Translate

Sahabat Bapak

Thursday, September 27, 2012

Tragedi Penang : Datang ceria, pulang bertongkat

Hujung minggu lalu, Bapak sekeluarga ke Pulau Pinang,cadangnya untuk menghadiri kenduri perkahwinan rakan seuniversiti Bapak.

Kenduri itu di Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam tetapi sehari sebelum itu kami bercuti singkat di bahagian pulau.

Sempat juga memanjat Bukit Bendera, menjamah nasi kandar Line Clear, cari jeruk di Pasar Chowrasta dan lepak sambil ratah sotong kangkung dan pesembur di Padang Kota Lama.

Pagi Sabtu itu, kami mendaftar keluar dari hotel di Lebuh Penang dalam keadaan hujan baru reda.

Sebelum ke kenduri kahwin berkenaan, Bapak bercadang membawa Orang Rumah Bapak, Khalish dan Ilhan berkunjung ke Muzium Negeri Pulau Pinang, Muzium Islam Pulau Pinang dan menaiki feri menyeberang ke Butterworth dari Terminal Feri Raja Uda, Georgetown.

Namun sudah takdir Allah, semua yang dirancang selepas check out dari hotel tersebut tinggal perancangan sahaja. Sebaik sahaja membantu Khalish masuk ke perut kereta dengan Orang Rumah Bapak sudah berada di tempat duduk hadapan sambil memangku Ilhan, Bapak tergelincir jatuh ke parit.

Gara-gara permukaan jalan licin, kaki kanan Bapak termasuk ke dalam parit tersebut yang setinggi paras peha. Bapak cuba untuk bangun tetapi badan agak tidak stabil dan tambah panik apabila rasa buku lali bergerak-gerak.

Alhamdulillah ramai yang prihatin dan membantu. Sementara menunggu ambulans sampai, ada yang sudi menyediakan kerusi untuk Bapak berehat, memberi ais untuk melegakan kesakitan malah ada memberi nasihat agar tabah berhadapan dengan takdir Allah.
Pagi itu, bukan pengalaman pertama menaiki feri Pulau Pinang yang Khalish dan Ilhan rasai tetapi berada di dalam perut ambulans menemani ayahnya mendapatkan rawatan ke hospital.

Dipendekkan cerita, pemeriksaan x-ray mendapati sendi buku lali Bapak beralih dengan dua kesan patah lalu pembedahan pun dijalankan hari itu juga.

Rasa ralat niat untuk menghadiri kenduri perkahwinan rakan seuniversiti, Hafez aka Apit berakhir dengan pasangan pengantin baru itu pula yang menziarahi Bapak di hospital.

Apa pun niat untuk bertemu rakan-rakan lama terubat juga biarpun di kamar hospital. Terima kasih Minal, Asro, Mat Jemali, Jairi dan Gabuk kerana sudi menziarahi Bapak.

Terima kasih kepada Liza, mak, ayah dan suaminya, Ehsan yang banyak membantu meringankan beban Orang Rumah Bapak. Begitu juga dengan rakan-rakan lain yang prihatin sudi menziarah mahupun menelefon bertanya khabar.

Rasa bersalah juga Bapak membuat Ayah dan Mama susah hati dan bergegas ke Pulau Pinang dari Petaling Jaya sebaik sahaja mengetahui musibah ini.

Penghargaan buat  barisan doktor, jururawat dan kakitangan Hospital Pulau Pinang dan Hospital Pantai Bayan Lepas yang bertungkus-lumus memberi perkhidmatan terbaik.

Alhamdulillah Bapak kini sudah selamat pulang ke rumah di Ipoh biarpun dengan kaki bersimen dan dijangka berehat dalam tempoh tiga bulan.

Bapak redha dengan ujian Allah ini dan semoga ia mampu menjadi kifarah meringankan dosa-dosa yang lalu.. Doakan Bapak cepat sembuh.

4 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails