Translate

Sahabat Bapak

Sunday, August 29, 2010

Kisah Bapak dan pembantu pam

Melihat jarum meter petrol kereta sudah mencecah ke garisan E, Bapak membelok memasuki sebuah stesen minyak di Jalan Silibin.

Sebenarnya sudah lama Bapak tidak mengisi petrol di stesen minyak tersebut, kali terakhir lebih enam bulan lalu.

Dulu pekerja dari penjaga kuanter, pembantu pam hingga ke tukang cuci semuanya warga negara Vietnam, sampaikan Bapak ingatkan stesen minyak itu sudah dibeli kumpulan pekerja asing Vietnam terbabit. Mujur pemiliknya masih orang tempatan.

Kunjungan kali ini Bapak mendapati kelibat semua pekerja asing warga Vietnam itu sudah tiada. Kuanternya juga dijaga oleh seorang penduduk tempatan.

Sambil petrol di isi ke dalam tangki kereta, Bapak cuba beramah mesra dengan seorang pembantu pam kaum India yang tekun bekerja.

"Dulu ramai Vietnam kerja sini, mana mereka pergi?," tanya Bapak kepadanya.

"Permit mereka sudah tamat; sudah balik negara asal." balas pembantu pam itu.

"Baguslah, biar kasi orang tempatan bekerja," tambah Bapak.

Pembantu pam itu cuma tersengih...Tak lama kemudian Bapak perasan tanda nama yang tersemat di baju Tnya...apasal nama dia pelik...

"You...You Bangladesh ka?," tanya Bapak teragak-agak.

Dia cuma mengangguk menjawab pertanyaan Bapak.

Alamak, patutlah dia tersenyum kambing je tadi; mati-mati Bapak ingatkan dia orang tempatan, pasal rupanya dan pertuturannya takde pesen orang Bangla.

Cepat-cepat Bapak mengubah topik.

"Ok kerja sini? Berapa gaji, RM5 sejam ke?"

Sebaik sahaja soalan itu ditanya, pembantu pam India 'celup' itu mula menceritakan keluhannya.

"Mana ada RM5, RM2.50 sejam sahaja, itupun tauke selalu potong....bla...bla...," gomelnya.

Mujur petrol sudah penuh diisi. Bapak cepat-cepat masuk kereta dan menghidupkan enjin lalu meninggalkan stesen minyak tersebut. Tak perlu lagi dengar gomelannya...heheh...

RM2.50 sejam.. kalau dia kerja 8 jam sehari tanpa OT, sehari dapat RM20. Sebulan kalau dia kerja tanpa cuti, dapat RM600.

Kalau convert dengan mata wang Bangladesh; Taka, nilainya BDT 13,293.01...heheh.... (RM1 = BDT 22.1550)

Wednesday, August 25, 2010

Tambah....

Sambil mendukung Khalish, mata Bapak terpaku pada skrin hitam putih yang terpapar pada sebuah mesin di hadapan.

Sesekali Bapak dan Orang Rumah Bapak tersengih dengan tindakan gelagat luar jangka 'lembaga' itu.

Melambai-lambaikan tangannya, membuka dan menutup tangan seolah-olah membuat 'cak cekur' dan sesekali menendang kuat tepat ke arah alat pengimbas.
Ya itulah janin yang sedang mekar di dalam rahim Orang Rumah Bapak; anak kedua kami.

Insyaallah, awal November ini, Khalish akan bertukar status menjadi seorang abang.

Walaupun pada mulanya Khalish seperti tidak menerima kenyataan, pernah sekali hampir mahu ditendang perut ibunya namun kini semakin reda; gemar pula mencium perut ibunya.

Bapak dan Orang Rumah Bapak sedang menyiapkan diri dan Khalish untuk menerima orang baru.

Ini rezeki....sesungguhnya kami teruja dan terpesona menyaksikan feel adik Khalish yang nampaknya lebih aktif daripada abangnya walaupun masih di dalam rahim....

Saturday, August 21, 2010

Drama sebuah Toyota Vios hitam...

Dua hari sebelum awal Ramadan, seorang rakan sepejabat Bapak kehilangan kereta.

Kereta Toyota Vios hitam beliau hilang ketika diparkir di hadapan rumah. Kehilangan hanya disedari semasa rakan sepejabat Bapak ni mahu ke tempat kerja pada 8.30 pagi hari itu.

Nak jadikan pencuri kereta tu tambah joli, pada malam kejadian, kawan sepejabat Bapak ni balik lewat, banyak juga barangan peribadi dan gajet ditinggalkan sahaja dalam kereta pasal dah ngantuk sangat...

Nilainya mahu berbelas ribu gak, sengih gila pencuri tu free-free dapat habuan tambahan..

Pagi tu, Bapak dan Bos bawa rakan sepejabat Bapak yang tengah buntu ni pergi buat laporan polis di IPD Ipoh, jumpa pegawai penyiasat kat Balai Polis Tasek dan ambil laporan polis di Balai Polis Jelapang.

Lepas tu selesaikan pula dengan bank dan pihak insurans lak. Kawan Bapak ni jenis letak semua dokumen seperti salinan cukai jalan dan nota insurans dalam kereta, memang harula...sampai petang jugalah baru selesai..

Ada macam-macam teori tentang kecurian tersebut, ada yang ramal kereta Toyota Vios tu dah ke sempadan Thailand, tak kurang yang cadang cari kat kedai-kedai potong sekitar Ipoh dan Gopeng, mana tahu masih tersadai kat situ..

Memang sejak akhir-akhir ni banyak kes kereta dicuri di Perak ni termasuk dua kes melibatkan budak-budak sekali dilarikan dalam kereta di Kuala Kangsar dan Batu Gajah (nasib baik dilepaskan juga akhirnya)

Apabila sudah hilang kereta, memang 'patah kaki' rakan sepejabat Bapak ni, faham-faham sahaja sistem pengangkutan awam kat Ipoh ni...dah la dok 'sebatang kara' kat Ipoh ni (isteri dan anak duduk KL)

Seminggu lepas kereta hilang, baru semangat beliau pulih sikit. Beliau cam dah serik nak pakai kereta, cadang nak beli motosikal sahaja.

Maka sebuah motosikal pun ditempah. Nak dijadikan cerita, sehari selepas itu, polis hubungi beliau awal-awal pagi beritahu kereta Toyota Vios hitam yang dicuri itu dah dijumpai.

Kereta itu dijumpai oleh seorang penjual sayur di kawasan tempat letak kereta bawah tanah Pasar Besar Ipoh iaitu kira-kira 200 m dari syarikat insurans!

Klu penemuan Toyota Vios itu ialah pencuri itu tukar no. plat baru tapi tak buang sticker cukai jalan yang tertampal pada cermin hadapan kereta tersebut..macam ni punya pencuri pun ada...heheh...

"Saya memang selalu parking kat situ, pagi semalam tengok-tengok sudah ada kereta lain parking. Tak pernah nampak (kereta itu), ingat sedara baru beli.

"Pagi tadi tengok kereta tu ada lagi. Saya pergi tengok, haiya, pasal apa no. plat lain, road tax lain. Saya terus report polis," cerita nyonya itu bersungguh-sungguh.

Lepas polis buat CSI seringkas mungkin, ambik beberapa barang yang dipercayai milik pencuri itu termasuk sehelai kertas yang mengandungi senarai barangan dapur yang hendak dibeli di pasar, Toyota Vios hitam itu pun dikembalikan semula kepada tuan punya.

Namun barangan peribadi dan gajet berharga semua dah lesap (dah agak pun...)

Sengih balik rakan sepejabat Bapak. Apabila buka dashboard kereta, ada beberapa sticker yang tertampal sebelum ini di cermin hadapan kereta, dicampakkan begitu sahaja di situ...

Semasa Bapak teman beliau tukar balik no. plat, baru kami perasan ada dua lagi barangan milik pencuri di dalam kereta. CD cetak rompak koleksi lagu 'Tangkap Syahdu Lagu Lagu Berbisa Partick Kamis' dan botol Eno...

CD Partick Kamis? rare ni....hehehe...

Walaupun apapun motif kereta Toyota Vios hitam itu dicuri walaupun niatnya sekadar mahu meminjam untuk memudahkan dia pergi ke pasar, harap dia segera insaf sempena Ramadan ini sebelum dapat dicekup polis...

Semoga peristiwa ni menjadi teladan kepada kita supaya lebih berhati-hati dan tidak memberi ruang kepada penjenayah bermaharajalela...

p/s : Bapak daftar Rakan Cop ekoran kejadian ini...heheh...

Friday, August 20, 2010

Melangkah dekad ke-3...


14 Ogos lalu usia Bapak genap 30 tahun.

Alhamdulillah dua dekad telah Bapak lalui dengan izin Allah.

Kalau diingatkan balik semasa baru memulakan alam pekerjaan pada pertengahan 20-an dulu (zaman naif), Bapak tak pernah terfikir pun mempunyai kehidupan pada hari ini (biarpun agak mencabar namun begitu indah..)

Syukur mempunyai seorang isteri dan anak (insyaallah akan bertambah tidak lama lagi...) yang membuat hidup rasa berharga dan bahagia.

Syukur masih mempunyai ibu bapa dan ayah dan mak mertua yang menyayangi dan sentiasa memberi dorongan dan nasihat untuk melayari hidup yang penuh dugaan ini...

Terima kasih kepada Mama dan Ayah yang melahirkan, mendidik dan banyak berkorban buat anakmu ini...

Bapak melangkah ke alam 30-an dengan penuh kesyukuran dan keinsafan; mohon kepada Allah agar kehidupan kami sekeluarga agar sentiasa terpelihara dalam nur Islam..

Azam Bapak untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik daripada hari ini, terus memikul amanah diberikan sebaiknya dan menjadi 'cool' semula seperti muda-muda dulu..

p/s : terima kasih kepada Orang Rumah Bapak yang sudi membuat sendiri kek oreo cheese sempena hari itu...

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan 1431



Alhamdulillah, kita diizinkan sekali lagi menjadi tetamu Ramadan pada tahun ini.

Syukur kita diberi peluang munasabah diri dan menilai diri dengan seikhlasnya pada bulan yang mulia ini...

Setiap qada' dan qadar Allah bersebab dan punyai hikmah tersendiri. Bapak bersyukur masih punya ruang untuk membetulkan diri...

Bapak memohon kepada Allah agar kami sekeluarga diberi kekuatan iman, akal dan amal untuk meghadapi ujian...

Bapak ambil kesempatan untuk memohon maaf kepada semua dan semoga urusan ibadah kita dipermudah dan diterima Allah sepanjang Ramadan ini.

Tuesday, August 3, 2010

Khalish sudah 'dapat' kaki

Khalish mula berjalan pada usia setahun dua bulan. Apabila sudah 'dapat' kaki, apa lagi semakin galak dia merayau, habis satu rumah di tawafnya...hehhe..

Tak cukup dengan itu, hampir setiap petang, Khalish akan mengetuk-ngetuk cermin sliding door sambil memegang kasutnya...meminta ibunya agar membawa dia bermain-main di laman dalam bahasa yang Khalish sendiri sahaja faham...hehheh...

Sebaik sahaja gerigi besi dibuka, Khalish akan meluru berlari menuju ke arah pagar. Setelah penat menggegar pagar, dia tawaf pula keliling laman rumah termasuk memijak rumput.
Semasa Khalish ralit tawaf laman rumah, dia macam dah tak kenal 'jalan pulang'. Pantang diajak masuk semula ke rumah, mesti meronta-ronta. Sesekali dia membaling kasutnya tanda protes. Mana boleh lama-lama nak, sejam cukuplah...

Sebenarnya, Khalish sudah boleh berdiri tegak semasa berusia 11 bulan dan bertatih sewaktu setahun. (Kami tidak pernah membeli baby walker untuk Khalish kerana mahu otot-ototnya berkoordinasi dengan sendiri, lagi penggunaan baby walker banyak kontra daripada pronya...)

Namun dia tak berapa yakin untuk melangkah. Bapak dan Orang Rumah Bapak sepakat untuk membeli activity walker. Melalui peralatan ini, bayi yang baru bertatih dapat menyakinkan diri untuk melangkah.

Hari pertama, walaupun masih takut-takut, Khalish teruja menyorong activity walker itu keliling ruang tamu.
Hari kedua, dia semakin yakin, sorongannya semakin laju dan siap boleh mengundur. Cuma tak wheelie dan wikang je..hahahha...

Hari ketiga, Khalish sudah boleh melangkah sendiri walaupun masih terhuyung-hayang.

Apabila sudah pandai berjalan sendiri, activity walker pun dilupakan begitu sahaja...habis madu, sepah dibuang...hehehe...

Itulah nasib activity walker yang cuma digunakan Khalish 3 hari sahaja. Apa nak buat, simpan untuk adik Khalish la nampaknya...heheh...

Monday, August 2, 2010

Petang Yang Blur III



Baru-baru ini Bapak menghadiri kursus anjuran syarikat. Sebenarnya kursus tu dah dua kali ditangguhkan, mula-mula cadang nak buat di Pahang kemudian di Negeri Sembilan dan akhirnya di Selangor. Makin lama makin dekat...heheh

Bapak siap buat lawak dengan Orang Rumah Bapak, kalau panggilan kali ketiga ini pun ditangguhkan juga, alamatnya kursus tu mungkin bakal diadakan di hadapan rumah kami di Ipoh ni..hehheh...

Kebetulan lokasi kursus sama daerah dengan rumah orang tua Bapak. Alhamdulillah, boleh kami ziarah Mama yang kebetulan pada masa itu baru keluar dari hospital.

Boleh Nenda dan Atuknya lepaskan rindu pada Khalish yang kini sudah pandai berjalan. Selesai kursus, Bapak ambik cuti dua hari untuk bersama keluarga sebelum pulang ke Ipoh.

Dipendekkan cerita, malam pada hari Bapak pulang dari kursus, Bapak terpecahkan termos ketika sedang membuat susu Khalish. Dah pecah kenalah beli termos baru.

Orang Rumah Bapak pun ambil kesempatan ajak Bapak beli termos baru kat Mid Valley (setakat beli termos pun nak ke Mid Valley...heheh)

Kami keluar dalam pukul 3 petang, Bapak yang sedang lepak atas katil, terus main sarung jersi Itali (perhatian Bapak bukan Italian fan, tapi sejak ada nasihat elakkan pakai jersi Man U, Bapak cari alternatif lain...)
Bapak hidupkan enjin kereta dan kami pun menuju ke Mid Valley yang jaraknya cuma kira-kira 7 km dari rumah orang tua Bapak.

Setelah ambil gambar tempat parkir dengan kamera bimbit (bukan apa, takut menggagau mencari balik nanti), kami menuju ke lif.

Sepanjang perjalanan ke lif, ramai yang memandang Bapak. Dalam lif pun ada yang sengih-sengih tengok Bapak. Bapak macam biasa buat tak reti je...heheh

Orang Rumah Bapak yang perasan mula menjeling kat Bapak. Sebaik sahaja kami melangkah keluar setelah pintu lif dibuka, pantas Bapak dicubit oleh Orang Rumah Bapak.

"Apa ni, biarlah diorang tengok. Bukannya B ngorat awek-awek tu pun," kata Bapak.

"Tengok baju tu, pakai terbalik. Camne boleh tak perasan ni? malu tau," balas Orang Rumah Bapak.

Apabila Bapak tengok betul-betul, alamak betul lah jersi yang disarungi ni terbalik. Apa lagi Bapak cepat-cepat cari bilik air untuk salin baju semula.

Keluar bilik air, Bapak tergelak-gelak sorang, Orang Rumah Bapak mengeleng-geleng kepala dan Khalish pula yang baru 'mendapat kaki' asyik meronta-ronta mahu melepaskan diri daripada ibunya untuk berjalan-jalan....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails