Translate

Sahabat Bapak

Friday, April 17, 2009

Lokasi paling hangat di Parlimen Bukit Gantang

Baru-Baru Bapak berpeluang menjejakkan kaki ke tempat paling hangat di Parlimen Bukit Gantang. Opss..ini bukan cerita politik, pilihan raya kecil pun dah habis daa. Tapi serius ini kisah benar, tempat tersebut memang panas, mana tak panasnya kalau suhu di situ boleh melebihi 200 darjah Celsius. Panaskan?

Untuk pergi ke tempat berkenaan, selepas keluar dari Plaza Tol Changkat Jering, masuk kiri menuju ke pekan Changkat Jering.

Sampai di persimpangan lampu isyarat di pekan itu, masuk kiri lagi menuju ke pekan Simpang pula. Setibanya di persimpangan lampu isyarat di tengah-tengah Simpang, masuk kiri lagi menghala ke Matang.

Tiba di simpang yang berhadapan dengan Kota Ngah Ibrahim, belok ke kanan pula menuju ke Kuala Sepetang. Lebih kurang satu kilometer dari Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Bakau Matang, pandang sebelah kiri.

Di situ kita boleh nampak tersergam deretan kilang-kilang kayu arang. Itulah destinasi Bapak kali ini. Panaskan? tak percaya cuba bertapa sejam dua di dalam dapur arang yang berbentuk iglu ni..heheh


Kehadiran Bapak disambut salah seorang tauke kilang arang itu dan beberapa pekerjanya. Tanpa segan Bapak bertanya proses pembuatan kayu arang dari A hingga Z.

Bapak diberitahu, proses pertama, kayu bakau jenis minyak dan kurap ditebang dan dipotong kecil serta dibuang kulitnya sebelum dibawa keluar dari hutan ke kilang dengan menggunakan tongkang.

Kemudiannya, keratan kayu itu dimasukkan ke dalam dapur arang untuk dibakar. Ia akan menjalani tiga proses, pertama, api kecil untuk keringkan air kayu. Kedua, api besar iaitu kayu bakau tadi dibakar pada suhu 220 darjah Celsius hingga benar-benar masak.

Manakala proses terakhir ialah kedap dapur iaitu api dipadamkan dan kayu arang dibiarkan benar-benar sejuk. Semua proses itu memakan masa kira-kira sebulan.

Selepas itu kayu arang dikeluarkan dan dibungkus sebelum dijual untuk pasaran tempatan dan luar negara terutamanya Jepun dan Korea Selatan.

Kerja-kerja di kilang arang ni memang berat, bercampur antara keringat, bara api dan habuk. Bukan calang-calang orang boleh lakukannya, Bapak yang sekadar menjenguk sejam dua pun dah berpeluh-peluh.

Cuma yang Bapak bangga walaupun kerja ini agak leceh dan tak glamour, hampir 98 peratus pekerjanya masih anak tempatan tanpa mengira kaum, Melayu, Cina dan India.Kaum wanita pun ramai, kebanyakannya mewarisi pekerjaan ini daripada datuk dan bapak mereka.

Adalah sekerat dua Bangla dan Indon terselit terutamanya dalam kerja-kerja menebang pokok bakau. Bapak berharap golongan minoriti di industri pembuatan kayu arang ini tidak akan menjadi majoriti pula suatu hari nanti.

Orang kata kayu arang Kuala Sepetang adalah terbaik di Asia dan telah menjadi darah daging penduduk tempatan sejak 80 tahun lalu. Biarlah tradisi ini dikekalkan dan arang itu dihasilkan dari keringat anak watan sendiri...

2 comments:

  1. Bapak,
    Baguslah entri ni.. atleast tahu juga camne proses orang wat kayu arang.. sebulan ek? lama gak tu..

    ReplyDelete
  2. catz_mafia,

    setiap proses api kecil, api besar dan kedap dapur masing-masing memakan masa 10 hari.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails