Translate

Klik

Monday, February 1, 2010

Kuala Lumpur oh Kuala Lumpur

Hampir empat tahun lepas, Bapak berkenalan dengan seorang gadis. Mulanya ia sekadar pertemuan biasa namun kebetulan kami menyewa di taman perumahan yang sama, merapatkan perkenalan itu.

Begitupun boleh dikatakan hampir setiap minggu, gadis tersebut yang merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pulang di kampung halamannya di Melaka.

"Anak manja ye?," duga Bapak secara bergurau kepada gadis tersebut pada suatu hari.

"Taklah kita (saya) rimas dengan Kuala Lumpur (KL). Sibuk memanjang, orangnya pun macam-macam perangai. Tak macam kat rumah di Melaka, tenang," jelasnya.
Bapak cuma tersenyum. Tak seperti gadis itu, biarpun dilahirkan di Teluk Intan, Bapak membesar hingga ke menara gading di kota metropolitan ini.

Bapak melalui dari zaman bas mini, bas Srijaya, komuter, bas Intrakota, LRT hingga Rapid KL.

Memang sesak dan pantas namun bagi Bapak keadaan itulah yang membuatkan dunia terasa hidup dan bererti.

"Saya rasa tak lama lagi saya akan tinggalkan KL untuk dihantar bertugas di negeri lain. Tapi lambat laun saya tetap akan merindukan suasana KL," kata Bapak mengakhiri pertemuan dengan gadis itu pada hari tersebut.

Tidak lama kemudian gadis tersebut tamat pengajian dan memulakan kerjaya di kampung halamannya, Melaka sementara Bapak pula ditugaskan ke Ipoh.

Takdir Allah menentukan gadis itu kemudiannya menjadi Orang Rumah Bapak dan beliau mula menjadi orang Ipoh, bandar raya yang tak berapa sibuk berbanding KL sejak setahun setengah lalu.

Hari ini Bapak teringat kata-kata empat tahun lepas : " Saya tetap akan merindukan suasana KL."

Bapak rindu :
roti pita yang dijual di sebuah gerai di Jalan Tuanku Abdul Rahman
Perpustakaan Kuala Lumpur yang sentiasa ada buku keluaran terbaru untuk dipinjam
Kinokuniya
sahabat terutama bekas teman serumah di Seksyen 4, Wangsa Maju
pastinya keluarga (walaupun berjumpa sekurang-kurangnya 2 bulan sekali)



Selamat Hari Wilayah Persekutuan buat warga KL, Labuan dan Putrajaya!

Monday, January 11, 2010

Gigi Pertama Khalish!

Sejak akhir-akhir mood Khalish tak berapa baik. Walaupun dia asyik dengan permainan dan komited mempraktis kemahiran fizikal, emosinya agak resah.

Khalish mahu perhatian lebih daripada biasa. Kalau lambat dilayan, dia akan merengek... membebel dalam bahasanya tersendiri sampai terkeluar air liur. Kadang-kala hampir semua benda nak dimasukkan ke dalam mulut.

Semalam seperti biasa Orang Rumah Bapak akan membersihkan gusi Khalish dengan alatan khas berbentuk jari yang di perbuat daripada fiber.

Macam selalunya, Khalish tak begitu gemar dengan rutin itu....Sedang membersihkan gusi Khalish, Orang Rumah Bapak berhenti dan menjerit kegembiraan,

"B, tengok Khalish dah tumbuh gigi, sebatang kat bahagian bawah!," katanya kepada Bapak.

Khalish kaget dan terus menutup mulutnya. Setelah dipujuk beberapa minit akhirnya kami dapat melihat semula tunggul putih di bahagian bawah mulut dia.

Berita Khalish tumbuh gigi terus disampaikan kepada Mak Mertua Bapak dan Mama. Ternyata mereka berdua gembira dengan perkembangan cucu sulung. Mama kata biasanya gigi akan tumbuh dua batang sekali, tak tahulah sebab nampak macam sebatang je gigi Khalish sekarang ni.

"Ye, Khalish dah ada gigi, esok Ayah nak beli ubat gigi tuk Khalish," kata Bapak kepada Khalish yang melonjak-lonjak gembira seolah-olah faham.

Namun Orang Rumah Bapak melarang kerana bimbang Khalish akan telan ubat gigi tersebut.

"Tunggu sampai banyak gigi tumbuh dan dia pandai dan faham membezakan ubat gigi dan makanan," pesan beliau.

Hari ini Khalish masih merengek tapi semakin selesa dengan gigi baru dia. Cuma yang tak tahan air liurnya semakin banyak meleleh....

Inilah Juara AJL 24



Sayu terpisah
hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
berhembus angin rindu
begitu nyamannya terhidu wangian kasihmu
hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada henti
kaulah laguku kau irama terindah
tak lagi kudengari
kau pergi.. pergi..
sepi tanpa kata
terdiam dan kaku tak daya kau kulupa
apa pun kata mereka
biarkan kenangan berbunga di ranting usia

Bapak : Rasanya konsep 1Malaysia sedikit sebanyak pengaruhi pemilihan Juara AJL tahun ini. Apapun lagu ini memang menenangkan... tahniah kepada Aizat dan pencipta serta penulis lirik lagu ini!

Sunday, January 10, 2010

Photographer Bidan Terjun

Baru-baru ini kami menghadiri majlis perkahwinan sepupu Bapak, Najmi di Ramuan China, Melaka.

Najmi ialah anak kedua Mak Ngah, kakak Mama. Beliau bertemu dengan jodoh dengan Nurul, gadis kelahiran Pasir Gudang, Johor.

Kebetulan kenduri kahwin ini menggunakan perkhidmatan katering Ayah Mertua Bapak dan syarikat fotografi yang pernah digunakan pada majlis perkahwinan Bapak dan Orang Rumah Bapak dulu.
Nak dijadikan cerita, jurugambar yang ditugaskan untuk majlis kahwin sepupu tidak dapat menghadirkan diri pada saat-saat akhir kerana ada hal kecemasan. Dengar ceritanya isterinya masuk hospital.

Gelabah syarikat fotografi tu tak dapat cari penganti, jurugambar lain semua ada tugas masing-masing.

Keluarga Mak Ngah Bapak lagilah kelam-kabut. Kecewa jangan ceritalah, ye lah deposit dah bayar.
Tak pasal-pasal Bapak jadi jurugambar bidan terjun. Dalam keadaan tak bersedia, Bapak buat-buat sanggup.

Dahlah 'diberi' tugas tu beberapa minit sebelum pengantin bersanding, masa tu baru perasan bateri kamera Bapak (Orang Rumah Bapak punya sebenarnya tapi buat cam harta sendiri..heheh) dah kong...kad memori pulak dah hampir penuh.

Bapak padam beberapa foto yang tersimpan di dalam memori kamera itu dan ambil foto majlis perkahwinan itu mana yang sempat..mencabar betul, kena perhati bateri selalu, ambil mana yang penting sahaja.

Idea banyak tapi takleh realisasikan..heheh... alahai...kalau Daddy Cool tahu ni mesti kena gelak..heheh (dengar cerita dia dah ada blog foto sempena berjaya rembat kamera DSLR, okla tu)

Apa-apapun selepas kejadian tu, Bapak diberi kepercayaan Orang Rumah Bapak untuk projek awal tahun baru beliau.

Nak tunjuk sikitlah hasil kerja tu...hehhe
Lagi gambar di imejsebuahcerita dan KhalishTerritory

Saturday, January 2, 2010

Mari Makan Aiskrim Percuma!


Sejak 14 tahun lalu, setiap kali 1 Januari mesti ada aiskrim percuma untuk penduduk Ipoh.

Kilang Wonderful Creamery (M) Sdn. Bhd. yang terletak di Kawasan Perindustrian Jelapang akan menyediakan kira-kira 900 liter aiskrim untuk pelanggannya secara percuma.

Biasanya ramai yang akan menyerbu ke kilang tersebut sejak awal pagi lagi, ramai tak ramai adalah lebih 10,000 orang. Macam pesta pula rasanya.

Selain dapat makan aiskrim percuma, orang ramai juga boleh beli produk aiskrim lain keluaran syarikat itu dengan tawaran diskaun yang berbaloi-baloi.

Masa Bapak mula-mula sampai ke Ipoh dulu Bapak pernah datang sekali. Setelah hampir 4 tahun, semalam Bapak datang sekali lagi menjenguk.

Bapak tak lah obses sangat dengan aiskrim, sekadar nak tengok kemeriahan. Ternyata sambutan masih hangat, percuma siapa tak nak.

Bapak sempat berborak dengan Pengurus Pengeluaran kilang aiskrim itu. Ye lah harga gula pun dah naik, mana tahu harga aiskrim terpaksa naik juga.

Bersungguh-sungguh dia kata syarikat akan seada upaya pastikan harga aiskrim keluaran mereka kekal walaupun terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga bahan mentah.

Bapak cuma tersenyum. Naik ke turun ke, kekadang je Bapak dan Orang Rumah Bapak makan aiskrim. Lainlah masa Orang Rumah Bapak mengandungkan Khalish dulu, kalau boleh hari-hari beliau nak makan aiskrim. Kan dah kena diabetes masa hamil...hehheh

Lagi gambar di imejsebuahcerita

Friday, January 1, 2010

Welcome 2010!

Menghadapi liku-liku kehidupan ini bagaikan memandu sebuah kereta.

Perlu sentiasa memandang cermin depan, namun sesekali perlu juga melihat belakang dan kanan dan kiri melalui cermin sisi. InsyaAllah kita sampai ke destinasi dengan selamat.

Begitulah perlu sentiasa merencana masa depan namun perlu berhati-hati ujian dan ancaman yang datang kiri dan kanan.

Sesekali perlu mengingati masa silam, bukan untuk dikesali atau diangani tetapi untuk direnungi dan diteladani sebagai pengajaran berguna agar kesilapan serupa tidak diulangi pada masa depan.

Semoga kita memulakan 2010 dengan langkah kanan dan sentiasa dilindungi rahmat Allah.

Selamat Tahun Baru!

Wednesday, December 30, 2009

LWOT lagi...

Kami ke Lost World of Tambun (LWOT) lagi. Kali ini bersama Umai.

Berbeza dengan kunjungan pertama kira-kira sebulan lalu, kali ini lebih menyeluruh, hampir semua kawasan di dalam taman tema air itu kami jelajahi.

Selepas lawatan rutin di beberapa tempat seperti Petting Zoo dan Lembah Harimau, Bapak dan Orang Rumah Bapak sempat mengayuh kenderaan air berbentuk angsa bersama-sama di sebuah tasik di situ.

Ala-ala Romantik...heheh.. padahal masa bercinta dulu tak pernah buat pun...heheh.. ye la bila lagikan, sementara ada Umai untuk menjaga Khalish yang sedang lena di dalam strollernya..heheh

Selepas itu, adegan berenang pula. Hanya Bapak dan Khalish sahaja bermain air sedangkan Orang Rumah Bapak dan Umai enggan membasahkan diri.

Khalish yang mula-mula rilek lama-lama seriau dan takut apabila berendam di dalam air di salam satu kolam yang terdapat di taman tema air itu.

Dia memegang Bapak dengan kuat dan tidak lama kemudian mula menangis. Bapak cuba menenangkan Khalish dengan mengajar dia beberapa asas berenang tapi tanggisannya semakin kuat selepas itu.
Akhirnya kami keluar dari kolam tersebut dan membawa Khalish yang meronta-ronta mencari ibunya.

Dalam perjalanan menuju ke arah Orang Rumah Bapak tiba-tiba Khalish senyap. Tahu-tahu sahaja dada Bapak dibasahi cecair yang panas.

"Air mutlak, air mutlak," jerit Bapak kepada Orang Rumah Bapak.

Beliau cuma ketawa kecil manakala Khalish walaupun masih pucat, dia buat-buat muka sardin.

Lagi gambar di imejcerita