Translate

Sahabat Bapak

Wednesday, May 26, 2010

Merungkai Misteri Buaya Tembaga Sungai Tuang

Sejak minggu lalu, Bapak terdengar perbualan Orang Rumah Bapak dan Mak Mertua melalui telefon tentang kehadiran buaya tembaga bersidai di pantai berdekatan kampung halaman Orang Rumah Bapak di Masjid Tanah, Melaka.

Bukan seekor tetapi didakwa sekurang-kurang lima ekor buaya tembaga terbabit ditemui penduduk setempat sejak akhir-akhir ini.

Berita kehadiran buaya tembaga itu juga telah dilaporkan beberapa akhbar tempatan.

Khabarnya Perhilitan telah melakukan pelbagai usaha untuk mengumpan buaya-buaya terbabit dengan daging ayam tetapi sehingga kini gagal.

Pihak berkuasa khabarnya panik sebab kampung Orang Rumah Bapak tidak jauh daripada lokasi acara kapal layar Sukma ke-13 yang bakal berlangsung bermula 10 Jun ini.

Apatah lagi persisir Pantai Sungai Tuang dan sekitar yang juga pantai angkat JPS Melaka telah menarik ramai menarik pengunjung sejak dinaiktaraf beberapa tahun lalu.

Ada pelbagai versi pasal kehadiran buaya tembaga terbabit walaupun secara logiknya buaya di Malaysia tidak hidup di air masin.

Pertama, buaya-buaya tersebut tersesat dari muara Sungai Linggi yang terletak kira-kira 15 km dari situ. Sungai tersebut memang terkenal dengan bilangan buaya yang banyak malah ada pakej perlancongan menyelusuri Sungai Linggi untuk melihat buaya ditawarkan.

Kedua pula melibatkan unsur-unsur mistik kononnya buaya terbabit ialah buaya jadian yang menjadi bualan hangat kebanyakan penduduk kampung.

i) ada orang nak 'test' atau buang ilmu hitamnya. Kebetulan berhampiran pantai tersebut ada sebuah pulau (nama pelik sikit sampai Bapak segan nak tulis, korang cari sendiri lah...) yang kononnya menjadi lokasi membuang ilmu hitam dan saka pada zaman dahulu kala.

ii) kononnya zaman dahulu ada orang 'membela' dan memberi makan lembaga yang berada di dalam laut itu pada masa-masa tertentu kononnya agar nelayan selamat menangkap ikan dan membawa pulang tangkapan yang banyak.

Khabarnya pengamalnya pun dah lama meninggal dunia...

iii) Versi ni paling tak tahan, kononnya buaya itu dilahirkan wanita yang melahirkan anak kembar, satu manusia, satu buaya. Oleh itu buaya tu terdampar di pantai tersebut untuk menjejak kembarnya...

Wallahualam, masyarakat kita ini kalau cerita pasal perkara mistik memang tak habis....

Monday, May 24, 2010

Baru bertatih, tangga sudah ditakluk

Sebelum Khalish lahir lagi, Bapak telah membayangkan tangga batu yang mempunyai 16 anak tangga di rumah kami pasti akan menjadi salah satu tempat kegemaran anak sulung kami ini 'bermain'.

Sudah lumrah bayi yang baru pandai berjalan ghairah naik turun tangga. Namun risau juga kerana biasanya bayi tahu naik sahaja, turunnya belum tentu.

Pengalaman menjadi saksi dua orang adik Bapak terjatuh tangga kayu semasa mereka berusia setahun hingga dua tahun menyebabkan Bapak berhati-hati tidak mahu nasib sama menimpa Khalish. Yelah, itu kayu bolehlah tahan lagi, rumah Bapak ni tangga batu...tahu-tahu sahaja risiko je...

Menjelang kelahiran Khalish, Bapak dan Orang Rumah Bapak bersepakat membeli pagar plastik untuk menghadang pagar itu sebaik sahaja dia pandai berjalan.

Bukan niat menghalang anak kami belajar sesuatu baru tapi untuk keselamatan agar tangga batu itu tidak dipanjat tanpa pengawasan kami berdua...lagipun Bapak pernah baca seorang bayi hanya matang turun naik tangga setelah berusia dua tahun...

Sejak dibawa masuk ke rumah ini semasa berusia kira-kira empat bulan, kebanyakan masa Khalish dihabiskan di tingkat bawah. Dia mula menyedari kehadiran tangga semasa berusia lima bulan, matanya akan memandang setiap kali ke arah tangga Bapak atau Orang Rumah Bapak naik ke tingkat atas.

Apabila berumur tujuh bulan, Khalish sudah pandai melambai-lambai setiap kali kami menaiki tangga..heheh....

Masuk 10 bulan, dia sudah mula menangis melihat Bapak atau Orang Rumah Bapak (biasanya Bapak...hehhe) naik tangga seolah-olah takut ditinggalkan sedangkan salah seorang daripada kami berada di sebelahnya.

Semasa 11 bulan, Khalish sudah pandai merangkak menaiki dua anak tangga pertama tapi setakat itu sahaja lah, selepas itu dia akan menangis meminta tolong ibunya untuk turun semula..heheh...
Masa itu Bapak bercadang untuk membeli pagar tetapi Orang Rumah Bapak cadang tunggu sehingga Khalish pandai berjalan dulu...

-------------------------------------------------------------------------------
Beberapa hari lalu, Bapak ke tingkat atas untuk ke bilik komputer dan macam biasa Khalish akan merengek mahu mengikut tapi Bapak buat tak tahu sahaja...heheh...

Sedang Bapak menghadap PC, dengar rengekannya tak berhenti dan makin lama makin dekat. Tak lama kemudian Orang Rumah Bapak menjerit, Bapak keluar bilik menuju ke tangga dan perasan Khalish sudah meniti anak tangga ke 13!

Sambil memanjat satu demi satu anak tangga, Khalish merengek menyebut 'Mak' berkali-kali...(bagi Khalish Orang Rumah Bapak itu 'Ibu', Bapak pula 'Mak', puas betulkan, masih tak berjaya..heheh)

Orang Rumah Bapak berkejar memanjat tangga, apabila mahu mendukung Khalish, Bapak beri isyarat biar Khalish habiskan memanjat semua anak tangga itu, kita cuma pantau...

Akhir Khalish berjaya menghabiskan 16 anak tangga batu itu dan Bapak segera mendukungnya...

Aish, Khalish ni, bertatih pun tak berapa nak betul lagi, dah pandai panjat tangga...

Bapak mula fikirkan semula pagar plastik tapi dalam masa sama terbayang Khalish pasti ada cara melepasi pagar plastik itu...

Sunday, May 23, 2010

3+1 : Bapak memasak

Salah satu janji Bapak kepada Orang Rumah Bapak sebelum kami berkahwin ialah beliau diberi pelepasan 4 hari setahun daripada memasak dan Bapak akan mengambil alih tugas itu pada hari tersebut.

Hari berkenaan ialah ulang tahun kelahirannya, ulang tahun perkahwinanan, ulang tahun perkenalan dan Hari Ibu.

Sejujurnya setelah hampir dua tahun berumahtangga, memang Orang Rumah Bapak mendapat pelepasan memasak pada hari-hari berikut, namun bab Bapak memasak tu jarang dipatuhi...heheh...

Bapak gunakan taktik mengajak makan di luar dan biasanya Orang Rumah Bapak akan 'terliur' dengan tawaran tersebut...heheh...

Kali terakhir Bapak memasak ialah ketika mengajar Orang Rumah Bapak memasak Spageti Bolognese semasa awal perkahwinan kami dulu...hehe...

Bagaimanapun pada ulang tahun kelahiran Orang Rumah Bapak pada 19 Mei lalu, cubaan untuk terus 'memperdaya' beliau gagal dan janji itu telah dituntut.

Begitupun oleh kerana masih mengalami sakit bahu, Bapak diberi pelepasan daripada menyediakan sarapan dan makanan tengah hari.

Orang Rumah Bapak memberi syarat mahu masakan ala barat untuk makan malam hari itu...

Puas Bapak fikir, akhirnya Orang Rumah Bapak tunjukkan resepi Penne Goreng yang terkandung dalam buku Senangnya Memasak...Makanan Barat tulisan Chef Hanieliza semasa kami mengunjungi toko buku, MPH.
Bapak tersenyum sebab senang sangat, baca resepi sepintas lalu, beli barangan basah di pasar raya dan selepas Maghrib mula memasak.

Air pula Bapak campurkan buahan dalam tin, susu cair, air soda dan ais. Nama air itu Bapak dah lupa tapi belajar dengan teman serumah masa bujang dulu.

Orang Rumah Bapak tersengih-sengih makan penne goreng dan minum air itu. Tapi Bapak rasa cam ada kurang. Tengok balik buku resepi itu, baru perasan terlupa taruh lada hitam, tak perasan pula tadi, baru tukar ka...heheheh

Saturday, May 22, 2010

3+ 1 : Ceritera Khalish

19 Mei lalu adalah ulang tahun kelahiran Orang Rumah Bapak ke-27. Oleh kerana dua agenda lain iaitu ulang tahun kelahiran Khalish (12 Mei) dan ulang tahun perkahwinan kami (31 Mei) juga bulan ni, kami menyambutnya 3+1...jimat masa dan belanja..hheheh...

Kita mulakan dengan Khalish.

Makan
------
Hari itu Khalish dibebaskan sementara daripada regim pemakanan yang ketat..heheh

Orang Rumah Bapak buat mini muffin kukus buat Khalish. Oleh kerana kehabisan kertas cawan, acuan agar-agar bulat digunakan, jadi cam apam coklat pulak..heheh.. Apapun Khalish makan dengan berselera pagi tu.
Petangnya Khalish makan kek. Tak de tiup-tiup lilin, terus makan kek. Comot mulut dia... risau gak kek tu kan manis tapi sepotong pun tak habis, dah lebih Khalish buat main..heheh...

Malam, Khalish dapat makanan kegemaran dia, roti nan cheese.

Ada kisahnya, dia mula suka roti nan cheese masa layan ibunya menikmati nasi kandar di restoran Mamak tempoh hari...

Seminggu selepas itu, lepas makan malam, kami singgah di sebuah kedai serbaneka untuk beli roti di Jalan Gopeng.Sementara Orang Rumah Bapak masuk kedai serbaneka tu, Bapak main-main dengan Khalish dalam kereta yang diparkir bersebelahan restoran Mamak.
Pandang restoran tu, Khalish ketuk-ketuk cermin kereta, tunjuk isyarat nak masuk restoran tersebut.Apabila Bapak dan Orang Rumah Bapak tak layan, dia menangis dan merengus.

Di tengah jalan Khalish sebut "Nan..nan..nan...". Baru lah kami tahu dia nak roti nan cheese...hehe... Sudahnya Khalish merajuk....heheh....

Kasut, baju, mainan
-------------------
Sebelum ini Nenda Khalish kirim ongkos minta belikan hadiah tuk Khalish memandangkan tak dapat sambut ulang tahun kelahiran pertama cucu sulungnya di Ipoh.
Bapak belikan kasut, baju dan mainan tuk Khalish. Susah gak cari pattern kasut yang sesuai tuk bayi yang mempunyai kaki lebar cam Khalish. Apatah lagi yang banyak dijual kasut untuk baby girl. Kasut untuk baby boy tak banyak pilihan...

Langit tak selalunya cerah
--------------------------
Dalam gembira-gembira tu, ada jugak yang buat Khalish cuak. Apa lagi kalau tak suntikan imunisasi...

Nampak kelibat 'makcik berbaju putih' (penolong pegawai perubatan..heheh), muka Khalish dah pucat.

Kemachoan cair Khalish sebaik sahaja memasuki bilik rawatan. Sebelum disuntik, dia dah melalak. Yang peliknya sejurus keluar dari klinik desa itu, tanggisan terus reda...heheh...
Apapun Bapak dan Orang Rumah Bapak kena bersedia sebab dimaklumkan Khalish mungkin demam kira-kira seminggu selepas disuntik... Setakat ni ok jer, makin lasak ada lah...hehhe....

Friday, May 21, 2010

Badan Bapak bertampal-tampal...

Sejak awal bulan ini, Bapak sering mengalami sakit belakang dan ketegangan bahu.

Setiap kali bangun daripada tidur, Allah je tahu sakitnya nak bangun. Terpaksa berpaut pada kepala katil dan menggunakan otot tengkuk untuk bangun. Sudahnya dengan tengkuk-tengkuk sakit.

Akibat sakit bahu tu, Bapak susah nak bersin, setiap kali nak bersin, tak jadi sebab rasa bahu kiri menegang...

Nak memandu, pandang kiri-kanan punyalah payah. Bekerja memandang PC pun tak berapa selesa.

Pelbagai usaha untuk mengurangkan ketegangan.Puas Orang Rumah Bapak urut, tuam, sapu dengan salap, tampal dengan koyok (badan Bapak bertampal-tampal, ala-ala pemain badminton Piala Thomas & Uber hari tu...heheh)
Termasuk berurut dengan mesin urut Origawa, bukan sendiri punya tapi yang ada kat Tesco Ipoh. Dapat lah 15 minit selepas dibayar RM5...
Orang Rumah Bapak kata mungkin Bapak banyak 'angin' ataupun salah tidur. Dia bising suruh Bapak bersenam ringan-ringan badan sikit...Ye kot pasal beberapa hari sebelum kena sakit belakang, Bapak tidur di atas toto yang agak nipis...

Sekarang dah kurang sikit, cuma tinggal sengal-sengal....

Wednesday, May 12, 2010

Setahun sudah Khalish

Tarikh ini pada tahun lalu merupakan hari yang bersejarah buat Bapak.

Setelah seharian menemani Orang Rumah Bapak di bilik bersalin hospital sejak awal pagi, akhirnya tangisan pertama Khalish kedengaran pada 4.10 petang.

Bapak sedikit mengigil memangkunya buat pertama kali bagi mengazan dan mengiqamat. Gigil kerana mengerti tanggungjawab sebagai sebagai bapa sudah bermula dan ianya bukanlah sesuatu yang mudah...

Tiga bulan pertama Khalish dan ibunya berada di kampung. Ekoran tuntutan kerja, Bapak cuma pulang sebulan sekali. Kesempatan yang ada Bapak gunakan untuk berdamping dengannya. Namun Khalish masih belum betul-betul kenal ayahnya sendiri, buktinya dia kerap menangis dan mahu dipeluk ibu setiap kali Bapak mendukungnya.
Bulan keempat Khalish dan ibu pulang semula ke Ipoh. Kebetulan masa itu bulan Ramadan, Bapak masih ingat, betapa Bapak dan Orang Rumah Bapak bergilir-gilir berbuka puasa dan beribadat sambil menjaga Khalish yang sentiasa merengek setiap kali azan Maghrib.

Bulan-bulan selepas itu, Khalish mula selesa dan membesar dengan sewajarnya...

Bermula dengan mula meniarap ketika berusia dua bulan setengah, Khalish kemudiannya mara, duduk, berdiri, merangkak dan kini mula bertatih. Giginya juga sudah empat batang.

Tawa dan celotehnya sentiasa menghiburkan. Aktif, berani dan tak kenal erti putus asa mencuit hati Bapak. Sesekali Bapak mengeluh apabila Khalish gemar mengoyak buku dan suratkhabar sebelum sempat dibaca...Bagaimanapun dia lah penawar dan sumber kekuatan diri ini...

Hari ini Khalish genap setahun. Cepat benar waktu berlalu, terasa bagai semalam dia dibawa pulang dari hospital...Selamat Hari Lahir anak sulungku....

Mungkin selepas ini kami tak perlu lagi bangun malam untuk membuat susu untuk Khalish tetapi cabaran sebagai ibubapa tak berakhir sekadar itu.. malah selepas ini dugaannya lebih hebat lagi.
Bapak mohon kepada Allah agar kami suami isteri diberi kekuatan untuk menjalankan amanah ini...

Sunday, May 9, 2010

Hari ini Hari Ibu

Alhamdulillah Orang Rumah Bapak sudah hampir setahun bergelar ibu kepada Muhammad Adib Khalish.

Berdasarkan pengalaman sejak 12 bulan lalu, secara jujur Bapak akui kecintaan, kasih sayang, tumpuan dan pengorbanan seorang ibunya terhadap anak memang tak terbatas...

Selamat Hari Ibu kepada Orang Rumah Bapak kerana dirimu, diri ini menjadi seorang ayah...

Bapak juga mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu kandung yang Bapak panggil Mama dan ibu mertua yang senang digelar Mak. Alhamdulillah Bapak masih diberi kesempatan untuk menumpang kasih dengan mereka hingga ke saat ini..

Tak lupa juga semua yang bergelar ibu...semoga Allah membalas semua jasa dan pengorbananmu...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails