Translate

Sahabat Bapak

Thursday, January 31, 2013

Air tangan Orang Rumah Bapak (ATORB)

Kata orang, cara paling mudah menjaga suami, jagalah perutnya (maksudnya jaga makan minumnya bukan belai perutnya..hahaha..)

Pendek kata air tangan seorang isteri itu salah satu resepi kerukunan rumah tangga.

Bagi Bapak, makanan yang paling sedap ialah air tangan Mama. Bukan sebab keunikan resepi mahu pun teknik memasak tetapi kerana ia di masak dengan penuh kasih sayang.

Itu pesan Bapak kepada Orang Rumah Bapak semasa awal perkahwinan dulu. Masak la dengan kasih sayang agar suami dan anak-anak sentiasa merindui air tangannya hingga ke akhir hayat.

Cerita pasal Orang Rumah Bapak, walau pun beliau anak tauke katering dan seorang sahabatnya (merangkap bekas rakan serumahnya) mencanang kepada Bapak, masakan Orang Rumah Bapak sedap-sedap belaka  tetapi realiti pada awal perkahwinan..hurm..
  Minggu-minggu terawal kami tinggal serumah, sajian semuanya berasaskan sambal. Sambal ikan, sambal udang, sambal telur, sambal sotong dan sambal ikan bilis. Menunya itu di kitar semula selepas itu.

Sarapan kegemaran beliau pula jemput-jemput. Jemput-jemput bodo (Bapak namakan sendiri pasal tepung je banyak tetapi ikan bilis, bawang dan cili celah gigi je..hehe) dan cekodok manis. ( tepung campur gula).

Mula-mula kasi can tapi lama-lama mana boleh tahan...Bagi Bapak, Orang Rumah Bapak bukan takde bakat atau tak reti memasak tetapi kurang keyakinan.

Bagi memberi motivasi kepada Orang Rumah Bapak, buku dan majalah masakan sering Bapak beli.
Kemudahan internet juga dipermudah bagi menyenangkan mencari dan mencuba resepi baru.
 Setiap hasil air tangan terbaru Orang Rumah Bapak, gambarnya Bapak ambil. Cadangnya gambar-gambar itu Bapak muatkan dalam Fotopages yang Bapak namakan Air Tangan Orang Rumah Bapak (ATORB).

Namun biasalah hajat tinggal hajat. Laman Fotopages itu terbiar begitu sahaja. Namun aktiviti merakam masakan Orang Rumah Bapak diteruskan.

Apa pun apabila Bapak membuka akaun Instagrams tahun lepas, sebahagian besar gambar yang di muat naik adalah air tangan beliau.
 Akhirnya ATORB digunakan Orang Rumah Bapak untuk blog masakannya iaitu sayachefkecil.blogspot.com baru-baru ini.

Wednesday, January 30, 2013

WW : Scone Orang Rumah Bapak


Tuesday, January 29, 2013

Belajar lah untuk tidak alpa

Kadang-kala sewaktu Bapak sampai ke pintu pagar rumah sesudah pulang bekerja, Khalish dan Ilhan masih bermain di laman rumah.

Mereka akan berlari menerpa ke pagar sebalik melihat Bapak keluar dari kereta untuk membuka mangga pintu pagar.
 Melihat keadaan itu, Bapak sentiasa membuka pintu kereta untuk menyuruh mereka masuk. Abang di tempat duduk belakang manakala adik di tempat duduk hadapan.

Gembira mereka menemani Bapak memasukkan kereta ke garaj walaupun tak sampai seminit.
Boleh sahaja Bapak menyuruh Khalish dan Ilhan masuk rumah sambil Bapak meneruskan niat memasukkan kereta ke dalam garaj.

Bukan minta tetapi Bapak bimbang sesuatu buruk berlaku kerana sebagai kanak-kanak kemungkinan mereka untuk menerpa ke arah kereta tetap ada.

Bapak selalu fikir kita tak boleh ambil ringan dan ambil mudah tentang keselamatan dan perlindungan anak-anak.

Cebisan kisah ibu anak kecil dibiarpun berseorangan dalam kereta sedangkan ibu bapanya sibuk memilih alatan elektrik di kedai dan ibu yang boleh percaya kepada anaknya membeli mee segera sedangkan dia leka berFB di rumah semuanya berakhir dengan tragedi.

Masa itu menangis keluar air mata darah pun tak guna. Mengapa segelintir besar daripada kita masih berada di zon selesa enggan mengambil iktibar?

Monday, January 28, 2013

Buah cerapu si buah nadir

Sewaktu dalam perjalanan ke Tapah melalui Jalan Gopeng-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Jeram, Bapak perasan gugusan buah berwarna jingga di beberapa gerai buah-buahan di bahu jalan.

Kejinggaan dan rupanya seperti buah gelugur menarik perhatian Bapak. Oleh itu sewaktu perjalanan pulang ke Ipoh, Bapak singgah ke gerai tersebut.
 Setelah di tanya, peniaga itu memberitahu buah itu ialah ceghopu atau cerapu dalam bahasa Melayu bakunya.

"Orang Cina suka makan camtu je.Orang kita (Melayu) sama ada masuk dalam sambal belacan atau masak gulai ikan salai," beritahunya dalam loghat Perak pekat.

Apabila gambar buah cerapu, Bapak pamerkan di Instagrams, rakan blogger, Kak Azza  memberi respons memberitahu orang Kelantan memanggilnya kecupu atau cuppu.

Sampai di rumah, Bapak menunjukkan buah tersebut kepada Orang Rumah Bapak, beliau segera mengenalnya menerusi artikel dalam majalah Saji keluaran Januari 2013. Walaupun sebelum ini jangankan merasa, kenal buah tu pun Orang Rumah Bapak tidak...

Biarpun rupanya macam tampuk manggis tetapi rasanya lebih menyerupai kundang atau pisang kaki. Yang masak manis, yang masak layu, masam-masam manis.
 Cuma kulitnya bergetah melekat-lekat di tangan. Ilhan menyukainya tetapi Khalish, anak kelahiran Melaka tidak.

Alang-alang sudah ada buah cerapu, Bapak minta Orang Rumah Bapak  masakkan gulai ikan keli dan sambal.

Kuah gulai ikan di campur cerapu itu masam-masam manis macam di campur belimbing buluh sementara apabila di gaul bersama sambal seakan-akan sambal bacang.

Sunday, January 27, 2013

Khalish kempunan nak berposing kat kebun teh

Semasa berada di Cameron Valley Tea House, Tanah Rata, Khalish beriya-iya nak bergambar di kebun teh.
 Ia terletak di bawah kafe kami minum pagi. Untuk turun terdapat sebuah tangga yang agak curam.
Oleh sebab itu Bapak tak berani hendak turun memandangkan kaki masih belum pulih sepenuhnya.

Nak melepaskan Orang Rumah Bapak turun bersama Khalish dan Ilhan pula tak berapa yakin beliau mampu mengawasi kedua-duanya yang agak lasak menuruni anak tangga yang curam.

Untuk menjaga hati Khalish, kami bergambar dari atas bukit; bersebelahan anak tangga yang paling atas.
Tapi Khalish terus merengek nak turun juga ke kebun teh tersebut. (mungkin dia tengok makin ramai pengunjung yang berbuat demikian..)
 Sebenarnya bukan tak pernah berposing di kebun teh, boleh dikatakan telah dilakukan tiap- tiap tahun.Cuma tahun ini, pertama kali kami berkunjung di Cameron Valley Tea House, Tanah Rata.

Akhirnya Bapak untuk memujuknya untuk bergambar di Cameron Valley Tea House cawangan Kampung Raja  yang lebih landai. Sememangnya kami melalui kawasan itu sewaktu hendaki menuruni tanah tinggi untuk pulang ke Ipoh.

Namun sebaik sahaja sampai ke Cameron Bharat pada sebelah tengah hari, Khalish sudah tertidur akibat kepenatan.Tak sanggup nak mengganggu lenanya, kamu meneruskan perjalanan pulang.

Mujur dia tak mengungkit pasal nak bergambar tu sebaik sedar dari tidur semasa kami sudah sampai di Simpang Pulai. Takde kerja nak patah balik Cameron...lain lagi insyaallah hajat Khalish itu akan ditunaikan pada kunjungan akan datang..hehe

Saturday, January 26, 2013

Cameron Highlands Kami Datang Lagi

Seakan lokasi percutian wajib, Bapak dan Orang Rumah Bapak tak pernah gagal mengunjungi Cameron Highlands sekurang-kurangnya sekali sejak tahun pertama perkahwinan.

Mula-mula hanya berdua dan kini bersama Khalish dan Ilhan yang semakin membesar. Orang Rumah Bapak sukakan sayur dan buahan segar yang terdapat di tanah tinggi itu, Khalish dan Ilhan suka tidur hotel. Manakala Bapak suka berangan bak seorang Inggeris minum teh dan makan skun sambil menikmati panorama hijau ladang teh..hehehe..

Ini percutian pertama kami dalam tempoh 4 bulan selepas percutian terakhir di Pulau Pinang yang berakhir dengan Bapak pulang ke rumah dengan kaki berbalut simen. Kasihan Khalish dan Ilhan terpaksa terperap di rumah...
 
Pada percutian kali ini kami melawat :-

a) Raju's Hill Strawbery Farm
Sambil membawa Khalish dan Ilhan melawat ladang strawberi, kami tak lepas peluang menikmati aiskrim, kek keju dan wafel yang semuanya berasas strawberi segar.

b) Pasar Malam Brinchang
 Ini kali pertama kami ke pasar malam berkenaan kerana sebelum ini kami sentiasa mengelak daripada mengunjungi Cameron Highlands pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Berpusing-pusing dalam keadaan hujan renyai-renyai tapi yang dibeli cuma pucuk labu tempura dan udang goreng tepung.

c) Stimbot Hotel Rosa Pasadena
Stimbot yang digemari kami setiap kali berkunjung ke Cameron Highlands.

Selain sup, sos cili, solok dan gorengan berasaskan tauhu dan yang kena dengan  tekak, tak perlu rasa was-was kerana kafe hotel ini mempunyai sijil pengesahan halal.

d) Cameron Valley Tea
Biasanya kami ke Boh sama ada Sungai Palas dan Ringlets namun destinasi minum teh dan makan skon kali ini di Cameron Valley Tea milik Cameron Bharat Plantation di Tanah Rata. Ia dipilih kerana lokasi lebih landai, sesuai untuk pergerakan kaki Bapak yang baru pulih.

Seperti biasa skon, kek keju dan karipap di pilih sebagai sajian sarapan pagi. Memilih minum teh float pula menggembirakan Khalish dan Ilhan yang suka makan aiskrim.

e) Galeri Time Tunnel
Kunjungan ini khas untuk Ilhan kerana kali terakhir kami ke sini dia belum wujud manakala Khalish baru berusia 7 bulan. Koleksi sudah semakin banyak dan susun atur semakin kemas.

f) Rose Centre
Terletak di belakang Kea Farm dan Hotel EQ, ia kaya dengan bunga- bungaan berwarna-wangi terutama ros.

Tiket kemasukan RM5 untuk dewasa manakala Khalish dan Ilhan yang masih di bawah 4 tahun (padahal Mei ini, Khalish genap 4 tahun..heheh) kemasukannya percuma.
  Semakin tinggi kita mendaki semakin banyak monumen cantik akan kita temui. Namun atas faktor kaki yang belum sembuh 100 peratus, Bapak hanya mampu melihat Orang Rumah Bapak sahaja mendaki hingga ke puncak.

g) Kea Farm
Apa lagi borong sayur dan buah-buahan. Benda wajib kincham, brokoli, jagung, oren dan strawberi.

Lagi gambar menarik di Stimboat Rosa Pasadena Cameron, Kelazatan Waffle Strawberi, Galeri Time Tunnel part 1, Galeri Time Tunnel part 2Rose Centre part 1 dan Rose Centre part 2.

Friday, January 25, 2013

Bekal dari rumah lebih enak

Bapak kembali bekerja selepas 86 hari MC gara-gara buku lali kanan patah.

Sebenarnya doktor mahu memberi tambahan sebulan lagi cuti MC tetapi bagi Bapak, hampir 3 bulan tidak bekerja merupakan jangka waktu yang panjang. Lagipun tempoh cuti MC 2 bulan yang diberi majikan sudah tamat.

Bapak juga terpaksa menghabiskan semua cuti tahunan 2012 sepanjang proses penyembuhan. Doktor membenarkan Bapak kembali bekerja dengan syarat perlu berhati-hati dan  memakai topang lengan terutama ketika bertugas di luar pejabat.

Minggu awal Bapak kembali ke pejabat, pergerakan masih lambat. Maklumlah pada waktu itu, Bapak baru 6 hari kembali berjalan. Kadang-kala buku lali Bapak membengkak memaksa Bapak meminta kebenaran untuk hanya memakai sandal semasa di pejabat.
 Begitupun Bapak tetap mengenakan kasut semasa bertugas di luar. Menyedari kesukaran Bapak untuk bergerak aktif, Orang Rumah Bapak menyediakan bekal makan tengah hari untuk Bapak hampir setiap hari.

Terharu Bapak, beliau sanggup menyingsing lengan ke dapur setiap pagi untuk memasak hidangan tengah hari Bapak. Sedangkan Orang Rumah Bapak perlu berkejar dengan masa kerana sebelum itu beliau perlu menyiapkan Khalish untuk ke tadika.

Terima kasih Sayang...

Thursday, January 24, 2013

Salam Maulidur Rasul 1434H


Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.: "Berilah wasiat padaku."

Nabi s.a.w. bersabda: "Jangan marah." Orang itu mengulanginya berkali-kali tetapi Nabi s.a.w. tetap bersabda: "Jangan marah." (Riwayat Bukhari)

Wednesday, January 23, 2013

WW : Melayari Bahtera


Tuesday, January 22, 2013

Menjejak susu tepung Dutch Lady perasa coklat yang menyorok

Sejak buku lali Bapak patah kira- kira 4 bulan lalu, barulah timbul kesedaran tentang keperluan kalsium untuk tulang. Sumber kalsium termudah dan murah pastilah susu. Namun Bapak bukanlah jenis suka minum susu.

 Sebenarnya sejak putus susu ketika berumur 4 tahun, tekak Bapak alah dengan susu. Rasa loya dan mahu diluahkan semula jika susu diteguk. Kalau susu kacang soya tak pula..

Hanya susu yang  mempunyai perasa sahaja boleh serasi dengan tekak Bapak.Biasanya perasa coklat menjadi pilihan.
Kebetulan masa Bapai bercuti panjang MC dulu, Dutch Lady memperkenalkan produk baharu, susu tepung perasa coklat. Lebih ekonomi daripada membeli susu kotak.

 Puaslah Orang Rumah Bapak cari di beberapa pasar raya besar di sekitar Ipoh ini. Setiap perosok rak produk tenusu di pasar raya besar dijelajahi tapi tak jumpa juga dengan produk tersebut.

Bukan sekali dua tapi setiap kali mengunjungi pasar raya besar, kami cuba mencari susu tepung perasa coklat tetapi hampa. Yang ada susu tepung perasa strawberi dan asli.

Sakit hati juga setiap kali tengok iklan Dutch Lady di televisyen. Orang Rumah Bapak nak sedapkan hati mengandaikan produk tersebut cuma di jual di Lembah Klang. Apa ingat orang Ipoh tak minum susu ke?

Di pendekkan cerita, kami akhirnya jumpa juga pek susu tepung perasa coklat Dutch Lady itu baru-baru ini.Rupa-rupanya pengurusan pasar raya besar meletakkan produk itu di rak minuman malt dan coklat seperti Milo, Ovetine, Holicks dan Vico.

Sampai juga hajat Bapak.Minta maaf kepada Dutch Lady sebab mengandaikan persepsi yang bukan-bukan...hehehe..tapi kalau letak di rak produk tenusu kan senang...

Monday, January 21, 2013

Dim Sum air tangan Orang Rumah Bapak

Di Ipoh ni agak sukar untuk mencari dim sum yang diyakini kehalalannya.

Dulu ada seorang pakcik yang berniaga di pasar Ramadan dan kemudian menumpang di sebuah restoran di tengah-tengah bandar raya ni. Namun sekarang entah ke mana...

Kalau ada pun Restoran Dim Sum Greentown yang mempunyai sijil pengesahan halal daripada Jakim.
Baru-baru ini restoran itu memenangi anugerah Restoran Terbaik Perak 2012.

Bapak pernah membawa Orang Rumah Bapak (ORB) dan dua anak kami makan di restoran itu.
Memang ORB berkenan tapi tak boleh pergi selalu. Maklumlah sekali pergi sekeluarga kurang-kurang RM50.
 Baru-baru ini ORB berhasrat nak cuba-cuba buat dim sum sendiri. Itupun selepas beliau jumpa kulit dumpling kat Mydin Meru Raya.

Dipendekkan cerita dim sum buatan air tangan ORB. Beliau sediakan 3 jenis kukus, goreng dan sup berserta sos.

Walaupun ORB komen dim sum kukus tak berapa jadi tetapi bagi tekak Bapak ok je..hehe

Wednesday, January 9, 2013

WW : Layan cendol cap Mr. Cendol


Sunday, January 6, 2013

Hari pertama Khalish ke tadika

Sejak berumur dua tahun setengah, Khalish sering menyatakan keinginannya untuk bersekolah. (maksud dia nak masuk tadika la tu..hehehe)

 Mungkin kerana pengaruh siri animasi Upin Ipin yang sering ditontonnya. Apatah lagi kebetulan ada sebuah tadika berhampiran dengan rumah kami.

Tahun lalu sewaktu Khalish berusia 3 tahun, kami pernah berkunjung ke tadika tersebut. Seperti dijangka, Khalish tak di terima masuk kerana faktor umur. Namun sempat juga Khalish di beri peluang merasai suasana di dalam bilik darjah selama hampir 10 minit.

Bapak dan Orang Rumah Bapak berkenan dengan tadika terbabit kerana menggunakan sistem pembelajaran Bacalah Anakku, kaedah sama yang kami kenalkan kepada Khalish dan Ilhan.

28 Disember lepas Khalish berorentasi dan 2 Januari lalu dia mula memasuki tadika. Ilhan macam tak boleh terima lagi waktu paginya dia akan berseorangan tanpa abangnya.

 Setiap pagi, dia akan bangun awal untuk sama-sama menghantar Khalish ke tadika.Pantang ada peluang, dia meluru masuk ke dalam kelas dan bilik permainan untuk belajar dan bermain bersama abangnya dan murid-murid lain.

Terpaksa cikgu tadika memujuk :
"Adik (Ilhan) baru 2 tahun, dah 4 tahun baru datang masuk tadika," katanya..hehehe...

Saturday, January 5, 2013

Bercolor blocking di ambang tahun baharu 2013

Malam 31 Disember lalu, syarikat Bapak mengadakan majlis perjumpaan tahunan di Restoran al-Rawsha berhampiran Bulatan Kampung Pandan.

Sebagai petugas yang sudah 'hilang' dari ibu pejabat sejak 6 tahun lalu dan baru cuti MC lama, Bapak rasa perlu tunjuk muka.

 Mulanya Bapak mati kutu juga sebab temanya color blocking. Nasib ada Orang Rumah Bapak sukarela pilihkan warna dan pakaian serta kasut yang sesuai dengan Bapak. Walaupun sebenarnya Bapak segan nak pakai..huhuhu...

Dipendekkan cerita, selain melayan hiburan dan celoteh malam tu daripada pengacara majlis Sakina dan Muaz serta nyanyian Alif Aziz dan Baizura Daud, kami layan nasi haneeth ayam dan kambing biri-biri.

Ada juga beberapa hidangan lain seperti roti Lebonan, kebab dan Humus. Sebab bagi Bapak makan nasi Arab pada waktu malam adalah satu nutrisi yang sangat 'berat', Bapak jamah sikit- sikit je.

 Waktu yang lain menyaksikan bunga api yang di pasang di KLCC dan Menara KL dari tingkat 2 restoran tu pula, Bapak cuma melihatnya dari luar restoran. Kaki baru nak baik, tak larat nak naik tangga banyak-banyak.Lagi pun sebelum tu dah naik ke tingkat atas untuk solat di surau.

Nama Bapak terakhir diumumkan untuk menang cabutan bertuah. Bukan hadiah utama Vespa berharga RM12,000 tu tapi basikal budak jenama Le Run. Walaupun warna pink, Ilhan cukup berkenan.

 Dah ada basikal sendiri, tak payah rebut dengan abang Khalish walaupun kaki dia tak berapa nak sampai pun kat pedal nak kayuh basikal..hehe

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails