Bapak sekeluarga baru hampir pulih daripada serangan diarrhoea.
Kisahnya bermula apabila Ilhan tiba-tiba muntah dan cirit-birit tak henti-henti sebaik bangun dari tidur pada satu pagi.
Suhu badannya naik mendadak dan simptom-simptom demikian membuatkan dia yang selama ini cergas dek kerana baru 'dapat kaki' lembik dan asyik terbaring sahaja.
Gejala yang semakin berlarutan biarpun sudah dirawat di klinik berhampiran menyebabkan Ilhan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah beberapa hari kemudian.
Bibirnya kering tanda sudah kekurangan air dalam badan menyebabkan dia ditahan di dalam wad seketika. Darah diambil kerana doktor mengesyaki Ilhan mungkin terkena Rotavirus yang menyebabkan AGE.
Alhamdulillah ujian darah kemudiannya negatif dan dia dibenarkan keluar wad selepas hampir 2 ml air dimasukkan ke dalam badannya.
Oleh kerana Ilhan tak mahu minum air garam, kami memberi alternatif air 100Plus dan dia semakin pulih selepas itu.
Tapi semuanya tak berakhir kerana tiba-tiba Orang Rumah Bapak pula terkena simptom sama diikuti Khalish sehari kemudian.
Walaupun tak seteruk Ilhan, berulang kali juga lah Khalish muntah dan Orang Rumah Bapak ke tandas.
Ingatkan Bapak terselamat namun ditimpa nasib sama setelah Orang Rumah Bapak dan Khalish semakin pulih.
Setelah lebih 10 kali keluar masuk tandas dalam satu malam, Bapak ke klinik. Selain diberi ubat, doktor menyarankan Bapak berpantang.
Dua hari pertama, hanya diberikan minum soya, susu cair, teh, milo dan air kosong sahaja. Dua hari seterusnya baru dibenarkan menjamah bubur nasi dan roti kosong.
Bapak ada dua hari lagi untuk menjalani kehidupan normal...
No comments:
Post a Comment