Translate

Sahabat Bapak

Thursday, December 30, 2010

Sorotan 2010 Bahagian 3

Julai
-------
a) Dua beradik maut dirempuh treler
Hasrat seorang abang untuk membantu adiknya yang terlibat dalam kemalangan berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mereka maut dirempuh treler di Kilometer 272.6, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gunung Lang, Ipoh.

Sebelum kejadian, kira-kira 9.30 pagi, kenderaan Proton Saga berwarna putih dinaiki Woan Yin dan teman lelakinya, Eng Kok Neo, 32, dipercayai dalam perjalanan ke Alor Setar dari arah selatan itu terbabas.
Kok Neo dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun kerana kaki kanannya patah.

Pihak polis menasihatkan Woan Yin untuk membuat laporan polis dan menarik kenderaan terbabit ke bengkel tetapi dia enggan kerana mahu menunggu abangnya bagi membantu dia membawa keluar barangan peribadi miliknya yang sarat di dalam but kereta Proton Saga tersebut.

Sedang Woan Yin dan abangnya memunggah barangan dari dalam but kereta tiba-tiba datang sebuah treler yang sarat dengan muatan dari arah belakang.

b) Wanita dirogol, dibunuh dan dibakar.
Seorang wanita menjadi mangsa jenayah kejam apabila dia bukan sahaja dipercayai dirogol malah dibunuh sebelum mayatnya dicampak dan dibakar di tepi Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran sempadan Perak-Pahang.
Polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dirogol dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak dan dibakar di situ kerana pemeriksaan awal mendapati hampir seluruh tubuh mangsa hangus terutama pada alat sulitnya.

c) Anggota polis maut, bom meletup dalam latihan.
Seorang anggota polis maut manakala seorang lagi parah selepas sebiji bom lama yang cuba dimusnahkan dalam satu sesi latihan di Lapang Sasar Menembak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini tiba-tiba meletup.
Tiga anggota yang turut berada di kawasan letupan berkenaan mengalami kecederaan ringan namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, Sarjan Saidin Mohd. Dom dari cawangan persenjataan IPD Taiping cedera parah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kampar.

d) Jadi tahanan dalam kereta bapa
Dua beradik yang sedang menunggu ibu bapa mereka di dalam sebuah kereta jenis Honda Accord menghadapi detik cemas apabila ditawan selama dua jam setelah kenderaan itu dilarikan tiga lelaki dalam kejadian di Kuala Kangsar.
Kejadian pukul 9.30 malam itu berlaku apabila adik-beradik berkenaan, Nurul Fatin Farhana Dzulkafli, 16, dan Siti Haidar, 6, sedang menunggu ibu bapa mereka yang berurusan di sebuah kedai foto di situ dalam keadaan kereta itu tidak dimatikan enjinnya manakala pintunya pula tidak dikunci.

Mereka dilarikan sejauh 25 kilometer (km) sebelum ditinggalkan di sebuah kawasan gelap di Liman Kati.

e) Kabel lesap, beribu-ribu terjejas
Tindakan beberapa pencuri melarikan kabel tembaga dari Pencawang Pembangunan Utama (PPU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kanthan, Chemor, Ipoh menyebabkan lebih 2,000 pelanggan termasuk 1,000 kilang terputus bekalan elektrik selama lebih enam jam.
Kumpulan pencuri itu yang sekadar menggunakan gergaji dan lampu suluh menceroboh kawasan itu dengan memotong pagar di bahagian belakang PPU tersebut.

f) Suami isteri dibebas kes bunuh
Sepasang suami isteri dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan membunuh seorang lelaki yang sebelum ini didakwa sebagai 'kekasih gelap' kepada si isteri dalam kejadian tujuh tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Dr. Hassan Ab. Rahman memerintahkan Mohd. Khoharuddin Ismail, 48, dan isterinya, Siti Sabariah Ahamad, 44, dibebaskan daripada tuduhan membunuh Mohd. Yusof Ismail, 32, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Keputusan itu dibuat setelah beliau mendapati keterangan ikut keadaan dan keterangan saksi utama Nordin Yusof, 54, yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa si mati telah dibunuh oleh kedua-dua tertuduh.

Ogos
------

a) Mayat Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dihumban ke dalam perigi
Kecelakaan menimpa Lim Ting Peng, 49, yang ditemui mati selepas lima hari dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
Dia dipercayai dibunuh oleh pekerja warga asing yang digajinya di sebuah ladang ternakan ayam dan itik miliknya di Changkat Kruing dekat sini semalam.

Sebuah kereta Nissan Fontier milik mangsa turut hilang dipercayai dilarikan oleh dua pekerja ladang ternakan itu.

Kenderaan pacuan empat roda Nissan Frontier berwarna kelabu milik Ting Peng dijumpai polis di kawasan hutan paya bakau di Sungai Bata, Pantai Remis kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian sehari kemudian.

b) Budak perempuan diculik ketika balik mengaji
Seorang budak perempuan berusia 11 tahun menghadapi saat cemas selama dua jam ketika dilarikan seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Myvi sewaktu berjalan pulang ke rumahnya dari kelas mengaji al-Quran di Taman Meru 3C, Ipoh.
Semasa kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jati termakan pujuk suspek yang berpura-pura meminta pertolongan menunjukkan sebuah kedai runcit yang menjual kad tambah nilai prabayar telefon bimbit.

Mangsa ditemui semula dalam keadaan menangis dan ketakutan di Gopeng kira-kira pukul 10.45 malam.

c) Budak tiga tahun diculik depan rumah
Seorang wanita menghadapi saat cemas apabila anak lelakinya berusia tiga tahun dilarikan seorang penjenayah selepas merampas kereta jenis Perodua MyVi miliknya di Taman Sepakat, Menglembu dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 9.45 malam itu berlaku apabila Wong Soon Loy, 32, turun seketika untuk membuka pintu pagar rumahnya dengan tidak menutup pintu dan mematikan enjin kereta. Ketika itu, anaknya, Yim Mun Chun tidur di tempat duduk belakang.

Kes Mun Chun merupakan kali ketiga melibatkan kanak-kanak dilarikan di dalam kereta di Perak dalam tempoh dua minggu.

d) Restoran guna alkohol dalam sajian
Sebuah restoran stim bot terkenal di Ipoh diserbu penguat kuasa kerana disyaki menganjurkan bufet Ramadan tanpa sijil pengesahan halal sah.
Operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh mendapati premis makanan tersebut sememangnya tidak mempunyai sijil perakuan halal.

Penolong Pengarah Pejabat KPDNKK Perak, Amer Mansor berkata, dalam serbuan kira-kira 2.30 petang itu turut menjumpai beberapa bahan perasa seperti cuka wine merah, kicap cair, sos ikan yang mengandungi alkohol di dalam dapur restoran terbabit.

e) Cipta kemalangan larikan kereta
Taktik seorang lelaki yang mencipta kemalangan untuk melarikan kenderaan yang dinaiki mangsanya dapat memperdaya dua wanita dalam kejadian di dua lokasi dalam tempoh enam jam di Ipoh dan Batu Gajah kelmarin.
Kejadian pertama berlaku pukul 4 petang apabila kereta jenis Proton Saga BLM milik seorang juruteknik wanita berusia 51 tahun dilarikan suspek yang menaiki sebuah motosikal yang dicuri di Tapah sehari sebelum itu.

Enam jam selepas itu, dengan menggunakan kereta mangsa pertama dan modus operandi yang sama, suspek telah melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Naza Citra milik seorang wanita berusia 35 tahun di Taman Batu Gajah Perdana.

September
--------------

a) Tiga gadis Kampar lari rumah pada Raya Kedua
Tiga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa, Kampar termasuk pasangan kembar tidak pulang ke rumah selepas keluar ke pekan Kampar pada hari raya kedua lalu.

Ekoran itu, keluarga Suhaili Abdul Razak dan Nurulain Kamarazmi serta kembarnya, Nurulashiqin telah membuat laporan polis di Balai Polis Kampar.

Polis menolak kemungkinan Nurulain, Nurulashiqin dan Suhaili diculik. Ketiga-tiga pelajar itu dijumpai semula 11 hari kemudian bersama dua lelaki dipercayai teman lelaki mereka di sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Air Hitam, Pulau Pinang.

b) 4 mangsa rentung kereta rempuh lori
Empat orang termasuk tiga beranak maut dalam keadaan rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas merempuh belakang sebuah lori membawa muatan pasir di Kilometer 394, Lebuh raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Ulu Bernam.
Dalam kemalangan pada pukul 8.05 pagi itu, mangsa-mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri Azri Ismail, 27, dan Suzita Abu Bakar, 25, serta anak mereka, Mohd. Akmal, 1 tahun.

Turut terbunuh, Mohd. Haznizam Abd. Mutalib, 20, dari Kampung Ela, Air Hangat, Langkawi. Haznizam mengikut pasangan itu untuk ke ibu negara bekerja di pusat rawatan spa milik suami isteri itu.

Pasangan itu tinggal di Dataran Sunway, Damansara, Selangor. Sebelum kejadian mereka pulang menyambut Aidilfitri di Matang Bonggor, Air Itam, Jerlun, Kedah.

c) Keunikan prasejarah Gua Tambun
Gua Tambun yang terletak berhampiran dengan Kem Syed Putra, Ipoh menyimpan koleksi lukisan purba zaman neolitik yang dianggarkan berusia lebih 5,000 tahun dan dipercayai tertua di negara ini.

Sebanyak lebih 30 bentuk lukisan prasejarah seperti bentuk binatang, manusia, aktiviti perburuan binatang menggunakan lembing dan lakaran geometri dilakar di dinding gua terbabit.
Dipercayai lukisan berkenaan dilukis oleh masyarakat pra-sejarah dengan menggunakan bahan berwarna merah dikenali sebagai haemetite yang mudah didapati di kawasan batu kapur seperti Gua Tambun.

Lukisan berkenaan dijumpai secara tidak sengaja oleh seorang pegawai tentera British, Leftenan R.L. Rawlings pada 1959 ketika sedang membuat rondaan pada zaman darurat.

6 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails