Translate

Sahabat Bapak

Showing posts with label jalan-jalan cari makan. Show all posts
Showing posts with label jalan-jalan cari makan. Show all posts

Friday, October 4, 2013

Wang Kelian bukan Padang Besar

Sebelum ini kebanyakan percutian dilakukan pada hari biasa. Bapak sengaja menghindar hujung minggu bagi mengelak kesesakan. Santai bercuti dalam keadaan lengang dan ketika kebanyakan orang sedang bekerja.

Namun ia sukar dilakukan sejak awal tahun ini kerana Khalish sudah mula bersekolah. Oleh sebab itu pada kunjungan ke Perlis sebelum ini, Bapak tidak pernah ke Wang Kelian yang hanya di buka pada hujung minggu sahaja.
Biasanya Bapak ke Padang Besar termasuk pada kunjungan terakhir bersama Orang Rumah Bapak pada 2008. Kali ini Orang Rumah Bapak mengajak ke Wang Kelian. Beliau pernah ke sana tahun lepas bersama keluarganya dalam percutian singkat pada tahun lalu yang tidak di sertai Bapak.

Untuk ke Wang Kelian yang terletak 45 km dari Kuala Perlis, kami keluar dari hotel usai bersarapan.
Waktu itu hujan renyai-renyai, cuaca semakin baik tetapi agak mendung apabila kami merapati Wang Kelian.

Mujur apabila sampai pada pukul 9 pagi, masih tidak banyak kereta, boleh lah kereta kami di parkir agak rapat dengan pos kawalan imigresen. Namun sebaik sahaja melepasi sempadan Satun yang merupakan wilayah bagi Wang Kelian di sebelah Thailand, cuaca agak terik biar pun baru pukul 9 pagi.
Khalish mula meragam, mula-mula dia nak payung. Kemudian merengek ajak balik sebab letih berjalan jauh katanya.Dia letak syarat kena beli gitar ala-ala Tegar. Ilhan pula rambang mata nak beli semua mainan yang ada di situ.Terpaksalah Bapak dan Orang Rumah Bapak 'main' politik sikit. Apabila sudah dapat, Ilhan asyik bermain, tak hirau ibunya membeli-belah.

Walaupun tiada kereta tetapi motosikal agak bersimpang-siur, jenuh juga Bapak dan Orang Rumah Bapak memimpin tangan Khalish dan Ilhan sambil menjinjit barang.
Rata-ratanya barang yang dijual di Wang Kelian lebih murah dari Ipoh dan Kuala Lumpur kecuali minyak masak. Minyak masak jenama seperti Seri Murni, Alif dan Saji seberat 5 kg dijual secara terang-terangan dengan harga RM16/160 Bath. Di negara kita, ianya barang kawalan bersubsidi dan berharga RM13.25.
Tak tahulah kalau ada orang Malaysia yang terbeli minyak masak yang boleh dikatakan di seludup ini...
Dari sebesar-besar seperti toto sehingga sekecil-kecil seperi cengkerang siput diborong Orang Rumah Bapak. Tak menang tangan Bapak mengangkatnya. Namun apabila semua barangan itu di pungah setelah sampai di Ipoh, yang betul-betul milik Bapak cuma sepasang sandal..beginilah nasib seorang suami dan ayah..kahkahkah..

Thursday, October 3, 2013

Kita tengok apa ada di Agrofest Perak

Sejak menetap di Perak lebih 7 tahun lepas, satu-satunya karnival yang Bapak minat pergi hampir setiap tahun ialah Agrofest.

Agrofest diadakan sempena Hari Peladang, Peternak dan Nelayan peringkat negeri. Biasanya diadakan selama tiga hari di Ladang Infoternak Sungai Siput yang terletak tak berapa jauh dari rumah Bapak.

Walaupun Orang Rumah Bapak komen barang dijual setiap tahun hampir sama sahaja macam tak berkembang industri asas tani di Perak ni tapi banyak produknya dijual dilihat menunjukkan kemajuan membanggakan dari segi pembungkusan dan jenama.
Kali ini ekoran kekangan kerja, kami pergi sebelah malam selepas solat Maghrib. Selepas makan malam di salah sebuah gerai di situ, Khalish dan Ilhan 'di sogok' dengan belon agar tidak meragam dan mengajak balik awal sewaktu kami sedang asyik tawaf gerai-gerai yang terdapat di Agrofest.

Malam itu antara yang kami beli jagung dari Ladang Kontrak Bota. Sebab Ilhan suka sangat jagung, 12 tongkol sekali kami beli. Ala 3 tongkol baru RM1 je..hehe.. Mangga dari Lekir juga dibeli sebab Ilhan juga 'hantu' mangga.
Kami juga beli terubuk masin. Orang Rumah Bapak minat terubuk masin tapi nak pergi Sarawak entah bila, beli kat Agrofest sahajalah.
Kami juga borong taucu jenama Opah Nur seperti yang di pesan Mak Ulung. Sebelum ini beliau sering mengadu sukar nak mencaro taucu keluaran Bumiputera di Melaka terutama sekitar Masjid Tanah.
Selain itu kuih ayam yang sedang dibuat panas-panas juga menarik minat kami selain pekasam tenggiri (selalunya hanya ikan sungai dibuat pekasam).
Khalish dan Ilhan lebih minat main dengan buah koko dan ikan laga...hehe

Saturday, September 28, 2013

Nostalgia Mentarang Kuala Perlis

Pertama kali mengenali dan menikmati mentarang di Medan Selera Kuala Perlis pada 2006 sentiasa menggamit kenangan Bapak.
Antara menu yang Bapak suka ialah mentarang masak asam. Mentarang bersaiz besar di masak dengan cengkerang  memberi rasa manis kepada kuahnya.

Namun ia mengikut musim juga kerana dikhabarkan selepas peristiwa tsunami Disember 2004, kebanyakan mentarang yang menghuni kawasan bakau di Kuala Perlis telah 'berhijrah' ke Kuala Selangor.
Malam itu kami pergi satu demi satu gerai di Medan Selera Kuala Perlis semata-mata untuk mencapai misi mencari mentarang. Hanya satu kedai sahaja yang menjual mentarang iaitu SM4. Kebetulan kedai makan yang sama Bapak berkunjung 7 tahun lepas.

Selain mentarang masak asam, Orang Rumah Bapak pesan sotong goreng tepung, udang masam manis (asalnya nak pesan udang goreng mentega tapi memang tidak wujud menu itu di medan selera ni), sup ayam dan kailan ikan masin.
Kami tak pilih ikan bakar kerana pilihan ikan yang ada cuma siakap, kerapu, gerut dan kurau. Ikan yang biasa menjadi sajian di rumah.

Khalish minat sotong goreng tepung tapi Ilhan tak pandang pun semua makanan laut tu. Dia lebih ralit meratah sate. Kos makan pada malam itu RM50.
Selepas itu kami naik kereta kuda di depan Hotel Putra Brasmana. Caj sekeluarga RM16; dewasa RM5 seorang, Khalish dan Ilhan pula masing-masing RM3.
Kuda padi tersebut tak lah membawa kami jauh sangat,  dari hadapan hotel hingga persimpangan  antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang lebih kurang 5 kilometer sebelum berpatah balik. Namun ia memberi pengalaman menyeronokkan untuk Khalish dan Ilhan.

Monday, September 23, 2013

Pekena Laksa Beras Kak Su Kuala Perlis

Hampir setiap negeri di Malaysia mempunyai versi laksanya tersendiri. Biasanya kelainan terletak pada penyediaan dan rasa kuah. Ada laksa yang diperbuat daripada beras, gandum malah ada yang menggunakan spagetti seperti laksa Johor.
Kunjungan di Kuala Perlis tempoh hari, kami mencari restoran Laksa Beras Kak Su untuk merasai laksa Kuala Perlis.

Walaupun carian di internet memberitahu petunjuknya Maybank Kuala Perlis tapi Bapak tak perasan langsung cawangan bank itu semasa berlegar-legar di pekan tersebut yang mengamalkan aliran trafik sehala.
Nasib baik ada papan tanda besar di persimpangan masuk nak ke restoran berkenaan yang terletak di deretan rumah kedai yang tak semuanya berpenghuni.

Laksa Kak Su diperbuat daripada beras dan kuahnya pekat seperti mengandungi santan.Kisaran ikannya juga begitu halus. Enak dimakan bersama hirisan cili padi.

Di restoran itu juga, pelanggan didedahkan cara orang Perlis menikmati laksa iaitu dimakan bersama pulut udang dan spera.
Spera itu seperti karipap tetapi intinya sambal kelapa. Kedua-kedua kuih itu  biasanya direndam di dalam kuah laksa sebelum di makan bersama-sama laksa.

Kicap juga disediakan kerana dikhabarkan sebilangan orang Indera Kayangan ini makan laksa taruh kicap.

Sepinggan laksa biasa berharga RM3 sementara pulut udang dan spera dijual pada harga 30 sen sebiji.

Sunday, September 22, 2013

Thumb's Cafe : Ipoh pun dah ada meatball tau!

Kali terakhir Bapak menjejakkan kaki ke kawasan itu kira-kira 7 tahun lalu, ia masih merupakan Asrama Anak Yatim Badan Khidmat Islam Perak (Bakip).

Tidak lama selepas itu bangunan itu terbiar kosong berikutan pemindahan asrama itu di Bandar Meru Raya. Kira-kira 2 minggu lalu, dewan yang pernah menjadi lokasi perhimpunan anak yatim telah di sewa dan diubah suai menjadi kafe yang diberi nama Thumb's Cafe.
Bapak menyedari kewujudannya selepas beberapa kenalan memuat naik foto bebola daging  (meatball) yang dinikmati dari kafe tersebut.

Tengok dari gambar persis meatball Ikea tapi rasanya bagaimana? hehe... Keinginan itu membawa kami ke Thumb's Cafe malam semalam.

Dekorasinya persis restoran makanan Amerika yang diadun ciri-ciri tempatan. Dewan yang diubahsuai itu bukanlah besar sangat, bolehlah menempatkan 7 meja, 2 sofa dan sebuah meja panjang seperti yang terdapat di restoran makanan segera.

Pelanggan agak ramai sehingga ada yang terpaksa pulang hampa kerana semua ruang sudah penuh. Kami bernasib baik kerana ketika sampai kebetulan ada satu meja kosong.
Orang Rumah Bapak pesan meatball, spagetti carbonara, lamb chop, sup cendawan, french fries dan air lemon madu.

Meatballnya dihidang bersama sos perang, french fries, salad dan jem strawberi. Tidaklah sekenyal meatball Ikea tetapi masih memenuhi selera.

Makanan lain yang dipesan juga okay sesuai dengan harganya. Untuk semua menu tersebut kami dikenakan caj RM29.
Menurut pemilik kafe tersebut, mereka pernah mengusahakan restoran Hentian Rasa yang terletak di belakang JPJ Perak berhampiran Jabatan Veterinar negeri yang kini hanya tinggal kenangan kira-kira 25 tahun lalu. Ini kira comebacklah setelah mereka sekadar mengusaha kantin selepas era Hentian Rasa berakhir...

Saturday, September 21, 2013

Misi 2 hari 1 malam Perlis

Percutian bagi Bapak haruslah mempunyai pengisian yang sesuai dan memberi kepuasan untuk seisi keluarga. Di samping memberi ketenangan kepada suami yang bercuti daripada rutin kerjayanya, keseronokan kepada isteri memenuhi kehendaknya, pendidikan secara tidak formal kepada anak-anak tidak harus diketepi.

Bagi Bapak, walaupun merupakan negeri terkecil di Malaysia, Perlis memenuhi kriteria tersebut. Kesempatan menikmati makanan laut segar di Kuala Perlis dan menerokai sejarah awal negeri tersebut di Muzium Kota Kayang cukup menenangkan Bapak.

Kunjungan ke Taman Ular dan Reptilia, Taman Anggur dan Gua Kelam memberi peluang kepda Khalish dan Ilhan melihat sendiri kehidupan flora dan fauna yang selama ini kebanyakannya hanya disaksikan di kaca televisyen sahaja.

Untuk Orang Rumah Bapak, kebebasan membeli apa sahaja di Wang Kelian sudah cukup menghiburkan beliau..

Dalam masa dua hari semalam, kami menerokai Perlis dari Kuala Sanglang hingga ke Wang Kelian. Antaranya : -

a) Kuala Perlis
Kuala Perlis bukan sekadar salah sebuah pintu masuk ke Pulau Langkawi sahaja tetapi mempunyai tarikan pelancongannya tersendiri.

Kami memanfaatkan kehidupan malam di pekan ini dengan menikmati makanan laut di Medan Selera Kuala Pelis, menaiki kereta kuda dan bersolat serta beriktikaf di Majlis Al-Hussain aka Masjid Terapung Kuala Perlis.

b) Muzium Kota Kayang
Muzium ini dibina tapak Kota Kayang yang menjadi pusat pemerintahan Sultan Kedah ke-15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I yang memerintah antara tahun 1661 hingga 1687.

Dibina pada 1999, muzium ini memaparkan sejarah awal Perlis, zaman penaklukan Siam, penjajahan Jepun dan awal kemerdekaan. Terdapat juga Galeri Arkealogi, Senjata, Diraja dan  Kebudayaan.

Kemasukan percuma dan dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali Hari Raya Aidilfitri pertama.

c) Taman Ular dan Reptilia Perlis
Diiktiraf sebagai taman ular yang terbesar di negara ini. Dalam berani-berani takut, Khalish dan Ilhan mendekati hampir semua 150 ekor ular dari 34 spesies yang ditempatkan sama ada di dalam sangkar mahupun peti kaca.

Tiket kemasukan dewasa RM4 manakala Khalish dan Ilhan masuk percuma kerana di bawah 5 tahun.

d) Taman Anggur Perlis
Beriya-iya kami berjanji dengan Khalish dan Ilhan untuk membeli anggur banyak-banyak tetapi sampai-sampai sahaja di kaunter tiket Taman Anggur Perlis, kakitangan sambil tersengih menasihatkan kami membatalkan lawatan sebab anggur yang ditanam masih berputik.

Sebab tak nak kempunan kami bergambar juga di pintu depan ladang anggur tersebut sambil memujuk Khalish dan Ilhan... siap ambil gambar putik anggur sebagai bukti..hehehe

e) Wang Kelian
Bangun pagi-pagi semata-mata untuk sampai awal ke Wang Kelian. Nasib baik pada pukul 9 pagi, tak ramai lagi pengunjung dapatlah Bapak parkir kereta serapat mungkin dengan pos imigresen.

Memang rambang mata, angkutlah selagi kedua-dua tangan larat. Di nasihatkan baik jangan bawa anak-anak kecil untuk memudahkan urusan. Kalau tak kena lah terima 'drama' macam Khalish yang banyak songeh asyik ajak balik sebab tak tahan panas terik matahari dan Ilhan yang sanggup berguling-guling di atas lantai semata-mata untuk mendapatkan semua permainan yang dia mahukan..heheheh

f) Gua Kelam
Sudah banyak perubahan positif berbanding lawatan terakhir Bapak dan Orang Rumah Bapak pada Mei 2008. Kereta sudah boleh diparkir berhampiran pintu masuk Gua Kelam (caj RM1 dikenakan)..

Penerokaan di dalam Gua Kelam pun semakin menarik dengan pencahayaan berwarna-warni.

Secret Garden yang menempatkan pelbagai tanaman herba juga semakin kemas dengan penyediaan tempat duduk untuk pengunjung bersantai sebentar.

Tiket kemasukan dewasa RM1 dan Khalish sepatutnya dikenakan caj 50 sen tetapi dikecualikan pula...

g) Ladang Nipah Kipli
Kami menamatkan kunjungan ke Perlis dengan minum air nira nipah di Kuala Sanglang.

Hasil inisiatif Encik Kipli yang merupakan penduduk Kampung Timbul, air nira nipah tersebut dijual pada harga RM2 segelas.

Kami minum di gazebo yang dikelilingi pohon-pohon nipah yang mengamit minat Khalish dan Ilhan.

Tuesday, August 20, 2013

Ketupat asli vs ketupat palsu

Secara jujur, tiada seorang pun ahli keluarga Bapak reti menganyam ketupat.
Kecil-kecil dulu, adik Mama, Pakcik Mamat yang rajin menganyam ketupat, cuma kena sediakan pucuk daun kelapa sahaja.

Kalau takde ketupat yang dianyam Pakcik Mamat, hidangan pagi raya diganti dengan nasi impit. Pagi sehari sebelum raya biasanya kami bergotong-rotong memasukkan beras di dalam beg plastik.
Masa berlalu, seingat Bapak penghujung 1990-an, pembuatan nasi impit semakin mudah dengan munculnya nasi impit segera, jenama popular Abadi dan Nona.

Kemudian wujud pula ketupat dan ketupat mini segera. Nama sahaja ketupat tetapi secara teknikalnya ia merupakan nasi impit; kampit plastik yang diisi dengan beras.

Nasi impit, ketupat segera itulah menu wajib kami sekeluarga baik pada pagi Aidilfitri mahupun Aidiladha sejak lebih 10 tahun lalu.
Rumah mertua di Masjid Tanah pun sama.. Kalau nasib baik, dapatlah Bapak makan ketupat asli di kampung Mama di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Itupun kalau Pakcik Mamat rajin. Entahlah mungkin Bapak agak oldschool, rasa dan feel makan ketupat segera takkan sama dengan ketupat asli.
Selain keanjalan teksturnya, bau ketupat asli yang baru masak pun wangi maklumlah direbus dengan pucuk daun kelapa...



Friday, May 24, 2013

Rasa nak berenang ke Tanjung Dawai dari Pantai Merdeka..

Selepas melalui pekan Kuala Muda dari Kepala Batas, akhirnya kami sampai di Pantai Merdeka. Berhadapan tempat letak kereta terdapat Pantai Merdeka Resort sementara di sebelah kanan pula terdapat deretan medan selera.

Berdasarkan landskap geografinya, Pantai Merdeka terletak di bahagian teluk dan berhadapan dengan sebuah perkampungan nelayan, Tanjung Dawai.

Khalish teruja untuk mandi laut tetapi Bapak memberi helah tidak membawa baju renang dan pelampungnya untuk meredakan niatnya. Lagipun keadaan pantainya yang landai dan arus pasang pada masa itu kurang sesuai untuk bermandi-manda.
Sebaliknya Khalish dan Ilhan dibiarkan ralit bermain di padang permainan yang terdapat di situ sambil melihat orang bermain layang-layang.

Ada juga beberapa pengunjung yang mandi-manda dan bermain pasir namun lebih ramai di antara yang sekadar bersiar-siar mengambil angin laut. (sambil menyanyi lagu 'Cinta Pantai Merdeka-Tropika'  agaknya..heheheh)
Timbul pula niat nak menyeberang ke Tanjung Dawai apabila melihat deretan bot penambang di sudut kanan sekali pantai tersebut.

Namun niat kami terbantut kerana tak cukup korum. Sekali perjalanan memerlukan enam penumpang sedangkan kami cuma tiga orang sahaja. Sebab Khalish beriya-iya sangat nak naik bot, hampir 15 minit juga lah kami menunggu.

Menurut pengusaha bot penambang itu, waktu petang akan lebih ramai orang mahu menyeberang ke Tanjung  Dawai.. (takkan nak tunggu kot, masa itu baru pukul 12 tengah hari...)
Mungkin sebab kasihan, seorang pak cik menjual air minuman berhampiran dengan jeti bot penambang itu mencadangkan kami ke Tanjung Dawai dengan berkereta sahaja.

"Hang pa ikut Sungai Petani, nampak Giant, ikut belah sana no," beritahu pakcik itu menunjukkan jalan.

Selepas selesai pelbagai urusan termasuk makan bihun sup Kedah, kami ke Tanjung Dawai melalui pekan Tikam Batu sebelum sampai ke bandar Sungai Petani.

Nampak je pasar raya besar Giant, Bapak belok ke sebelah kiri dan ikut papan tanda ke Tanjung Dawai.

Sampai Tanjung Dawai, terus masuk ke dalam Arked Peniaga Tanjung Dawai. Dalam kepala, sudah ada senarai hasil-hasil laut yang di pesan Orang Rumah Bapak sebelum ini.

Arked itu dua tingkat, tingkat bawah restoran yang rata-ratanya menyediakan ikan bakar dan makanan laut. Terliur gak Bapak tengok bermacam-macam jenis ikan yang dibuat ikan bakar. Bukan sekadar ikan kembung, keli dan pari di tempat-tempat lain.

Kalau tak kerana rasa kenyang lagi makan bihun sup di Pantai Merdeka, mahu Bapak tibai seround lagi..heheheh..

Tingkat dua pula menjual hasil-hasil laut.Rambang mata gak, rasanya murah sedikit berbanding di Lumut. Cuma laluan penjalan kakinya agak sempit, terpaksa bersesak-sesak jugalah sambil tangan memegang erat Khalish dan Ilhan yang ligat berjalan.
Antara yang menarik perhatian Bapak ialah keropok jejari ikan kerisi dan keropok ubi kentang. Asalnya beli sedikit sahaja, sekadar nak rasa-rasa. Tapi di rumah, Orang Rumah Bapak mengomel, katanya susah nak pergi, belilah banyak sedikit...hehehe..

Lain lain ada rezeki dan diizinkan Allah, kita pergilah Tanjung Dawai sekali lagi. Masa tu apa nak borong, borong lah..heheheh

Thursday, May 23, 2013

Dari Kepala Batas ke Kuala Muda

Hujung minggu lalu, Orang Rumah Bapak mempunyai urusan di Kepala Batas, Pulau Pinang. Berangkutlah Bapak, Khalish dan Ilhan menemani beliau ke sana.

Oleh kerana urusan Orang Rumah Bapak itu boleh dikatakan seharian dari 7.30 pagi hingga 6.30 petang, mahu tak mahu terpaksa kami tiga beranak cari alternatif lain untuk mengisi masa tersebut.

Takkan nak terperap di bilik hotel sahaja (lagi pun daftar keluar pukul 12 tengah hari). Apabila di tanya penduduk tempatan, rata-ratanya kata tiada yang menarik di Kepala Batas ini.
Sebenarnya untuk memberi keadilan kepada pekan yang pernah diwakili Perdana Menteri keempat, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah ini, ada lokasi menarik di Kepala Batas iaitu Rumah Bersejarah dan Pantai Kamloon.

Rumah Bersejarah itu kediaman datuk Pak Lah, Abdullah Fahim yang merupakan lokasi pemimpin negara diketuai Tunku Abdul Rahman menadapat khidmat nasihat 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan yang sesuai kepada negara. Pantai Kamloon yang terletak di Bumbung Lima pula ialah sebuah taman rekreasi.

Ramai yang mencadangkan kami bersiar ke bahagian Pulau. Tapi itu bukan pilihan kerana Bapak masih terkenang peristiwa Tragedi Penang : Datang Ceria, Pulang Bertongkat  kira-kira lapan bulan lalu. Lagi pun Bapak lebih mahukan lokasi yang lebih tenang daripada hiruk-piruk bandar Georgetown..

Pilihan Bapak ialah ke daerah Kuala Muda yang terletak bersebelahan sempadan Kepala Batas. Sebab batasan masa, lokasi yang Bapak, Khalish dan Ilhan jenguk :

a) Pantai Merdeka
Lebih setengah jam sahaja dari pekan Kepala Batas. Pertama kali melihat pantainya yang landai mengingatkan Bapak kepada Pantai Sungai Tuang yang terletak di hadapan rumah mertua Bapak.

Namun begitu suasananya lebih hidup. Dari orang bermain layang-layang, deretan medan selera, gerai jualan kraftangan dan pakaian serta orang yang bersiar-siar sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

b) Tanjung Dawai

Perkampungan nelayan yang terletak berhadapan dengan Pantai Merdeka. Kalau naik bot penambang yang mengenakan caj RM2 sekepala, boleh sampai dalam tempoh dua minit. Kalau mengikut jalan darat melalui bandar Sungai Petani, tambah lagi 30 minit.
Kami cuma ke Arked Peniaga Tanjung Dawai untuk membeli ikan bilis, keropok lekor dan keropok pelbagai jenis yang di pesan Orang Rumah Bapak. Lepak-lepak sekejap di jeti sambil minum air tebu hitam sebelum bergegas pulang.

c) Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Kebetulan hari itu Hari Muzium Antarabangsa. Alang-alang jalan ke Tanjung Dawai melalui pekan Merbok, kami singgah ke muzium tersebut. Jaraknya dari pekan Merbok lebih kurang 2.8 kilometer sahaja.

Agak ramai pengunjung termasuk dari luar Kedai melawat Muzium Arkeologi Lembah Bujang pada hari tersebut.
Berbanding Muzium Arkeologi Lenggong, Bapak berpendapat Lembah Bujang lebih komprehensif, menarik dan mendalam untuk mengetahui ketamadunan silam.

Ada pelbagai candi di atas puncak bukit tapi faktor masa dan keselamatan (laluan di puncak bukit itu penuh dengan batu-batu besar, Bapak bimbang je dengan kelasakan Khalish dan Ilhan yang terpaksa dipantau Bapak seorang diri), kami hanya ke Candi Pendiat.

Kalau ada rezeki, Bapak nak ulang berkunjung ke muzium ini lagi untuk lawat baki tiga candi yang terdapat di situ.

Saturday, April 13, 2013

Tepung Gomak

Sewaktu hampir-hampir melangsungkan perkahwinan dulu, Orang Rumah Bapak ada beritahu kuih kegemaran beliau terutama pada bulan Ramadan ialah kuih sagu.

Kebetulan dua bulan selepas kami bersatu, tiba bulan Ramadan. Bapak dengan gaya romantiknya membelikan beliau kuih sagu di Bazar Ramadan sebagai sajian berbuka puasa.

Tetapi Orang Rumah Bapak yang pada itu tengah menghidap sindrom 'morning sickness' pada awal kehamilan Khalish tak berapa nak layan...

Akhirnya Bapak bawa beliau ke Bazar Ramadan untuk pilih kuih kegemarannya sendiri. Orang Rumah Bapak berkenan sangat dengan kuih tepung gomak.
Bapak kenal kuih tersebut tetapi tak berapa gemar sangat. Rupanya mengingatkan Bapak dialog filem Seniman Bujang Lapok antara Ramlee dan Aziz di bilik solek Stadio Jalan Ampas, Singapura.

Sejak itu kuih tepung gomak menjadi antara kegemaran Orang Rumah Bapak biarpun di luar bulan Ramadan. Tetapi biasalah kalau suka sangat, susah pula nak cari. Kekadang je ada di pasar-pasar malam dan gerai jualan nasi lemak pada pagi hari.

Baru-baru ini mungkin kerana kecewa sangat susah nak cari kuih tepung gomak, Orang Rumah Bapak belajar buat sendiri kuih tersebut.

Bukan susah sangat, pembikinannya lebih kurang membuat kuih buah melaka. Adunan tepung pulut berinti kelapa (ada yang suka kacang hijau) yang dileperkan lalu direbus di dalam air panas. Selepas itu 'dimake up' dengan tepung kacang hijau. Sudah boleh dimakan.

Friday, April 12, 2013

Apa yang bestnya Doli Kuey Teow Goreng?

Bapak selalu dengar kunjungan ke Taiping bagaikan tak sah kalau tak menikmati kueh teow goreng Doli.
Ada juga yang kata kueh teow goreng Doli sudah tak sesedap macam zaman dulu-dulu.

Apa pun kata orang, Bapak tak pernah sekali pun merasa kueh teow goreng tersebut biarpun sudah banyak kali berkunjung ke bandar Taiping. Lagi pun Bapak bukan lah peminat tegar makanan berasaskan kueh teow.
Baru-baru ini Bapak terjumpa Restoran Kueh Teow Goreng Doli secara tidak sengaja sewaktu meronda mencari tempat makan bersama Ilhan. Ia terletak di hadapan Klinik Pergigian Taiping.

Berdasarkan gambar yang terdapat di restoran tersebut, sebelum berkembang maju dan membuka restoran tersebut, mereka mula berniaga di medan selera yang terletak bersebelahan Balai Bomba dan Penyelamat Taiping
Menu kueh teow yang terbahagi kepada biasa, besar dan istimewa. Kalau tak silap masing-masing berharga RM6, RM8 dan RM10. Sebab pertama kali merasanya, Bapak cuma memesan kueh teow goreng biasa.

Bapak berpendapat kalau nak tahu sedap ke tak tak sesuatu makanan itu biarlah dari asasnya dulu.
Menjamah kueh teow goreng Doli, kita boleh tahu ia dimasak menggunakan kayu arang. Ia tak basah, tak juga terlalu kering. Tak pedas kerana Ilhan yang cerewet tentang makanan pun boleh layan dengan selamba.
Sewaktu hendak membuat bayaran, Bapak perasan kuali menggoreng kueh teow itu berada di sebelah kaunter pembayaran. Sambil mengira, juruwang yang Bapak kira antara tauke kedai sedang mencedok kueh teow yang digorengnya...

Thursday, April 11, 2013

Moh Lenjun Bukit Merah Laketown Resort

Awal tahun ini Khalish telah menyertai kelas renang. Kelas itu diadakan di Kelab Renang MBI setiap 2 minggu.

Tapi bulan lepas ekoran masalah kesihatan, kami rehatkan dia dari kelas itu  dan hanya di sambung semula pada awal bulan ini.
Bagi memastikan skil berenang Khalish tak berkarat, Bapak telah membawa dia dan adiknya, Ilhan ke Bukit Merah Laketown Resort beberapa hari lalu.

Sebelum ke Taman Air, kamu ke Taman Eko terlebih dulu. Ia lebih kurang mini zoo yang terletak di dalam hutan sekunder.
Walaupun rasanya pada masa terdekat ini, Khalish dan Ilhan telah kerap di bawa melawat haiwan seperti di Zoo Taiping dan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka namun mereka tetap gembira melihat telatah haiwan di situ.

Bagi melayani permintaan Ilhan pula, kami mencuba naik skycycle yang digerakkan dengan mengunakan kayuhan tangan. Bapak jaga Ilhan, Orang Rumah Bapak jaga Khalish. Cuak juga kami apabila skycycle itu bergegar dan bergoyang sedikit setiap kali melalui selekoh dan bertembung dengan pucuk daun pokok dan buluh.
Sambil memerhati Bapak berkayuh, Ilhan mendiamkan diri dan merapatkan badannya ke dinding, gayat kot..hehehe..Selain tengok pemandangan pucuk pokok dan kandang rusa dan arnab di Taman Eko itu, dapat kami menguji ketahanan kepada kegayatan ala-ala peserta Fear Factor..hehehe..
Selepas itu Khalish dan Ilhan yang masing-masing membawa pelampung tak sabar- sabar terjun ke kolam di Taman Air.
Lepas satu kolam ke kolam di cuba. Kekadang nampak skil berenang Ilhan lagi pro dari Khalish...hehehe..
Tengah sedap-sedap bersuka ria, Bapak bekejar membawa Khalish yang sudah lama menahan untuk buang air kecil ke tandas... potong stim betul..hehehe

Friday, April 5, 2013

Ikan bakar best : Umbai vs Alai

Orang kata Umbai terkenal dengan ikan bakar dan makanan laut. Kali terakhir Bapak ke sana kira-kira 6 tahun lepas.
Mungkin Bapak pergi salah kedai, bukan sekali tapi dua kali kunjungan, rasanya tetap kurang kena dengan selera..biasa je. Paling Bapak tak boleh lupa rupa sotong goreng tepung tak ubah cam pisang goreng tepung beras yang digoreng sendiri petang-petang.

Selepas mengahwini Orang Rumah Bapak, langsung Bapak tak pernah jejak kaki ke Umbai. Walaupun beliau orang Melaka, faktor jarak kerana kampung Orang Rumah Bapak di sempadan manakala Umbai hampir dengan daerah Jasin, buat rasa tak berbaloi.

Kalau nak makan ikan bakar baik ke Pengkalan Balak sahaja tapi situ pun yang cuma sebelah kampung tak pernah kami jejak sepanjang 5 tahun Bapak menjadi ahli keluarga Orang Rumah Bapak.

Berlatar belakang keluarga yang terlibat dalam industri katering, kami biasa makan malam sahaja di rumah. Apatah lagi tagline ayah mertua : "Mak ko masak lagi sedap.."
Sehinggalah baru-baru ini keluarga Bapak untuk makan malam di Medan Selera MBMBB, Alai berhampiran Umbai. Tujuannya untuk meraikan ulang tahun kelahiran Mama dan Wan ( adik nombor 2) serta Mira (adik bongsu) yang memperolehi 8A dalam SPM  baru-baru ini.

Kami pergi berasingan kerana keluarga Bapak masih di Petaling Jaya pada masa itu manakala sudah berada di Melaka.
Sesat juga Bapa, pertunjuk termudah pintu gerbang berhampiran SMKA Sharifah Rodziah. Bapak sampai pukul 8.30 malam sudah ramai di situ, Mama dan ayah yang sudah sampai 15 minit awal sudah memilih makanan laut.

Seperti diduga orang dah ramai, makanan yang dipesan sampai lebih sejam kemudian.
Dalam tempoh menunggu makanan itu, Ilhan yang sebelum ini menunjukkan kecenderungan lebih suka makan di restoran yang berhawa dingin mula meragam sambil di satu tahap berguling-guling ke jalan raya untuk meraih perhatian,.

Untuk mengalih perhatian Ilhan, atuk melayan membelikannya permainan mini keyboard. Khalish pun nak permainan namun yang dipilihnya sendiri sebuah troli permainan.
Ikan bakar, sotong goreng tepung dan udang butter kena selera. Cuma Orang Rumah Bapak komplen sambal kicapnya, kicap semata yang ditabur kepingan bawang mentah dan sebiji limau kasturi yang belum diperah. Air asam langsung tiada.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails