Translate

Sahabat Bapak

Saturday, May 25, 2013

Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Sewaktu melalui pekan Merbok dalam perjalanan ke Tanjung Dawai, Bapak perasan papan tanda Muzium Arkeologi Lembah Bujang berhampiran Balai Polis Merbok.

Alang-alang sudah sampai, kami berkunjung ke muzium tersebut sejurus pulang dari Tanjung Dawai.  Muzium Arkeologi Lembah Bujang ini terletak di Bukit Pahat. Ia berada di hujung jalan selepas kita menyusuri kem PLKN, resort dan pusat penternakan lebah madu.

Galeri muzium yang telah dibuka sejak 1980 ini mempamerkan batuan-batuan dan serpihan candi yang dijumpai daripada kerja-kerja cari gali oleh ahli arkeologi.
Bapak memang minat sebab masa kecil-kecil dulu pernah ada cita-cita nak jadi ahli arkeologi..hehehe... 

Bapak terangkan serba ringkas tentang sejarah Lembah Bujang kepada Khalish yang asyik bertanya. Tapi rasanya tak berapa nak faham lagi kecuali dia rasa gembira dan kagum tengok senibina candi-candi yang terdapat di sini..heheheh
Lembah Bujang  pernah menjadi pusat perdagangan utama dan peradapan pra-Islam (Hindu dan Buddha) pada kurun ke-3 hingga kurun ke-14. 

Ada empat candi yang terdapat di Lembah Bujang ini iaitu Candi Pendiat, Candi Bukit Batu Pahat, Candi Pengkalan Bujang dan Candi Bendang Dalam.
Namun sebab kekangan masa, kami cuba sempat melawat Candi Pendiat sahaja. Harap lain masa berpeluang untuk mengunjungi baki tiga lagi candi tersebut yang kesemuanya terletak di puncak bukit.

Friday, May 24, 2013

Rasa nak berenang ke Tanjung Dawai dari Pantai Merdeka..

Selepas melalui pekan Kuala Muda dari Kepala Batas, akhirnya kami sampai di Pantai Merdeka. Berhadapan tempat letak kereta terdapat Pantai Merdeka Resort sementara di sebelah kanan pula terdapat deretan medan selera.

Berdasarkan landskap geografinya, Pantai Merdeka terletak di bahagian teluk dan berhadapan dengan sebuah perkampungan nelayan, Tanjung Dawai.

Khalish teruja untuk mandi laut tetapi Bapak memberi helah tidak membawa baju renang dan pelampungnya untuk meredakan niatnya. Lagipun keadaan pantainya yang landai dan arus pasang pada masa itu kurang sesuai untuk bermandi-manda.
Sebaliknya Khalish dan Ilhan dibiarkan ralit bermain di padang permainan yang terdapat di situ sambil melihat orang bermain layang-layang.

Ada juga beberapa pengunjung yang mandi-manda dan bermain pasir namun lebih ramai di antara yang sekadar bersiar-siar mengambil angin laut. (sambil menyanyi lagu 'Cinta Pantai Merdeka-Tropika'  agaknya..heheheh)
Timbul pula niat nak menyeberang ke Tanjung Dawai apabila melihat deretan bot penambang di sudut kanan sekali pantai tersebut.

Namun niat kami terbantut kerana tak cukup korum. Sekali perjalanan memerlukan enam penumpang sedangkan kami cuma tiga orang sahaja. Sebab Khalish beriya-iya sangat nak naik bot, hampir 15 minit juga lah kami menunggu.

Menurut pengusaha bot penambang itu, waktu petang akan lebih ramai orang mahu menyeberang ke Tanjung  Dawai.. (takkan nak tunggu kot, masa itu baru pukul 12 tengah hari...)
Mungkin sebab kasihan, seorang pak cik menjual air minuman berhampiran dengan jeti bot penambang itu mencadangkan kami ke Tanjung Dawai dengan berkereta sahaja.

"Hang pa ikut Sungai Petani, nampak Giant, ikut belah sana no," beritahu pakcik itu menunjukkan jalan.

Selepas selesai pelbagai urusan termasuk makan bihun sup Kedah, kami ke Tanjung Dawai melalui pekan Tikam Batu sebelum sampai ke bandar Sungai Petani.

Nampak je pasar raya besar Giant, Bapak belok ke sebelah kiri dan ikut papan tanda ke Tanjung Dawai.

Sampai Tanjung Dawai, terus masuk ke dalam Arked Peniaga Tanjung Dawai. Dalam kepala, sudah ada senarai hasil-hasil laut yang di pesan Orang Rumah Bapak sebelum ini.

Arked itu dua tingkat, tingkat bawah restoran yang rata-ratanya menyediakan ikan bakar dan makanan laut. Terliur gak Bapak tengok bermacam-macam jenis ikan yang dibuat ikan bakar. Bukan sekadar ikan kembung, keli dan pari di tempat-tempat lain.

Kalau tak kerana rasa kenyang lagi makan bihun sup di Pantai Merdeka, mahu Bapak tibai seround lagi..heheheh..

Tingkat dua pula menjual hasil-hasil laut.Rambang mata gak, rasanya murah sedikit berbanding di Lumut. Cuma laluan penjalan kakinya agak sempit, terpaksa bersesak-sesak jugalah sambil tangan memegang erat Khalish dan Ilhan yang ligat berjalan.
Antara yang menarik perhatian Bapak ialah keropok jejari ikan kerisi dan keropok ubi kentang. Asalnya beli sedikit sahaja, sekadar nak rasa-rasa. Tapi di rumah, Orang Rumah Bapak mengomel, katanya susah nak pergi, belilah banyak sedikit...hehehe..

Lain lain ada rezeki dan diizinkan Allah, kita pergilah Tanjung Dawai sekali lagi. Masa tu apa nak borong, borong lah..heheheh

Thursday, May 23, 2013

Dari Kepala Batas ke Kuala Muda

Hujung minggu lalu, Orang Rumah Bapak mempunyai urusan di Kepala Batas, Pulau Pinang. Berangkutlah Bapak, Khalish dan Ilhan menemani beliau ke sana.

Oleh kerana urusan Orang Rumah Bapak itu boleh dikatakan seharian dari 7.30 pagi hingga 6.30 petang, mahu tak mahu terpaksa kami tiga beranak cari alternatif lain untuk mengisi masa tersebut.

Takkan nak terperap di bilik hotel sahaja (lagi pun daftar keluar pukul 12 tengah hari). Apabila di tanya penduduk tempatan, rata-ratanya kata tiada yang menarik di Kepala Batas ini.
Sebenarnya untuk memberi keadilan kepada pekan yang pernah diwakili Perdana Menteri keempat, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah ini, ada lokasi menarik di Kepala Batas iaitu Rumah Bersejarah dan Pantai Kamloon.

Rumah Bersejarah itu kediaman datuk Pak Lah, Abdullah Fahim yang merupakan lokasi pemimpin negara diketuai Tunku Abdul Rahman menadapat khidmat nasihat 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan yang sesuai kepada negara. Pantai Kamloon yang terletak di Bumbung Lima pula ialah sebuah taman rekreasi.

Ramai yang mencadangkan kami bersiar ke bahagian Pulau. Tapi itu bukan pilihan kerana Bapak masih terkenang peristiwa Tragedi Penang : Datang Ceria, Pulang Bertongkat  kira-kira lapan bulan lalu. Lagi pun Bapak lebih mahukan lokasi yang lebih tenang daripada hiruk-piruk bandar Georgetown..

Pilihan Bapak ialah ke daerah Kuala Muda yang terletak bersebelahan sempadan Kepala Batas. Sebab batasan masa, lokasi yang Bapak, Khalish dan Ilhan jenguk :

a) Pantai Merdeka
Lebih setengah jam sahaja dari pekan Kepala Batas. Pertama kali melihat pantainya yang landai mengingatkan Bapak kepada Pantai Sungai Tuang yang terletak di hadapan rumah mertua Bapak.

Namun begitu suasananya lebih hidup. Dari orang bermain layang-layang, deretan medan selera, gerai jualan kraftangan dan pakaian serta orang yang bersiar-siar sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

b) Tanjung Dawai

Perkampungan nelayan yang terletak berhadapan dengan Pantai Merdeka. Kalau naik bot penambang yang mengenakan caj RM2 sekepala, boleh sampai dalam tempoh dua minit. Kalau mengikut jalan darat melalui bandar Sungai Petani, tambah lagi 30 minit.
Kami cuma ke Arked Peniaga Tanjung Dawai untuk membeli ikan bilis, keropok lekor dan keropok pelbagai jenis yang di pesan Orang Rumah Bapak. Lepak-lepak sekejap di jeti sambil minum air tebu hitam sebelum bergegas pulang.

c) Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Kebetulan hari itu Hari Muzium Antarabangsa. Alang-alang jalan ke Tanjung Dawai melalui pekan Merbok, kami singgah ke muzium tersebut. Jaraknya dari pekan Merbok lebih kurang 2.8 kilometer sahaja.

Agak ramai pengunjung termasuk dari luar Kedai melawat Muzium Arkeologi Lembah Bujang pada hari tersebut.
Berbanding Muzium Arkeologi Lenggong, Bapak berpendapat Lembah Bujang lebih komprehensif, menarik dan mendalam untuk mengetahui ketamadunan silam.

Ada pelbagai candi di atas puncak bukit tapi faktor masa dan keselamatan (laluan di puncak bukit itu penuh dengan batu-batu besar, Bapak bimbang je dengan kelasakan Khalish dan Ilhan yang terpaksa dipantau Bapak seorang diri), kami hanya ke Candi Pendiat.

Kalau ada rezeki, Bapak nak ulang berkunjung ke muzium ini lagi untuk lawat baki tiga candi yang terdapat di situ.

Wednesday, May 22, 2013

Muzium Belia Malaysia : Tribute to Ali Rustam

Sebelum pulang ke Ipoh tempoh hari, kami singgah ke Bandar Hilir, Melaka. Motif sebenarnya Orang Rumah Bapak nak mendapatkan rawatan muka (berfacial) di salon kesukaannya sejak zaman anak dara lagi.

Sesi tersebut memakan masa lebih sejam. Tak sanggup Bapak, Khalish dan Ilhan sekadar duduk di ruangan menunggu salon itu sahaja. Bapak angkut kedua-dua beradik itu berjalan-jalan di kawasan sekitar di Jalan Laksamana yang merupakan antara lokasi tumpuan pelancongan di bandar Melaka.

Kebetulan Jabatan Kebudayaan Melaka sedang mengadakan pameran jelajah termasuk persembahan dondang sayang, tarian dan permainan gasing di tebing Sungai Melaka. Namun sebab cuaca agak terik, Bapak mencari lokasi lain yang berhawa dingin untuk keselesaan Khalish dan Ilhan.
Apatah lagi kehadiran pelancong pada tengah hari buta itu agak padat, biasalah Melaka. Dengan tiket RM2, (Khalish dan Ilhan percuma), kami memasuki Muzium Belia Malaysia.

Agak kontra dengan persekitaran luar, hanya lima orang pengunjung muzium tersebut pada masa itu. Selain kami bertiga, ada dua orang pelancong Mat Salleh.

Sebelum dijadikan muzium pada 1992, premis yang dibina pada 1821 pada era penjajahan Belanda tersebut pernah menjadi rumah kepada paderi yang berkhidmat di gereja bersebelahan, Sekolah Tinggi Melaka dan Pejabat Pos Besar Melaka.
Selaku bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), muzium itu agak penuh dengan tinggalan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang  karier politiknya boleh dikatakan telah 'dimatikan' pada PRU-13 baru-baru ini.

Jangan tak tahu, Ketua Pembangkang pun bekas Presiden MBM selain bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed. Khir Toyo. Oleh itu kisah mereka semasa aktif dalam aktiviti belia pun ada diselitkan di muzium ini.
Antara ruangan pameran yang terdapat di sini ialah sudut Menteri Belia dan Sukan, Pakaian Rasmi, Persatuan-Persatuan Belia dan Logo-Logo Persatuan Belia.

Bapak tak dapat mengambil masa lama untuk  menilik khazanah yang tersimpan di muzium ini kerana Khalish tak berapa 'sporting', dia asyik tarik tangan Bapak suruh berjalan cepat.
Selepas itu, kami naik ke tingkat dua yang menempatkan Balai Seni Lukis Melaka. Galeri yang dibuka pada 2008 ini menempatkan 150 lukisan dan 30 arca karya artis tempatan dan antarabangsa.

WW : 3 series..

Orang Rumah Bapak genap berusia 30 tahun pada 19 Mei lalu...

Tuesday, May 21, 2013

4 tahun bersama Khalish

Khalish genap berusia empat tahun pada 12 Mei lalu. Alhamdulillah, terasa macam cepat je masa terlalu. Dari saiz kakinya berukuran dua jari dewasa, dia kini sudah memasuki tadika dan semakin lasak dan keletah bercakap.

'Demand'nya boleh tahan juga, awal-awal Khalish pesan ulang tahun kelahirannya kali ini dia mahu kek hari lahir, belon, topi kertas dan 'silap mata' (sebenarnya bermaksud permainan-permainan untuk sambutan hari lahir).
Agak lucu juga Khalish minta kek berdekorasi lori sampah (momen lori memunggut sampah di hadapan rumah merupakan antara kesukaan dia) atau lalat (pengaruh kartun Oggy and The Cockroaches)... Sudah pastilah tidak akan Bapak dan Orang Rumah Bapak tunaikan...heheheh

Kebetulan Khalish masih di kampung setelah mengikut ibunya yang mengambil kesempatan bercuti lama sempena hari pengundi PRU-13 tempoh hari, kami menyambut sambutan hari lahir dia keempat di sana.
Alang-alang itu, sambutan hari lahir Khalish disambut bersama mak sunya (adik bongsu Orang Rumah Bapak), Umai yang kebetulan jatuh satu hari sebelum itu.

Dua hari kemudian,  kami meraikan ulang tahun kelahiran Khalish buat kali kedua sewaktu kami singgah ke rumah orang tua Bapak di Petaling Jaya sebelum pulang ke Ipoh,
Kali ini Khalish dijamu dengan chicken chop oleh Atuk dan Nenda dia di sebuah restoran.

Sambutan ketiga ulang tahun kelahiran Khalish keempat pula di sambut bersama-sama kawan-kawannya di tadika. Atas persetujuan guru tadikanya, kami menumpang sambutan Hari Guru yang pada 16 Mei lalu.
Dah niat Bapak dan Orang Rumah Bapak beri sedikit goodies kepada semua murid di tadika itu. Kami tempah kek cawan coklat dan strawberi, yang lelaki latar gambar Ben 10 dan Ultraman manakala yang perempuan pula Babies.

Semoga Khalish membesar sebagai anak yang soleh dan sihat....

Thursday, May 16, 2013

Terima Kasih Cikgu!

Wednesday, May 15, 2013

WW : Best sangat ker Moo Moo Cake?

Bapak rasa cam swiss roll cake je..heheheh

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails