Translate

Sahabat Bapak

Sunday, February 22, 2009

Mimpi Ngeri Orang Rumah Bapak


Kisah ini berlaku beberapa hari lalu. Pagi tu sebaik sahaja Bapak bangun dari tidur setelah jam loceng berbunyi kira-kira 6 pagi..Bapak tengok Orang Rumah Bapak yang tidur di sebelah terjaga dalam keadaan muka terkejut dan badannya berpeluh-peluh.

Panik juga Bapak, dah nak bersalin ke? Takkan lah, baru enam bulan. Pelan-pelan Bapak tanya Orang Rumah Bapak..Rupa-rupanya beliau baru mengalami mimpi yang ngeri. oh..buat suspen jer..

Orang Rumah Bapak pun bangun daripada pembaringannya dan sambil memegang tangan Bapak, beliau pun bersungguh-sungguh bercerita pasal mimpinya.

Dalam mimpi itu, Orang Rumah Bapak kata, beliau di bawa masuk ke dalam kamar mahkamah dengan keadaan bergari gara-gara tidak membayar kompaun trafik PBT. Tambah menakutkan Orang Rumah Bapak, kejadian wanita mengandung yang digari (Orang Rumah Bapak la) itu dirakam oleh ramai jurugambar media yang berpusu-pusu membuat liputan.

Bapak nak tergelak pun ada lepas dengar cerita mimpi Orang Rumah Bapak yang 'dramatik'itu, namun tak sampai hati bila beliau sungguh-sungguh minta Bapak lunaskan kompaun tersebut hari itu juga.

Sebenarnya notis kompaun kesalahan trafik PBT itu, Orang Rumah Bapak terima September lalu selepas main redah parkir kereta ketika hendak beli barangan dapur di sebuah pasar besar di sini.

Masa Orang Rumah Bapak beri notis kompaun tu, Bapak dah janji nak selesaikan tapi biasalah asyik bertangguh jer sampai terlupa dan cerita pasal ia hilang cam tu sahaja.

Kisah notis kompaun trafik PBT itu timbul semula sehari sebelum pagi itu selepas ayah mertua Bapak hubungi dan beritahu notis terakhir kompaun tu dah sampai di rumahnya di Melaka.

Ayah mertua Bapak minta selesaikan segera kerana menurutnya notis tersebut ada menyatakan kalau tak bayar dalam masa ditetapkan, tindakan mahkamah mungkin akan diambil.

Mungkin sebab tu lah, Orang Rumah Bapak risau sampai terbawa-bawa dalam mimpi.

Hari tu, sebelum pergi kerja, Bapak ambil notis kompaun tu dari dalam fail yang tersimpan rapi di bilik bacaan dan tengah hari itu juga , Bapak cilok jap pergi bangunan PBT tu yang tak jauh dari pejabat Bapak untuk bayar kompaun tersebut.

Tersenyum lega Orang Rumah Bapak apabila Bapak beritahu dah selesaikan kompaun trafik PBT tu dan lepas ni tak perlulah mengigau lagi...

Sunday, February 15, 2009

Mari Bergotong-Royong

1 Mac ini genap setahun Bapak menetap di taman perumahan tempat teratak Bapak dan Orang Rumah Bapak menumpang teduh. Bukan rumah sendiri, sekadar rumah sewa.

Bapak mula duduk rumah ini kira-kira dua bulan sebelum mengakhiri kehidupan bujang. Sebelum itu Bapak tinggal bujang bersama-sama kawan di sebuah taman perumahan lain yang letaknya kira-kira 15 kilometer (km) dari sini.

Sebenarnya taman perumahan yang terletak di lokasi strategik berhampiran dengan bakal pusat bandar baru bagi ibu negeri Perak ini masih juga baru, berusia kira-kira dua tahun setengah.

Kebanyakannya penghuni taman perumahan ini merupakan individu yang stabil dan berusia sekitar 30-an dan 40-an dan Bapak rasa Bapaklah antara termuda yang menetap di sini.

Biarpun masih baru, ia mempunyai persatuan taman yang agak aktif . Persatuan ini dilancarkan secara rasmi oleh Ahli Parlimen Tambun merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Husni Hanazlah pada pertengahan tahun lalu.

Sejak dirasmikan ada tiga program besar yang dianjurkan; selain majlis perasmian itu, dua program lain ialah majlis mesra penduduk pada akhir tahun lalu dan gotong-royong perdana pada semalam.
Beberapa jiran Bapak sedang bergotong-royong. Bapak kat ne? Tengah pegang kamera ambil gambar ni..

Terus-terang Bapak mengaku tidak hadir pada kedua-dua program itu. Bukan anti sosial atau kera sumbang tapi kebetulan ketika kedua-dua majlis itu diadakan, Bapak bekerja biarpun ia dilangsungkan pada Ahad.

Mungkin ramai faham Bapak ni jenis spesies yang tak pernah merasai kenikmatan cuti hujung minggu namun sebenarnya Bapak serba-salah. Tak boleh jadi sampai bila tak bercampur dengan jiran-jiran. Takkan setakat tegur-tegur gitu-gitu sahaja.

Gotong-royong anjuran persatuan penduduk ini mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bomba. Misi utama gotong-royong kali ini ialah membersihkan sistem perparitan yang bukan penuh dengan sampah tapi dengan pasir.

Sebagai taman perumahan yang masih ada fasa baru didirikan kehadiran pasir dalam parit itu tak menghairankan dan senario itu didakwa punca utama parit tersumbat dan kes denggi yang berlaku di sini baru-baru ini.

Semalam sebetulnya Bapak dijadualkan bekerja juga namun sebabnya ia diadakan sebelum pukul 8 pagi, Bapak disiplinkan diri tunjuk muka seawal yang mungkin.

Selepas bersalaman-salaman. orang kuat persatuan beri penerangan ringkas termasuk memberitahu pihak persatuan sedang tunggu kehadiran jentera dari balai bomba dan penyelamat berhampiran untuk cuci parit terbabit.

Namun sambil menunggu kehadiran pihak bomba, beberapa tugas telah diagihkan-agih seperti mencantas pokok dan membersihkan kawasan sekitar. Bapak dan beberapa jiran tanpa menunggu lama terus bergotong-royong.

PBT pun beri kerjasama padu jayakan gotong-royong ni

Tengah-tengah sedap bergotong-royong, Bapak tengok jam dah dekat pukul 9 pagi. Dah sampai masanya Bapak pergi kerja dan Bapak pun berjalan menemui orang kuat persatuan berkenaan yang berada tidak jauh dari situ.

"Saya minta maaflah. Setakat ini jer saya join gotong-royong. Tak lama lagi kena masuk kerja," kata Bapak cam skema jer.

"Takpe..takpe...saya faham. Kalau senang-senang tolonglah persatuan kita yer," jawab beliau sambil tersenyum.

"Insya Allah...Insya Allah," balas Bapak yang faham maksud 'Kalau senang-senang tolonglah persatuan kita yer'.

Kalau tak de aral melintang, dua tiga hari nanti adalah tu, cam Bapak 'tolong' Daddy beberapa hari sebelum ni. heheheh....

Saturday, February 14, 2009

Kisah Bapak & Salesman

Semalam Bapak off. Dalam lebih kurang pukul 5 petang, sedang Bapak syok-syok baca surat khabar di ruang tamu tiba-tiba mangga pagar rumah Bapak diketuk kuat oleh seseorang.

Setelah Orang Rumah Bapak membuka sedikit sliding door rumah, nampak kelibat seorang lelaki yang Bapak rasa baru lepas SPM berdiri di depan pagar dan tiga orang kawannya dalam sebuah kereta Perodua Kancil.

Tanpa ditanya budak itu memberitahu dia dan kawan-kawannya dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM).

"O...datang ni nak buat banci ke nak beri ceramah cegah jenayah," tanya Bapak sambil memerhatikan di leher budak tertera tag yang tiada langsung menunjukkan dia dari YPJM.

"Bukan macam tu bang... Kereta Proton Waja ni abang punya ke. Err.. abang tahu tak Proton Waja paling banyak kena curi?", kata budak tu membuka pagar rumah Bapak tanpa dipelawa lalu menuju ke kereta Bapak.

Sepintas kilat, budak tu beraksi ala si pencuri kereta menunjukkan kepada Bapak cara-cara mudah untuk mencuri kereta, bukan setakat demonstrasi, siap tunjukkan sekali gajet-gajet untuk curi kereta. Sampai tak berkelip mata Bapak menengoknya.


Bukan kereta Bapak. Kereta siapa tah....

Tak cukup dengan itu, dia tunjukkan katalog yang memaparkan keratan akhbar tentang kehilangan kereta daripada pelbagai akhbar. Kebanyakannya bukan sahaja Bapak dah baca malah Bapak kenal pun penulisnya.

Tapi Bapak diam sahaja dan biarkan mamat tu teruskan bercakap tanpa henti sampai dia bagitahu niat sebenarnya.

"Errr...Saya sebenarnya dari syarikat XXXX. Abang pernah dengar sistem YYY?," jelas dia kepada Bapak.

Diringkaskan sebenarnya budak itu nak jual sistem keselamatan kereta yang berfungsi mengunci enjin. Menurutnya, dengan sistem itu, enjin hanya dapat dihidupkan setelah kenderaan kita diimbas dengan kad yang fungsinya macam kad tounch n go.

Budak tu beritahu dalam syarikat ada 12 cawangan di seluruh negara dan di Perak ada dua, satu di Ipoh dan satu lagi di Teluk Intan dan dia bersedia untuk pasang gajet itu pada kereta dan kata Bapak hanya perlu bayar RM20 je pada hari tu.

RM20 saja..biar betul. Bapak pun tanya berapa harga sebenar gajet tu dan dengan selambanya budak tu beritahu harganya... adalah dalam empat angka.

"Takpe dik, abang bukan tak minat tapi ko datang salah masa la. Ko faham-faham je la sekarang ni ekonomi meleset, abang baru je buat bajet tahunan, kurangkan apa yang tak patut. Ni ko datang pulak, tak cukup bajet lah," beritahu Bapak kepada budak itu secara berlapik yang lebih kurang maksudnya Bapak tak nak beli gajet tu.

Tapi pandai pulak menjawab budak ni : " Ala, bang. Pasal ekonomi meleset la abang kena beli gajet ini. Maklumlah macam saya tunjukkan keratan surat khabar tadi, masa ni la banyak jenayah bang, takkan tak sayang kereta,".

"Takkan abang tak mampu. Siap pakai Waja (Proton) lagi. Berapa gaji abang sebulan?".Tanya gajilah pulak mamat ni dan Bapak dah mula tak sedap hati. Lebih setengah jam melayan salesman ni je.

"Kalau abang mampu, paling kurang pun abang dah pakai Toyota Camry dah macam Exco kerajaan negeri dulu. Betul dik, abang banyak tanggungan ni. Kakak ko tu (Orang Rumah Bapak la), tunggu hari je nak bersalin.

"Camnelah, kalau ekonomi dah baik esok-esok, ko datang balik. Tengokla camne," balas Bapak.

Melihat reaksi Bapak, budak dengan perasaan hampa minta diri dan beredar dengan kereta Perodua Kancil yang sedia menunggu di depan pagar rumah Bapak.

Bapak kunci mangga pagar dan masuk ke rumah sambil tersengih-sengih, tak pasal-pasal Orang Rumah Bapak jadi modal nak patahkan hujah salesman tu.

Tidak lama kemudian, Orang Rumah Bapak keluar dari dapur sambil menatang dua mangkuk bubur pulut hitam yang panas, baru dimasak. Terus Bapak lupa peristiwa sebentar tadi, layan bubur lagi best!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails