Translate

Sahabat Bapak

Tuesday, October 9, 2012

Menyelusuri sejarah Pasir Salak

Baru-baru ini Bapak membawa Orang Rumah Bapak, Khalish dan Ilhan melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Ini kunjungan pertama bagi mereka tapi bagi Bapak sudah berkali-kali ke sana sejak kecil lagi. Apatah lagi kompleks sejarah yang menjadi lokasi Peperangan Perak ekoran pembunuhan Residen Inggeris pertama Perak, JWW Birch itu tidak jauh dengan rumah Opah.
Sewaktu sampai pada kira-kira pukul 11.30 pagi, seperti biasa suasana persekitaran Kompleks Sejarah Pasir Salak agak sunyi dan sepi.Berdasarkan daftar buku pelawat, baru tujuh orang termasuk kami empat beranak yang mengunjungi kompleks tersebut pada hari tersebut.

Pengawal keselamatan yang bertugas di pintu gerbang Kompleks Sejarah Pasir Salak yang telah dibuka sejak 22 tahun lalu itu memberitahu tiket kemasukan berharga RM4 untuk seorang dewasa boleh dibayar di kaunter Terowong Sejarah.
Sepanjang perjalanan ke Terowong Sejarah, Khalish dan Ilhan seronok berlari-lari sambil melihat beberapa monumen termasuk pentas Belotah.

Bapak pernah melihat penari kebudayaan menari tarian Belotah di pentas tersebut sempena Program Merakyatkan Seni beberapa tahun lalu.

Menurut kisahnya, pada zaman dahulu tarian belotah ditarikan pada musim menuai padi. Penduduk tempatan yang terdiri daripada golongan petani akan menari dengan rentak tertentu sambil memijak batang padi di letakkan di lantai pentas Belotah yang dibina dengan papan yang agak jarang-jarang.

Pendek kata, selain dapat meleraikan padi dari batangnya yang akan jatuh di bawah pentas belotah, petani dapat berhibur.

Sampai di depan Terowong Sejarah, Khalish dan Ilhan teruja melihat sebuah jam suria. Tak lama di situ, kami terus memasuki Terowong Sejarah selepas membayar tiket.

Pameran sejarah awal Perak, peristiwa penentangan Inggeris di Perak yang diketuai Datuk Maharajalela dan gerakan nasionalisme menuntut kemerdekaan dalam bentuk diorama dan ditambah dengan proses pencahayaan yang menarik mmberi keterujaan kepada Khalish dan Ilhan. (faham lain cerita..heheh)

Selepas itu, kami ke tingkat bawah untuk melawat Galeri Keris. Selain menyajikan pelbagai jenis keris dari seluruh Alam Melayu, penerangan mengenai keris dari segi asal usul dan ciri-cirinya begitu menyeluruh.
Cuma sebelum meninggalkan Terowong Sejarah, Bapak sedikit terkilan kerana niat untuk membeli beberapa buku sejarah dipamerkan tidak kesampaian kerana kebanyakan stok bukunya sudah buruk dan tidak boleh dibaca lagi.

Selepas itu, kami melawat lokasi JWWW Birch dibunuh Si Puntum, Tugu Peringatan Birch, Tugu Peringatan Pahlawan Perak dan meriam Lela Rentaka.

Kami seterusnya memasuki dua rumah Kutai yang didalamnya mempamerkan alat tembaga, pakaian, tekatan, perabot dan peralatan pertanian tradisional Melayu Perak.

Biarpun sedikit uzur, rumah Kutai yang merupakan senibina pertukangan rumah tradisional Perak yang unik dan semakin pupus menarik minat Orang Rumah Bapak.

Oleh kerana hari semakin meninggi, Khalish dan Ilhan pun sudah tidak selesa dan berpeluh, kami meninggalkan Kompleks Sejarah Pasir Salak tanpa melawat sebuah lagi galeri iaitu Galeri Sejarah yang menempatkan pameran sejarah Menteri Besar Perak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails