Translate

Sahabat Bapak

Thursday, April 16, 2009

Allah telah menjemput dia

Kenangan Nora (kanan) bersama keluarga Pak Uda ketika kenduri kahwin Bapak pada 8 Jun 2008.

Sepanjang tiga minggu ini ada beberapa peristiwa yang memberi kesan untuk Bapak renungi. Salah satunya pemergian sepupu Bapak, Nora menemui Pencipta pada akhir bulan lalu.

Nora adalah anak bongsu Pak Uda yang merupakan pelajar semester akhir di Kolej Cosmopoint di Ipoh dan berusia 20 tahun.

Ketika kejadian arwah sedang bercuti di kampung di Teluk Intan. Beliau meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya dalam kejadian yang berlaku hanya kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Dengar ceritanya, motosikal yang ditunggangi arwah di sebelah kiri jalan menghala ke bandar Teluk Intan dirempuh oleh sebuah lori dari arah belakang setelah pemandu lori itu gagal memotong lori lain di hadapannya.

Rempuhan itu kemudiannya menyebabkan arwah tercampak ke arah belakang lori dihadapannya. Salah satu daripada lori berkenaan bertindak memecut laju melarikan diri manakala pemandu lori yang lain membuat laporan di balai polis berhampiran.

Mujur ada penduduk yang bersimpati menghantar arwah ke Hospital Teluk Intan namun Allah lebih menyayanginya, arwah menghembuskan nafas terakhir lebih kurang 20 minit kemudian akibat kerosakan teruk paru-parunya.

Bapak menerima berita itu setelah dihubungi salah seorang bapa saudara sejurus selesai makan tengah hari di Kuala Sepetang. Setelah menyelesaikan semua kerja, Bapak mendapat pelepasan untuk menziarahi jenazah Nora oleh Bos.

Bapak dan Orang Rumah Bapak sampai ke rumah Pak Uda setengah jam lebih awal daripada Ayah dan Mama yang bergerak dari Petaling Jaya, Selangor.

Tiada apa yang boleh Bapak lakukan apabila melihat jenazah Nora terbujur di satu sudut di rumah itu selain menyedekahkan al-Fatihah dan Yassin.

Cucu Opah tak ramai cuma 12 orang sahaja dan kali terakhir keluarga ini kehilangan ialah apabila arwah Atuk meninggal dunia pada 1989. Masa itu cucu Opah dan arwah Atuk cuma lima orang sahaja dan Noralah cucu pertama yang lahir selepas pemergian arwah Atuk dan takdir Allah menentukan beliau yang pertama dijemput dulu...

Jenazah Nora selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Ranggam bersebelahan pusara Atuk yang sudah bersemadi di situ sejak 20 tahun lalu.

Noranita Abu Osman, pemergianmu kami redhai...

5 comments:

  1. Bapak,
    Takziah.. Banyak2 lah bersabar..

    ReplyDelete
  2. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah..

    ReplyDelete
  3. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga Bapak. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.

    ReplyDelete
  4. Takziah...semoga rohnya dilimpahi rahmat Allah.

    ReplyDelete
  5. catz_mafia, tirana, sonata, DUN : terima kasih..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails