Translate

Sahabat Bapak

Thursday, September 29, 2011

Musim tisu cepat habis...

Sejak dua minggu lalu keluarga Bapak dilanda selesema dan  batuk. Mula-mula Orang Rumah Bapak, kemudian menjangkit kepada Khalish.

Sepanjang dua tiga hari, dia tak aktif dan asyik terbaring je. Bagus juga takde senario barangan mainan terbang; salah satu cara  bermain yang paling Khalish suka...Yang tak sedap, dia asyik menangis seraya hingus meleleh ke bawah hidung...

Selepas Khalish kebah, giliran Ilhan pula menyusul. Sepanjang malam dia tak lena tidur. Penyudahnya, doktor menasihat Ilhan menjalani nebulizer..alahai...
Sekarang giliran Bapak pula.Semalam gara-gara ubat selesema, setengah hari Bapak mamai dekat depan skrin komputer...

Friday, September 23, 2011

Baru merangkak, tangga sudah ditawan

Sejak kelahiran Ilhan, tangga batu yang setinggi 16 tingkat sudah di pagar.

Sering kali juga Khalish membuat taktik membaling bantal busuk dan permainannya  ke arah tangga untuk mempengaruhi ayah dan ibunya membuka pintu pagar itu namun biasanya tidak berjaya.

Bagaimanapun pintu pagar tangga itu akan dibuka pada selepas Subuh dan hampir waktu Maghrib untuk kemudahan Khalish.

Pagar dibuka pada awal pagi untuk memudahkan Khalish menjejak Bapak dan Orang Rumah Bapak sebaik bangun tidur, jika tidak dia akan melalak sakan sampai ayah dan ibunya di depan mata.

Waktu Maghrib pula untuk membolehkan dia solat jemaah bersama-sama. Bukan betul-betul, berlatih sahaja.

Dengan berkopiah dan sejadah dia dibentangkan di saf belakang, Khalish akan meniru gerak dan bacaan solat (sujud masih tak lepas, asyik jadi posisi berbaring pula..heheh)

Ilhan pula sejak berlatih berdiri ini sudah pandai memegang pintu pagar tangga sambil mengoyang-goyangkannya tapi setakat itu sahajalah...heheh..
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Beberapa hari lalu seperti biasa selepas Subuh, Bapak membuka pintu pagar tangga. Khalish dan Ilhan bangun awal dan pagi-pagi mahu menonton VCD Upin Ipin di ruang tamu sambil pintu pagar dibiarkan ternganga. Orang Rumah Bapak sedang sibuk memasak sarapan di dapur.
  Bapak naik semula ke bilik tingkat atas untuk bersiap ke tempat kerja. Sedang bersiap, Bapak terdengar bunyi tapak kaki melangkah setapak demi setapak anak tangga. Ingatkan Khalish rupa-rupanya Ilhan!

Dia yang baru tahu merangkak dan berlatih berdiri tersengih meniti anak tangga ke-10. Orang Rumah Bapak meluru keluar dari dapur dan menjerit dari bawah, Khalish yang sebelum ini sedang ralit menonton tv buat-buat prihatin memarahi adiknya naik tangga senyap-senyap.

Ilhan tak peduli dengan semua reaksi itu dengan selamba meneruskan pendakiannya hingga anak tangga terakhir kemudian tergelak apabila Bapak segera mendukungnya.
 Kejadian hari itu nampak tak beri pengajaran kepada kami, semalam Ilhan yang kini berusia 10 bulan memanjat tangga sekali lagi selepas melihat pintu pagar terbuka. Kali ini lebih yakin namun sebaik sampai ke tingkat atas, dia hendak turun tangga pula dengan cara merangkak, nasib baik cepat-cepat disambar Bapak yang sedia memantau dari awal.

Apa pun selepas ini peraturan membuka pintu pagar tangga akan diperketatkan....


















Wednesday, September 21, 2011

Wordless Wednesday : Berebut Cempedak Goreng

Ilhan tunjuk muka kesian, Khalish buat muka selamba...hehhe

Monday, September 19, 2011

Ilhan berlatih berdiri

Khalish sedang diserang selesema. Mungkin menjangkit daripada ibunya. Walaupun tak demam, akibat tak selesa, dia tak berapa aktif dan asyik baring.

Kesempatan ini diambil Ilhan yang kini berusia 10 bulan untuk menunjukkan 'taringnya'. Dia bebas bermain dengan permainan abangnya yang selama ini tak bebas disentuh...

Hampir segenap rumah dari ruang tamu hingga ke dapur dan bilik telah dijelajahi dengan merangkak.

 Walaupun masih tidak boleh duduk betul, Ilhan sudah belajar berdiri sejak sebulan lalu. Tak seperti Khalish dulu yang disiplin berlatih berdiri di sofa kecil khas yang dibeli untuknya, Ilhan pula apa pun boleh asalkan boleh bersandar.

Sofa rumah, tangga, jerigi rumah, almari, katil malah dinding pun jadi pusat dia berlatih berdiri. Sambil berdiri Ilhan menjerit-jerit dalam bahasanya sendiri. Kadang-kala tak sangka budak yang suara halus masa baru lahir kini 'high pitchnya' dah hampir sama dengan abangnya, Khalish..heheh

Semuanya perlu dipantau terutama apabila dia meniti dinding dari hujung ruang tamu sampai ke pintu bilik belakang dengan selamba.

 Dalam pantau-pantau, banyak kali juga Ilhan berjatuh...melalak tak ingat, selang seminit berpaut semula dan berlatih berdiri. Risau jugak, yelah kepalanya masih lembut lagi...













Sunday, September 18, 2011

Gigi pertama Ilhan!

Perkembangan Ilhan memasuki fasa baru apabila giginya tumbuh pada hari raya kedua lalu.

Dua batang sekali, satu di sebelah atas manakala satu lagi sebelah bawah. (Gigi sebelah atas yang baru tumbuh separuh macam gigi kapak je...heheh)

 Beberapa hari kemudian tumbuh sebatang gigi lagi di sebelah atas.

Bapak dan Orang Rumah Bapak lega gigi Ilhan sudah keluar dan tak perlu risau lagi setiap kali dia mahu mengikut abangnya, Khalish dan Ilhan makan biskut dan buah.

Ilhan sekarang sudah mula belajar mengigit dan mengunyah makanan sedikit demi sedikit.

Cuma gelagatnya suka melaga-lagakan gigi bawah dan atasnya sambil tersengih-sengih agak merisaukan...normalkah itu dan tak akan memberi kesan kepada susunan giginya kan?










Friday, September 16, 2011

Selamat Hari Malaysia!

Hari ini genap 48 tahun pembentukan Malaysia yang dianggotai Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia), Borneo Utar (Sabah) dan Sarawak. Singapura pernah menjadi anggota negara ini sebelum disingkirkan pada  9 0gos 1965. Brunei pula pernah dipelawa menyertai Malaysia namun menarik diri berikutan penentangan penduduk tempatan yang didalangi Indonesia.

Pengisytiharan Malaysia sepatutnya pada 31 Ogos 1963 namun terpaksa dilewatkan selama 16 hari berikutan bantahan dan tentangan hebat daripada Indonesia dan Filipina.


Tarikh 16 September digazetkan kerajaan menjadi cuti umum mulai tahun lepas.

Malam tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beberapa transformasi perundangan dan hak kebebasan bersuara. Antaranya : -

a) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan
b) memansuhkan Akta Buang Negeri 1959
c) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji semula dengan pembaharuan tahunan dihapuskan dan digantikan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
d) Akta Kediaman Terhad 1933 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967 dikaji semula
e) dua undang-undang baharu akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
f) kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan

Kelonggaran yang diberikan merupakan ujian kepada kematangan rakyat Malaysia untuk menerima input dan meluahkan pandangan secara rasional serta berilmiah. Bukan membuta tuli dan menjadi burung kakak tua serta kuda tunggangan kepada idola politik masing-masing....

Tuesday, September 13, 2011

Kita kurang kemahiran memandu

Kecuaian di jalan raya punca Ops Sikap ke-24 gagal

Oleh Prof Dr Abd Rahim Md Nor

SEPANJANG tempoh 15 hari Ops Sikap ke-24 sempena hari raya baru-baru ini, 19 orang maut setiap hari menjadikan jumlah terkorban 289 orang dalam masa dua minggu saja.

Ketua Polis Negara pada sidang medianya di Bukit Aman pada 8 September lalu berpendapat operasi kali ini gagal dan kecewa dengan sikap orang ramai.

Di Malaysia, antara waktu subuh hari ini hingga waktu subuh esok, kira-kira 17 maut di jalan raya kerana kemalangan. Ini terjadi setiap hari. Jumlah ini besar bagi sebuah negara yang penduduknya pada ketika ini berjumlah sekitar 28 juta orang saja.

Kajian yang saya lakukan terhadap data kemalangan jalan raya di Malaysia mendapati angka 17 kematian sehari ini semakin stabil sejak lima tahun lalu.

Maknanya kadar turun naik harian itu tidak berbeza sangat iaitu purata ini memang amat boleh dipercayai, tidak kira sama ada hari biasa atau hari cuti hujung minggu. Bagaimana pun, angka ini belum berjaya menakutkan orang ramai di negara ini.

Sebenarnya kalau berhati-hati, kemalangan tidak semestinya terjadi, tetapi di negara kita, masih ramai yang menganggap kemalangan jalan raya tidak boleh dielak dan ditentukan oleh takdir.

Ramai percaya setiap kemalangan jalan raya sudah ada tandanya. Misalnya, isteri atau suami atau anak atau saudara mangsa bercerita kononnya kelakuan orang yang meninggal dunia itu agak aneh beberapa hari sebelum peristiwa kemalangan.

Ada juga menyebut mangsa meninggal dunia kerana berpatah balik mengambil barangan tertinggal selepas beratus kilometer memulakan perjalanan.

Kepercayaan tahyul ini menyebabkan mereka masih tidak sedar dan insaf bahawa punca kemalangan ialah kecuaian diri sendiri bukan kerana sudah takdir atau kerana suratan seperti dibayangkan perlakuan ganjil mereka beberapa hari sebelum peristiwa kemalangan.

Ops Sikap menunjukkan kesannya tetapi kejayaannya belum sampai pada tahap yang disasarkan kerana kebanyakan pemandu di Malaysia tidak mempunyai ‘kemahiran’ memandu.

Mereka hanya tahu memandu. Lesen memandu yang mereka peroleh itu bukan bukti mereka mahir memandu; mereka hanya tahu serba sedikit mengenai prinsip memandu lalu terus diberikan lesen.

Apabila mendapat lesen, mereka bebas bergerak di jalan raya, padahal ramai sebenarnya belum layak menempuh arus trafik dan akhirnya membahayakan diri dan orang lain.

Cara negara maju seperti di United Kingdom, Jepun dan Australia menguji calon yang memohon lesen memandu kereta dan motosikal amat berbeza dengan negara kita.

Di Malaysia pemandu motosikal hanya diuji di litar memandu dalam pagar pusat ujian, sedangkan di negara lain mereka diuji juga di jalan raya seperti ujian terhadap pemandu kereta.

Kira-kira 15 tahun lalu, saya gagal dalam ujian memandu kali pertama di United Kingdom walaupun saya memiliki lesen memandu Malaysia selama lima tahun. Saya hanya lulus dan dianugerahkan British Driving License selepas mengambil ujian ulangan.

Penekanan ujian memandu di negara maju untuk mengesan kemahiran, bukan menguji pengetahuan.

Di negara kita latihan singkat selama 16 jam sudah mencukupi untuk melayakkan mereka diuji. Hakikatnya, mereka berlatih bukan dengan sekolah memandu tetapi hanya secara trial and error di jalan raya selepas mendapat lesen.

Keadaan negara kita kini sama keadaan di Jepun pada 1950-an. Ketika itu, kelakuan pemandu di Jepun seperti pemandu di Malaysia pada hari ini. Tetapi, setengah abad kemudian, iaitu Jepun kini antara segelintir negara yang kadar kemalangannya paling rendah di dunia.

Ini bermakna, dari segi kelakuan pemandu di jalan raya, Malaysia ketinggalan 50 tahun di belakang Jepun. Tetapi Malaysia mempunyai masa depan cerah dalam mengurangkan kemalangan jalan raya.

Kajian yang saya lakukan terhadap data kemalangan jalan raya selama 15 tahun mendapati kadar kemalangan jalan raya di negara kita menurun dengan konsisten.

Bilangan kemalangan memang terus bertambah, tetapi kadar kemalangan berkurangan setiap tahun bagi tempoh 1995-2010.

Dalam kajian kemalangan jalan raya, ‘kadar’ merujuk bilangan kemalangan berbanding sesuatu parameter yang relevan seperti jumlah kenderaan, bilangan pemandu dan ukuran panjang jalan raya.

Pada hari ini, dengan bilangan penduduk 28 juta, jumlah kematian di jalan raya di Malaysia ialah 17 orang setiap hari. Data sejarah membuktikan kita tidak mungkin menghapuskan angka positif ini.

Manusia tetap manusia, dengan segala kelebihan dan kekurangannya. Dengan kata lain, setiap hari mesti ada orang terkorban di jalan raya di negara ini, sampai bila-bila.

Cuma matlamat kita dalam jangka masa terdekat ialah menurunkan angka kematian kepada digit tunggal, misalnya sembilan kematian sehari atau kurang.

Saya mencadangkan prosedur ujian memandu di Malaysia dirombak semula supaya dapat menghasilkan bakal pemandu yang bukan saja mempunyai ‘pengetahuan memandu’ tetapi juga ‘mahir memandu’.

Penulis ialah Pakar Pengangkutan Awam dan Timbalan Dekan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Berita Harian

Bulgaria haram bahasa asing

Akta Penggunaan Bahasa Bulgaria diluluskan di Parlimen

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

BULGARIA bakal mengharamkan penggunaan bahasa asing acara rasmi termasuk mesyuarat, perarakan dan perbarisan apabila Akta Penggunaan Bahasa Bulgaria diluluskan di Parlimen pada persidangannya bulan depan.

Agensi Berita Sofia mendedahkan akta itu sudah pun diserahkan kepada Parlimen dan akan dibahaskan ahli Parlimen pada persidangannya yang akan bersambung semula selepas ditangguhkan sempena musim panas, baru-baru ini.

Di bawah akta itu, Majlis Bahasa Bulgaria dengan kuasa Kabinet bertanggungjawab memastikan kemurnian bahasa kebangsaannya terpelihara dan akan memanfaatkan warta negara sebagai wadah menyebarkan hukum tatabahasa, sebutan dan penggunaan perkataan asing kepada masyarakat.

Majlis Bahasa Bulgaria diketuai Pengerusi Institut Bahasa Bulgaria, Akademi Sains Bulgaria (BAS), manakala keanggotaannya dipilih dari institut itu, universiti dan sekolah.

Dengan terlaksananya akta itu, penggunaan bahasa asing akan diharamkan pada apa juga acara rasmi dan sekiranya ia membabitkan peserta dari luar negara, khidmat penterjemah perlu disediakan.

Di bawah akta itu juga, Majlis Bahasa Bulgaria akan melaporkan penggunaan bahasa kebangsaan kepada Parlimen setiap tahun, sekali gus mendedahkan sejauh mana pematuhannya di institusi awam seperti kementerian, pihak berkuasa tempatan (PBT), mahkamah, suruhanjaya dan agensi kerajaan.

Tindakan Bulgaria itu bakal mengekori sebahagian anggota Kesatuan Eropah (EU) yang memiliki akta bahasa kebangsaan seperti Ireland yang meluluskannya pada 2003 bagi memastikan penggunaan bahasa Irish oleh agensi awam, sekali gus menubuhkan Suruhanjaya Bahasa untuk mengawasi dan menguatkuasakannya.

Suruhanjaya itu turut berfungsi memberi saranan kepada nama tempat dalam bahasa Irish, selain membuang status rasmi bahasa Inggeris dalam penamaan itu di Gaeltacht, iaitu wilayah yang diiktiraf kerajaan sebagai dominasi bahasa Irish.

Selain Ireland, negara lain yang melaksanakan polisi bahasa kebangsaan ialah Belgium yang dipertanggungjawabkan kepada Kesatuan Bahasa Belanda; Latvia (Pusat Bahasa Kebangsaan Latvia); Poland (Majlis Bahasa Polish); Slovakia (Institut Linguistik Bahasa Slovak) dan Wales (Majlis Bahasa Welsh).

Antara negara yang paling awal meletakkan batu asas dalam memperkukuhkan bahasa kebangsaan ialah Perancis melalui Ordinan Villers-Cotterets pada 1539, sekali gus menggantikan bahasa Latin sebagai bahasa rasmi untuk dokumen rasmi dan undang-undang.

Pada 1992 pula, Perlembagaan Perancis dipinda untuk menjelaskan kedudukan bahasa Perancis sebagai bahasa republik, manakala Undang-undang Toubon pula diluluskan pada 1994 yang memberikan kuasa kepada kerajaan dalam isu bahasa.

Undang-undang itu mewajibkan penggunaan bahasa Perancis dalam penerbitan rasmi kerajaan dan perdagangan seperti pengiklanan, kontrak serta sebahagian komunikasi bersifat komersial, selain dalam persekitaran tempat kerja dan sekolah yang menerima dana kerajaan.

Meskipun ia tidak membabitkan urusan peribadi dan komunikasi bukan komersial serta buku, filem dan pidato awam, undang-undang itu mewajibkan penggunaan bahasa Perancis dalam program siaran audio dan visual kecuali muzik dan filem asing.

Penggubalan undang-undang itu juga bukan semata-mata bersifat atas kertas kerana anak syarikat Amerika Syarikat (AS) di Perancis didenda RM2.1juta (€500,000) dan RM84,000 (€20,000) sehari pada 2006 ekoran perisian dan dokumen teknikal kepada kakitangannya dalam bahasa Inggeris saja.

Pensyarah Kanan, Unit Bahasa Perancis, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Haslinda Md Isa, berkata Academie Fransaise bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan dan penggunaan bahasa Perancis di negara berkenaan.

“Academie Fransaise yang ditubuhkan pada 1635 asalnya mempunyai kaitan dalam kepentingan politik, tetapi lama kelamaan perkembangannya berpusatkan kepada bahasa.

“Peranan utamanya adalah untuk menetapkan bahasa Perancis dengan menentukan piawaian terhadap tatabahasa dan perbendaharaan yang dapat diterima, selain menerima perubahan linguistik semasa,” katanya kepada Sastera di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.

Academie Fransaise, kata Haslinda, menjadi kata pemutus kepada sebarang polemik dan perdebatan mengenai bahasa Perancis yang ditentukan oleh anggotanya yang membabitkan tokoh dalam pelbagai bidang.

“Ia dianggotai 40 ahli jawatankuasa yang dikenali sebagai les Immortels atau les Quarante dan sesiapa yang terpilih sebenarnya mendapat penghormatan tertinggi dan memegang jawatan itu seumur hidup.

“Selain Academie Fransaise, tanggungjawab memelihara dan mengembang bahasa Perancis turut dipikul oleh L’Alliance Francaise dan La Francophonie yang berperanan memperluaskan penggunaannya di negara lain yang mempunyai penutur bahasa terbabit,” katanya.

Tuesday, September 6, 2011

Birthday hijrah

Jika mengikut kalendar hijrah, Bapak dilahirkan pada 2 Syawal 1401. Oleh kerana ulang tahun kelahiran Bapak mengikut kalendar Masihi pada pertengahan bulan lalu, Bapak tiada di samping keluarga (ayat..heheh), Ayah dan Mama sepakat untuk menyambutnya pada Aidilfitri ini.
 Orang Rumah Bapak sengih-sengih dan bisik-bisik, kata Bapak anak manja keluarga...heheh..

Tidakla beriya-iya, sekadar memotong sebiji kek dan Mira memainkan lagu 'happy birthday' dengan keyboard barunya.

Selepas itu Bapak cuba memainkan lagu 'Musafir di Aidilfitri' sambil memakai spek hitam pinjam tetapi kord ada lari sikit... rupanya Khalish sudah kacau...heheh
 Selepas itu keyboard itu seakan-akan menjadi hak milik Khalish yang bergaya ala komposer berjaya sehinggalah  dia kepenatan...heheh...







Monday, September 5, 2011

Aidilfitri 1432 fasa pertama

Oleh kerana pada tahun ini, Bapak bertugas seawal hari raya ketiga, sambutan Aidilfitri kali ini dibahagikan kepada dua fasa.

Fasa pertama dari dua hari sebelum raya hingga raya kedua di rumah orang tua Bapak di Petaling Jaya sementara fasa seterusnya bermula esok hingga Jumaat ini di kampung Orang Rumah Bapak di Masjid Tanah.
 

Aidilfitri kali ini kali pertama buat Ilhan dan ketiga bagi Khalish.

Mengikut tradisi keluarga, malam raya lebih mewah dengan makanan berbanding pagi raya sebab menu berbuka puasa  kami ialah hidangan panas-panas seperti rendang, lemang dan ketupat yang sepatutnya dirasai pada pagi 1 Syawal.

Atas permintaan adik bongsu Bapak, Mira, Orang Rumah Bapak juga menambah menu Syawal dengan kek keju oreo yang menjadi kegemaran Khalish.

Sebelum raya, mereka dibelikan kopiah untuk dipakai pada pagi Aidilfitri. Masa cuba acu di kedai, Khalish tak berapa berkenan kepalanya dipakaikan kopiah. Cepat-cepat mencabutnya dan kopiah itu dibaling tapi pada pagi raya, situasi terbalik. Ilhan pula yang meragam, Khalish rilek sahaja beraksi dengan kopiah rayanya.
Selepas solat sunat Aidilfitri, kami bersalaman dan bermaafan seluruh keluarga sebelum rumah saudara dan jiran terdekat.








LinkWithin

Related Posts with Thumbnails