Translate

Sahabat Bapak

Monday, November 30, 2009

Aidiladha Bapak

Kita hanya merancang Allah jua yang menentukannya.

Aidiladha tahun ini sepatutnya giliran rumah keluarga Orang Rumah Bapak di Melaka. Bagaimanapun ketetapan bagaikan berubah setelah pelbagai rancangan telah diatur untuk sambutan Hari Raya Korban kali ini.

Mula-mula keluarga mertua Bapak bercadang untuk menyambutnya di rumah Bapak di Perak. Namun ia terpaksa dibatalkan atas sebab tertentu termasuk adik keempat Orang Rumah Bapak, Azam masih perlu menjalani tiga lagi kertas peperiksaan SPM selepas Aidiladha.

Sehubungan itu ia kembali kepada rancangan asal untuk menyambutnya di Melaka selama empat hari. Bagaimanapun oleh kerana tahap kesihatan Mama masih belum memuaskan, Bapak dan Orang Rumah Bapak sepakat memutuskan dua hari awal di Melaka, dua hari selepas itu di PJ.

Namun pabila tiba Aidiladha, kami beraya di PJ. Rancangan berubah pada saat-saat akhir, selepas Bapak dapat perutusan perlu berkursus selama tiga hari dari 4 hingga 6 Disember ini.

Orang Rumah Bapak mahu lepak di kampung semasa Bapak berkursus. Oleh itu selepas beraya di PJ baru kami balik Melaka. Untunglah Bapak, Aidilfitri dan Aidiladha tahun ini semuanya di PJ..heheh

Apapun apa yang berlaku ada hikmahnya. Kami diberi kesempatan meraikan ulang tahun kelahiran Ayah ke-52 pada 26 November lalu (yang dilewatkan sehari untuk memberi ruang semua ahli keluarga berkumpul).

Sampai di Melaka pula, kami sempat menghadiri kenduri kesyukuran sempena ulang tahun kelahiran adik keempat dan bongsu Orang Rumah Bapak, Azam dan Umai yang kebetulan kedua-duanya dilahirkan pada 10 Zulhijjah.
Bapak kembali ke Ipoh semalam tanpa Orang Rumah Bapak dan Khalish. Bapak akan pulang mengambil mereka selepas kursus tamat.

Friday, November 20, 2009

Petting Zoo LWOT

Semalam Bapak berkesempatan membawa Orang Rumah Bapak dan Khalish ke Lost World of Tambun (LWOT) yang sebenarnya tak jauh dari rumah kami.

Sebenarnya pada pertengahan tahun ini, Bapak diberi beberapa tiket percuma oleh pengurusan taman tema tersebut. Namun pada masa itu Khalish baru lahir dan Orang Rumah Bapak dalam pantang.

Oleh itu tunggu hingga akhir tahun baru dapat bersantai di sana, lagipun sekarang Khalish sudah berusia 6 bulan.

Kami tak teruja sangat untuk bermandi-manda tetapi mahu mengenalkan kepada Khalish kepada haiwan, salah satu tarikan yang ada di LWOT.

Kebetulan sejak pertengahan September lalu, taman tema ini telah memperkenal produk terbarunya iaitu Petting Zoo.

Setelah membawa Khalish menziarah harimau Siberia dan beberapa ekor angsa yang garang, kami menuju ke Petting Zoo.

Mula-mula Khalish diperkenal dengan Rakun. Bapak beranikan diri memberi makan haiwan tersebut. (Seriau juga tengok taring giginya yang tajam tapi Rakun tu bijak makan pallet saja, tak kokak tapak tangan Bapak...hehhe)

Selepas itu kami melawat pelbagai haiwan lain yang terdapat di zoo tersebut. Ada yang Khalish teruja, terkejut, suka dan ada juga yang buat-buat tak tahu saja. Akhir sekali dia tertidur.

Bapak yang lebih-lebih. Hampir semua binatang yang ada di situ Bapak kasi makan.

Antara yang paling tak dapat dilupa, kelibat dua ekor kambing Afrika yang rakus..heheh

Asalnya, Bapak niat nak bagi makan rusa ekor putih tapi dua ekor kambing Afrika ni meluru dulu. Punyalah rakus sampai baju Bapak nak dimakannya, punggung Bapak juga disondolnya..heheheh

Orang Rumah Bapak awal-awal lagi dah bawa Khalish lari. Nasib baik ada seorang pekerja zoo terbabit dapat mengawal disiplin kedua-dua kambing tersebut...heheh
Seronok tengok prairie dog (sejenis spesies tupai tanah asal Amerika Selatan) berdiri sambil menjerit apabila penjaganya menyebut perkataan 'Wee'. Bila Bapak dan Orang Rumah Bapak sebut ' Wee' mampus tak dilayannya..hehehh

Thursday, November 19, 2009

Gam Kanji?

"Kenapa kena bagi Khalish gam?", tanya Orang Rumah Bapak kepada Bapak sebaik sahaja memasuki kereta sejurus selesai Khalish menjalani pemeriksaan bulanan di Klinik Desa Chepor hari ini.

"Gam?", soal Bapak kembali.

"Yelah tadi jururawat tu syor bagi Khalish makan kanji. Bukan kanji tu gam ke?" terang Orang Rumah Bapak yang merupakan anak jati Melaka.

"O...bukan gam lah, bubur nasi. Orang sini (Perak) sebut bubur nasi tu kanji," balas Bapak sambil ketawa.

Kisahnya Khalish yang mulai diberi makanan pejal pertama sejak pertengahan bulan ini kadang-kala sukar membuang air besar.

Sebagai penyelesaian, Bapak membelikan Khalish puri buah-buahan dan sayur-sayuran. Masalah itu selesai namun apabila pemakanan puri dihentikan, masalah membuang air besar timbul kembali.

Perkara itu diadukan kepada jururawat dan beliau mengesyorkan pemakanan Nestum dihentikan dan diganti dengan kanji.

Alasannya kanji lebih sesuai dengan perut bayi kerana tidak mengandungi sebarang perasa tambahan. Jururawat itu juga menyarankan Khalish diberi makan buah-buahan seperti betik, oren dan pisang yang dilenyek jika masalah membuang air besar terus berlarutan.

Namun tak sampai sejam selepas kami pulang dari Klinik Desa Chepor, Khalish yang diberi makan puri malam semalam telah membuang air besar..hheheh

Sebenarnya isu makanan pejal pertama Khalish sudah diutarakan keluarga sejak anak sulung kami itu berusia sebulan lagi.

Ceritanya, Khalish pada masa itu asyik menanggis dan dikhuatiri puncanya kerana lapar. Ada cadangan Khalish diberi makan selain susu.

Tapi Bapak berkeras dan menyatakan makanan pejal hanya boleh diberi kepada Khalish setelah dia berusia 6 bulan. Alhamdulillah setelah berusia 4 bulan, Khalish sudah tidak kerap menanggis lagi.

Dia diperkenal mula diperkenal dengan puri sayur dan buah setelah genap 6 bulan awal bulan ini.

Mula dia enggan makan kerana ingatkan puri itu ubat (Khalish macam trauma dengan ubat..heheh) tetapi setelah cuba merasai sedikit, oleh kerana sedap dua sudu puri yang diberi bagi setiap sesi tak cukup pula.

Selepas seminggu diberi puri, Khalish mula diperkenal dengan Nestum dan biskut bayi. Namun pemakanan biskut itu dihentikan setelah Bapak mendapati ia terlalu manis. (ada kandungan gula rupanya...nyesal tak tengok betul-betul masa beli).


Sekarang Bapak dan Orang Rumah Bapak sepakat memberi Khalish makan kanji pula.

Selera makan Khalish sekarang ni memang tengah naik, tadi pizza yang sedang dipegang Orang Rumah Bapak hampir-hampir dapat dirampasnya..terkejut kami...heheheh

Sunday, November 15, 2009

Hatiku tertinggal di KL....

Selama empat hari sehingga kelmarin, Bapak sekeluarga pulang ke rumah orang tua Bapak di Petaling Jaya.

Saja ambil cuti tahun berehat di rumah keluarga. Walaupun cuti tahun tersebut hampir-hampir dibatalkan tetapi alhamdulillah tercapai niat Bapak dan Orang Rumah Bapak. Apatah lagi mengikut perancangan, Aidiladha pada akhir bulan ni, kami tak pulang ke PJ.

Ternyata gerak hati Bapak ada hikmah disebaliknya. Sehari selepas kami berada di rumah, Mama dimasukkan ke hospital. Asalnya sakit perut sahaja dan dibawa ke klinik untuk menerima rawatan tetapi tahu-tahu sahaja Ayah sms Mama dah berada di wad kecemasan Hospital Pantai, Kuala Lumpur.

Sebaik terima sms, Bapak terus angkut Orang Rumah Bapak, Khalish dan adik kedua Bapak, Wan ke hospital. Sampai di hospital, Mama kelihatan lemah dengan beberapa wayar tersirat di tangannya.

Sejak hari itu, kebanyakan masa Bapak, Orang Rumah Bapak dan Khalish dihabiskan di hospital untuk menemankan Mama.

Sehingga hari ini, doktor masih belum mengetahui masalah sebenar. Setakat ini didapati Mama mengalami tekanan darah rendah dan jantungnya sedikit bengkak.

Berat hati nak balik ke Ipoh pada Jumaat lalu. Kalau boleh nak tunggu sampai Mama benar-benar sihat dan dibenarkan keluar hospital tapi apakan daya ada tugas menanti...

Dari jauh khabar dirisik dan doa diutuskan, semoga Mama cepat sembuh...

Sunday, November 8, 2009

Keluarga Didahulukan...

Bapak kembali bersiaran setelah lebih 3 minggu menyepi..

Selain komitmen kerja yang agak melambak terutamanya pada 2 minggu lepas, baru-baru ini Bapak dan Orang Rumah Bapak menerima dugaan yang menguji iman, emosi dan mental.

Ia sedikit sebanyak memberi kesan kurang menyenangkan kepada keluarga kecil Bapak walaupun ia disebabkan individu luar.

Apapun Bapak telah mengambil tindakan yang mengutamakan keutuhan institusi keluarga, landasan agama dan perkembangan satu-satunya permata kami, Khalish.

Keluarga ini terutamanya Khalish perlu hidup dan membesar dalam persekitaran positif dan Bapak tidak akan membenarkan sesiapapun mengganggu gugatnya.


Sehari selepas kejadian itu, Bapak, Orang Rumah Bapak dan Khalish keluar bersama menenangkan fikiran.

Baru tersedar sudah lama kami tidak keluar bersama selain membeli-belah dan balik kampung...

Berkorban itu perbuatan mulia tetapi jangan sampaikan benarkan diri terkorban...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails