Translate

Sahabat Bapak

Thursday, May 23, 2013

Dari Kepala Batas ke Kuala Muda

Hujung minggu lalu, Orang Rumah Bapak mempunyai urusan di Kepala Batas, Pulau Pinang. Berangkutlah Bapak, Khalish dan Ilhan menemani beliau ke sana.

Oleh kerana urusan Orang Rumah Bapak itu boleh dikatakan seharian dari 7.30 pagi hingga 6.30 petang, mahu tak mahu terpaksa kami tiga beranak cari alternatif lain untuk mengisi masa tersebut.

Takkan nak terperap di bilik hotel sahaja (lagi pun daftar keluar pukul 12 tengah hari). Apabila di tanya penduduk tempatan, rata-ratanya kata tiada yang menarik di Kepala Batas ini.
Sebenarnya untuk memberi keadilan kepada pekan yang pernah diwakili Perdana Menteri keempat, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah ini, ada lokasi menarik di Kepala Batas iaitu Rumah Bersejarah dan Pantai Kamloon.

Rumah Bersejarah itu kediaman datuk Pak Lah, Abdullah Fahim yang merupakan lokasi pemimpin negara diketuai Tunku Abdul Rahman menadapat khidmat nasihat 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan yang sesuai kepada negara. Pantai Kamloon yang terletak di Bumbung Lima pula ialah sebuah taman rekreasi.

Ramai yang mencadangkan kami bersiar ke bahagian Pulau. Tapi itu bukan pilihan kerana Bapak masih terkenang peristiwa Tragedi Penang : Datang Ceria, Pulang Bertongkat  kira-kira lapan bulan lalu. Lagi pun Bapak lebih mahukan lokasi yang lebih tenang daripada hiruk-piruk bandar Georgetown..

Pilihan Bapak ialah ke daerah Kuala Muda yang terletak bersebelahan sempadan Kepala Batas. Sebab batasan masa, lokasi yang Bapak, Khalish dan Ilhan jenguk :

a) Pantai Merdeka
Lebih setengah jam sahaja dari pekan Kepala Batas. Pertama kali melihat pantainya yang landai mengingatkan Bapak kepada Pantai Sungai Tuang yang terletak di hadapan rumah mertua Bapak.

Namun begitu suasananya lebih hidup. Dari orang bermain layang-layang, deretan medan selera, gerai jualan kraftangan dan pakaian serta orang yang bersiar-siar sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

b) Tanjung Dawai

Perkampungan nelayan yang terletak berhadapan dengan Pantai Merdeka. Kalau naik bot penambang yang mengenakan caj RM2 sekepala, boleh sampai dalam tempoh dua minit. Kalau mengikut jalan darat melalui bandar Sungai Petani, tambah lagi 30 minit.
Kami cuma ke Arked Peniaga Tanjung Dawai untuk membeli ikan bilis, keropok lekor dan keropok pelbagai jenis yang di pesan Orang Rumah Bapak. Lepak-lepak sekejap di jeti sambil minum air tebu hitam sebelum bergegas pulang.

c) Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Kebetulan hari itu Hari Muzium Antarabangsa. Alang-alang jalan ke Tanjung Dawai melalui pekan Merbok, kami singgah ke muzium tersebut. Jaraknya dari pekan Merbok lebih kurang 2.8 kilometer sahaja.

Agak ramai pengunjung termasuk dari luar Kedai melawat Muzium Arkeologi Lembah Bujang pada hari tersebut.
Berbanding Muzium Arkeologi Lenggong, Bapak berpendapat Lembah Bujang lebih komprehensif, menarik dan mendalam untuk mengetahui ketamadunan silam.

Ada pelbagai candi di atas puncak bukit tapi faktor masa dan keselamatan (laluan di puncak bukit itu penuh dengan batu-batu besar, Bapak bimbang je dengan kelasakan Khalish dan Ilhan yang terpaksa dipantau Bapak seorang diri), kami hanya ke Candi Pendiat.

Kalau ada rezeki, Bapak nak ulang berkunjung ke muzium ini lagi untuk lawat baki tiga candi yang terdapat di situ.

4 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails