Translate

Sahabat Bapak

Wednesday, October 17, 2012

WW : Kalau sudah mengantuk sangat...


Thursday, October 11, 2012

Senget ikut Menara Condong Teluk Intan

Sebagai anak kelahiran Teluk Intan, Menara Condong Teluk Intan bukanlah asing bagi Bapak. Apatah lagi kedudukannya yang terletak di tengah-tengah bandar Teluk Intan.
Namun jangan gelak jika Bapak mengatakan tak pernah menaiki menara tersebut kecuali baru-baru ini. Itupun desakan Orang Rumah Bapak...heheheh...biasalah benda depan mata jarang dihargai...heheheh..

Kami sampai di Dataran Menara Condong Teluk Intan pun dah agak lewat petang, kira-kira setengah jam sebelum masa lawatannya ditutup pada pukul 5 petang.

Ilhan boleh tidur nyenyak pula pada masa itu,terpaksalah Orang Rumah Bapak menaiki bangunan tersebut yang kini berfungsi sebagai menara jam itu dengan mendukung Ilhan.

Khalish macam biasa teruja berjalan di lokasi baru. Dari luar menara condong ini nampak macam lapan tingkat tetapi sebenarnya ia cuma tiga tingkat sahaja.
Namun untuk sampai ke puncak bangunan yang setinggi 25 meter ini sebanyak 110 anak tangga perlu didaki.

Di tingkat bawah ada sebuah perigi yang dipenuhi dengan duit syiling kebanyakan satu sen. Dinding ruang tingkat dua dan tiga pula dipamerkan gambar-gambar yang berkaitan dengan menara condong dan sejarah bandar Teluk Intan.

Menara yang sering dikaitkan dengan menara Pisa ini dibina oleh seorang pemborong Cina bernama Leong Choon Cheong pada 1885 dan mempunyai kecondongan ke arahbarat laut.

Asalnya ia berfungsi sebagai bangunan menyimpan tangki air untuk kegunaan penduduk setempat pada musim kemarau dan memadam api kebakaran memandangkan Teluk Intan pada masa itu tidak mempunyai perkhidmatan bomba.

Seterusnya menjadi menara jam setelah jam buatan JW Benson-Ludgathill dari Londondipasang pada 1894 manakala pada zaman pendudukan Jepun, ia berfungsi sebagai menara kawalan.
Mengenai kecondongannya, banyak faktor penyebab antaranya bangunan itu dibina di bekas terusan yang pernah menjadikan bandar Teluk Intan sebagai seolah-olah sebuah pulau. Terusan itu dibina pengasas bandar ini iaitu Mak Intan menghubungkan Sungai Bidor dengan Sungai Perak bagi memudahkan aktiviti perdagangan.

Penjajah Inggeris kemudiannya menimbus terusan itu dengan tanah gambut pada 1880 dan lima tahun kemudian pembinaan menara yang diinspirasi daripada struktur Pagoda di China itu dibina.

Faktor lain ialah menara ini pernah ditenggelami banjir besar pada 1889 dan 1895 selain pernah dibom pada Perang Dunia kedua.




Wednesday, October 10, 2012

WW : Magic Selipar

tak pasal kena gelak...

Tuesday, October 9, 2012

Menyelusuri sejarah Pasir Salak

Baru-baru ini Bapak membawa Orang Rumah Bapak, Khalish dan Ilhan melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Ini kunjungan pertama bagi mereka tapi bagi Bapak sudah berkali-kali ke sana sejak kecil lagi. Apatah lagi kompleks sejarah yang menjadi lokasi Peperangan Perak ekoran pembunuhan Residen Inggeris pertama Perak, JWW Birch itu tidak jauh dengan rumah Opah.
Sewaktu sampai pada kira-kira pukul 11.30 pagi, seperti biasa suasana persekitaran Kompleks Sejarah Pasir Salak agak sunyi dan sepi.Berdasarkan daftar buku pelawat, baru tujuh orang termasuk kami empat beranak yang mengunjungi kompleks tersebut pada hari tersebut.

Pengawal keselamatan yang bertugas di pintu gerbang Kompleks Sejarah Pasir Salak yang telah dibuka sejak 22 tahun lalu itu memberitahu tiket kemasukan berharga RM4 untuk seorang dewasa boleh dibayar di kaunter Terowong Sejarah.
Sepanjang perjalanan ke Terowong Sejarah, Khalish dan Ilhan seronok berlari-lari sambil melihat beberapa monumen termasuk pentas Belotah.

Bapak pernah melihat penari kebudayaan menari tarian Belotah di pentas tersebut sempena Program Merakyatkan Seni beberapa tahun lalu.

Menurut kisahnya, pada zaman dahulu tarian belotah ditarikan pada musim menuai padi. Penduduk tempatan yang terdiri daripada golongan petani akan menari dengan rentak tertentu sambil memijak batang padi di letakkan di lantai pentas Belotah yang dibina dengan papan yang agak jarang-jarang.

Pendek kata, selain dapat meleraikan padi dari batangnya yang akan jatuh di bawah pentas belotah, petani dapat berhibur.

Sampai di depan Terowong Sejarah, Khalish dan Ilhan teruja melihat sebuah jam suria. Tak lama di situ, kami terus memasuki Terowong Sejarah selepas membayar tiket.

Pameran sejarah awal Perak, peristiwa penentangan Inggeris di Perak yang diketuai Datuk Maharajalela dan gerakan nasionalisme menuntut kemerdekaan dalam bentuk diorama dan ditambah dengan proses pencahayaan yang menarik mmberi keterujaan kepada Khalish dan Ilhan. (faham lain cerita..heheh)

Selepas itu, kami ke tingkat bawah untuk melawat Galeri Keris. Selain menyajikan pelbagai jenis keris dari seluruh Alam Melayu, penerangan mengenai keris dari segi asal usul dan ciri-cirinya begitu menyeluruh.
Cuma sebelum meninggalkan Terowong Sejarah, Bapak sedikit terkilan kerana niat untuk membeli beberapa buku sejarah dipamerkan tidak kesampaian kerana kebanyakan stok bukunya sudah buruk dan tidak boleh dibaca lagi.

Selepas itu, kami melawat lokasi JWWW Birch dibunuh Si Puntum, Tugu Peringatan Birch, Tugu Peringatan Pahlawan Perak dan meriam Lela Rentaka.

Kami seterusnya memasuki dua rumah Kutai yang didalamnya mempamerkan alat tembaga, pakaian, tekatan, perabot dan peralatan pertanian tradisional Melayu Perak.

Biarpun sedikit uzur, rumah Kutai yang merupakan senibina pertukangan rumah tradisional Perak yang unik dan semakin pupus menarik minat Orang Rumah Bapak.

Oleh kerana hari semakin meninggi, Khalish dan Ilhan pun sudah tidak selesa dan berpeluh, kami meninggalkan Kompleks Sejarah Pasir Salak tanpa melawat sebuah lagi galeri iaitu Galeri Sejarah yang menempatkan pameran sejarah Menteri Besar Perak.

Thursday, October 4, 2012

Nasi Arab Malika Saba

Orang Rumah Bapak minat makan nasi Arab. Khalish dan Ilhan apatah lagi. Tapi di Ipoh ni pilihan restoran nasi Arab tidak begitu banyak.
Dalam dua tiga restoran nasi Arab yang pernah kami pergi, rasanya yang paling menepati selera di Restoran Malika Saba yang terletak di Greentown. Lokasinya taklah berapa strategik, di belakang Hotel Syuen dan berdekatan bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Kunjungan pertama pada bulan Ramadan lalu boleh dikatakan tak kena pada situasi dan masa. Bapak dan Orang Rumah Bapak melopong memerhati gelagat orang berebut makanan.

Peel lebih dari dua keluarga mengatur strategi mengarahkan ahli keluarganya mengepung meja hidangan buffet untuk memonopoli sajian utama, pencuci mulut, minuman dan pembuka selera agak menggelikan hati jika difikirkan semula.
Yang penting makanan yang ada dapat disapu tanpa mengira mampu dihabiskan atau tidak, akhirnya semua hidangan licin tanpa mampu diisi semula oleh pengusaha restoran walaun azan Maghbrib belum habis berkumandang.

Nasib baik kami sempat juga menjamah makanan walaupun perlu dikongsi saiz dua hidangan tersebut perlu dikongsi bersama Khalish dan Ilhan.

Sebab tak puas hati dan mahu menikmati semula hidangan nasi Arab Malika Saba dengan suasana lebih tenang kami berkunjung semula ke restoran tersebut baru-baru ini.

Kali ini kami memesan nasi kapsya biri-biri, nasi haneeth biri-biri, mix grill, teh Arab dan teh O lemon. Semuanya berharga RM54.
 Khalish dan Ilhan yang agak cerewet dengan nasi berselera menjamah sebahagian nasi kapsya dan haneeth yang diisi dalam pinggan masing-masing.

Mix grill juga sedap kecuali ketulan kebab daging yang agak masin sedikit. Strategi Bapak memesan teh Arab berjaya kerana tidak menarik minat Khalish dan Ilhan mengongsinya.
Mereka kalau jumpa air sedap dan manis, air itulah ralit diminum sampai habis sedangkan hidangan sajian utama tak sampai lagi...

Wednesday, October 3, 2012

WW : Sahabat


Tuesday, October 2, 2012

Ke dewan bedah lagi...

 Esok atas saranan doktor pakar tulang, Bapak akan kembali ke  dewan bedah untuk menjalani satu lagi pembedahan buku lali yang patah tempoh hari.

Kali ini satu skru lagi akan dimasukkan di antara sendi buku lali yang patah. Doktor Datuk S. Vasan memberitahu ia bertujuan untuk memapatkan tulang agar proses pemulihan lebih berjalan lancar.
Pakar tulang itu berkata, jika proses memasukkan skru gagal, dia akan meletakkan wayar ke dalam kaki Bapak sebagai alternatif. Sesudah kaki Bapak sembuh sepenuhnya, wayar itu bakal dikeluarkan semula.

Jangka masa kedua-dua tulang sendi yang patah tersebut akan bercantum semula dianggar dalam tempoh enam minggu. Bapak dijangka akan berada di wad Hospital Pantai Ipoh untuk tempoh tiga hari sehingga Jumaat.

Berdebar juga terpaksa jalani pembedahan buat kali kedua dalam tempoh tak sampai dua minggu. Doakan pembedahan berjalan lancar dan Bapak segera sembuh.

Sunday, September 30, 2012

Kempunan Mee Sotong Padang Kota Lama

Antara Bapak paling mengidam apabila berkunjung di Pulau Pinang ialah menikmati Mee Sotong Hameed dan Coconut Shake Jalil di Astaka Taman Kota Lama di Padang Kota Lama.

Kebetulan lokasinya tidak jauh dari hotel kami menginap, berjalan kaki lebih kurang dua minit sahaja.

Tetapi sebab Bapak tak selidik betul-betul, sewaktu sampai di astaka berkenaan pada pukul 9 malam, kedua-dua gerai makanan tersebut sudah ditutup. Rupa-rupanya ia cuma dibuka dari pukul 11 pagi hingga 5 petang sahaja.

Memang tiada rezeki nak rasa mee sotong dan coconut shake tersebut pada kunjungan kali ini.

Sebab perut perlu di isi juga terutama anak-anak, kami menapak ke Medan Selera Renong Padang Kota Lama yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ.

Risau juga Khalish dan Ilhan merungut terpaksa berjalan kaki lebih jauh tetapi nasib baik mereka ralit memerhati hiasan lampu lip-lap yang memeriahkan pokok-pokok dan bangunan di sekitar Padang Kota Lama.
Sebab dah makan nasi kandar pada sebelah petangnya, kami cuma memilih untuk menjamah sotong kangkung. Saiz hidangnya sesuai untuk kami sekeluarga dan berharga RM10.

Untuk Khalish dan Ilhan, Orang Rumah Bapak memesan mee sup campur. Sebab tak biasa dengan stail sup utara, Orang Rumah Bapak ingat sup campur cuma ada daging dan ayam sahaja tetapi sebenarnya perut turut menyelit dalam kuah sup tersebut.

Orang Rumah Bapak memang tak pandai makan perut buat-buat geli, terpaksalah Bapak memakannya. Namun cuma separuh jalan kerana selepas itu. Ilhan dengan selamba mengunyah baki perut yang ada . Dasar anak kelahiran utara..hehhehe.. lainlah abangnya, Khalish yang lahir di Melaka. Banyak pantang makannya..hehheh
Waktu Bapak jalan-jalan di medan selera yang memisahkan ruang makanan Muslim dan bukan Muslim itu, Bapak perasan sebuah gerai yang menjual Coconut Shake. Tak dapat Jalil, yang ni pun jadilah.

Rasanya Bapak tak pasti berbeza ke tak tetapi harga mahal 50 sen berbanding Coconut Shake Jalil yang dijual RM2.50 segelas.
Sebelum balik, Orang Rumah Bapak memesan pesembur di gerai Gani Pesembur. Sebab dah kenyang, ambil yang asas-asas sahaja dan caj dikenakan RM8. Orang Rumah Bapak berpuas hati, katanya sedap.



Saturday, September 29, 2012

Orang mengidam mencari Jeruk Madu Pak Ali di Pasar Chowrasta

Bapak hanya menjeling sebelah mata apabila Orang Rumah Bapak sejak dari rumah berkali-kali menekankan barang mesti di beli semasa kunjungan di Pulau Pinang ialah jeruk.

Bukan sebarang jeruk tapi Jeruk Madu Pak Ali. Alasannya jeruk madu Pak Ali segar dan tak menyebabkan batuk. Sebab kenapa jeruk bukan makanan atau barangan lain macam buah pala ke, pesembur ke, laksa Penang ke tidak pula dinyatakan.

Sampai di Pulau Pinang, Orang Rumah Bapak beriya-iya mengajak kami ke Sungai Nibong bagi mencapai misinya tersebut.

Bapak beritahu beliau, tak perlu ke Sungai Nibong semata-mata untuk mencari Jeruk Madu Pak Ali kerana cawangannya terdapat di Pasar Chowrasta, Georgetown. Lagi punkami hanya mahu beli jeruk bukan membuat lawatan sambil belajar ke kilangnya.
Pada mulanya Orang Rumah Bapak enggan percaya.Katanya kunjungan terakhir kami di Pasar Chowrasta kira-kira dua tahun lalu, cawangan tersebut tak wujud lagi.

Namun Bapak berjaya menyakinkan beliau selepas menunjukkan beberapa laman blog rakan-rakan yang pernah berkunjung ke pulau mutiara ini dalam masa terdekat.

Oleh itu, selepas selesai menikmati nasi kandar Line Clear di Jalan Penang, kami berjalan kaki ke Jalan Chowrasta. Tak jauh, tak sampai satu kilometer rasanya. Pentunjuk termudah, ia berdekatan dengan Mydin.

Tersengih Orang Rumah Bapak. Bermacam-macam jeruk diambilnya tetapi dalam kuantiti sedikit, nak rasa-rasa gamaknya.
Cawangan Jeruk Madu Pak Ali itu memasang klip video Buletin Utama yang memaparkan interviu pemilik industri kecil dan sederhana (IKS) tersebut berdurasi hampir dua minit berulang-ulang kali.

Bapak pula pilih jeruk buah pala berkulit dan bawang putih. Tetapi sampai di rumah baru perasan bukan bawang putih tetapi bawang holland kecil. Terpaksa lah Bapak menghabiskannya sorang-sorang sebab Orang Rumah Bapak tak berkenan.

Nasi Kandar Line Clear yang overrated

Alang-alang sampai ke Pulau Pinang, Orang Rumah Bapak teringin makan nasi kandar Line Clear yang terkenal itu.
Bapak pula boleh layan kehendak Orang Rumah Bapak sedangkan restoran nasi kandar Vanggey yang letaknya lebih kurang 10 langkah je dari pejabat pun, Bapak boleh pandang sebelah mata je selama ini...

Kesukaan Orang Rumah Bapak kepada nasi kandar tak payah dihairankan. Kalau ikut kajian sejarah, susur galur beliau ada kena mengena dengan Jawi Peranakan..heheh..

Bapak punya nak tahu juga apa yang bestnya nasi kandar Line Clear yang katanya terletak di tengah-tengah dua deretan bangunan kedai tu...
 
Tapi nak cari kedai nasi kandar tersebut yang terletak di Jalan Penang bukan mudah bagi Bapak.

Bergantung kepada Google Maps pun tak boleh harap, akhirnya minta tolong rakan sekerja Bapak merangkap kawan baik Orang Rumah Bapak, Liza yang sememangnya anak jati Pulau Pinang jadi jurupandu arah menerusi panggilan telefon.
Akhirnya jumpa juga kedai nasi kandar tersebut, tempat letak kereta tak susah sebab ada betul-betul di seberang jalan Line Clear (tapi sejam caj RM4 lah...)

Orang Rumah Bapak minta nasi putih separuh dengan lauk sotong kari, kena caj RM6.20. Bapak pula pesan standard nasi putih, ayam goreng dengan kuah campur, cajnya RM7.20.

Sebab kami tahu kuah kari nasi kandar Line Clear agak pedas, untuk Khalish dan Ilhan pula kami pesan nasi beriani kosong dengan ayam goreng dipecah kepada dua pinggan dengan harga RM5.50.

Bagi Bapak walaupun harga agak tinggi sikit dari Vanggey tapi berpatutan kerana saiz hidangan sepinggan dan ayam agak besar sesuai dengan nilainya.

Sambil mengunyah papadom, Bapak menikmati nasi kandar Line Clear. Bagi tekak Bapak, campur tolak ia tak berapa lari dengan rasa nasi kandar Vanggey walaupun teknik kuah campurnya rasanya lebih baik.

Adakah selepas ini Bapak akan menjadi peminat setia nasi kandar Line Clear? Kalau nasi kandar Vanggey yang orang gelar nasi ganja itu pun Bapak tak ketagih langsung, apatah lagi Line Clear..heheh...

Friday, September 28, 2012

Al-Fatihah buat Raja Bola, Ghani Minhat

Kita kehilangan Raja Bola, Gani Minhat (Tan Sri Abdul Ghani Minhat) yang menemui Penciptanya pada 10.35 pagi tadi.

Allahyarham yang berumur 76 tahun meninggal dunia setelah mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN kira-kira tiga hari lalu.

Bekas penyerang dan pemain sayap itu mencurahkan bakti untuk skuad Selangor dan kebangsaan ini dari tahun 1953 hingga 1968. Sepanjang karier bersama pasukan kebangsaan, Ghani membantu Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka tiga tahun berturut-turut dari tahun 1958 hingga 1960.
Selain itu, beliau juga mengetuai skuad kebangsaan yang meraih pingat emas pada Sukan SEAP 1961 manakala pada Sukan Asia setahun kemudian, pingat gangsa pula diraih.

Gelaran Raja Bola diberi Persatuan Bolasepak Selangor pada tahun 1959 sebagai menghargai sumbangannya pada sukan bola sepak negeri itu.

Penghormatan itu tepat kerana allahyarham telah menjaringkan 106 gol dalam 15 perlawanan termasuk 11 jaringan ketika Malaysia menewaskan Filipina 15-1. Rekod itu masih gagal diatasi sehingga kini.

Ghani juga merupakan pemain negara pertama ditawar untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris pada 1962.Namun beliau menolak lamaran Cardiff City tersebut dan membuat keputusan menjelajah England dan Eropah selama empat bulan.

Dalam tempoh empat bulan itu, Allahyarham mengikuti kursus di West Ham United dan Eintracht Frankfurt, Jerman.

Sebaik bersara, Ghani memperolehi sijil kejurulatihan dari FIFA pada 1969 seterusnya menjadi jurulatih kebangsaan selama lima tahun dari 1971.

Pada pertengahan tahun ini, beliau dianugerahi pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.





Bukit Bendera aka Penang Hill

Sebaik menyelusuri Jambatan Pulau Pinang, destinasi pertama yang dituju ialah Bukit Bendera.
Ini merupakan kunjungan pertama buat Khalish dan Ilhan. Malah seingat Bapak, kali terakhir Bapak ke Bukit Bendera ketika berada di tingkatan empat pada lewat 1990-an.

Waktu itu kereta kabelnya berwarna merah dan tidak silap ditarik dengan tali namun kali ini kemudahannya sudah jauh lebih moden.

Perjalanan dari stesen kaki bukit ke stesen terakhir ke puncak bukit cuma memakan masa kira-kira 5 minit sahaja.

Tiket menaiki kereta kabel bagi dewasa warganegara Malaysia ialah RM8 manakala Khalish dan Ilhan yang masing-masing berumur 3 tahun dan 2 tahun pula percuma sahaja.
Macam biasa Khalish sentiasa teruja untuk menaiki kereta kabel yang ala-ala keretapi, Ilhan pula cuma ikut-ikut abangnya tetapi sepanjang berada di dalam kereta kabel, dia yang duduk di sisi Bapak mengeraskan badan dan mukanya pucat sentiasa memandang ke puncak bukit..heheh...

Sampai ke puncak bukit, seperti pelancong lain, kami mengambil gambar berlatar belakang panorama Bukit Bendera. Panorama Pulau Pinang termasuk Komtar, Jambatan Pulau Pinang dan projek pembinaan jambatan kedua dapat dilihat dengan mata kasar walaupun cuaca agak jerebu.

Tak cukup dengan itu, kami menggunakan perkhidmatan teropong yang disediakan. Caj RM1 dengan menggunakan syiling 50 sen dua keping. Untuk memudahkan pelancong, perkhidmatan tukaran syiling disediakan pekerja yang menjaga teropong terbabit.
Perut pula berbunyi. Bapak teringat dulu ada medan selera berhampiran stesen kereta kabel tetapi kini sudah dirobohkan. Selepas berjalan kaki di sekitar puncak bukit kami nampak seorang penjaja kacang kuda.

Niat hati untuk membeli kacang kuda untuk menggalas perut tetapi penjaja mengambil masa lama melayan sepasang pelancong dari Timur Tengah. Kagum juga penjaja yang dipercayai dari kaum India itu memperkenalkan barang jualannya dalam bahasa Arab.

Tengah-tengah tunggu giliran membeli itu, Orang Rumah Bapak perasan Astaka Medan Selera tidak jauh dari situ. Terus kami tinggalkan penjaja kacang kuda itu tanpa membeli apa-apa.

Sebagai mengembalikan nostalgia, Bapak memesan laksa Penang dan ABC. Bapak suka ABC Bukit Bendera sebab ada buah kabong dan ramuannya masih sama dengan kunjungan Bapak terakhir kira-kira 16 tahun lalu.
Saiz hidangannya laksa Penang juga besar sesuai dengan harganya RM4 semangkuk. Berdasarkan perbualan Bapak dengan peniaganya, makcik tersebut sudah mencari rezeki di puncak Bukit Bendera sejak puluhan tahun lalu.

Sebenarnya di tingkat bawah Astaka tersebut, ada Muzium Burung Hantu yang mengenakan caj kemasukan RM10 untuk dewasa. Selain itu ada juga perkhidmatan jip untuk kita menjelajah sekitar Bukit Bendera.

Namun kerana kekangan masa kerana hari itu hari Jumaat, kami segera menuruni Bukit Bendera tepat waktu tengah hari.

Thursday, September 27, 2012

Tragedi Penang : Datang ceria, pulang bertongkat

Hujung minggu lalu, Bapak sekeluarga ke Pulau Pinang,cadangnya untuk menghadiri kenduri perkahwinan rakan seuniversiti Bapak.

Kenduri itu di Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam tetapi sehari sebelum itu kami bercuti singkat di bahagian pulau.

Sempat juga memanjat Bukit Bendera, menjamah nasi kandar Line Clear, cari jeruk di Pasar Chowrasta dan lepak sambil ratah sotong kangkung dan pesembur di Padang Kota Lama.

Pagi Sabtu itu, kami mendaftar keluar dari hotel di Lebuh Penang dalam keadaan hujan baru reda.

Sebelum ke kenduri kahwin berkenaan, Bapak bercadang membawa Orang Rumah Bapak, Khalish dan Ilhan berkunjung ke Muzium Negeri Pulau Pinang, Muzium Islam Pulau Pinang dan menaiki feri menyeberang ke Butterworth dari Terminal Feri Raja Uda, Georgetown.

Namun sudah takdir Allah, semua yang dirancang selepas check out dari hotel tersebut tinggal perancangan sahaja. Sebaik sahaja membantu Khalish masuk ke perut kereta dengan Orang Rumah Bapak sudah berada di tempat duduk hadapan sambil memangku Ilhan, Bapak tergelincir jatuh ke parit.

Gara-gara permukaan jalan licin, kaki kanan Bapak termasuk ke dalam parit tersebut yang setinggi paras peha. Bapak cuba untuk bangun tetapi badan agak tidak stabil dan tambah panik apabila rasa buku lali bergerak-gerak.

Alhamdulillah ramai yang prihatin dan membantu. Sementara menunggu ambulans sampai, ada yang sudi menyediakan kerusi untuk Bapak berehat, memberi ais untuk melegakan kesakitan malah ada memberi nasihat agar tabah berhadapan dengan takdir Allah.
Pagi itu, bukan pengalaman pertama menaiki feri Pulau Pinang yang Khalish dan Ilhan rasai tetapi berada di dalam perut ambulans menemani ayahnya mendapatkan rawatan ke hospital.

Dipendekkan cerita, pemeriksaan x-ray mendapati sendi buku lali Bapak beralih dengan dua kesan patah lalu pembedahan pun dijalankan hari itu juga.

Rasa ralat niat untuk menghadiri kenduri perkahwinan rakan seuniversiti, Hafez aka Apit berakhir dengan pasangan pengantin baru itu pula yang menziarahi Bapak di hospital.

Apa pun niat untuk bertemu rakan-rakan lama terubat juga biarpun di kamar hospital. Terima kasih Minal, Asro, Mat Jemali, Jairi dan Gabuk kerana sudi menziarahi Bapak.

Terima kasih kepada Liza, mak, ayah dan suaminya, Ehsan yang banyak membantu meringankan beban Orang Rumah Bapak. Begitu juga dengan rakan-rakan lain yang prihatin sudi menziarah mahupun menelefon bertanya khabar.

Rasa bersalah juga Bapak membuat Ayah dan Mama susah hati dan bergegas ke Pulau Pinang dari Petaling Jaya sebaik sahaja mengetahui musibah ini.

Penghargaan buat  barisan doktor, jururawat dan kakitangan Hospital Pulau Pinang dan Hospital Pantai Bayan Lepas yang bertungkus-lumus memberi perkhidmatan terbaik.

Alhamdulillah Bapak kini sudah selamat pulang ke rumah di Ipoh biarpun dengan kaki bersimen dan dijangka berehat dalam tempoh tiga bulan.

Bapak redha dengan ujian Allah ini dan semoga ia mampu menjadi kifarah meringankan dosa-dosa yang lalu.. Doakan Bapak cepat sembuh.

Monday, September 3, 2012

Salam Aidilfitri 1433


Walaupun Syawal sudah memasuki hari ke-16, tak terlewat rasanya Bapak untuk mengucapkan Selamat Aidilfitri 1433. Mohon maaf zahir batin.

Tahun ni giliran kami menyambut 1 Syawal di rumah keluarga Orang Rumah Bapak di Masjid Tanah, Melaka. Oleh kerana cuti raya Bapak tidak panjang, kami beraya pula di rumah orang tua Bapak di Petaling Jaya pada raya ketiga sebelum Bapak memulakan tugas di Ipoh pada raya kelima.

Minggu lalu baru Bapak sekeluarga berkesempatan menziarahi Opah dan Pak Uda di Teluk Intan.

Saturday, July 21, 2012

Ramadhan Kareem


Syukur Allah memberi keizinan kepada kita untuk menikmati Ramadhan semula pada tahun ini.

Peluang untuk kita meningkatkan iman, menundukkan nafsu, membaiki akhlak  dan memperkasa taqwa.


Semoga kita dipermudah untuk berpuasa dengan erti sebenarnya bukan sekadar menahan lapar dan dahaga...

Monday, July 9, 2012

Lawatan sambil belajar + ambik periksa ke Alor Setar

Baru-baru ini kami berkunjung ke Alor Setar. Tujuan sebenarnya untuk menemani Orang Rumah Bapak menduduki peperiksaan SPA. Agak kontroversi juga kerana pusat menduduki peperiksaan ditukar dari Inspin ke Wisma Persekutuan pada saat-saat akhir tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada calon.

Kesannya daripada lebih 50 calon yang sepatutnya mengambil peperiksaan itu tinggal 11 sahaja yang tinggal termasuk Orang Rumah Bapak. Itupun setelah jenuh menghubungi pengawai SPA negeri dan Putrajaya yang agak payah angkat telefon awal-awal pagi. Mereka juga terpaksa dikurantin setelah lewat mengambil peperiksaan lebih sejam.

Tahniah kepada Orang Rumah Bapak kerana agak berdikari menyelesaikan isu itu bersendirian sebab selepas menghantar beliau ke Inspin pada pukul 8.30 pagi, Bapak terus membawa Khalish dan Ilhan ke Menara Alor Setar.

Apa pun dugaan kecil itu tidak menjejaskan kami sekeluarga daripada menjelajah sekitar Alor Setar. Bandar raya yang sebelum ini sekadar jadi tempat persinggahan kami sewaktu menziarah rumah saudara-mara di sekitar Kedah, Perlis dan Langkawi.

Antara lokasi yang dilawati

a) Rumah Kelahiran Mahathir


b)  Laksa Din Kuala Kecai

c) Menara Alor Setar

d) Muzium Diraja Kedah

e) Balai Nobat

f) Rumah Merdeka

g) Pekan Rabu

h) Muzium Negeri Kedah

Thursday, July 5, 2012

Mandi-manda di Ulu Chepor

Alhamdulillah kami sekeluarga baru sembuh dari batuk-batuk dan selesema. Banjaran Kledang yang sejak akhir-akhir seakan-akan hilang dari penglihatan dek jerebu mula gah kembali hari ini.

Oleh kerana cuaca semakin baik, kami mengambil keputusan untuk melakukan aktiviti luar. Destinasi dipilih ialah pusat perkelahan Ulu Chepor, kira-kira 5 kilometer dari rumah kami.

Ini kunjung kedua bagi Khalish dan Ilhan.Mereka berdua yang suka berendam di dalam air punyalahsuka. Tersengih-sengih tak sabar sambil meminta Bapak mengepam semula pelampung mereka yang sudah lembik anginnya.

Pusat perkelahan Ulu Chepor diuruskan oleh JKKK Ulu Chepor dan kemudahannya disediakan MBI. Selain kemudahan asas, beberapa pondok kecil turut didirikan di tebing sungai bagi aktiviti kekeluargaan termasuk BBQ.

Sebenarnya caj RM2 dikenakan untuk sebuah kereta yang memasuki Ulu Chepor tapi secara jujur Bapak tak pernah dikenakan bayaran. Setiap kali memasuki pusat perkelahan ini, anggota JKKK yang sepatutnya bertugas tak pernah kelihatan.
Setelah memilih pondok dan lubuk yang sesuai dan redup mata memandang kerana dikeliling pokok menghijau dan batu-batu sungai yang tersusun berseni, kami mula bermandi-manda. Walaupun waktu itu sudah pukul 11 pagi, air Sungai Chepor masih amat sejuk  hingga mampu seakan-akan menggigit kaki. 


Sambil diajar asas berenang yang makin tumpul, Khalish dan Ilhan seronok berendam dengan pelampung masing-masing. Lama-lama dua beradik tu menggigil kesejukan. Khalish berehat di atas batu besar tapi Ilhan terus gigih berenang.
Orang kata kalau rajin mendaki dan menjelajah ke dalam hutan Ulu Chepor, kita akan jumpa lubuk spa yang lebih cantik dan menarik untuk mandi-manda.


Cuma kebersihan tandas di pusat perkelahan ini boleh dikritik.Tak hairan tak terjaga kerana tukang jaganya pun tah ke mana...




Wednesday, May 23, 2012

WW : Kasih datuk & 2 cucunya


Monday, May 21, 2012

Orang Rumah Bapak bertambah umur

Alhamdulillah Orang Rumah Bapak genap 29 tahun pada Sabtu lalu.

Awal-awal lagi Orang Rumah Bapak beritahu tak mahu kek ulang tahun kelahiran. Namun pada sebelah petang, beliau menyertai kelas membuat kek yang hanya diputuskan pada saat-saat akhir.
 Balik dari rumah pada lewat petang, Orang Rumah Bapak membawa pulang empat jenis kek tapi sepotong setiap jenis la. Kira kek ulang tahun kelahiranlah kan...heheh... Khalish dan Ilhan yang lebih-lebih tak menyempat nak menjamah kek-kek tersebut.

Pada sebelah malam, kami ke Restoran Haji Sharin Low di Greentown untuk meraikan ulang tahun kelahiran Orang Rumah Bapak. Permintaan beliau sendiri sebab dah berkenan dengan kelazatan udang mentega di situ.
Sebenarnya dah banyak kali, kami menjamu selera di restoran berasaskan makanan Cina Islam tersebut. Pernah juga pesan 'itik gantung' halal tapi kali ini tidakle.

Selain udang mentega, kami cuma pesan menu daging goreng Cina, kacang panjang goreng telur masin dan tomyam makanan laut. Semua ok kecuali tomyam yang terlalu kuat pengaruh daun limau purut sehingga kuahnya terasa sedikit pahit.
 Apa pun selamat ulang tahun kelahiran Sayang. Hidup bersamamu adalah anugerah berharga...


Sunday, May 20, 2012

Nasi Padang Seri Garuda Emas

Sejak Orang Rumah Bapak berkawan dengan geng-geng kek dan roti ni, beliau tahu je kedai menjual peralatan dan bahan mentah membuat kek dan roti. Salah satunya Bake with Yen di Lorong Haji Taib 1,Kuala Lumpur.
Tapi sebelum sampai ke sana, kami singgah dulu makan tengah hari di Restoran Grand Seri Garuda Emas di Jalan Raja Alang. Kebetulan jumpa semasa berlegar-legar mencari tempat letak kereta.

Restoran ini memang pure nasi padang. Pekerjanya semua dari Indonesia. Duduk sahaja kami setelah diambil pesanan air, hampir berpuluh-puluh piring lauk diletakkan memenuhi meja makan kami.

Bapak memberi isyarat kepada Orang Rumah Bapak untuk memilih lauk yang berkenan di hati sahaja, yang selebihnya diketepikan.

Dengan perut dua dewasa dan dua kanak-kanak berumur bawah tiga tahun, mana mungkin semua lauk itu hendak dihabiskan. Nanti tak pasal-pasal semuanya di caj walaupun sekadar dicubit-cubitnya lauknya dan lebih malang lagi tak terusik.
Orang Rumah Bapak memang geli sikit nak jamah masak lemak urat lembu kesukaan Bapak tapi kali ini berselera pula beliau.

Lepas selesai semua urusan di restoran itu baru kami ke kedai Bake With Yen. Tak susah sangat mencarinya; berhampiran dengan Plaza GM. Memang agak murah barangan yang di jual di situ berbanding dengan Ipoh.
Cuma pemandangan di hadapan kedai itu kurang seronok dan sesuai terutama untuk Khalish dan Ilhan. Beberapa golongan LGBT yang diragui status jantinanya begitu komited bersidai di kaki lima hotel murah untuk menunggu pelanggan pada tengah hari buta yang terik tersebut...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails