak dan teksi di Ipoh memang tak pakai meter, Bapak setuju je.

Dalam perjalanan, pemandu teksi tu memberitahu dia menetap Taman Meru 1B yang terletak berhampiran dengan taman perumahan Bapak.
Katanya, dia memasuki rumah itu pada 1978 dan antara kawasan perumahan terawal di Meru.
Menurutnya pada masa itu, jalan ke Meru selorong sahaja, sekelilingnya hutan, taman perumahan Bapak pula masih ladang getah dan paling menakutkan ia berhampiran dengan kem Komunis yang berkubu di kawasan bukit yang kini dikenali sebagai Meru Height.

"Saya asal Kuala Kangsar dan kemudian dapat kerja di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Ipoh.

"Apabila nak beli rumah di Taman Meru 1B, saya seriau. Yelah dari kampung kena berpindah di kawasan pinggir hutan pula. Setakat diikutkan yang masih ada sampai sekarang pekan Jelapang je," katanya.

Pemandu teksi itu memberitahu dia kemudiannya meminta pandangan ibu bapanya. Mak dan ayahnya menggalakkan dan menyakinnya agar membeli rumah di Taman Meru 1B tersebut.

"Orang tua minta fikir masa depan, Kata mereka lambat-laun Meru akan maju juga. Alhamdulillah masin kata-kata mereka, tak lama selepas itu satu-persatu taman perumahan baru dibuka.

"Projek Lebuh raya Utara-Selatan yang berhampiran dengan Meru juga bermula manakala komunis akhirnya menyerah diri tak lama selepas itu. Sekarang ni jalan juga dah besar, mudah ke pusat bandar, Lumut, Sungai Siput dan Kuala Kangsar," katanya.

Bapak sampai ke rumah dengan tersenyum.

"Alhamdulillah, aku bukan duduk di tapak bekas lombong rupanya....,"

Cuma yang masih tak berubah sampai sekarang, lembu, kerbau dan kambing masih merata-rata....

Monday, April 5, 2010

Bapak & Kereta...

Tahun ni Bapak berpeluang untuk menyaksikan perlumbaan Formula One (F1) secara langsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bukan pergi sorang-sorang tetapi dengan kekawan sealiran bak rombong Kak Kiah. Mula-mula tu ramai setuju nak pergi tetapi akibat pembatalan di saat-saat akhir, penyudahnya dalam bas nak ke Sepang dari Ipoh itu tinggal lapan orang sahaja termasuk pemandu dan pemandu kedua bas...heheheh

Sampai di SIC sebelum masuk ke dalam, Bapak ambil kesempatan ambil gambar suasana sebelum perlumbaan. Mana-mana pengunjung yang berpakaian dan ragam unik Bapak kejar dan ambil gambar mereka. Nasib baik kebanyakannya sporting....

Punya asyik ambik gambar sampai hampir ditinggalkan kekawan lain yang nak masuk...heheh

Kami duduk betul-betul berhadapan podium dan berhampiran petak mula/akhir. Syok memang syok tetapi tak nampak 'drama' di sebalik perlumbaan berkenaan. Bunyi bising kereta F1 dan telinga yang disumbat dengan span menyebabkan Bapak tak berapa nak dengar ulasan pengulas...

Apabila tamat perlumbaan baru Bapak tahu bagaimana Micheal Schumacher dan Fernando Alonso boleh terkeluar...Itupun Orang Rumah Bapak yang tonton televisyen di rumah yang beritahu...
Kami sampai semua di Ipoh kira-kira 11 malam. Masa seluk poket nak cari kunci kereta baru perasan kunci itu dah pecah dua. Tambah panik cip yang ada di dalam kunci itu dah tercicir ke mana....Tanpa cip itu, enjin Proton Waja Campro memang tak boleh dihidupkan.. Tambah kalut kunci pendua juga tiada...

Bapak hubungi seorang kawan di Kuala Lumpur yang juga punya kereta yang sama dengan Bapak. Kata-katanya yang mengatakan kalau sudah kehilangan cip, kunci baru tidak boleh dibuat di kedai kunci biasa tetapi perlu ditempah semula dengan syarikat pengeluar kereta itu yang kekadang makan masa berminggu-minggu tuk siap buat Bapak makin serabut.

Akhirnya Bapak ambil keputusan tinggalkan kereta dan balik ke rumah dengan teksi. Tidur dulu, pas tu baru fikir jalan penyelesaiannya...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails