Translate

Sahabat Bapak

Friday, October 4, 2013

Wang Kelian bukan Padang Besar

Sebelum ini kebanyakan percutian dilakukan pada hari biasa. Bapak sengaja menghindar hujung minggu bagi mengelak kesesakan. Santai bercuti dalam keadaan lengang dan ketika kebanyakan orang sedang bekerja.

Namun ia sukar dilakukan sejak awal tahun ini kerana Khalish sudah mula bersekolah. Oleh sebab itu pada kunjungan ke Perlis sebelum ini, Bapak tidak pernah ke Wang Kelian yang hanya di buka pada hujung minggu sahaja.
Biasanya Bapak ke Padang Besar termasuk pada kunjungan terakhir bersama Orang Rumah Bapak pada 2008. Kali ini Orang Rumah Bapak mengajak ke Wang Kelian. Beliau pernah ke sana tahun lepas bersama keluarganya dalam percutian singkat pada tahun lalu yang tidak di sertai Bapak.

Untuk ke Wang Kelian yang terletak 45 km dari Kuala Perlis, kami keluar dari hotel usai bersarapan.
Waktu itu hujan renyai-renyai, cuaca semakin baik tetapi agak mendung apabila kami merapati Wang Kelian.

Mujur apabila sampai pada pukul 9 pagi, masih tidak banyak kereta, boleh lah kereta kami di parkir agak rapat dengan pos kawalan imigresen. Namun sebaik sahaja melepasi sempadan Satun yang merupakan wilayah bagi Wang Kelian di sebelah Thailand, cuaca agak terik biar pun baru pukul 9 pagi.
Khalish mula meragam, mula-mula dia nak payung. Kemudian merengek ajak balik sebab letih berjalan jauh katanya.Dia letak syarat kena beli gitar ala-ala Tegar. Ilhan pula rambang mata nak beli semua mainan yang ada di situ.Terpaksalah Bapak dan Orang Rumah Bapak 'main' politik sikit. Apabila sudah dapat, Ilhan asyik bermain, tak hirau ibunya membeli-belah.

Walaupun tiada kereta tetapi motosikal agak bersimpang-siur, jenuh juga Bapak dan Orang Rumah Bapak memimpin tangan Khalish dan Ilhan sambil menjinjit barang.
Rata-ratanya barang yang dijual di Wang Kelian lebih murah dari Ipoh dan Kuala Lumpur kecuali minyak masak. Minyak masak jenama seperti Seri Murni, Alif dan Saji seberat 5 kg dijual secara terang-terangan dengan harga RM16/160 Bath. Di negara kita, ianya barang kawalan bersubsidi dan berharga RM13.25.
Tak tahulah kalau ada orang Malaysia yang terbeli minyak masak yang boleh dikatakan di seludup ini...
Dari sebesar-besar seperti toto sehingga sekecil-kecil seperi cengkerang siput diborong Orang Rumah Bapak. Tak menang tangan Bapak mengangkatnya. Namun apabila semua barangan itu di pungah setelah sampai di Ipoh, yang betul-betul milik Bapak cuma sepasang sandal..beginilah nasib seorang suami dan ayah..kahkahkah..

Thursday, October 3, 2013

Kita tengok apa ada di Agrofest Perak

Sejak menetap di Perak lebih 7 tahun lepas, satu-satunya karnival yang Bapak minat pergi hampir setiap tahun ialah Agrofest.

Agrofest diadakan sempena Hari Peladang, Peternak dan Nelayan peringkat negeri. Biasanya diadakan selama tiga hari di Ladang Infoternak Sungai Siput yang terletak tak berapa jauh dari rumah Bapak.

Walaupun Orang Rumah Bapak komen barang dijual setiap tahun hampir sama sahaja macam tak berkembang industri asas tani di Perak ni tapi banyak produknya dijual dilihat menunjukkan kemajuan membanggakan dari segi pembungkusan dan jenama.
Kali ini ekoran kekangan kerja, kami pergi sebelah malam selepas solat Maghrib. Selepas makan malam di salah sebuah gerai di situ, Khalish dan Ilhan 'di sogok' dengan belon agar tidak meragam dan mengajak balik awal sewaktu kami sedang asyik tawaf gerai-gerai yang terdapat di Agrofest.

Malam itu antara yang kami beli jagung dari Ladang Kontrak Bota. Sebab Ilhan suka sangat jagung, 12 tongkol sekali kami beli. Ala 3 tongkol baru RM1 je..hehe.. Mangga dari Lekir juga dibeli sebab Ilhan juga 'hantu' mangga.
Kami juga beli terubuk masin. Orang Rumah Bapak minat terubuk masin tapi nak pergi Sarawak entah bila, beli kat Agrofest sahajalah.
Kami juga borong taucu jenama Opah Nur seperti yang di pesan Mak Ulung. Sebelum ini beliau sering mengadu sukar nak mencaro taucu keluaran Bumiputera di Melaka terutama sekitar Masjid Tanah.
Selain itu kuih ayam yang sedang dibuat panas-panas juga menarik minat kami selain pekasam tenggiri (selalunya hanya ikan sungai dibuat pekasam).
Khalish dan Ilhan lebih minat main dengan buah koko dan ikan laga...hehe

Wednesday, October 2, 2013

WW : Pedati kuda

posing je lebih...hehehe

WW : Terima kasih Nuffnang!

syukur...

Tuesday, October 1, 2013

Anak seronok, Bapak berdebar-debar

Bunyi macam poyo tapi ini antara keputusan sukar yang dilakukan Bapak sejak bergelar ayah. Membenarkan Khalish yang berumur 4 tahun menyertai rombongan tadika bersendirian tanpa pengawasan kami.
Hati agak bolak-balik juga melepaskan dia menaiki bas sejauh hampir 400 kilometer pergi-balik. Apatah lagi dia mewarisi penyakit Bapak kecil-kecil, mual-mual dan muntah kalau menaiki bas dalam jangkamasa lama.

Lokasi yang dilawati pula Zoo Negara.Secara dasarnya, sebagai orang yang berasal dari Lembah Klang, Bapak pun boleh bawa Khalish ke situ apabila pulang ke rumah Nendanya.

Tapi mengenangkan inilah masanya untuk Khalish berdikari, dia dibenarkan juga ke Zoo Negara. Apatah lagi pakej yang turut mengandungi perkhidmatan ranger tidak dapat diperolehi menerusi lawatan individu. Dapat juga Khalish pengalaman berbeza dan berharga berdamping dengan haiwan dengan lebih dekat.
Pukul 4.30 pagi, Khalish sudah dikejutkan dan dimandikan kerana bas yang membawa rombongan budak-budak tadika dijadual bergerak sebelum azan Subuh. Nasib baik Khalish tak banyak karenah sebab dia dah teruja nak melawat Zoo Negara.

Segala kelengkapan seperti lampin pakai buang dan plastik muntah telah disediakan sebagai persiapan situasi luar jangka. Cikgu tadikanya pun siap-siap meletakkan Khalish di kerusi barisan hadapan bas bagi mengurangkan risiko muntah.
Ilhan pun semangat bangun awal untuk menghantar abangnya. Lepas itu dia bantai sambung tidur sampai tengah hari..hehe

Pengurusan tadika juga proaktif maklum aktiviti terkini dan muat naik gambar sepanjang program di Zoo Negara. Bolehlah Bapak dan Orang Rumah Bapak pantau dari alam maya..hehe
Alhamdulillah, Khalish dan rombongan selamat sampai di Ipoh pada pukul 6 petang.Tak habis-habis dia bercerita pengalaman bagi makan gajah kepada kami (ingatkan dapat bagi makan harimau...hehe)

Saturday, September 28, 2013

Nostalgia Mentarang Kuala Perlis

Pertama kali mengenali dan menikmati mentarang di Medan Selera Kuala Perlis pada 2006 sentiasa menggamit kenangan Bapak.
Antara menu yang Bapak suka ialah mentarang masak asam. Mentarang bersaiz besar di masak dengan cengkerang  memberi rasa manis kepada kuahnya.

Namun ia mengikut musim juga kerana dikhabarkan selepas peristiwa tsunami Disember 2004, kebanyakan mentarang yang menghuni kawasan bakau di Kuala Perlis telah 'berhijrah' ke Kuala Selangor.
Malam itu kami pergi satu demi satu gerai di Medan Selera Kuala Perlis semata-mata untuk mencapai misi mencari mentarang. Hanya satu kedai sahaja yang menjual mentarang iaitu SM4. Kebetulan kedai makan yang sama Bapak berkunjung 7 tahun lepas.

Selain mentarang masak asam, Orang Rumah Bapak pesan sotong goreng tepung, udang masam manis (asalnya nak pesan udang goreng mentega tapi memang tidak wujud menu itu di medan selera ni), sup ayam dan kailan ikan masin.
Kami tak pilih ikan bakar kerana pilihan ikan yang ada cuma siakap, kerapu, gerut dan kurau. Ikan yang biasa menjadi sajian di rumah.

Khalish minat sotong goreng tepung tapi Ilhan tak pandang pun semua makanan laut tu. Dia lebih ralit meratah sate. Kos makan pada malam itu RM50.
Selepas itu kami naik kereta kuda di depan Hotel Putra Brasmana. Caj sekeluarga RM16; dewasa RM5 seorang, Khalish dan Ilhan pula masing-masing RM3.
Kuda padi tersebut tak lah membawa kami jauh sangat,  dari hadapan hotel hingga persimpangan  antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang lebih kurang 5 kilometer sebelum berpatah balik. Namun ia memberi pengalaman menyeronokkan untuk Khalish dan Ilhan.

Thursday, September 26, 2013

Sejarah Kota Indera Kayangan

Kunjungan ke tempat orang tidak lengkap jika tidak mengunjungi muzium. Ini kerana muzium adalah lokasi termudah dan termurah untuk mengetahui sejarah, budaya dan sosio-ekonomi masyarakat setempat terutama bagi percutian yang singkat.
Oleh sebab itu, Bapak sentiasa mewajibkan lawatan ke muzium setiap kali kami sekeluarga bercuti. Pada kunjung ke Perlis baru-baru ini, kami melawat Muzium Kota Kayang yang berletak di mukim Marhum Kayang kira-kira 4 kilometer dari Kangar.

Seperti situasi lazim kebanyakan muzium-muzium lain di negara ini, suasana sungguh tenang kerana walaupun kemasukan percuma dan ketika itu waktu puncak hanya Bapak, Orang Rumah Bapak, Khalish dan Ilhan pelawat yang berada di Muzium Kota Kayang.

Pada pukul 2 petang, seorang pekerja muzium pun tak kelihatan (mungkin sedang keluar makan tengah hari), kami cuma ditemani siaran Radio Perlis FM yang sengaja dipasang kuat-kuat.
Dengan senang hati, kami melawat Galeri Am, Arkeologi dan Senjata. Terkilan juga tak dapat mengunjungi Galeri Diraja dan Kebudayaan yang berkunci rapat.

Baiklah kita bercerita tentang Muzium Kota Kayang dengan lebih lanjut.

Walaupun ia baru dibina pada 1991 tetapi lokasinya yang dikelilingi  Bukit Papan, Bukit Kubu, Bukit Toh Poh, Bukit Lambung Panah, Bukit Nasi Sebungkus, Bukit Besi Hangit, Bukit Lagi dan Gunung Medan ini mempunyai sejarah yang panjang.
Di sinilah Sultan Kedah ke-15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah yang memerintah pada tahun 1661- 1687 membina Kota Indera Kayangan sebagai pusat pemerintahan.

Baginda juga mengarahkan pembinaan tali air atau terusan dari Kuala Perlis, Perlis ke Anak Bukit, Kedah yang dipercayai tertua di negara ini.

Makam baginda, menantu baginda seorang putera Bugis bernama Juang Tawa dan seorang kerabat atau orang kanan baginda yang masih belum dikenal pasti masih dijaga rapi berhampiran kompleks Muzium Kota Kayang.
Kota Idera Kayangan yang seluas dua hektar ditinggalkan dan pusat pemerintahan Kesultanan Kedah berpindah ke Kota Setar berikutan diserang dalam satu perang saudara akibat perselisihan merebut takhta.

Kisahnya, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah yang digelar Marhum Kayang mahu menabalkan cucunya, Tunku Mangku Putra yang merupakan anakanda Juang Tawa mengantikan baginda.

Hasrat itu bagaimanapun ditentang pembesar negeri yang enggan bersultan Tunku Mangku Putra yang berdarah Bugis sebaliknya mahu Raja Muda Tunku Attaliah untuk menaiki takhta.
Peristiwa itu membuatkan orang-orang Bugis mengambil peluang campur tangan menyerang Kota Indera Kayangan. Bagaimanapun hasrat mereka untuk menabalkan Tunku Mangku Putra sebagai Sultan Kedah tetap tidak kesampaian.


 Pembinaan kompleks Muzium Kota Kayang bermula pada 1991 mengambil inspirasi daripada Kota Indera Kayang.

Wednesday, September 25, 2013

WW : Mimpi dipatuk ular...

siapa yang takutkan siapa ni? hehehe..

Monday, September 23, 2013

Pekena Laksa Beras Kak Su Kuala Perlis

Hampir setiap negeri di Malaysia mempunyai versi laksanya tersendiri. Biasanya kelainan terletak pada penyediaan dan rasa kuah. Ada laksa yang diperbuat daripada beras, gandum malah ada yang menggunakan spagetti seperti laksa Johor.
Kunjungan di Kuala Perlis tempoh hari, kami mencari restoran Laksa Beras Kak Su untuk merasai laksa Kuala Perlis.

Walaupun carian di internet memberitahu petunjuknya Maybank Kuala Perlis tapi Bapak tak perasan langsung cawangan bank itu semasa berlegar-legar di pekan tersebut yang mengamalkan aliran trafik sehala.
Nasib baik ada papan tanda besar di persimpangan masuk nak ke restoran berkenaan yang terletak di deretan rumah kedai yang tak semuanya berpenghuni.

Laksa Kak Su diperbuat daripada beras dan kuahnya pekat seperti mengandungi santan.Kisaran ikannya juga begitu halus. Enak dimakan bersama hirisan cili padi.

Di restoran itu juga, pelanggan didedahkan cara orang Perlis menikmati laksa iaitu dimakan bersama pulut udang dan spera.
Spera itu seperti karipap tetapi intinya sambal kelapa. Kedua-kedua kuih itu  biasanya direndam di dalam kuah laksa sebelum di makan bersama-sama laksa.

Kicap juga disediakan kerana dikhabarkan sebilangan orang Indera Kayangan ini makan laksa taruh kicap.

Sepinggan laksa biasa berharga RM3 sementara pulut udang dan spera dijual pada harga 30 sen sebiji.

Sunday, September 22, 2013

Thumb's Cafe : Ipoh pun dah ada meatball tau!

Kali terakhir Bapak menjejakkan kaki ke kawasan itu kira-kira 7 tahun lalu, ia masih merupakan Asrama Anak Yatim Badan Khidmat Islam Perak (Bakip).

Tidak lama selepas itu bangunan itu terbiar kosong berikutan pemindahan asrama itu di Bandar Meru Raya. Kira-kira 2 minggu lalu, dewan yang pernah menjadi lokasi perhimpunan anak yatim telah di sewa dan diubah suai menjadi kafe yang diberi nama Thumb's Cafe.
Bapak menyedari kewujudannya selepas beberapa kenalan memuat naik foto bebola daging  (meatball) yang dinikmati dari kafe tersebut.

Tengok dari gambar persis meatball Ikea tapi rasanya bagaimana? hehe... Keinginan itu membawa kami ke Thumb's Cafe malam semalam.

Dekorasinya persis restoran makanan Amerika yang diadun ciri-ciri tempatan. Dewan yang diubahsuai itu bukanlah besar sangat, bolehlah menempatkan 7 meja, 2 sofa dan sebuah meja panjang seperti yang terdapat di restoran makanan segera.

Pelanggan agak ramai sehingga ada yang terpaksa pulang hampa kerana semua ruang sudah penuh. Kami bernasib baik kerana ketika sampai kebetulan ada satu meja kosong.
Orang Rumah Bapak pesan meatball, spagetti carbonara, lamb chop, sup cendawan, french fries dan air lemon madu.

Meatballnya dihidang bersama sos perang, french fries, salad dan jem strawberi. Tidaklah sekenyal meatball Ikea tetapi masih memenuhi selera.

Makanan lain yang dipesan juga okay sesuai dengan harganya. Untuk semua menu tersebut kami dikenakan caj RM29.
Menurut pemilik kafe tersebut, mereka pernah mengusahakan restoran Hentian Rasa yang terletak di belakang JPJ Perak berhampiran Jabatan Veterinar negeri yang kini hanya tinggal kenangan kira-kira 25 tahun lalu. Ini kira comebacklah setelah mereka sekadar mengusaha kantin selepas era Hentian Rasa berakhir...

Saturday, September 21, 2013

Misi 2 hari 1 malam Perlis

Percutian bagi Bapak haruslah mempunyai pengisian yang sesuai dan memberi kepuasan untuk seisi keluarga. Di samping memberi ketenangan kepada suami yang bercuti daripada rutin kerjayanya, keseronokan kepada isteri memenuhi kehendaknya, pendidikan secara tidak formal kepada anak-anak tidak harus diketepi.

Bagi Bapak, walaupun merupakan negeri terkecil di Malaysia, Perlis memenuhi kriteria tersebut. Kesempatan menikmati makanan laut segar di Kuala Perlis dan menerokai sejarah awal negeri tersebut di Muzium Kota Kayang cukup menenangkan Bapak.

Kunjungan ke Taman Ular dan Reptilia, Taman Anggur dan Gua Kelam memberi peluang kepda Khalish dan Ilhan melihat sendiri kehidupan flora dan fauna yang selama ini kebanyakannya hanya disaksikan di kaca televisyen sahaja.

Untuk Orang Rumah Bapak, kebebasan membeli apa sahaja di Wang Kelian sudah cukup menghiburkan beliau..

Dalam masa dua hari semalam, kami menerokai Perlis dari Kuala Sanglang hingga ke Wang Kelian. Antaranya : -

a) Kuala Perlis
Kuala Perlis bukan sekadar salah sebuah pintu masuk ke Pulau Langkawi sahaja tetapi mempunyai tarikan pelancongannya tersendiri.

Kami memanfaatkan kehidupan malam di pekan ini dengan menikmati makanan laut di Medan Selera Kuala Pelis, menaiki kereta kuda dan bersolat serta beriktikaf di Majlis Al-Hussain aka Masjid Terapung Kuala Perlis.

b) Muzium Kota Kayang
Muzium ini dibina tapak Kota Kayang yang menjadi pusat pemerintahan Sultan Kedah ke-15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I yang memerintah antara tahun 1661 hingga 1687.

Dibina pada 1999, muzium ini memaparkan sejarah awal Perlis, zaman penaklukan Siam, penjajahan Jepun dan awal kemerdekaan. Terdapat juga Galeri Arkealogi, Senjata, Diraja dan  Kebudayaan.

Kemasukan percuma dan dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali Hari Raya Aidilfitri pertama.

c) Taman Ular dan Reptilia Perlis
Diiktiraf sebagai taman ular yang terbesar di negara ini. Dalam berani-berani takut, Khalish dan Ilhan mendekati hampir semua 150 ekor ular dari 34 spesies yang ditempatkan sama ada di dalam sangkar mahupun peti kaca.

Tiket kemasukan dewasa RM4 manakala Khalish dan Ilhan masuk percuma kerana di bawah 5 tahun.

d) Taman Anggur Perlis
Beriya-iya kami berjanji dengan Khalish dan Ilhan untuk membeli anggur banyak-banyak tetapi sampai-sampai sahaja di kaunter tiket Taman Anggur Perlis, kakitangan sambil tersengih menasihatkan kami membatalkan lawatan sebab anggur yang ditanam masih berputik.

Sebab tak nak kempunan kami bergambar juga di pintu depan ladang anggur tersebut sambil memujuk Khalish dan Ilhan... siap ambil gambar putik anggur sebagai bukti..hehehe

e) Wang Kelian
Bangun pagi-pagi semata-mata untuk sampai awal ke Wang Kelian. Nasib baik pada pukul 9 pagi, tak ramai lagi pengunjung dapatlah Bapak parkir kereta serapat mungkin dengan pos imigresen.

Memang rambang mata, angkutlah selagi kedua-dua tangan larat. Di nasihatkan baik jangan bawa anak-anak kecil untuk memudahkan urusan. Kalau tak kena lah terima 'drama' macam Khalish yang banyak songeh asyik ajak balik sebab tak tahan panas terik matahari dan Ilhan yang sanggup berguling-guling di atas lantai semata-mata untuk mendapatkan semua permainan yang dia mahukan..heheheh

f) Gua Kelam
Sudah banyak perubahan positif berbanding lawatan terakhir Bapak dan Orang Rumah Bapak pada Mei 2008. Kereta sudah boleh diparkir berhampiran pintu masuk Gua Kelam (caj RM1 dikenakan)..

Penerokaan di dalam Gua Kelam pun semakin menarik dengan pencahayaan berwarna-warni.

Secret Garden yang menempatkan pelbagai tanaman herba juga semakin kemas dengan penyediaan tempat duduk untuk pengunjung bersantai sebentar.

Tiket kemasukan dewasa RM1 dan Khalish sepatutnya dikenakan caj 50 sen tetapi dikecualikan pula...

g) Ladang Nipah Kipli
Kami menamatkan kunjungan ke Perlis dengan minum air nira nipah di Kuala Sanglang.

Hasil inisiatif Encik Kipli yang merupakan penduduk Kampung Timbul, air nira nipah tersebut dijual pada harga RM2 segelas.

Kami minum di gazebo yang dikelilingi pohon-pohon nipah yang mengamit minat Khalish dan Ilhan.

Wednesday, September 11, 2013

WW : Nak kenal Bijih Seleseh?

Oh My Malay!

Wednesday, August 21, 2013

WW : Bermaafan dengan Mak Su


Tuesday, August 20, 2013

Ketupat asli vs ketupat palsu

Secara jujur, tiada seorang pun ahli keluarga Bapak reti menganyam ketupat.
Kecil-kecil dulu, adik Mama, Pakcik Mamat yang rajin menganyam ketupat, cuma kena sediakan pucuk daun kelapa sahaja.

Kalau takde ketupat yang dianyam Pakcik Mamat, hidangan pagi raya diganti dengan nasi impit. Pagi sehari sebelum raya biasanya kami bergotong-rotong memasukkan beras di dalam beg plastik.
Masa berlalu, seingat Bapak penghujung 1990-an, pembuatan nasi impit semakin mudah dengan munculnya nasi impit segera, jenama popular Abadi dan Nona.

Kemudian wujud pula ketupat dan ketupat mini segera. Nama sahaja ketupat tetapi secara teknikalnya ia merupakan nasi impit; kampit plastik yang diisi dengan beras.

Nasi impit, ketupat segera itulah menu wajib kami sekeluarga baik pada pagi Aidilfitri mahupun Aidiladha sejak lebih 10 tahun lalu.
Rumah mertua di Masjid Tanah pun sama.. Kalau nasib baik, dapatlah Bapak makan ketupat asli di kampung Mama di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Itupun kalau Pakcik Mamat rajin. Entahlah mungkin Bapak agak oldschool, rasa dan feel makan ketupat segera takkan sama dengan ketupat asli.
Selain keanjalan teksturnya, bau ketupat asli yang baru masak pun wangi maklumlah direbus dengan pucuk daun kelapa...



Kisah Raya Bapak 1434H

Sudah masuk 13 Syawal baru Bapak nak muncul bercerita kisah beraya? Apa nak buat, mood berblog baru datang semula, lagipun raya kan sebulan..heheheh
Tahun ini giliran pagi raya kami di rumah orang tua Bapak. Oleh kerana cuti raya amat terhad kami sudah pulang ke Petaling Jaya pada 27 Ramadan lagi. Kebetulan Opah turut beraya di rumah kami pada Syawal kali ini.

Memang sudah jadi niat Bapak membawa Khalish bertakbir pada malam raya di surau berhampiran rumah kami. Awal-awal lagi Khalish dah ikut Atuknya. Kuat suaranya mengikut kami sama-sama bertakbir raya sambil tersengih-sengih (bangga la tu..heheh)

Ilhan pula merajuk tak dapat ikut bertakbir raya sama. (dia mana boleh ikut, tak pernah lulus lagi ujian solat. Selama ni kalau diajak bersolat, dia hanya boleh fokus pada setengah rakaat pertama je pastu bermain..biasalah budak baru dua tahun..heheh).

Pagi raya agak janggal sikit tanpa Ayah yang pagi-pagi sudah balik ke kampung untuk menziarahi jenazah sedara yang meninggal pada malam raya.

Namun subuh-subuh Bapak dan Orang Rumah Bapak sudah bersalaman dan bermaafan dengan Ayah. Khalish pun dikejutkan sama, takut dia 'mengamuk' mencari atuknya nanti kalau tak diberitahu tentang hal tersebut.
Selepas makan hidangan raya dan solat sunat Aidilfitri, baru sesi bermaafan dilaksana tanpa kehadiran Ayah. Lepas itu kami terus pecut balik kampung ke Pulau Indah, Pelabuhan Klang.
Destinasi pertama ke pusara arwah Atuk dan Tok Busu (nenek tiri). Di kampung berkumpul 5 daripada 10 adik-beradik Mama. Itu pun sebab sepupu-sepupu pun ramai dah beranak-pinak, dekat 50 orang juga la. Riuh dengan macam-macam kerenah dan celoteh sambil makan ketupat dan kuih raya..heheh
Ingat hati nak ziarah bapa dan mak saudara lain yang tinggal dekat-dekat situ tapi seorang pun takde kat rumah, Bapak buat keputusan balik terus ke rumah mertua di Masjid Tanah, Melaka.

Itupun sebab lebuh raya sesak dengan kenderaan (pasal ada pemandu penting diri suka celah kat laluan kecemasan..), hampir pukul 6 petang baru kami sampai ke rumah orang tua Orang Rumah Bapak.
Malamnya kasi can Khalish dan Ilhan bermain bunga api dengan mak dan bapa saudaranya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails