Translate

Sahabat Bapak

Wednesday, May 23, 2012

WW : Kasih datuk & 2 cucunya


Monday, May 21, 2012

Orang Rumah Bapak bertambah umur

Alhamdulillah Orang Rumah Bapak genap 29 tahun pada Sabtu lalu.

Awal-awal lagi Orang Rumah Bapak beritahu tak mahu kek ulang tahun kelahiran. Namun pada sebelah petang, beliau menyertai kelas membuat kek yang hanya diputuskan pada saat-saat akhir.
 Balik dari rumah pada lewat petang, Orang Rumah Bapak membawa pulang empat jenis kek tapi sepotong setiap jenis la. Kira kek ulang tahun kelahiranlah kan...heheh... Khalish dan Ilhan yang lebih-lebih tak menyempat nak menjamah kek-kek tersebut.

Pada sebelah malam, kami ke Restoran Haji Sharin Low di Greentown untuk meraikan ulang tahun kelahiran Orang Rumah Bapak. Permintaan beliau sendiri sebab dah berkenan dengan kelazatan udang mentega di situ.
Sebenarnya dah banyak kali, kami menjamu selera di restoran berasaskan makanan Cina Islam tersebut. Pernah juga pesan 'itik gantung' halal tapi kali ini tidakle.

Selain udang mentega, kami cuma pesan menu daging goreng Cina, kacang panjang goreng telur masin dan tomyam makanan laut. Semua ok kecuali tomyam yang terlalu kuat pengaruh daun limau purut sehingga kuahnya terasa sedikit pahit.
 Apa pun selamat ulang tahun kelahiran Sayang. Hidup bersamamu adalah anugerah berharga...


Sunday, May 20, 2012

Nasi Padang Seri Garuda Emas

Sejak Orang Rumah Bapak berkawan dengan geng-geng kek dan roti ni, beliau tahu je kedai menjual peralatan dan bahan mentah membuat kek dan roti. Salah satunya Bake with Yen di Lorong Haji Taib 1,Kuala Lumpur.
Tapi sebelum sampai ke sana, kami singgah dulu makan tengah hari di Restoran Grand Seri Garuda Emas di Jalan Raja Alang. Kebetulan jumpa semasa berlegar-legar mencari tempat letak kereta.

Restoran ini memang pure nasi padang. Pekerjanya semua dari Indonesia. Duduk sahaja kami setelah diambil pesanan air, hampir berpuluh-puluh piring lauk diletakkan memenuhi meja makan kami.

Bapak memberi isyarat kepada Orang Rumah Bapak untuk memilih lauk yang berkenan di hati sahaja, yang selebihnya diketepikan.

Dengan perut dua dewasa dan dua kanak-kanak berumur bawah tiga tahun, mana mungkin semua lauk itu hendak dihabiskan. Nanti tak pasal-pasal semuanya di caj walaupun sekadar dicubit-cubitnya lauknya dan lebih malang lagi tak terusik.
Orang Rumah Bapak memang geli sikit nak jamah masak lemak urat lembu kesukaan Bapak tapi kali ini berselera pula beliau.

Lepas selesai semua urusan di restoran itu baru kami ke kedai Bake With Yen. Tak susah sangat mencarinya; berhampiran dengan Plaza GM. Memang agak murah barangan yang di jual di situ berbanding dengan Ipoh.
Cuma pemandangan di hadapan kedai itu kurang seronok dan sesuai terutama untuk Khalish dan Ilhan. Beberapa golongan LGBT yang diragui status jantinanya begitu komited bersidai di kaki lima hotel murah untuk menunggu pelanggan pada tengah hari buta yang terik tersebut...

Chelsea juara Champion League

 Pelaburan lebih satu bilion pound sterling Roman Abramovich untuk merealisasikan impiannya memenangi piala Champion League sejak hampir 10 tahun lalu akhir tercapai pagi tadi.

Chelsea menewaskan Bayern Muchen menerusi penentuan tendangan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 dalam permainan 120 minit yang turut menyaksikan Arjen Robben gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-95.

Kuda tua, Didier Drogba muncul wira membawa Chelsea muncul juara kejohanan yang terprestij buat kelab bola sepak Eropah itu.

Dia menyempurnakan tendangan penalti terakhir yang menjadi penentu selepas pemain tengah, Bastian Schweinsteiger sebagai pengambil tendangan penalti kelima Bayern sebelum itu gagal melakukannya.

Drogba juga menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-88. Bayern mendahului dengan jaringan Thomas Muller pada minit ke-83.

Penghargaan buat pengendali sementara Chelsea, Roberto Di Matteo yang menjalankan tugasnya dengan baik. Adakah Abramovich akan mengiktiraf jasa Di Matteo dengan melantik beliau sebagai pengurus tetap Chelsea untuk musim depan? Berdasarkan rekod lalu, jawapan hampir 99 peratus, tidak...






Saturday, May 19, 2012

Gaya rambut baru Bapak

Sejak berumahtangga dan seiring dengan faktor usia, gaya rambut Bapak tak pernah berubah. Apatah lagi Bapak jarang bertukar tukang gunting; kedai gunting rambut yang diusahakan seorang pemuda India di rumah depan di hadapan rumah.

"Biasa," kata Bapak kepada tukang gunting itu sebelum terlelap dan hanya terjaga selepas kerja-kerja memakas rambut Bapak hampir selesai.

Namun baru-baru ini Orang Rumah Bapak komplen gaya rambut Bapak itu yang tak pernah berubah, tak macam zaman muda-muda; bercinta dulu.

Pelik juga Bapak, kang make over lebih-lebih, dituduh buang tebiat nak menggatal pula. Malas nak bising, Bapak pergi ke sebuah salon yang dikenalpasti semua tukang guntingnya lelaki.
"Mahu fesyen apa bos," tanya tukang gunting salon tersebut.

"Kasi stailo sikit," jawab Bapak ringkas.

Dipendekkan cerita, ini gaya rambut terbaru Bapak. Ala-ala Neymar, pemain bola sepak Brazil yang Chelsea nak beli tapi tak dapat-dapat tu.

Orang Rumah Bapak tersenyum tapi Bapak rasa nak menyesal pula. Balik kampung nanti, gamaknya kena pakai songkoklah, cover....

Sustagen 100 % Nutritionland

Apabila susu formula jenama Sustagen menganjurkan pameran jelajah di Aeon Kinta City baru-baru ini,  Khalish dan Ilhan tidak melepaskan peluang.

Sesuai dengan motto 100 % Nutritionland, selain motif tersirat untuk menjual produk susu formula mereka dengan harga sedikit diskaun, pelbagai permainan interaktif sebagai pelajaran nutrisi sihat ditonjolkan untuk  kanak-kanak.

Sampai sahaja sebaik Orang Rumah Bapak menunjukkan sms jemputan, kami dihadiahi bantal kapal terbang. Khalish dan Ilhan pula masing-masing menerima topi tukang masak dan belon (yang kemudiannya kedua-dua belon itu meletup sebelum sempat sampai ke rumah..Khalish dan Ilhankan...)
Ada enam stesen permainan interaktif iaitu memasukkan roti di dalam mesin pembakar roti, belajar memanggang, mengisar buah-buahan, permainan video, minum sampel susu dan menimbang berat serta tinggi.

Semua stesen perlu dilalui untuk mendapatkan chop daripada kakitangan bertugas bagi membolehkan hadiah misteri berupa sampel susu Sustagen Kids diterima.
Khalish teruja mengikuti semua stesen permainan interaktif tetapi Ilhan kurang berminat. Dia lebih suka berpusing-pusing di sekeliling ruang legar pameran tersebut dan hanya pergi ke stesen minum sampel susu dan menimbang berat serta tinggi.



Friday, May 18, 2012

Melatih Khalish & Ilhan mencintai buku

Ini kisah awal bulan ini tapi Bapak nak cerita juga memandangkan blog ini dah lama terperam..heheh..
Kisahnya awal bulan ini, kami membawa Khalish dan Ilhan ke Pesta Buku Antarabangsa. Kali pertama buat Ilhan dan kedua buat Khalish, tapi masa pertama kali tu, usia Khalish rasanya tak sampai setahun dan tiada kaki lagi.

Cabarannya setiap kali bawa berjalan, Khalish dan Ilhan tak leh fokus di lokasi sama dalam jangka masa panjang. Tak nak berhenti, nak berjalan sahaja non stop...
Oleh itu, sampai sahaja di PWTC, perkara pertama dilakukan ialah kasi diorang kenyang dulu di medan selera di sebelah Sungai Klang.

Kemudian baru kami berpusing dari satu gerai pameran ke gerai pameran. Mula-mula bahagian Orang Rumah Bapak dulu. Buku-buku untuk Khalish dan Ilhan yang telah dikenalpasti sebelum ini juga dapat dibeli.
 Setengah perjalanan, kami berhenti memberi Khalish dan adiknya berehat; makan coklat. Nasib baik kali cuma dua tingkat, tak perlulah memerah stamina mengawal dua adik-beradik ni.

Selepas itu baru giliran Bapak mencari buku yang dikehendaki, tapi tak boleh lama sebab Ilhan sudah mula buat perangai. Selepas keluar dari PWTC, baru Bapak perasan ada beberapa gerai pameran yang dilist out nak pergi, tak dikunjungi..

5 tahun pelanggan tetap klinik desa

Sepatutnya Ilhan menjalani suntikan imunisasi terakhir sewaktu dia genap berusia setahun enam bulan pada akhir bulan lalu. Namun ia terpaksa dilewatkan sehingga dua minggu ekoran pada waktu itu dia demam.

Demam nak tumbuh gigi gamaknya kerana selain air liurnya sentiasa meleleh, beberapa tunggul gigi termasuk gigi geraham mula kelihatan.

Alang-alang pemeriksaan kali ini, Khalish yang genap tiga tahun ikut sekali.Nak elakkan kesesakan, pagi-pagi lagi, sebelum petugas datang, kami dah tercongok kat depan pintu klinik desa itu.
Macam biasa, Khalish mula-mula takut nak masuk tapi apabila dipujuk lawatan kali ini bukan dia yang bakal disuntik, dia mula berani dan menjawab sendiri beberapa persoalan yang ditanya jururawat desa.

Ilhan pula macam kelazimannya, belum kena suntik sudah melalak. Tapi sekejap sahaja, sangkaan dia akan demam semula meleset malah kami lasak 'mengemas' rumah selepas itu.

Kami diberitahu Khalish dan Ilhan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan perkembangan diri secara berkala sehingga berusia 5 tahun. Oklah, perkara yang baik ikutkan je, bukan kena bayar pun.

Khalish sudah tiga tahun

Alhamdulillah permata sulung kami, Khalish genap tiga tahun pada  12 Mei lalu.

Bagai cepat masa berlalu, dia yang dulu tapak kakinya cuma dua jari sudah semakin membesar. Semakin keletah bercakap dan mempelajari perbendaharaan kata baru hampir setiap hari.

Rutinnya setiap hari selain bermain dan menyepah rumah (berganding bahu dengan Ilhan), Khalish suka menonton kartun Upin Ipin, Boboiboy dan Mr. Bean tanpa jemu.

Waktu senggang digunakan untuk mengajar dia mengenal huruf rumi dan jawi, nombor dan Iqra serta membaca buku cerita.

Pada hari ulang tahunnya yang ketiga, pagi-pagi lagi Orang Rumah Bapak pergi ke kelas dekorasi kek. Selain belajar kemahiran baru, kek yang siap dideko nanti itulah kek hari lahir Khalish.
Selain menunggu beberapa jam, Orang Rumah Bapak pun pulang membawa kek hari lahir itu bersama enam kek cawan. Satu daripada dihias dengan gambar Boboiboy. Tanpa disuruh, Khalish membuat posing seolah-olah sedang meniup lilin kek tapi sebenarnya lilin tu tak wujudpun..heheh...

Sebelah malamnya, Khalish di bawa untuk menikmati makanan kesukaannya, Kenny Rogers Roasters. Ilhan pun tumpang sekaki..

Oleh kerana laptop lama sudah rosak, kami membelikan baru untuk Khalish. Mula-mula nak belikan permainan sama untuk Ilhan (yelah, setiap seorang satu, kalau tak berebut..kebetulan laptop dia pun dah rosak) tapi dia lebih kehendakkan sebiji bola. Dipegangnya bola itu kuat-kuat tak mahu lepas walaupun dipujuk terima laptop...
Khalish, semoga membesar sebagai insan yang tahu membezakan antara hak dan bathil. Memang menjadi anak sulung tidak mudah... Semoga ayah dan ibu terus diberi kekuatan untuk membimbingmu menyerlahkan potensi diri dan menjadi insan yang tidak pernah lupa tanggungjawab sebagai hamba Allah dan sesama insan,

Notis pendek : Kembali

Sudah hampir 3 minggu blog Akulah Bapak ni terbiar bersawang. 30 entri dalam lima bulan juga bukan pencapaian baik dan diyakini terburuk dalam tempoh 3 tahun blog ini wujud.

Apa pun terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi mengunjungi blog ini untuk menatap entri-entri yang lalu sepanjang tempoh 'pertapaan' tersebut.

Insyaallah Bapak akan kembali dan sokongan anda amat dihargai.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails