Translate

Sahabat Bapak

Showing posts with label ucapan. Show all posts
Showing posts with label ucapan. Show all posts

Wednesday, October 2, 2013

WW : Terima kasih Nuffnang!

syukur...

Tuesday, June 11, 2013

5 tahun kami bersama...

Orang kata lima tahun pertama merupakan tempoh yang paling kritikal dalam sesebuah perkahwinan. Masa untuk mengenali hati budi dan penyesuaian dengan kedua-dua belah keluarga.
Alhamdulillah Bapak dan Orang Rumah Bapa yang diijab kabul pada 31 Ogos 2008 berjaya mengharunginya.

Sepanjang tempoh itu, bukan sedikit nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah termasuk yang paling berharga kelahiran Khalish dan Ilhan pada Mei 2009 dan Oktober 2010.

Syukur kami sentiasa mendapat sokongan keluarga kedua-dua pihak yang sentiasa merestui perhubungan ini.

Tak dinafikan sepanjang lima tahun ini juga ada juga beberapa ujian kecil yang melanda rumah tangga kami. Alhamdulillah, setiap berlaku persoalah Dia memberi ilham penyelesaiannya.
Namun hari-hari mendatang kelak jauh lebih mencabar dari tempoh lima tahun tersebut memandangkan dengan Khalish dan Ilhan semakin membesar dan bakal terdedah untuk pacaroba dunia.

Bapak mohon kepada Allah agar Bapak dan Orang Rumah Bapak terus diberi kekuatan agar  terus istiqamah memelihara iman dan menjadi insan yang lebih baik.

Semoga rumahtangga ini berada tetap di landasan yang diredhai Allah..

Thursday, May 16, 2013

Terima Kasih Cikgu!

Friday, February 1, 2013

Oh Kuala Lumpur...

Tuesday, January 29, 2013

Belajar lah untuk tidak alpa

Kadang-kala sewaktu Bapak sampai ke pintu pagar rumah sesudah pulang bekerja, Khalish dan Ilhan masih bermain di laman rumah.

Mereka akan berlari menerpa ke pagar sebalik melihat Bapak keluar dari kereta untuk membuka mangga pintu pagar.
 Melihat keadaan itu, Bapak sentiasa membuka pintu kereta untuk menyuruh mereka masuk. Abang di tempat duduk belakang manakala adik di tempat duduk hadapan.

Gembira mereka menemani Bapak memasukkan kereta ke garaj walaupun tak sampai seminit.
Boleh sahaja Bapak menyuruh Khalish dan Ilhan masuk rumah sambil Bapak meneruskan niat memasukkan kereta ke dalam garaj.

Bukan minta tetapi Bapak bimbang sesuatu buruk berlaku kerana sebagai kanak-kanak kemungkinan mereka untuk menerpa ke arah kereta tetap ada.

Bapak selalu fikir kita tak boleh ambil ringan dan ambil mudah tentang keselamatan dan perlindungan anak-anak.

Cebisan kisah ibu anak kecil dibiarpun berseorangan dalam kereta sedangkan ibu bapanya sibuk memilih alatan elektrik di kedai dan ibu yang boleh percaya kepada anaknya membeli mee segera sedangkan dia leka berFB di rumah semuanya berakhir dengan tragedi.

Masa itu menangis keluar air mata darah pun tak guna. Mengapa segelintir besar daripada kita masih berada di zon selesa enggan mengambil iktibar?

Thursday, January 24, 2013

Salam Maulidur Rasul 1434H


Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.: "Berilah wasiat padaku."

Nabi s.a.w. bersabda: "Jangan marah." Orang itu mengulanginya berkali-kali tetapi Nabi s.a.w. tetap bersabda: "Jangan marah." (Riwayat Bukhari)

Monday, September 3, 2012

Salam Aidilfitri 1433


Walaupun Syawal sudah memasuki hari ke-16, tak terlewat rasanya Bapak untuk mengucapkan Selamat Aidilfitri 1433. Mohon maaf zahir batin.

Tahun ni giliran kami menyambut 1 Syawal di rumah keluarga Orang Rumah Bapak di Masjid Tanah, Melaka. Oleh kerana cuti raya Bapak tidak panjang, kami beraya pula di rumah orang tua Bapak di Petaling Jaya pada raya ketiga sebelum Bapak memulakan tugas di Ipoh pada raya kelima.

Minggu lalu baru Bapak sekeluarga berkesempatan menziarahi Opah dan Pak Uda di Teluk Intan.

Saturday, July 21, 2012

Ramadhan Kareem


Syukur Allah memberi keizinan kepada kita untuk menikmati Ramadhan semula pada tahun ini.

Peluang untuk kita meningkatkan iman, menundukkan nafsu, membaiki akhlak  dan memperkasa taqwa.


Semoga kita dipermudah untuk berpuasa dengan erti sebenarnya bukan sekadar menahan lapar dan dahaga...

Friday, May 18, 2012

Notis pendek : Kembali

Sudah hampir 3 minggu blog Akulah Bapak ni terbiar bersawang. 30 entri dalam lima bulan juga bukan pencapaian baik dan diyakini terburuk dalam tempoh 3 tahun blog ini wujud.

Apa pun terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi mengunjungi blog ini untuk menatap entri-entri yang lalu sepanjang tempoh 'pertapaan' tersebut.

Insyaallah Bapak akan kembali dan sokongan anda amat dihargai.

Wednesday, February 1, 2012

Hati seorang ayah...


Sekeras-keras hati seorang bapa, nalurinya terusik dan air matanya tumpah juga saat :

a) penikahan anak perempuannya
b) kematian anaknya

WW : Permulaan sebuah pengembaraan


Bapak kembali seperti Ilhan yang baru menapak...

Friday, September 16, 2011

Selamat Hari Malaysia!

Hari ini genap 48 tahun pembentukan Malaysia yang dianggotai Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia), Borneo Utar (Sabah) dan Sarawak. Singapura pernah menjadi anggota negara ini sebelum disingkirkan pada  9 0gos 1965. Brunei pula pernah dipelawa menyertai Malaysia namun menarik diri berikutan penentangan penduduk tempatan yang didalangi Indonesia.

Pengisytiharan Malaysia sepatutnya pada 31 Ogos 1963 namun terpaksa dilewatkan selama 16 hari berikutan bantahan dan tentangan hebat daripada Indonesia dan Filipina.


Tarikh 16 September digazetkan kerajaan menjadi cuti umum mulai tahun lepas.

Malam tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beberapa transformasi perundangan dan hak kebebasan bersuara. Antaranya : -

a) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan
b) memansuhkan Akta Buang Negeri 1959
c) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji semula dengan pembaharuan tahunan dihapuskan dan digantikan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
d) Akta Kediaman Terhad 1933 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967 dikaji semula
e) dua undang-undang baharu akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
f) kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan

Kelonggaran yang diberikan merupakan ujian kepada kematangan rakyat Malaysia untuk menerima input dan meluahkan pandangan secara rasional serta berilmiah. Bukan membuta tuli dan menjadi burung kakak tua serta kuda tunggangan kepada idola politik masing-masing....

Wednesday, August 31, 2011

Selamat Hari Merdeka ke-54!



Dulu kau pernah dilukai

Dan engkau pernah dinodai

Tapi semuanya kau renangi

Beriring airmata segala derita

Sungguh terharu hati ini

Dengan apa yang kau lalui

Ingin ku merangkai jiwamu

Agar luka lama tak berdarah kembali

Hadirnya ku di sisimu

Dengan hati tulus suci

Kubelai sepenuh jiwa

Tiada lagi airmata

Selagi ada hayat ini

Kujunjung kebahagiaanmu

Tapi bila sampai waktu ku pergi

Hanya do'a dan restuku menjagamu selalu


Tuesday, August 30, 2011

Indahnya 1 Syawal



bersama ayah & mama....

Selamat Aidilfitri

Bapak sekeluarga menyusun sepuluh jari memohon maaf atas setiap kekhilafan yang dilakukan sebelum ini.

Semoga kita kembali kepada fitrah keinsanan pada Aidilfitri yang mulia ini.

Sesungguhnya biarpun Ramadan berlalu, jihad menyuci noda hitam yang kukuh bersarang di dalam tubuh kita tidak pernah berakhir.

Mohon diizinkan Allah bertemu Ramadan tahun hadapan untuk memperbaiki ibadah dan merebut ganjaran Ilahi...

Saturday, June 11, 2011

Jom tengok Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru!

Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan penduduk sekitar Seri Iskandar yang mempunyai masa terluang dijemput untuk memeriahkan Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru di Dewan Besar UTP esok.

Pusingan awal bermula pukul 2 petang manakala pusingan kemuncak akan dilangsungkan mulai 8.30 malam.

Kejohanan ini dikelolakan aktivis silat, Jak Othman yang pernah menerbitkan rancangan Mahaguru yang pernah bersiaran di TV3 pada 1990-an.
Antara pertubuhan silat terlibat ialah Persatuan Silat Cekak Malaysia, Persatuan Silat Gayong Fatani Malaysia, Persatuan Silat Lincah Malaysia, Persatuan Silat Serimau Hitam Perak dan Persatuan Silat Cekak Harimau.

Empat kategori dipertandingkan iaitu persembahan bunga silat, tempur tangan kosong, tempur bersenjata dan serikandi.

Format kejohanan adalah berdasarkan pemilihan hulubalang Melayu dahulu kala dan ia bukan silat olahraga yang biasa kita lihat.

Sunday, May 8, 2011

Selamat Hari Ibu

Syukur Bapak masih dapat menumpang kasih kepada kedua-dua ibu kandung dan mertua, Robiah Ishak dan Rohana Hamzah.
Bapak akui tak berapa pandai nak tunjukkan kasih sayang tetapi hanya Allah sahaja tahu...insyaallah selagi masih bernyawa, doa kesejahteraan ke atas ibu bapa sentiasa Bapak titipkan setiap kali selepas solat..

Apa pun Bapak akan jaga setiap amanah yang diberi Mama dan Mak...

Bapak juga bahagia sentiasa berada di samping Orang Rumah Bapak, ibu kepada dua anak kami.
Ok, Khalish & Ilhan, sempena Hari Ibu ini, jom tengok Upin Ipin :



Sunday, January 9, 2011

AKULAH BAPAK sudah dua tahun

Hari ini genap dua tahun blog Akulah Bapak bersiaran. Satu-satunya blog peribadi yang dipunyai dan alhamdulillah masih konsisten sehingga hari ini.

Bapak akui bukanlah penulis blog yang prolifik. Buktinya cuma menghasilkan 90 posting pada 2009, 88 (2010) dan inilah posting pertama pada tahun ini...hampeh..heheh...

Begitupun Bapak amat menghargai semua rakan-rakan yang sudi berkunjung ke sini apatah lagi menjadi pengikut dan meninggalkan jejak di blog ini. Kebanyakannya hanya Bapak kenal di alam maya
Antara header terawal....

Biarpun mula wujud pada 9 Januari 2009, posting pertama 'Bapak sudah angau' hanya dibuat pada 27 Januari tahun sama. Bapak masih ingat 3 pengomen terawal iaitu Minal, ckLah dan Sam.

Maaf pada masa itu, Bapak tak membalas komen-komen tersebut kerana masih tak tahu bagaimana nak membalasnya..heheheh (bukan menyombong tau ckLah..heheh)

Ketika blog ini diwujudkan Orang Rumah Bapak ketika itu sedang hamil tiga bulan anak sulung kami, Khalish yang kini sudah berusia satu tahun lapan bulan. (sudah beradik pun, Ilhan yang baru dua bulan mengenal dunia...heheh)

Debaran bakal menjadi seorang bapa ketika masih belajar-belajar bertanggungjawab sebagai seorang suami kadang-kadang membuatkan Bapak risau. Gelabah tentang kemampuan untuk menjalankan tanggungjawab yang semakin besar...

Oleh itu pengalaman-pengalaman diri dicoretkan di sini. Bukan diari harian tetapi beberapa peristiwa seharian terpilih yang memberi pengajaran hidup. Yang baik diteruskan, yang silap diperbetulkan.

Maka itu kebanyakan posting di blog Akulah Bapak ini banyak berkisar tentang kehidupan Bapak sekeluarga, jarang sekali Bapak bercerita tentang kerjaya dan berkomentar dan mengomel hal orang lain.

Sempena ulang tahun kedua ini, Bapak berazam untuk lebih rajin membuat coretan di sini..hehe...

Friday, December 31, 2010

Sedar-sedar sudah 2011

Apabila melangkah masuk ke tahun 2011 beberapa jam lagi, barulah benar-benar kita menempuh sempadan masa yang dinamakan dekad 2010-an. (yang sebenarnya bermula awal tahun ini).

Bapak mengenang perjalanan hidup selama 10 tahun dari 2000 hingga 2010 yang mendewasakan.

Bercerita tentang pengalaman peribadi, semasa fajar 1 Januari 2000 menyinsing, Bapak yang ketika itu berusia 19 tahun, baru hendak melangkah ke menara gading setelah bergelar pelajar matrikulasi.

Kini Bapak sudah mempunyai keluarga sendiri bersama wanita yang Bapak temui pada 2006. Rumah tangga yang dibina sejak 2008 telah diserikan dengan kehadiran dua anak lelaki.

Pendek kata sepanjang 10 tahun ini, Bapak melalui tiga fasa; alam IPTA, alam pekerjaan dan alam rumah tangga.

Banyak pengalaman ditempuh yang memberi seribu pengajaran dan hikmah disebaliknya.

Bapak masih ingat betapa lemahnya mental pemain bola sepak kita selepas ketinggalan satu gol semasa menonton perlawanan akhir menentang Thailand di Stadium Shah Alam pada Sukan Sea 2001.

Ekoran kesilapan sendiri itu kita cuma terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Masa berlalu, kelemahan utama skuad negara yang gemar menyerah kalah sebelum wisel penamat itu nampaknya semakin diatasi.

Lihat betapa kuatnya mental pemain kita menghadapi asakan lawan sehingga mampu memenangi pingat emas Sukan Sea 2009 dan Piala AFF 2010 serta mara ke pusingan kedua Sukan Asia 2010.

Malaysia juga sudah tiga kali bertukar Perdana Menteri. Dari Tun Mahathir, Tun Abdullah (2003) dan Datuk Seri Najib (2009).

Sepanjang dekad lalu, rakyat negara ini melalui dua kali pilihan Raya Umum (PRU) pada 2004 dan 2008.

Semoga PRU ke-13 akan datang kita ambil pengajaran dan semakin matang; dapat mengawal emosi dan meghadam persepsi yang tak semestinya sahih semasa membuang undi...
Dunia global pula tidak pernah aman sepanjang 2000-2010. Antaranya tragedi 11 September, pencerobohan Aghanistan dan Iraq, letupan bom di Bali dan Jakarta, tsunami, pembunuhan Benazir Butto, serangan pengganas Mumbai dan krisis pembankan.

Walaupun permulaan dekad ini kita dibimbangi dengan ancaman Y2K, nyata ia tidak berasas dan teknologi ICT semakin berkembang pantas.

Pelbagai gajet baru diperkenal bermula dengan pengenalan telefon bimbit berkamera hingga ke Blackberry, iphone dan ipad.

Beberapa laman sosial mula menguasai dan mengubah cara hidup manusia seperti Myspace, Friendster, Facebook dan Youtube.

Apple pimpinan Steve Jobs yang pada abad ke-20 dilihat sentiasa di belakang Microsoft, kini sudah mampu mencabar dan beberapa segi mengatasi syarikat pimpinan Bill Gates itu.

Dunia memang begitu, kita akan kecewa jika mahu mengubahnya. Namun kita ada asas agama untuk menghadapi semua cabaran itu. Sediakan juga generasi masa depan dengan nilai-nilai itu agar kita tak lemas dengan dunia yang penuh fatamorgana.

Selamat melayari 2011...

Monday, December 6, 2010

Salam Maal Hijrah 1432

Peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad saw dari Mekah ke Madinah pada 1 Muharam telah diangkat sebagai permulaan takwim Islam. Kalendar yang berasaskan peredaran bulan.

Kejadian yang berlaku pada 622 Masihi itu memberi seribu pengajaran dan pedoman untuk kita renungi tersurat dan tersirat.

Penghijrahan generasi pertama penganut Islam ke Madinah memakan banyak pengorbanan.

Memulakan kehidupan baru dengan sehelai sepinggang kerana terpaksa meninggalkan harta benda seperti disyaratkan puak kafir Quraisy bukan sesuatu yang mudah. Apatah mengawal perasaan dan emosi terpaksa melangkah keluar dari tanah, tanah kelahiran, membesar dan mencari rezeki.

Malah pemergian Nabi Muhammad saw yang bertemankan Abu Bakar al-Siddiq ke Madinah agak berliku berikutan ancaman bunuh terhadap Baginda.

Keberanian Ali Abi Talib menggantikan junjungan besar berbaring di katil untuk mengelirukan pihak lawan yang sudah bersedia dengan mata pedang amat mengagumkan.

Sesampai di Madinah,semangat persaudaraan Ansar pula begitu menyentuh perasaan.

Negara Islam dibina dan strategi bijak diatur. Hasil kesabaran akhirnya kira-kira 10 tahun kemudian, bumi Mekah bukan sahaja dapat dipijak semula malah dikuasai. Islam tersebar ke serata dunia, itulah kuasa sebuah penghijrahan.

Pengajaran buat kita kerana sejarah sentiasa berulang cuma situasi sahaja yang berbeza...pedoman buat insan yang mahu berfikir...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails