Translate

Sahabat Bapak

Wednesday, May 22, 2013

Muzium Belia Malaysia : Tribute to Ali Rustam

Sebelum pulang ke Ipoh tempoh hari, kami singgah ke Bandar Hilir, Melaka. Motif sebenarnya Orang Rumah Bapak nak mendapatkan rawatan muka (berfacial) di salon kesukaannya sejak zaman anak dara lagi.

Sesi tersebut memakan masa lebih sejam. Tak sanggup Bapak, Khalish dan Ilhan sekadar duduk di ruangan menunggu salon itu sahaja. Bapak angkut kedua-dua beradik itu berjalan-jalan di kawasan sekitar di Jalan Laksamana yang merupakan antara lokasi tumpuan pelancongan di bandar Melaka.

Kebetulan Jabatan Kebudayaan Melaka sedang mengadakan pameran jelajah termasuk persembahan dondang sayang, tarian dan permainan gasing di tebing Sungai Melaka. Namun sebab cuaca agak terik, Bapak mencari lokasi lain yang berhawa dingin untuk keselesaan Khalish dan Ilhan.
Apatah lagi kehadiran pelancong pada tengah hari buta itu agak padat, biasalah Melaka. Dengan tiket RM2, (Khalish dan Ilhan percuma), kami memasuki Muzium Belia Malaysia.

Agak kontra dengan persekitaran luar, hanya lima orang pengunjung muzium tersebut pada masa itu. Selain kami bertiga, ada dua orang pelancong Mat Salleh.

Sebelum dijadikan muzium pada 1992, premis yang dibina pada 1821 pada era penjajahan Belanda tersebut pernah menjadi rumah kepada paderi yang berkhidmat di gereja bersebelahan, Sekolah Tinggi Melaka dan Pejabat Pos Besar Melaka.
Selaku bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), muzium itu agak penuh dengan tinggalan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang  karier politiknya boleh dikatakan telah 'dimatikan' pada PRU-13 baru-baru ini.

Jangan tak tahu, Ketua Pembangkang pun bekas Presiden MBM selain bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed. Khir Toyo. Oleh itu kisah mereka semasa aktif dalam aktiviti belia pun ada diselitkan di muzium ini.
Antara ruangan pameran yang terdapat di sini ialah sudut Menteri Belia dan Sukan, Pakaian Rasmi, Persatuan-Persatuan Belia dan Logo-Logo Persatuan Belia.

Bapak tak dapat mengambil masa lama untuk  menilik khazanah yang tersimpan di muzium ini kerana Khalish tak berapa 'sporting', dia asyik tarik tangan Bapak suruh berjalan cepat.
Selepas itu, kami naik ke tingkat dua yang menempatkan Balai Seni Lukis Melaka. Galeri yang dibuka pada 2008 ini menempatkan 150 lukisan dan 30 arca karya artis tempatan dan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails