Translate

Sahabat Bapak

Thursday, December 22, 2011

Cuti-cuti Pangkor

Hajat untuk bercuti bersama orang tua Bapak akhirnya terlaksana. Atas cadangan Mama, kami sekeluarga bercuti di Pulau Pangkor selama tiga hari dua malam yang berakhir semalam.

Walaupun keputusan dibuat pada saat-saat akhir, alhamdulillah Bapak dapat juga tempah resort untuk bermalam. Lokasi yang dipilih ialah Purnama Beach Resort di Teluk Nipah.
Sepanjang percutian tersebut berkisar tentang aktiviti pantai di sekitar Teluk Nipah. Lokasi lain pun seperti kota Belanda, batu bersurat dan replika tembok besar China tak jenguk pun.

Orang Rumah Bapak, Ayah, Mama dan Mira sempat juga berurut dan berspa di Coral Bay Resort, Teluk Bogak tapi Bapak tak ikut serta. Lepak di bilik jaga anak-anak yang tidur.

Selain pagi-pagi dah bawa Khalish berendam di pantai, kami turut berkelah di Pulau Giam. Mula-mula nak naik bot berbumbung tapi apabila Ayah dan Mama tak mahu ikut serta, kami redah je naik bot laju je. Risau gak sebab ada dua budak kecil, Khalish dan Ilhan tapi teruskan juga apabila budak pantai beri jaminan selamat.
Walaupun dah pakai jaket keselamatan, cuak juga, Bapak peluk Khalish, Orang Rumah Bapak peluk Ilhan kuat-kuat. Mungkin sebab takut, Ilhan buat bantai tidur semasa berada dalam bot laju itu..heheh..

Khalish dan Ilhan punya suka berenang dengan pelampung masing-masing. Ilhan tak habis-habis celup tangan kat dalam air kemudian masukkan jari ke dalam mulut untuk rasa kemasinan air laut..hehhe

Lepas berenang, mereka main pasir pula. Macam biasa kena pantau kerana Ilhan tak berapa pandai lagi, asyik nak masukkan pasir ke dalam mulut...
Teluk Nipah ni ada spesies burung enggang. setiap pagi dan petang burung yang paruhnya berwarna putih keluar dari sarang untuk mencari makanan. Agak jinak sebab dah biasa jumpa manusia agaknya. Lagak seperti kera di Taman Botani Pulau Pinang, pantang kasi makanan mesti sambar.

Sebelah malam, kami sakan makanan laut di tepi pantai. Tapi biasalah musim cuti sekolah, orang ramai, harga mulalah tinggi sikit. Ikan siakap yang sekilogram RM11 boleh jadi RM40++  kat sini.  Mutu makanan pula kurang memuaskan, mungkin sebab citarasa kami dah tinggi asyik layan Masterchef Malaysia kot..heheh..

Malam seterusnya, kami makan malam di restoran dalam resort sahaja. Harganya lebih munasabah dan kena dengan selera..heheh
Hasil laut kami beli di Lumut sahaja. Dah biasa beli dengan Hasil Laut Jamilah, boleh dapat diskaun banyak sikit..heheh

p/s : lagi gambar menarik di imejcerita.


Thursday, December 1, 2011

Zoo Melaka

Cuti kali ini dimanfaat dengan membawa Khalish dan Ilhan ke Zoo Melaka. Ikut serta dua adik ipar Bapak, Azam dan Umai.

Tiket masuk Zoo Melaka cuma RM7 bagi dewasa, lebih murah daripada Zoo Taiping yang mengenakan caj RM12. Khalish dan Ilhan yang belum cukup umur, kemasukannya percuma.

Khalish dan Ilhan teruja sebab kali pertama melawat Zoo Melaka. Sebelum ini Khalish pernah ke Zoo Taiping manakala bagi Ilhan, ia zoo pertama yang dikunjunginya.
Masuk-masuk sahaja kami disambut dengan buaya kerdil kemudian burung kakak tua yang sudah dipatahkan sayapnya.

Satu demi satu haiwan diziarahi seperti badak sumbu, burung merak, tapir, ungka, zirafah, kuda belang, harimau, gajah dan lain-lain.

Namun yang paling menarik perhatian seekor kuda padi. Tengok sendiri fotonya untuk tahu yang 'menarik perhatian itu'..hehhe...
Cuma yang Bapak perhatikan kandang haiwan di Zoo Melaka ini agak terlalu besar berbanding kapasiti haiwan yang berada di dalamnya. Contohnya, cuma seekor tenuk menghuni kandang yang besarnya lebih seekar.

Berbanding Zoo Taiping, Zoo Melaka mempunyai galeri yang menempatkan haiwan yang sudah diawet. Ilhan memberanikan diri bergambar di sebelah seekor ular yang sudah diawet.
Namun dipertengahan jalan menjelajah zoo terbabit, tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Terpaksa kami berlindung beramai-ramai bersama sebahagian pengunjung lain di pondok rehat.
Lama juga hujan tak reda hingga sebabkan Ilhan tak selesa. Mahu tak mahu baju Ilhan ditanggal dan dia terus perjalanan dengan melengging selepas itu.

BBQ Maal Hijrah

Bagi menghabiskan daging korban yang masih tertinggal, Orang Rumah Bapak bercadang untuk membuat kebab.
Prosesnya mudah sahaja. Daging diperap dengan sos Oriental kemudian dicucuk dengan potongan lada Benggala dan nenas sebelum dipanggang. Ekor lembu pula dibuat sup.

Ayah Mertua Bapak tambah dengan cencaru bakar dan sosej sementara Mak Mertua Bapak sediakan soto ayam untuk satapan kami keluarga. Mereka berdua cadangkan upacara ala BBQ itu dibuat pada malam Ahad lalu kononnya sempena menyambut Maal Hijrah. heheheh...

Sudahnya selepas membaca doa akhir tahun dan awal tahun serta solat Maghrib berjemaah, aktiviti BBQ pun bermula.

Kehadiran keluarga Mak Ulung memeriahkan suasana. Masing-masing ambil bahagian dalam memanggang termasuk Khalish yang jadi tukang kipas.

Akhirnya hampir 30 cucuk kebab daging licin. Bolehlah buat lagi lain kali..heheh

Wednesday, November 30, 2011

Menjamah lidah

Aidiladha lalu, keluarga Orang Rumah Bapak melakukan ibadah korban. Kami tidak dapat pulang ke kampung kerana Bapak perlu bertugas pada hari kebesaran tersebut.

Bapak sekeluarga cuma dapat balik ke kampung selepas tiga minggu Aidiladha berakhir; menjelang 1 Muharam. Sudah rezeki kami, masih ada 3 bungkus lagi daging korban di dalam peti ais.

Bungkusan pertama berisi daging, bungkusan kedua berisi ekor dan apabila bungkusan ketiga dibuka, air muka Orang Rumah Bapak berubah sebab ia berisi lidah lembu.
Rupa-rupanya semua di dalam rumah termasuk ayah mertua, mak mertua, nenek dan atuk tak pernah makan lidah lembu. Bapak pernah...

Bapak teringat masa berada di asrama dulu. Setiap minggu setiap kali menu daging masak kicap dihidangkan, Bapak dapati ada beberapa ketulan daging yang agak pelik. Testurnya kenyal dan kadang kala bagai menggerutu.

Setelah dikaji, siasat termasuk interviu tukang masak, baru Bapak tahu selain daging, lidah lembu turut dimasukkan di dalam menu tersebut. Tak pasti pulak apa tujuannya...

Apabila Bapak cadang agar lidah lembu itu dimasak kicap, Orang Rumah Bapak buat muka pelik, katanya tak lalu nak makan, Mak Mertua pula siap hubungi Pak Andak (keluarga Pak Andak, kulit lembu pun diorang buat masak lemak..) untuk dapatkan khidmat nasihat..heheh..
Sudahnya Bapaklah yang proses lidah itu.Mula-mula rebus kemudian siat kulit lidah sebelum hiris nipis-nipis.

Sedikit dibakar dan lebihnya dimasak kicap seperti dirancang. Dapatlah semangkuk lidah masak kicap itu.
Bapak kasi nenek rasa, Orang Rumah Bapak pun menjamah sama. Sebelah makan, semasa makan malam Bapak lihat lidah masak kicap itu tinggal dua ketul sahaja. Dalam-dalam tak sanggup nak makan tu, licin juga..heheh

WW : Khalish pulun


Tuesday, November 29, 2011

Kenduri Kahwin Siti

Bapak sekeluarga baru pulang dari Melaka. Kiranya misi 2 dalam 1, balik kampung di samping menghadiri majlis perkahwinan sepupu Bapak, Siti; (anak ketiga Mak Ngah, kakak Mama).

Orang Rumah Bapak, Khalish dan Ilhan balik seminggu lebih awal ikut Apak (bapa saudara) yang tinggal di Pulau Pinang. Bapak menyusul kemudian..
Kami datang makan je ke kenduri Siti (nak tolong, beranak kecil..alasan..heheh). Dalam majlis berinai besar malam Sabtu lalu, dapatlah juga Mama dan Ayah yang baru sampai dari Petaling Jaya melepas rindu berjumpa cucu-cucu mereka.

Bapak sekeluarga sampai agak lewat juga, pengantin dah nak berarak masa tu. Sedang menyuap makanan, diorang bakar mercun. Sentap juga Bapak tapi teruskan makan walaupun kamera dah bersedia di sebelah..heheh..

Esoknya, Bapak dan Orang Rumah Bapak bawa  Ilhan sahaja ke kenduri kahwin Siti. Tengah hari tu Khalish tidur lena tak nak bangun-bangun. Tinggallah dia dijaga Mak Su dia..
Oleh kerana risau Khalish akan mengamuk ayah dan ibu dia tiada di sisi, kami pulang awal. Sampai di rumah, Khalish yang dah siap dimandikan Umai (adik bongsu Orang Rumah Bapak) rilek je. Dengan tersengih-sengih dia menyambut kepulang kami dengan berkata : " Ha, dah balik pun!".

Bapak dan Orang Rumah Bapak ketawa serentak, Ilhan keliru tapi buat muka bangga sebabayah dan ibu bawa dia jalan sorang-sorang je...heheh..

Lagi gambar di imejcerita.blogspot.com

Friday, November 18, 2011

Luk Choop

Sewaktu mendengar taklimat Datuk Bandar Songkhla di Majlis Perbandaran Songkhla tempoh hari, mata Bapak sesekali menjeling ke pinggan yang berada di atas meja.

Selain secawan kopi, pinggan itu berisi kuih comel berwarna-warni yang dibentuk menyerupai buah-buahan dan sayur-sayuran seperti mangga, terung, cili, oren, pisang dan jambu.  Namanya Luk Choop.

Pada mulanya Bapak cuba tumpukan kepada taklimat yang menggunakan bahasa Inggeris sepatah-sepatah. Sesekali tersenyum melihat kesungguhan tuan rumah menjawab setiap persoalan kami biarpun nampak payah payah menyusun ayat...

Namun setelah melihat rakan di depan meja Bapak semakin licin pinggannya, Bapak mula mengunyah Luk Choop itu. Terasa isi kacang hijau, macam kuih rengas. Cuma kulitnya dibentuk daripada gelatin sebelum dibentuk dan diwarna menjadi buah-buahan dan sayur-sayuran comel itu.

Semasa mengunjungi Walking Street Songkhla pada sebelah malam, Bapak perasan Luk Choop ada dijual di situ. Di Pasar Terapung Hatyai pun ada jual. Tak mahal dalam 20 Bath (lebih kurang RM2) je sebungkus.
Orang Rumah Bapak bising tidak dibawa pulang Luk Choop sebagai ole-ole. Macam mana nak beli, kalau ia cuma dibungkus dengan daun pisang je..heheh. Takkan nak ditatang dengan tangan sepanjang perjalanan ke rumah..heheh..

Thursday, November 17, 2011

Segmen : Aku Suka Menaip


1. Follow and Like Nabila Medan blog(s).

Done.

2.Buat entri dgn tajuk "Segmen : Aku Suka Menaip" | Letak banner dan link kan ke sini | korang suke menaip kan ? , taip la ape-ape yg korang nak taip.



 Bapak suka menaip sebab itu kerja Bapak. Hari-Hari Bapak menaip..(serius ni..heheh)

3.Tag 3 Org rakan | Pastikan mereka tahu!.
a) Hans
 4.Tinggalkan LINK ENTRI dibahagian komen.


 Done

 5.Jenguk Penaja tetap blog ini : Penaja Nabila M
Done

Wednesday, November 16, 2011

WW : Riders


Saturday, November 12, 2011

Activity walker : Apa pun boleh!

Setelah hampir setahun tersimpan di stor selepas membantu Khalish dan anak rakan blogger, activity walker dikeluarkan semula untuk berkhidmat untuk Ilhan pula. Kisahnya pernah diceritakan dalam Khalish sudah 'dapat' kaki.
 Activity walker berfungsi untuk membantu bayi yang belajar bertatih seperti Ilhan melangkah seterusnya berjalan dengan yakin.

Mula-mula Khalish yang teruja lebih-lebih bermain dengan activity walker itu, teringat nostalgia lama la tu..heheh.. Namun selepas diingatkan, dia dengan paksa rela memberi laluan kepada Ilhan untuk berlatih bertatih.

Secara dasarnya, walaupun Ilhan nampak agak pendiam, dia lebih lasak daripada Khalish.Setelah puas menyorong activity walker itu, Ilhan ada idea lain yang lebih menyeronokkan.
Habis kerusi, mini sofa hatta motosikal mini dan kereta mini abangnya dijadikan alat yang mengantikan fungsi activity walker tersebut.

Namun Ilhan tidak begitu fokus bertatih, dia lebih sibuk memanjat terutama sofa. Cuma peluang Ilhan untuk mendaki tangga lagi sudah terbatas kerana Bapak dan Orang Rumah Bapak sentiasa memastikan pintu pagar yang merintangi anak tangga pertama sentiasa ditutup kecuali untuk kemudahan Khalish.
Selesai memanjat, Ilhan gemar 'mengemas' koleksi majalah ibunya. Selepas dikeluarkan dari almari, dia akan mencampak-campaknya ke kiri dan ke kanan mengikut cita rasa. Dua tiga hari ini, Ilhan sudah mula belajar memegang pen, mungkin untuk meniru kemahiran menconteng yang menjadi kepakaran abangnya, Khalish...

Thursday, November 10, 2011

Empat ekor sahaja...

Akhir bulan lalu, sehari selepas ulang tahun setahun kelahiran Ilhan, Bapak berangkat ke Songkhla, Thailand.

Kami sampai di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada tengah hari. Oleh kerana hari itu Jumaat, kami singgah sebentar di sebuah masjid di Danok, Thailand untuk menunaikan solat Jumaat.

Waktu Danok, Sadao, Hatyai dan Songkhla lewat sejam dari Malaysia.Namun waktu solat tak sukar diketahui kerana ia juga lewat sejam daripada waktu solat di Ipoh. Contohnya solat Zuhur bagi kawasan Ipoh masuk 1.02 petang, solat Zuhur di kawasan berkenaan jatuh pada 12.02 tengah hari.
\Masalah bahasa dalam khutbah tidak jadi masalah kerana bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu loghat Kelantan. Apa tah lagi khatib membaca teks khutbah itu daripada sebuah kitab, semakin pudar dialek Melayu Kelantanya.

Biarpun waktu solat Jumaat masuk pada 12.02 tengah hari, khutbah hanya mula dibaca selepas 45 minit kemudian.

Waktu menunggu jemaah memenuhi masjid itu, imam masjid berkenaan gunakan untuk menyampaikan pengumuman kepada masyarakat setempat.

Antaranya, Majlis Agama Islam Songkhla memutuskan sambutan Aidiladha bagi Selatan Thailand adalah mengikut Arab Saudi iaitu 6 November 2011.

Imam juga mempunyai hanya empat ekor lembu sahaja akan disembelih sebagai ibadah korban sempena Aidiladha di masjid berkenaan pada tahun ini.
 "Biasa tiga ekor (empat) sahaja tapi tahun ini kito buat empat. Kito tak terima lagi pasal tak sempat, tukang sembelih nak kelik (balik kampung) pagi raya.

"Kalau nak korban juga, bole..tapi kat kampung lain.. Macam orang Malaysia tahun lepas, 16 ekor buat korban, kemudiannya diagih-agihkan ke kampung-kampung di Danok," jelasnya.

Tengah khusyuk dengar khutbah, seorang pemuda yang duduk di saf belakang menegur Bapak dalam bahasa Siam. Bapak menoleh ke belakang memandannya dan dia menyebut perkataan sama.

Bapak cuma anggukkan kelapa dan beralih sedikit daripada tempat duduk. Pertama, mana boleh bercakap semasa khutbah di bacakan, kedua, Bapak haram tak faham apa dia ucapkan...

Wednesday, November 9, 2011

WW : Sebatang sahaja...


Tuesday, November 8, 2011

Aidiladha yang berbeza

Aidiladha ini kami menyambut di rumah sahaja kerana giliran Bapak bertugas pada tahun ini.

Orang Rumah Bapak pada mulanya muyuk kerana ini pertama kali tidak balik ke kampung beraya dalam tempoh tiga tahun kami berumah tangga. Apatah lagi tahun ini sepatutnya giliran kampung beliau...
 Apa pun kami tetap buat persediaan sempena Aidiladha khususnya untuk Khalish dan Ilhan. Orang Rumah Bapak masak rendang daging, sambal kacang sotong kembang, masak lodeh, biskut conflakes, puding jagung dan kek span pandan layer.

Tak lupa ketupat dan ketupat palas (tapi semua segera..heheh.Bab ketupat palas, nyesal beli...) Malam raya, Bapak beli sebatang lemang. Hajat nak cari lemang pulut hitam tapi tak jumpa-jumpa...
Aidiladha  kami tambah meriah apabila keluarga Bapak buat keputusan untuk beraya bersama kami. Ayah, Mama, Wan, Siddiq dan Mira sampai tengah hari raya. Dah terbalik, sepatutnya kami pulang beraya ke rumah orang tua ni ibu bapa yang beraya di rumah anak...heheh...

Gembira Khalish dan Ilhan dapat bermanja dengan Atuk, Nenda dan bapa dan ibu saudara mereka.

Pagi raya, Khalish dan Ilhan dipakaikan jubah pemberian Nenek mereka yang dibeli semasa beliau dan Ayah Mertua menunaikan ibadah umrah pada bulan Ramadan lepas.
Tengah hari Bapak pelawa rakan-rakan sepejabat (bukan ramai, empat orang sahaja yang bekerja masa Aidiladha) beraya di rumah Bapak. Jiran pun datang beraya siap hadiah daging korban dan semangkuk sup tulang.

Kembang hidung Orang Rumah Bapak, kawan Bapak dan Mira puji rendang daging air tangannya...heheh




Wednesday, November 2, 2011

WW : Makanan kesukaan Ilhan

Taufu fa...

Bersantai di TRAP Sungai Klah

Sebagai ganti cuti sambutan ulang tahun pertama kelahiran Ilhan yang terganggu gara-gara Bapak mempunyai tugasan luar negara, Orang Rumah Bapak, Khalish dan Ilhan dibawa bersantai di Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) Sungai Klah, Sungkai.

Sampai di TRAP Sungai Klah yang terletak hampir 100 km dari Ipoh, Bapak membayar tiket masuk RM10 untuk Bapak dan Orang Rumah Bapak. Khalish dan Ilhan masuk percuma sebab tingginya masih belum sampai 90 cm lagi..

Selepas makan tengah hari dan solat, kami meneruskan agenda bersantai. Mula-mula di kolam air gunung. Oleh kerana kami pergi pada hari biasa, kolam itu macam milik kami sebab tak ramai orang. Ada masanya cuma kami empat beranak di dalam kolam itu.
Berbekalkan pelampung yang baru Bapak beli, Khalish diajar berenang. Bab main air, Khalish memang cekap. Sekejap je sudah pandai. Ilhan pun secara spontan menguis-guis kaki dan tangan seolah-olah berenang apabila sudah berada di dalam kolam itu.

Oleh kerana sudah terlalu syok berendam, Khalish enggan keluar dari kolam walaupun sudah berjam-jam. Bapak dan Orang Rumah Bapak risau badannya sudah mula menggigil tapi masih nak mandi. Akhirnya Khalish berjaya dipujuk keluar setelah Orang Rumah Bapak beritahu ada sebuah kolam yang lebih best menanti di depan...heheh..
 Dengan bersemangat Khalish berjalan ke kolam air panas sambil memegang erat pelampung barunya. Sampai di kolam air panas, Khalish beriya-iya nak berendam di situ dengan pelampung tapi tak jadi apabila kaki terasa suam-suam panas apabila mejejak kaki kolam air panas tersebut.

Mula-mula cuba celup kaki tapi tak lama selepas itu, Khalish turut sama Bapak berendam di dalam kolam air panas itu. Setelah puas, kami menyalin pakaian dan berjalan di denai punca air panas sebelum pulang.






Tuesday, November 1, 2011

Ilhan genap setahun

Khamis lepas (27 Oktober) genap Ilhan setahun. Makin lasak sesuai dengan maksud Amsyar yang merupakan sebahagian namanya...
Sepatutnya kami bercadang menyambut ulang tahun pertama Ilhan di rumah orang tua Bapak di Petaling Jaya. Kebetulan ulang tahun kelahiran adik bongsu Bapak, Mira selang sehari daripada Ilhan.

Namun ia terpaksa dibatalkan saat-saat akhir biarpun cuti tahun sudah diambil. Bapak ada tugasan luar negara, tak jauh mana di Songkhla, Thailand sahaja selama 3 hari bermula 28 Oktober.

Akhirnya sambutan ulang tahun pertama kelahiran Ilhan dilakukan secara kecil-kecilan sahaja. Serba-salah juga Ilhan terpaksa menunggu Bapak yang perlu menghadiri mesyuarat persiapan terakhir delegasi sebelum boleh memotong kek.
Oleh kerana bayi setahun seperti Ilhan tidak digalakkan makan terlalu banyak telur, Orang Rumah Bapak memilih untuk membuat kek Super Moist Choc Eggless Cake yang dihias mengikut citarasa Ilhan.

Malamnya kami membawa Ilhan makan di Kenny Rogers Roasters. Ilhan sekarang kadang-kadang mahu makan sendiri, tak mahu bersuap.
Sebelum itu disebelah pagi, seperti kelaziman Ilhan dibawa ke klinik desa untuk menjalani suntikan imunisasi untuk bayi yang berumur setahun.

Belum kena suntikan, sudah melalak. Seperti biasa, Khalish yang lebih-lebih. Nama Ilhan yang dipanggil masuk berjumpa pegawai perubatan, dia yang beriya-iya menyorok di bilik menyusu. Sudah dua tahun setengah pun masih takut jumpa doktor..heheh...

Monday, October 24, 2011

Sport : Tragedy, Glory & Lesson

Marco Simoncelli, 24, maut selepas terlibat dalam kemalangan yang turut membabitkan Colin Edward dan Valentino Rossi ketika Perlumbaan MotoGP  Shell Advance Malaysia 2011 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru empat minit bermula.

New Zealand (All Black) muncul juara Piala Dunia Rugbi 2011 selepas menewaskan Perancis 8-7 pada perlawanan akhir.


Manchester United dibelasah 1-6 oleh jiran, Manchester City di Old Trafford. Kekalahan pertama musim ini dan di tempat sendiri sejak April 2010.

Saturday, October 22, 2011

Muzium Kapal Korek Tanjung Tualang

Di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, Tanjung Tualang dekat Batu Gajah, terdapat  tinggalan satu-satunya kapal korek yang masih ada di negara ini.
Kapal korek yang dinamakan Kapal 5 ini merupakan sumbangan Malaysian Mining Corporation (MMC) kepada kerajaan Perak sekitar 1990-an untuk dijadikan monumen sejarah dan tarikan pelancongan.

Dikhabarkan suatu masa dulu sebelum industri perlombongan bijih timah malap pada 1980-an, terdapat  40 kapal korek beroperasi di sekitar Lembah Kinta terutama Chemor, Ipoh, Gopeng, Batu Gajah, Papan, Tronoh dan Malim Nawar.

Kapal 5 kemudiannya dijadikan muzium di bawah seliaan Osborne & Chappel Sdn Bhd (OCSB) dan dibuka kepada awam dengan caj RM5 (dewasa) dan RM3 (kanak-kanak) pada awal 2009.

Namun tidak lama kemudian ia terpaksa ditutup setelah kapal korek itu hampir tenggelam dengan 18 peratus plantunnya senget ke dalam lombong.

Namun dengan campur tangan kerajaan negeri Perak, dana RM1.4 juta sumbangan bekas pelombong bijih timah berjaya dikutip menerusi tabung 'Selamatkan Kapal Korek'.

Kini Kapal 5 sedang dibaikpulih dan fasa pertama iaitu mengapungnya semula telah berjaya dilakukan baru-baru ini dengan kos RM420,000.

Fasa kedua, kapal korek itu akan dicat semula dan fasa terakhir beberapa kemudahan seperti papan info dan skrin sesentuh akan dipasang di sekitar Kapal 5 untuk manfaat pelancong.

InsyaAllah, Muzium Kapal Korek akan dibuka semula kepada awam pada awal tahun depan yang kebetulan merupakan Tahun Melawat Perak.
Bagi Bapak, selain nilai sejarah dan kejuruteraan yang begitu tinggi, kapal korek itu  merupakan tanda kenangan Lembah Kinta pernah gemilang di peta dunia sebagai pusat perlombongan bijih timah utama dunia.

Cuma pusat informasinya perlu lebih interaktif perhatian pelancong terutama generasi muda. Sayang, bahan ada tetapi susun aturnya sangat berserabut...


Wednesday, October 19, 2011

WW : IT Savvy

Sorang satu. Kalau tak, berebut...

Monday, October 10, 2011

Racing moto dalam rumah

Sedar tak sedar sudah lebih setahun motosikal mini (kisahnya di sini) yang dibeli Atuknya sebagai hadiah Aidilfitri tahun lalu menjadi hak milik Khalish.

Sebelum ini motosikal mini tak berapa meraih perhatian Khalish, dia lebih suka bermain dengan kereta mininya.  (entry ini) Namun selepas adiknya, Ilhan bermain-main dengan motosikal mini itu (pegang-pegang dan bunyikan hon sahaja, mana boleh tunggang lagi, Ilhan berjalan pun belum..heheh), Khalish semakin prihatin dengan hadiah Atuk itu.

Macam biasa laman permainan kesukaan Khalish ialah ruang tamu. Pening juga Bapak dan Orang Rumah Bapak tengok Khalish tawaf ruang tamu itu dengan motosikal mininya. Bukan sekali dua tetapi beratus-ratus kali tanpa mengenal bosan!

Pandai pula Khalish mengawal motosikal mini agar tidak melanggar sofa dan Ilhan yang suka merangkak merayau keliling rumah. Bagaimanapun dengan bunyi bising enjin motosikal dan bunyi hon kadang-kala mengganggu tumpuan untuk menonton televisyen.

Apabila dilarang, Khalish buat tak tahu sahaja, apabila bertegas pula, dia melalak..alahai...Puas cari idea untuk menghentikannya...

Akhirnya saat ditunggu-tunggu tiba...Akibat terlalu lama bermain, dua tiga hari kemudian, bateri motosikal mini mula lemah dan sudahnya ia berhenti sendiri.

Khalish panik sambil menjerit : "Ayah..ayah..(nak minta tolong la tu),"

"Dah rosak, tu la Khalish main lama-lama sampai rosak..," helah Bapak malas nak caj bateri motosikal mini tu.

Bapak dan Orang Rumah Bapak tersenyum apabila Khalish menolak sendiri motosikal mini yang disangkanya rosak itu ke dalam stor semula.

Kegembiraan kami agaknya tak lama apabila suatu pagi, Khalish yang merenung ke luar rumah tiba-tiba memanggil Bapak.

"Ayah..ayah..situ, situ..moto situ..," beritahunya.

Rupa-rupanya Khalish menunjuk bengkel membaiki kereta di seberang jalan rumah, nak suruh baiki motosikal mini dia la tu..

Bapak buat-buat tak dengar dan kembali ke meja makan menikmati sarapan...

Friday, October 7, 2011

ICU dek serangga hijau...

Semalam Bapak dan beberapa rakan mengikuti lawatan kerja ke tapak Taman Rimba Kledang Saiong. Taman rimba yang terletak cuma 2 km dari rumah Bapak itu dijangka dibuka kepada awam pada Februari depan.

Tak sangka di sebalik estet ladang getah terbiar yang sebahagian besarnya kini menjadi kawasan perumahan kepada bandar terancang yang diuar-uar bakal menjadi mini Putrajaya ini, tersimpan khazanah flora-fauna berharga.
Air sungai yang jernih, kawasan air terjun tujuh tingkat dan peluang mendaki gunung setinggi 1,085 meter antara yang ditawarkan taman rimba berkenaan.

Dengan penerangan  pengawai kanan Jabatan Perhutanan Perak, kami juga mengenal beberapa spesies pokok hutan seperti kledang, kulim, gaharu dan kacip fatimah.

Tapi masuk hutan yang baru diteroka ada cabarannya. Sedang asyik memerhatikan aliran sungai yang jernih, seorang rakan sekerja Bapak mengadu digigit serangga seperti nyamuk berwarna hijau.

Mula-mula cuma gatal-gatal kecil tapi tidak lama kemudian badannya terutama muka mula bengkak-bengkak. Melihat keadaannya itu, beliau segera dihantar ke klinik berdekatan.

Rakan sepejabat Bapak itu kemudiannya dirujuk ke hospital. Sampai di hospital, doktor mengarahnya di tahan di dalam wad untuk pemantauan.
 Pada asalnya wad biasa tapi setelah muntah dan pitam pada sekitar pukul 2 petang, rakan sepejabat terus ditukar ke wad ICU.Doktor memberitahu beliau mengalami keradangan dan mungkin terkena sengatan serangga seperti lebah.

Bapak yang melawat rakan sepejabat Bapak itu di wad ICU melihat keadaanya stabil walaupun masih lemah.

Sehingga kini identiti serangga berwarna hijau itu masih belum diketahui, itu cabaran kami bekerja. Semoga rakan sepejabat itu cepat sembuh...

RIP Steve Jobs

 Pengasas Apple Inc, Steve Jobs meninggal dunia semalam, dua hari selepas Iphone 4s dilancarkan.

Kematian beliau tidaklah mengejutkan kerana Jobs dilaporkan menderita kanser pankreas sejak bertahun-tahun lalu. Malah Jobs seakan-akan sudah tahu masanya hampir tiba dengan melakukan peralihan pengurusan Apple pada Ogos lalu.

Bapak membesar pada zaman negara ini baru mengenal internet. Sebagai remaja yang baru hendak mengenal jati diri dan bercita-cita besar, Bapak dan dua rakan sekelas Bapak pada ketika itu bercita-cita untuk menjadi taikun IT dunia.
Dua individu  yang selalu menjadi petunjuk aras dan kami bandingkan pada masa itu ialah Bill Gates dan Steve Jobs. Kami mahu mencipta firma sebesar Microsoft dan Apple...

Kisah hidup dan perkembangan syarikat kedua-dua tokoh itu kami baca dan kaji. Walaupun selepas 14 tahun kemudian, cita-cita itu tak pernah kesampaian dan kami membawa haluan masing-masing, keghairahan pada usia belasan itu memberi pedoman besar kepada Bapak.

Jika kita mengikuti sejarah hidup Jobs, mendiang pernah kehilangan kepentingan dalam syarikat yang diasasnya sendiri pada 1984 sebelum kembali menerajui Apple pada 1997.

Sejak itu Apple yang agak bergantung kepada Macintoch, mengorak langkah kepada pengenalan produk iPod, iPad dan iPhone yang menjadi revolusi kepada dunia digital dunia.

Kesungguhan, dedikasi dan daya inovasi Jobs menongkah arus menjadikan Apple terus gagah sehingga hari ini walaupun pernah hampir tenggelam dek kekuatan syarikat saingan yang gergasi.

Ia merupakan pengajaran yang lebih penting daripada kita memperkatakan tentang bapa biologinya seorang Syiria yang bukan sahaja tidak pernah menjaganya setelah Jobs dilahirkan sebagai anak luar nikah malah dilaporkan tidak mengamalkan ajaran Islam...




Thursday, October 6, 2011

Tak dapat outdoor, indoor pun jadilah...

Semalam Bapak cuti rehat mingguan. Pagi-pagi Bapak keluar rumah untuk menghantar kereta ke spa (servis kereta da...).  Bengkel kereta tu bukan jauh, depan rumah sahaja.

Khalish dan Ilhan yang ingat Bapak nak berjalan kecoh nak ikut. Khalish menjerit-jerit : "Nak kuar, nak kuar" sementara Ilhan buat 'drama' berpaut dan mengoncang-goncang gerigi besi seraya buat muka kasihan...

Untuk meredakan protes kedua-dua beradik itu, ibu mereka memandai menabur janji manis, kami sekeluarga akan bersiar-siar mengambil angin pada sebelah petang.
  Mahu tak mahu janji tersebut ditunaikan selepas solat Asar. Mulanya nak bawa dua beradik itu bermain di taman permainan di Padang Polo tetapi malangnya cuaca gelap dan tidak lama kemudian hujan mula turun...
 Alternatif lain dicari, kami ke sebuah pusat membeli-belah di Ipoh ni. Kebetulan medan seleranya ada ruang permainan kanak-kanak.

Ralit Khalish bermain, Ilhan pun tak nak kalah. Apabila sudah asyik bermain, nak ajak balik punyalah payah. Jalan penyelesaian bagi upah makan donut dan aiskrim.

 Penyudahnya dalam perjalanan balik ke rumah sebelum senja, Khalish dan Ilhan terlelap di dalam kereta...















Wednesday, October 5, 2011

WW : Sabar menanti pizza ibu...


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails