Translate

Sahabat Bapak

Monday, October 24, 2011

Sport : Tragedy, Glory & Lesson

Marco Simoncelli, 24, maut selepas terlibat dalam kemalangan yang turut membabitkan Colin Edward dan Valentino Rossi ketika Perlumbaan MotoGP  Shell Advance Malaysia 2011 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru empat minit bermula.

New Zealand (All Black) muncul juara Piala Dunia Rugbi 2011 selepas menewaskan Perancis 8-7 pada perlawanan akhir.


Manchester United dibelasah 1-6 oleh jiran, Manchester City di Old Trafford. Kekalahan pertama musim ini dan di tempat sendiri sejak April 2010.

Saturday, October 22, 2011

Muzium Kapal Korek Tanjung Tualang

Di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, Tanjung Tualang dekat Batu Gajah, terdapat  tinggalan satu-satunya kapal korek yang masih ada di negara ini.
Kapal korek yang dinamakan Kapal 5 ini merupakan sumbangan Malaysian Mining Corporation (MMC) kepada kerajaan Perak sekitar 1990-an untuk dijadikan monumen sejarah dan tarikan pelancongan.

Dikhabarkan suatu masa dulu sebelum industri perlombongan bijih timah malap pada 1980-an, terdapat  40 kapal korek beroperasi di sekitar Lembah Kinta terutama Chemor, Ipoh, Gopeng, Batu Gajah, Papan, Tronoh dan Malim Nawar.

Kapal 5 kemudiannya dijadikan muzium di bawah seliaan Osborne & Chappel Sdn Bhd (OCSB) dan dibuka kepada awam dengan caj RM5 (dewasa) dan RM3 (kanak-kanak) pada awal 2009.

Namun tidak lama kemudian ia terpaksa ditutup setelah kapal korek itu hampir tenggelam dengan 18 peratus plantunnya senget ke dalam lombong.

Namun dengan campur tangan kerajaan negeri Perak, dana RM1.4 juta sumbangan bekas pelombong bijih timah berjaya dikutip menerusi tabung 'Selamatkan Kapal Korek'.

Kini Kapal 5 sedang dibaikpulih dan fasa pertama iaitu mengapungnya semula telah berjaya dilakukan baru-baru ini dengan kos RM420,000.

Fasa kedua, kapal korek itu akan dicat semula dan fasa terakhir beberapa kemudahan seperti papan info dan skrin sesentuh akan dipasang di sekitar Kapal 5 untuk manfaat pelancong.

InsyaAllah, Muzium Kapal Korek akan dibuka semula kepada awam pada awal tahun depan yang kebetulan merupakan Tahun Melawat Perak.
Bagi Bapak, selain nilai sejarah dan kejuruteraan yang begitu tinggi, kapal korek itu  merupakan tanda kenangan Lembah Kinta pernah gemilang di peta dunia sebagai pusat perlombongan bijih timah utama dunia.

Cuma pusat informasinya perlu lebih interaktif perhatian pelancong terutama generasi muda. Sayang, bahan ada tetapi susun aturnya sangat berserabut...


Wednesday, October 19, 2011

WW : IT Savvy

Sorang satu. Kalau tak, berebut...

Monday, October 10, 2011

Racing moto dalam rumah

Sedar tak sedar sudah lebih setahun motosikal mini (kisahnya di sini) yang dibeli Atuknya sebagai hadiah Aidilfitri tahun lalu menjadi hak milik Khalish.

Sebelum ini motosikal mini tak berapa meraih perhatian Khalish, dia lebih suka bermain dengan kereta mininya.  (entry ini) Namun selepas adiknya, Ilhan bermain-main dengan motosikal mini itu (pegang-pegang dan bunyikan hon sahaja, mana boleh tunggang lagi, Ilhan berjalan pun belum..heheh), Khalish semakin prihatin dengan hadiah Atuk itu.

Macam biasa laman permainan kesukaan Khalish ialah ruang tamu. Pening juga Bapak dan Orang Rumah Bapak tengok Khalish tawaf ruang tamu itu dengan motosikal mininya. Bukan sekali dua tetapi beratus-ratus kali tanpa mengenal bosan!

Pandai pula Khalish mengawal motosikal mini agar tidak melanggar sofa dan Ilhan yang suka merangkak merayau keliling rumah. Bagaimanapun dengan bunyi bising enjin motosikal dan bunyi hon kadang-kala mengganggu tumpuan untuk menonton televisyen.

Apabila dilarang, Khalish buat tak tahu sahaja, apabila bertegas pula, dia melalak..alahai...Puas cari idea untuk menghentikannya...

Akhirnya saat ditunggu-tunggu tiba...Akibat terlalu lama bermain, dua tiga hari kemudian, bateri motosikal mini mula lemah dan sudahnya ia berhenti sendiri.

Khalish panik sambil menjerit : "Ayah..ayah..(nak minta tolong la tu),"

"Dah rosak, tu la Khalish main lama-lama sampai rosak..," helah Bapak malas nak caj bateri motosikal mini tu.

Bapak dan Orang Rumah Bapak tersenyum apabila Khalish menolak sendiri motosikal mini yang disangkanya rosak itu ke dalam stor semula.

Kegembiraan kami agaknya tak lama apabila suatu pagi, Khalish yang merenung ke luar rumah tiba-tiba memanggil Bapak.

"Ayah..ayah..situ, situ..moto situ..," beritahunya.

Rupa-rupanya Khalish menunjuk bengkel membaiki kereta di seberang jalan rumah, nak suruh baiki motosikal mini dia la tu..

Bapak buat-buat tak dengar dan kembali ke meja makan menikmati sarapan...

Friday, October 7, 2011

ICU dek serangga hijau...

Semalam Bapak dan beberapa rakan mengikuti lawatan kerja ke tapak Taman Rimba Kledang Saiong. Taman rimba yang terletak cuma 2 km dari rumah Bapak itu dijangka dibuka kepada awam pada Februari depan.

Tak sangka di sebalik estet ladang getah terbiar yang sebahagian besarnya kini menjadi kawasan perumahan kepada bandar terancang yang diuar-uar bakal menjadi mini Putrajaya ini, tersimpan khazanah flora-fauna berharga.
Air sungai yang jernih, kawasan air terjun tujuh tingkat dan peluang mendaki gunung setinggi 1,085 meter antara yang ditawarkan taman rimba berkenaan.

Dengan penerangan  pengawai kanan Jabatan Perhutanan Perak, kami juga mengenal beberapa spesies pokok hutan seperti kledang, kulim, gaharu dan kacip fatimah.

Tapi masuk hutan yang baru diteroka ada cabarannya. Sedang asyik memerhatikan aliran sungai yang jernih, seorang rakan sekerja Bapak mengadu digigit serangga seperti nyamuk berwarna hijau.

Mula-mula cuma gatal-gatal kecil tapi tidak lama kemudian badannya terutama muka mula bengkak-bengkak. Melihat keadaannya itu, beliau segera dihantar ke klinik berdekatan.

Rakan sepejabat Bapak itu kemudiannya dirujuk ke hospital. Sampai di hospital, doktor mengarahnya di tahan di dalam wad untuk pemantauan.
 Pada asalnya wad biasa tapi setelah muntah dan pitam pada sekitar pukul 2 petang, rakan sepejabat terus ditukar ke wad ICU.Doktor memberitahu beliau mengalami keradangan dan mungkin terkena sengatan serangga seperti lebah.

Bapak yang melawat rakan sepejabat Bapak itu di wad ICU melihat keadaanya stabil walaupun masih lemah.

Sehingga kini identiti serangga berwarna hijau itu masih belum diketahui, itu cabaran kami bekerja. Semoga rakan sepejabat itu cepat sembuh...

RIP Steve Jobs

 Pengasas Apple Inc, Steve Jobs meninggal dunia semalam, dua hari selepas Iphone 4s dilancarkan.

Kematian beliau tidaklah mengejutkan kerana Jobs dilaporkan menderita kanser pankreas sejak bertahun-tahun lalu. Malah Jobs seakan-akan sudah tahu masanya hampir tiba dengan melakukan peralihan pengurusan Apple pada Ogos lalu.

Bapak membesar pada zaman negara ini baru mengenal internet. Sebagai remaja yang baru hendak mengenal jati diri dan bercita-cita besar, Bapak dan dua rakan sekelas Bapak pada ketika itu bercita-cita untuk menjadi taikun IT dunia.
Dua individu  yang selalu menjadi petunjuk aras dan kami bandingkan pada masa itu ialah Bill Gates dan Steve Jobs. Kami mahu mencipta firma sebesar Microsoft dan Apple...

Kisah hidup dan perkembangan syarikat kedua-dua tokoh itu kami baca dan kaji. Walaupun selepas 14 tahun kemudian, cita-cita itu tak pernah kesampaian dan kami membawa haluan masing-masing, keghairahan pada usia belasan itu memberi pedoman besar kepada Bapak.

Jika kita mengikuti sejarah hidup Jobs, mendiang pernah kehilangan kepentingan dalam syarikat yang diasasnya sendiri pada 1984 sebelum kembali menerajui Apple pada 1997.

Sejak itu Apple yang agak bergantung kepada Macintoch, mengorak langkah kepada pengenalan produk iPod, iPad dan iPhone yang menjadi revolusi kepada dunia digital dunia.

Kesungguhan, dedikasi dan daya inovasi Jobs menongkah arus menjadikan Apple terus gagah sehingga hari ini walaupun pernah hampir tenggelam dek kekuatan syarikat saingan yang gergasi.

Ia merupakan pengajaran yang lebih penting daripada kita memperkatakan tentang bapa biologinya seorang Syiria yang bukan sahaja tidak pernah menjaganya setelah Jobs dilahirkan sebagai anak luar nikah malah dilaporkan tidak mengamalkan ajaran Islam...




Thursday, October 6, 2011

Tak dapat outdoor, indoor pun jadilah...

Semalam Bapak cuti rehat mingguan. Pagi-pagi Bapak keluar rumah untuk menghantar kereta ke spa (servis kereta da...).  Bengkel kereta tu bukan jauh, depan rumah sahaja.

Khalish dan Ilhan yang ingat Bapak nak berjalan kecoh nak ikut. Khalish menjerit-jerit : "Nak kuar, nak kuar" sementara Ilhan buat 'drama' berpaut dan mengoncang-goncang gerigi besi seraya buat muka kasihan...

Untuk meredakan protes kedua-dua beradik itu, ibu mereka memandai menabur janji manis, kami sekeluarga akan bersiar-siar mengambil angin pada sebelah petang.
  Mahu tak mahu janji tersebut ditunaikan selepas solat Asar. Mulanya nak bawa dua beradik itu bermain di taman permainan di Padang Polo tetapi malangnya cuaca gelap dan tidak lama kemudian hujan mula turun...
 Alternatif lain dicari, kami ke sebuah pusat membeli-belah di Ipoh ni. Kebetulan medan seleranya ada ruang permainan kanak-kanak.

Ralit Khalish bermain, Ilhan pun tak nak kalah. Apabila sudah asyik bermain, nak ajak balik punyalah payah. Jalan penyelesaian bagi upah makan donut dan aiskrim.

 Penyudahnya dalam perjalanan balik ke rumah sebelum senja, Khalish dan Ilhan terlelap di dalam kereta...















Wednesday, October 5, 2011

WW : Sabar menanti pizza ibu...


Tuesday, October 4, 2011

Membeli nombor ekor di bank

Semalam selepas makan tengah hari, rakan sepejabat Bapak mengajak menemannya ke sebuah bank yang terletak di tengah-tengah bandar raya Ipoh untuk menunaikan ceknya.

Sebaik sampai ke bank itu, beliau terus mengambil nombor giliran sambil Bapak mengambil kesempatan berurusan dengan mesin ATM..

Oleh kerana gilirannya masih panjang, Bapak berpusing-pusing di dalam bank tersebut sambil membaca beberapa risalah pembankan.

Di satu sudut Bapak perhatikan peel seorang lelaki. Dalam lingkungan 40-an rasanya. Suaranya lantang sedang berbual-bual dalam bahasa Tamil yang diselangi bahasa Inggeris dan Melayu.

Pelanggan lain tidak memperdulikan dia, mungkin sedang berbual menerusi telefon bimbit dengan menggunakan bluetooth tapi di telinga tak nampak pula gajet tersebut...

"Aku rasa ada tak kena dengan mamat yang duduk depan sekali tu.Kita tunggu je apa yang akan jadi," kata Bapak kepada rakan sepejabat Bapak.

Tak lama kemudian, nombor giliran lelaki itu tertera dan dia segera berlari menuju ke kaunter. Sampai di tengah jalan dia berhenti seraya berkata mahu ke kaunter 8 (sedangkan bank itu cuma ada 4 kaunter dengan 2 kaunter sahaja beroperasi...)

Sampai di kaunter no 2, dia dengan lantang memberitahu :

"Kasi nombor ekor!." Terkejut kerani wanita kaunter tersebut dan hampir semua pelanggan di dalam bank itu ketawa serentak.

"Mana ada nombor ekor, sini bank bukan kedai 3D!," balas kerani wanita itu berulang kali kepada lelaki terbabit. Penyataan terakhir sengaja dinyaringkan dengan nada garang bagi menyembunyikan ketakutannya.

"Kalau tak da jual nombor ekor jangan marah-marah," balas lelaki itu beredar sambil mengomel-ngomel dalam bahasa Tamil.

Dalam riuh-riuh tersebut, seorang pelanggan lelaki yang berpakaian baju pak guard memberitahu lelaki terbabit selalu ditemuinya membuat kacau dan meminta sedekah ketika dia bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Yer ker.. yang tadi buat-buat macam lelaki tak wujud kenapa? hehe...Eh, mana polis bantuan bank ini? hehe..
















Monday, October 3, 2011

Mengenang Fatah (Lagak A Mamud)

Beberapa hari lalu ketika Bapak menyelak suratkhabar, Bapak terbaca berita mengenai kartunis Fatah.

 Sayu melihat keadaannya yang uzur dan terpaksa berkerusi roda akibat penyakit saraf tulang belakang  yang dideritai sejak beberapa tahun lalu.

Tambah menyedihkan dalam usia 57 tahun, Fatah yang menetap bersama ibunya di Kampung Alur Tembusu, Dungun dan bergantung hidup bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM).

Consortium Cartoonist At Work (CAW) memberi komitmen membantu memasarkan lukisan Fatah bagi
 menampung kos rawatan perubatan dan perbelanjaan hidup.

Selesai membaca berita itu, Bapak segera ke bilik bacaan dan mencari koleksi Lagak A Mahmud yang dibeli pada usia muda Bapak.

Sebelum itu karya-karya Fatah pernah Bapak baca dalam majalah Gila-Gila, majalah satira komik yang Bapak baca sejak mula merangkak membaca lagi.
Fatah bukan calang-calang kartunis. Stoke lukisannya begitu rapi dan jalan ceritanya asli dengan budaya tempatan.

Biarpun pekat dengan loghat Terengganu, ia tidak menghalang Bapak daripada memahami susur galur budaya, sejarah dan cara hidup masyarakat negeri Pantai Timur itu terutama pada zaman 60-an dan 70-an menerusi Lagak A Mamud.

Batin Bapak tergerak untuk membantu Fatah. Tapi bagaimana?

Buat permulaan Bapak doakan agar dia segera sembuh daripada deritanya. Terima kasih kerana telah memberi input berguna secara santai dan menwarnai zaman kanak-kanak Bapak.

Bapak akhiri dengan perenggan terakhir prakata Fatah dalam koleksi Lagak A Mamud :

'Semuanya ini wujud kerana hari ini adalah juga untuk tatapan pada hari esok.'



Saturday, October 1, 2011

Lukisan abstrak di perut...

Selepas pulang ke pasar membeli barangan basah dan menunggu Orang Rumah Bapak menyiapkan hidangan makan tengah hari, Bapak bersantai sebentar.

Ilhan lena tidur, Khalish menonton animasi Tarzan di saluran Disney. Mahu tak mahu kena layan Tarzan sebab Khalish sudah ralit menontonnya, apa tah lagi alat kawalan jauh (remote control) televisyen sudah berada di bawah ' kawalan' dia...

Sesekali sahaja, Khalish keluar dari ruang tamu untuk minum air dan ambil biskut sebelum menonton televisyen semula sehingga animasi Tarzan itu tamat.

Berbaring di atas sofa buat mata Bapak pejam celik, pejam celik. Lama-lama terlena.Sebelum mata tertutup, Bapak perasan Khalish sudah sengih-sengih memandang Bapak tetapi Bapak buat tak tahu sahaja.
Sedar-sedar seperti ada objek menari-menari di atas perut Bapak. Apabila membuka mata, perut Bapak penuh dengan contengan pen hasil karya Khalish.

"Apa ni Khalish, mana dapat pen ni?," respons Bapak sambil Khalish seperti biasa secara spontan membuat aksi 'memadam' dengan menggeselkan bantal busuknya di contengan tersebut.

"Khalish nak lukis gambar senyum kat perut kot cam iklan tu," jelas Orang Rumah Bapak dari arah dapur sambil gelak-gelak.

Tak cukup kertas, buku, dinding dan lantai, perut ayah pun Khalish nak conteng yer....


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails