Translate

Sahabat Bapak

Showing posts with label kerjaya. Show all posts
Showing posts with label kerjaya. Show all posts

Saturday, February 23, 2013

Royal Belum World Drums Festival

Di Perak sekarang ini sedang berlangsung Royal Belum World Drums Festival. Festival persembahan dram edisi kedua itu membabitkan 11 kumpulan termasuk 9 daripada luar negara. Antaranya dari Azerbaijan, Australia, Maldives, Mesir, Singapura, Indonesia dan Thailand.
Kumpulan kesukaan Bapak ialah Natiq Rhythm daripada Azerbaijan. Bapak masih ingat tahun lepas, mereka 3 orang cuma duduk di atas kerusi sambil memegang gendang kecil seperti kompang. Tapi selepas mereka mula beraksi, gamatnya terasa dan bukan dibuat-buat.

 Kumpulan Egyptian Nile Folkloric Musical Troupe dari Mesir pun tak kurang hebatnya. Nampak je sebahagian anggotanya terdiri daripada atuk dan nenek berusia 60 tahun ke atas tapi persembahan buat kita macam berada di negara Arab.
 Dulu sebelum penganjuran kali pertama pada tahun lalu, Bapak ingatkan mereka akan buat persembahan di dalam Taman Negeri Royal Belum. Rupa-rupanya mereka akan menjelajah beberapa lokasi di Perak sebelum Malam Gala di Dataran MBI, Ipoh dan Padang Lapang Terbang Gerik.

Dengar ceritanya pada tahun hadapan, prestij festival ini akan meningkat apabila bakal dimasukkan sebagai salah satu acara  Kalender Tahun Melawat Malaysia 2014.

Hajat Bapak nak bawa Khalish menonton persembahan di Mydin Meru Raya tetapi sebab dia demam, Ilhan jadi galang ganti.

Namun kami balik sebelum persembahan kedua tamat kerana Ilhan tak berminat. Bukan sahaja buat muka blur, dia bantai nak tidur di atas kerusi sewaktu ahli-ahli muzik sedang beriya-iya membuat persembahan.
Mata Ilhan segar semula apabila Bapak dia memasuki pasar raya untuk membeli beberapa barang yang dipesan Orang Rumah Bapak.

Ilhan memang kurang minat suasana bising dan ramai orang berbanding Khalish yang cenderung muzik bergendang.

Berbalik kepada Royal Belum World Drums Festival 2013, kumpulan drum berkenaan telah mengadakan pocket show di Aeon Seri Manjung dan Taiping Sentral Mall pada Rabu dan pada Khamis pula di RTC Gopeng dan Mydin Meru Raya.
Malam ini mereka akan beraksi di Gerik sebelum Malam Gala di Ipoh yang akan turut disaksikan Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah pada malam esok.

Lagi gambar menarik di  Royal Belum World Drums Festival 2013

Monday, January 28, 2013

Buah cerapu si buah nadir

Sewaktu dalam perjalanan ke Tapah melalui Jalan Gopeng-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Jeram, Bapak perasan gugusan buah berwarna jingga di beberapa gerai buah-buahan di bahu jalan.

Kejinggaan dan rupanya seperti buah gelugur menarik perhatian Bapak. Oleh itu sewaktu perjalanan pulang ke Ipoh, Bapak singgah ke gerai tersebut.
 Setelah di tanya, peniaga itu memberitahu buah itu ialah ceghopu atau cerapu dalam bahasa Melayu bakunya.

"Orang Cina suka makan camtu je.Orang kita (Melayu) sama ada masuk dalam sambal belacan atau masak gulai ikan salai," beritahunya dalam loghat Perak pekat.

Apabila gambar buah cerapu, Bapak pamerkan di Instagrams, rakan blogger, Kak Azza  memberi respons memberitahu orang Kelantan memanggilnya kecupu atau cuppu.

Sampai di rumah, Bapak menunjukkan buah tersebut kepada Orang Rumah Bapak, beliau segera mengenalnya menerusi artikel dalam majalah Saji keluaran Januari 2013. Walaupun sebelum ini jangankan merasa, kenal buah tu pun Orang Rumah Bapak tidak...

Biarpun rupanya macam tampuk manggis tetapi rasanya lebih menyerupai kundang atau pisang kaki. Yang masak manis, yang masak layu, masam-masam manis.
 Cuma kulitnya bergetah melekat-lekat di tangan. Ilhan menyukainya tetapi Khalish, anak kelahiran Melaka tidak.

Alang-alang sudah ada buah cerapu, Bapak minta Orang Rumah Bapak  masakkan gulai ikan keli dan sambal.

Kuah gulai ikan di campur cerapu itu masam-masam manis macam di campur belimbing buluh sementara apabila di gaul bersama sambal seakan-akan sambal bacang.

Friday, January 25, 2013

Bekal dari rumah lebih enak

Bapak kembali bekerja selepas 86 hari MC gara-gara buku lali kanan patah.

Sebenarnya doktor mahu memberi tambahan sebulan lagi cuti MC tetapi bagi Bapak, hampir 3 bulan tidak bekerja merupakan jangka waktu yang panjang. Lagipun tempoh cuti MC 2 bulan yang diberi majikan sudah tamat.

Bapak juga terpaksa menghabiskan semua cuti tahunan 2012 sepanjang proses penyembuhan. Doktor membenarkan Bapak kembali bekerja dengan syarat perlu berhati-hati dan  memakai topang lengan terutama ketika bertugas di luar pejabat.

Minggu awal Bapak kembali ke pejabat, pergerakan masih lambat. Maklumlah pada waktu itu, Bapak baru 6 hari kembali berjalan. Kadang-kala buku lali Bapak membengkak memaksa Bapak meminta kebenaran untuk hanya memakai sandal semasa di pejabat.
 Begitupun Bapak tetap mengenakan kasut semasa bertugas di luar. Menyedari kesukaran Bapak untuk bergerak aktif, Orang Rumah Bapak menyediakan bekal makan tengah hari untuk Bapak hampir setiap hari.

Terharu Bapak, beliau sanggup menyingsing lengan ke dapur setiap pagi untuk memasak hidangan tengah hari Bapak. Sedangkan Orang Rumah Bapak perlu berkejar dengan masa kerana sebelum itu beliau perlu menyiapkan Khalish untuk ke tadika.

Terima kasih Sayang...

Saturday, January 5, 2013

Bercolor blocking di ambang tahun baharu 2013

Malam 31 Disember lalu, syarikat Bapak mengadakan majlis perjumpaan tahunan di Restoran al-Rawsha berhampiran Bulatan Kampung Pandan.

Sebagai petugas yang sudah 'hilang' dari ibu pejabat sejak 6 tahun lalu dan baru cuti MC lama, Bapak rasa perlu tunjuk muka.

 Mulanya Bapak mati kutu juga sebab temanya color blocking. Nasib ada Orang Rumah Bapak sukarela pilihkan warna dan pakaian serta kasut yang sesuai dengan Bapak. Walaupun sebenarnya Bapak segan nak pakai..huhuhu...

Dipendekkan cerita, selain melayan hiburan dan celoteh malam tu daripada pengacara majlis Sakina dan Muaz serta nyanyian Alif Aziz dan Baizura Daud, kami layan nasi haneeth ayam dan kambing biri-biri.

Ada juga beberapa hidangan lain seperti roti Lebonan, kebab dan Humus. Sebab bagi Bapak makan nasi Arab pada waktu malam adalah satu nutrisi yang sangat 'berat', Bapak jamah sikit- sikit je.

 Waktu yang lain menyaksikan bunga api yang di pasang di KLCC dan Menara KL dari tingkat 2 restoran tu pula, Bapak cuma melihatnya dari luar restoran. Kaki baru nak baik, tak larat nak naik tangga banyak-banyak.Lagi pun sebelum tu dah naik ke tingkat atas untuk solat di surau.

Nama Bapak terakhir diumumkan untuk menang cabutan bertuah. Bukan hadiah utama Vespa berharga RM12,000 tu tapi basikal budak jenama Le Run. Walaupun warna pink, Ilhan cukup berkenan.

 Dah ada basikal sendiri, tak payah rebut dengan abang Khalish walaupun kaki dia tak berapa nak sampai pun kat pedal nak kayuh basikal..hehe

Friday, November 18, 2011

Luk Choop

Sewaktu mendengar taklimat Datuk Bandar Songkhla di Majlis Perbandaran Songkhla tempoh hari, mata Bapak sesekali menjeling ke pinggan yang berada di atas meja.

Selain secawan kopi, pinggan itu berisi kuih comel berwarna-warni yang dibentuk menyerupai buah-buahan dan sayur-sayuran seperti mangga, terung, cili, oren, pisang dan jambu.  Namanya Luk Choop.

Pada mulanya Bapak cuba tumpukan kepada taklimat yang menggunakan bahasa Inggeris sepatah-sepatah. Sesekali tersenyum melihat kesungguhan tuan rumah menjawab setiap persoalan kami biarpun nampak payah payah menyusun ayat...

Namun setelah melihat rakan di depan meja Bapak semakin licin pinggannya, Bapak mula mengunyah Luk Choop itu. Terasa isi kacang hijau, macam kuih rengas. Cuma kulitnya dibentuk daripada gelatin sebelum dibentuk dan diwarna menjadi buah-buahan dan sayur-sayuran comel itu.

Semasa mengunjungi Walking Street Songkhla pada sebelah malam, Bapak perasan Luk Choop ada dijual di situ. Di Pasar Terapung Hatyai pun ada jual. Tak mahal dalam 20 Bath (lebih kurang RM2) je sebungkus.
Orang Rumah Bapak bising tidak dibawa pulang Luk Choop sebagai ole-ole. Macam mana nak beli, kalau ia cuma dibungkus dengan daun pisang je..heheh. Takkan nak ditatang dengan tangan sepanjang perjalanan ke rumah..heheh..

Thursday, November 10, 2011

Empat ekor sahaja...

Akhir bulan lalu, sehari selepas ulang tahun setahun kelahiran Ilhan, Bapak berangkat ke Songkhla, Thailand.

Kami sampai di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada tengah hari. Oleh kerana hari itu Jumaat, kami singgah sebentar di sebuah masjid di Danok, Thailand untuk menunaikan solat Jumaat.

Waktu Danok, Sadao, Hatyai dan Songkhla lewat sejam dari Malaysia.Namun waktu solat tak sukar diketahui kerana ia juga lewat sejam daripada waktu solat di Ipoh. Contohnya solat Zuhur bagi kawasan Ipoh masuk 1.02 petang, solat Zuhur di kawasan berkenaan jatuh pada 12.02 tengah hari.
\Masalah bahasa dalam khutbah tidak jadi masalah kerana bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu loghat Kelantan. Apa tah lagi khatib membaca teks khutbah itu daripada sebuah kitab, semakin pudar dialek Melayu Kelantanya.

Biarpun waktu solat Jumaat masuk pada 12.02 tengah hari, khutbah hanya mula dibaca selepas 45 minit kemudian.

Waktu menunggu jemaah memenuhi masjid itu, imam masjid berkenaan gunakan untuk menyampaikan pengumuman kepada masyarakat setempat.

Antaranya, Majlis Agama Islam Songkhla memutuskan sambutan Aidiladha bagi Selatan Thailand adalah mengikut Arab Saudi iaitu 6 November 2011.

Imam juga mempunyai hanya empat ekor lembu sahaja akan disembelih sebagai ibadah korban sempena Aidiladha di masjid berkenaan pada tahun ini.
 "Biasa tiga ekor (empat) sahaja tapi tahun ini kito buat empat. Kito tak terima lagi pasal tak sempat, tukang sembelih nak kelik (balik kampung) pagi raya.

"Kalau nak korban juga, bole..tapi kat kampung lain.. Macam orang Malaysia tahun lepas, 16 ekor buat korban, kemudiannya diagih-agihkan ke kampung-kampung di Danok," jelasnya.

Tengah khusyuk dengar khutbah, seorang pemuda yang duduk di saf belakang menegur Bapak dalam bahasa Siam. Bapak menoleh ke belakang memandannya dan dia menyebut perkataan sama.

Bapak cuma anggukkan kelapa dan beralih sedikit daripada tempat duduk. Pertama, mana boleh bercakap semasa khutbah di bacakan, kedua, Bapak haram tak faham apa dia ucapkan...

Saturday, October 22, 2011

Muzium Kapal Korek Tanjung Tualang

Di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, Tanjung Tualang dekat Batu Gajah, terdapat  tinggalan satu-satunya kapal korek yang masih ada di negara ini.
Kapal korek yang dinamakan Kapal 5 ini merupakan sumbangan Malaysian Mining Corporation (MMC) kepada kerajaan Perak sekitar 1990-an untuk dijadikan monumen sejarah dan tarikan pelancongan.

Dikhabarkan suatu masa dulu sebelum industri perlombongan bijih timah malap pada 1980-an, terdapat  40 kapal korek beroperasi di sekitar Lembah Kinta terutama Chemor, Ipoh, Gopeng, Batu Gajah, Papan, Tronoh dan Malim Nawar.

Kapal 5 kemudiannya dijadikan muzium di bawah seliaan Osborne & Chappel Sdn Bhd (OCSB) dan dibuka kepada awam dengan caj RM5 (dewasa) dan RM3 (kanak-kanak) pada awal 2009.

Namun tidak lama kemudian ia terpaksa ditutup setelah kapal korek itu hampir tenggelam dengan 18 peratus plantunnya senget ke dalam lombong.

Namun dengan campur tangan kerajaan negeri Perak, dana RM1.4 juta sumbangan bekas pelombong bijih timah berjaya dikutip menerusi tabung 'Selamatkan Kapal Korek'.

Kini Kapal 5 sedang dibaikpulih dan fasa pertama iaitu mengapungnya semula telah berjaya dilakukan baru-baru ini dengan kos RM420,000.

Fasa kedua, kapal korek itu akan dicat semula dan fasa terakhir beberapa kemudahan seperti papan info dan skrin sesentuh akan dipasang di sekitar Kapal 5 untuk manfaat pelancong.

InsyaAllah, Muzium Kapal Korek akan dibuka semula kepada awam pada awal tahun depan yang kebetulan merupakan Tahun Melawat Perak.
Bagi Bapak, selain nilai sejarah dan kejuruteraan yang begitu tinggi, kapal korek itu  merupakan tanda kenangan Lembah Kinta pernah gemilang di peta dunia sebagai pusat perlombongan bijih timah utama dunia.

Cuma pusat informasinya perlu lebih interaktif perhatian pelancong terutama generasi muda. Sayang, bahan ada tetapi susun aturnya sangat berserabut...


Friday, October 7, 2011

ICU dek serangga hijau...

Semalam Bapak dan beberapa rakan mengikuti lawatan kerja ke tapak Taman Rimba Kledang Saiong. Taman rimba yang terletak cuma 2 km dari rumah Bapak itu dijangka dibuka kepada awam pada Februari depan.

Tak sangka di sebalik estet ladang getah terbiar yang sebahagian besarnya kini menjadi kawasan perumahan kepada bandar terancang yang diuar-uar bakal menjadi mini Putrajaya ini, tersimpan khazanah flora-fauna berharga.
Air sungai yang jernih, kawasan air terjun tujuh tingkat dan peluang mendaki gunung setinggi 1,085 meter antara yang ditawarkan taman rimba berkenaan.

Dengan penerangan  pengawai kanan Jabatan Perhutanan Perak, kami juga mengenal beberapa spesies pokok hutan seperti kledang, kulim, gaharu dan kacip fatimah.

Tapi masuk hutan yang baru diteroka ada cabarannya. Sedang asyik memerhatikan aliran sungai yang jernih, seorang rakan sekerja Bapak mengadu digigit serangga seperti nyamuk berwarna hijau.

Mula-mula cuma gatal-gatal kecil tapi tidak lama kemudian badannya terutama muka mula bengkak-bengkak. Melihat keadaannya itu, beliau segera dihantar ke klinik berdekatan.

Rakan sepejabat Bapak itu kemudiannya dirujuk ke hospital. Sampai di hospital, doktor mengarahnya di tahan di dalam wad untuk pemantauan.
 Pada asalnya wad biasa tapi setelah muntah dan pitam pada sekitar pukul 2 petang, rakan sepejabat terus ditukar ke wad ICU.Doktor memberitahu beliau mengalami keradangan dan mungkin terkena sengatan serangga seperti lebah.

Bapak yang melawat rakan sepejabat Bapak itu di wad ICU melihat keadaanya stabil walaupun masih lemah.

Sehingga kini identiti serangga berwarna hijau itu masih belum diketahui, itu cabaran kami bekerja. Semoga rakan sepejabat itu cepat sembuh...

Wednesday, July 6, 2011

Pengalaman menaiki bas awam Ipoh

Ini cerita pertengahan bulan lepas semasa Bapak tiada kenderaan ekoran kereta masuk bengkel selepas peristiwa Patah Kaki.

Bapak terkenang semula selepas melihat beberapa koleksi foto yang diambil pada hari terakhir sebelum kereta Bapak siap diperbaiki.

Hari itu Bapak perlu bekerja setelah off dan bercuti beberapa hari. Niat hati nak tumpang kereta kawan tetapi kebetulan mereka yang tinggal berhampiran rumah Bapak bercuti pula pada hari itu.

Mahu tak mahu Bapak perlu ke pejabat dengan menaiki menggunakan pengangkutan awam. Untuk ke perhentian bas terdekat, Bapak perlu berjalan kaki kira-kira 5 kilometer.

Berpeluh juga, sepanjang perjalanan Bapak cuba kalih perasaan letih dan bosan dengan memerhati sekeliling. Antaranya perkembangan kompleks membeli-belah Mydin dan Terminal Bas Ipoh yang sedang dalam pembinaan.

Dipendekkan cerita, sampailah Bapak di perhentian bas. Kebetulan sudah ada sebuah bas menunggu. Mulanya Bapak teragak-agak juga nak melangkah masuk ke dalam perut bas. Pemandunya sedang nyenyak tidur, siap berdengkur di kerusi pemandu.

Ada beberapa penumpang lain yang bukan warganegara sedia berada di dalam bas. Bapak perhati persekitaran bas agak bersih. Di dinding bas itu tertampal juga beberapa poster yang dicetak menggunakan kertas A4.

Antaranya info tambang bas, foto pemandu berkaraoke, makan durian dan melawat MSAM. Ada juga iklan pemandu menawarkan perkhidmatan sistem audio terutamanya untuk kenduri kahwin.

Bas yang Bapak naiki itu saling tak ubah seperti dalam filem 'Masam-Masam Manis' yang diterbitkan lebih 40 tahun lalu dan tidak berhawa dingin.

Selang 15 minit kemudian sampai sebuah bas lain yang kemudiannya berhenti di belakang bas terbabit. Seorang konduktor bas memasuki bas lalu mengejutkan pemandu yang sedang tidur tadi.

"Sori, hilangkan mengantuk sekejap. Malam-malam saya ada bisnes buka kedai makan," kata pemandu bas tadi memberi alasan.

Beberapa minit kemudian baru bas bergerak, itupun perlahan-lahan. Tanpa hiburan radio, Bapak tak berapa beri perhatian kepada panorama di luar sebab ia dilihat Bapak hampir hari-hari sejak 3 tahun lalu.

Hanya selepas sebuah bas dari syarikat lain yang berjalan di laluan hampir sama cuba memotong bas yang dinaiki Bapak, barulah pemandu melajukan sedikit kenderaannya. Tidak mahu kehilangan pelanggan yang sedia menunggu di beberapa perhentian bas di hadapan agaknya.

Akhirnya apabila sampai di destinasi, Bapak menekan lonceng dan membayar tambang RM1.60 sebelum turun dari bas tersebut.

Itulah sistem pengangkutan awam Ipoh. Khabarnya ada janji-janji manis, ia akan berubah kepada lebih baik dan selesa setelah Ipoh Sentral siap pertengahan tahun depan. Kita tengok sahajalah...

Bapak berfutsal

Terus-terang cakap, sejak berpindah ke Ipoh kira-kira 5 tahun lalu, Bapak jarang bermain sukan kegemaran, futsal. Sebabnya tak payah cerita, kalau nak beri alasan seribu pun boleh..heheh...

Peluang untuk kembali berfutsal hujung minggu lalu tidak dilepaskan Bapak walaupun dalam keadaan fizikal yang sudah jauh berubah daripada mula-mula berpindah ke Ipoh dulu..heheh..

Lokasinya di padang Taman DR Seenivasagam. Main enam sebelah dengan seorang pemain perempuan diwajibkan beraksi bagi setiap perlawanan. Menariknya setiap pasukan menerima jersi original percuma menerusi cabutan.

Mungkin ada konspirasi, pasukan Bapak 'tercabut' jersi Arsenal. Mahu tak mahu terpaksalah Bapak yang digelar kawan-kawan sebagai Alex Ferguson ni pakai...

Apabila turun gelanggang, Bapak perasan banyak yang telah 'hilang' terutamanya skil dan stamina biarpun banyak berfungsi sebagai pemain pertahanan (faktor jersi kot...heheh).

Dipendekkan cerita, kemaraan pasukan Bapak disekat di peringkat separuh akhir menerusi tendangan penalti.

Penentuan tempat ketiga dan keempat pun ditentukan menerusi tendangan penalti. Masa itu Bapak tawar diri jadi penjaga gol. Entah macam mana Bapak dapat selamatkan semua tendangan penalti diambil pihak lawan dan dapatlah kami tempat ketiga.

Tuesday, June 21, 2011

Hairuman : Selepas keluar hospital

Kisah Hairuman yang menjadi mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi amat menyentuh emosi.

Kejadian tragis ketika mengambil upah mengait kepala sawit itu November 2010 telah mengubah hidupnya. Tak terbayang penderitaan apabila 40 peratus badan hangus, kedua-dua tangan dan kaki kiri terpaksa dipotong bagi mengelak komplikasi.

Selepas terlantar hampir 6 bulan, Hairuman dibenarkan keluar hospital dan perlu mengharungi realiti kehidupan.

Dengan kelukaan yang masih belum sembuh, kulit Hairuman amat sensitif dengan haba dan cahaya.

Setiap 2 minggu dia perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Slim River untuk tempoh yang belum pasti, mungkin setahun, dua, tiga atau lebih.

Namun pemerhatian Bapak hari ini mendapati semangat Hairuman semakin pulih. Dia bukan sahaja redha dengan ketentuan Allah malah realistik tentang masa depannya.

Bagi Bapak kekuatannya banyak dibantu ahli keluarganya terutama kakaknya, Mayuni.

Kehilangan kedua ibubapa menyebabkan Mayuni cekal dan tekad berkorban untuk keluarga sejak belasan tahun lagi. Namun wanita itu tidak mengambil jalan singkat mengorbankan masa depan, pelajaran tetap diutama sehingga mampu melangkah ke menara gading.

Mayuni juga bertuah dikurnia suami yang memahami terutama ketika menghadapi ujian yang menimpa Hairuman.

Itu pengajaran yang Bapak dapat lihat selepas menziarahi keluarga ini hari ini. Semoga Allah melindungi mereka...

Monday, June 20, 2011

Bapak bercakap dengan Tamar Jalis

Biarpun bukan pembaca tegar, Bapak akui pernah membaca Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis masa kecil-kecil dahulu.

Biasanya Bapak baca siri tersebut yang dibeli Mama atau saudara-mara yang lebih tua. Secara ringkas ia merupakan memoir perjalanan hidup Tamar Jalis bersama datuknya yang dikenali sebagai Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah dari Beruas, Perak yang penuh dengan pengalaman mistik.

Selama ini identiti Tamar Jalis dikatakan tidak pernah didedahkan. Ramai yang tertanya-tanya biarpun Bapak berpendapat mungkin segelintir kenal terutamanya yang pernah bertugas di majalah Variasari.

Hari ini dalam Wacana SBDJ anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak dan Karyawan Perak, penulis itu akhirnya mengenalkan diri buat kali pertama setelah lebih 30 tahun itu siri itu tersiar.

Bapak berpeluang untuk berbual dengan Tamar Jalis atau nama sebenarnya Mohd. Radzi Mahmud, 73. Orang sangat merendah diri dan sederhana pegangan hidupnya...

Kami berborak bagai seorang cucu dengan atuknya..heheh..ini sebahagiannya...

Tamar Jalis dipilih sebagai watak pengantar SBDJ merupakan nama anak raja jin Tamar Bunga yang dibunuh Inderaputera dalam Hikayat Inderaputera.

60 peratus daripada jalan cerita SBDJ adalah kisah benar dan selebihnya khayalan dengan motif mendidik sambil berhibur.

"Objektif asal penulisan SBDJ ialah untuk menarik pembaca untuk membeli Variasari. Ternyata formula menghasilkan karya berunsur seram dan mistik itu berjaya.

"Saya sebenarnya segan nak kenalkan diri kerana berpendapat karya SBDJ terlalu biasa berbanding karya-karya sastera saya yang lain," katanya jujur.

Jelasnya kepada Bapak, dia sendiri terkejut siri itu boleh bertahan sehingga lebih 23 tahun dan masih mempunyai pengikut tersendiri sehingga kini. Buktinya kewujudan beberapa blog dan facebook page khas hasil inisiatif peminat.

SBDJ pernah mencapai populariti hingga dikatakan telah terjual lebih sejuta naskhah, malangnya kebanyakannya merupakan cetak rompak....

Hak ciptanya kini diuruskan Nafiela Books yang akan menerbitkan semula siri-siri tersebut dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mulai September ini.

Menyelak beberapa lembaran jilid 1 SBDJ edisi tersebut yang turut ditandatangani Tamar Jalis, Bapak nampak budaya Melayu Perak dahulu kala berbanding keseraman di dalamnya...

Kembali Bernyawa...

Alhamdulillah setelah lebih setengah bulan 'patah kaki', kereta Bapak yang tersadai di bengkel akhirnya siap.

Itupun setelah Bapak buat muka sardin, hubungi pihak bengkel termasuk mekanik tiap-tiap hari semenjak pihak insurans meluluskan permohonan tuntutan.

Kereta dah sampai dalam tangan, sekarang tunggu salinan dokumen tuntutan insurans kepada pihak ketiga (pemandu yang langgar kereta Bapak..)

Pengalaman tidak mempunyai kenderaan dalam setengah bulan amat berharga. Sepanjang tempoh tersebut, ada kala Bapak menumpang rakan sekerja, pinjam kereta bos seminggu dan pernah sehari menaiki bas. Itupun setelah berjalan kaki dari rumah sejauh hampir 5 km untuk ke perhentian bas terdekat...

Sepanjang jangka masa tersebut juga Bapak sekeluarga diziarahi keluarga Bapak dan Orang Rumah Bapak. (terbalik pula...hehhe)

Sudahnya, Orang Rumah Bapak, Khalish dan Ilhan mengikut ayah dan mak mertua Bapak balik kampung di Melaka sejak awal bulan ini....

Thursday, June 9, 2011

Pra tonton Cer Cerita Mamat Khalid

Bapak bukanlah kaki wayang tegar apatah lagi sejak bergelar ayah. Namun perlu diakui semua filem arahan Mamat Khalid kecuali yang pertama, Lang Buana Bapak tonton di panggung wayang.

Bukan obses sangat dengan adik Datuk Lat itu tetapi filem-filemnya agak dekat dengan Bapak. Latar dan jalan cerita banyak mengimbau kenangan Bapak semasa kecil. Dalam gelak, Bapak sedar mengertawakan perilaku diri sendiri dan masyarakat sekeliling pada zaman kanak-kanak yang mengarut tetapi dianggap biasa kerana telah menjadi ikut-ikutan...

Dipendekkan cerita, kelmarin Bapak berpeluang menonton previu siri televisyen terbaru arahan Mamat Khalid, Cer Cerita.
Cer Cerita ini mempunyai 13 episod yang bakal bersiaran di Astro Warna mulai 13 Julai depan.

Mengekalkan trademark komedi seram, hampir semua episodnya berkisar ketakutan manusia terhadap hantu yang tak bertempat. Akhirnya tersedar dan hantu pula menjadi bahan sendaan.

Majoriti pelakon-pelakonnya membintangi filem Hantu Kak Limah Balik Kampung seperti Shy8, Man Kadir, Wan, Pekin dan Delimawati.

Episod yang dipertontonkan ialah Pak Man Degil. Secara ringkas ia mengisahkan Pak Man lakonan Man Kadir (Pak Jabit) yang terkenal dengan kedegilannya hingga tak mahu mati walaupun nyawa sudah dicabut.

Semasa orang kampung hendak membacakan surah Yassin, Pak Man yang degil buat selamba menonton filem P. Ramlee kegemarannya di televisyen. Bukan sebab dia bela hantu raya atau menuntut ilmu salah tetapi kedegilannya.

Hanya ada satu cara sahaja untuk melunturkan sikap degil itu....

Mamat Khalid ada pelawa (ajak-ajak ayam je kot...heheh) Bapak jadi pelakon extra dalam episod Cer Cerita yang membuat pengambaran di Kampung Sungai Raya, Simpang Pulai pada malam itu.

Tapi sebab hujan dan tak nak terjebak di lokasi pengambaran sampai Subuh sebab esoknya ada tugasan penting, Bapak tak pergi..heheh

Wednesday, April 27, 2011

Coretan MSAM 2011

Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) ke-12 yang berlangsung sejak 26 April lalu di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berakhir semalam.

Ini pertama kali Perak menjadi tuan rumah program tahunan anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Seramai 177,000 pengunjug hadir dan Bapak sekeluarga adalah sebahagian daripada statistik tersebut.Misi asal kami ke MSAM ialah untuk menguji ketahanan Khalish dan Ilhan berhadapan dengan lokasi yang padat dengan manusia, sesi menambah koleksi foto kedua-dua beradik itu dan membuka akaun bank untuk mereka.

Sampai di pintu masuk khemah MSAM, misi kami terpaksa di tambah; menziarah ke setiap kaunter gerai pameran untuk sesi mengecop 'pasport', mengutip hadiah dan belon, menyertai peraduan dan mengukuhkan skil komunikasi mengelak daripada promoter produk tidak dikehendaki.

Promoter A : "Bang, ada kad kredit? Tak payah isi borang, bagi IC je. Interest kami rendah dari yang lain, hadiah pun dapat!"

Bapak : "Takpe la, saya baru terminate kad kredit 3 bulan lepas, menyahut seruan kerajaan.."

Promoter B : "Buat loan ASB, dik"

Bapak : "Saya tunggu skim pinjaman mudah Amanah Saham 1Malaysia yang PM umum pada hari perasmian. Best, bayar hutang guna dividen je.
Satu demi satu gerai pameran kami lawat. Bapak sempat menguji kembali ingatan ilmu Finance yang belajar kat universiti dulu semasa menyertai kuiz Pelabur Bijak. Sekurang-kurangnya tak berkarat lagi...hehhe

Kami juga sempat membuat akaun Kelab Simpanan Cheeky MBSB untuk Khalish dan Ilhan, dapat tabung sorang satu...
Selain lambakan beg kain, t-shirt, pen, pensil, perencah Pasti Sedap dan belon, ada juga kenangan MSAM 2011 walaupun tak memang hadiah utama...alhamdulillah...

Tuesday, September 7, 2010

Kisah Khalish dan Rektor UTP

Ramadan kali ini, Bapak kurang memenuhi jemputan berbuka puasa. Lebih selesa berbuka di rumah bersama Orang Rumah Bapak (dan Khalish yang suka tumpang sekaki biarpun tak puasa...heheh...)

Lagi pun sejak hamil anak kedua kami ini, minat Orang Rumah Bapak memasak agak membuak-buak, ada sahaja resepi baru nak dicubanya. Berbeza masa mengandungkan Khalish dulu, pasti ada sahaja juadah yang dibawa pulang untuk berbuka lantaran Orang Rumah Bapak yang tidak larat memasak pada masa itu...

Namun ada juga beberapa jemputan berbuka puasa yang dipenuhi termasuk jemputan dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) baru-baru ini.

Bapak tidak pergi seorang diri tetapi membawa Orang Rumah Bapak dan Khalish. Itulah pertama kali Bapak membawa mereka ke majlis. Biarpun Orang Rumah Bapak selalu bising; asyik 'simpan' mereka di rumah tapi Bapak ada sebab tersendiri...heheh...

Dipendekkan cerita, setelah Bapak mengenalkan Orang Rumah Bapak dan Khalish kepada kakitangan UTP dan rakan-rakan sealiran, azan Maghrib pun kedengaran dan kami pun berbuka.

Oleh kerana Khalish biasanya akan buat muka cuak kalau tak nampak muka ayah dan ibunya, kami solat Maghrib bergilir-gilir. Usai Bapak solat Maghrib berjemaah, Orang Rumah Bapak pula menuju ke ruang solat dan giliran Bapak menjaga Khalish pula.

Jika semasa bermasa Orang Rumah Bapak, Khalish sopan makan bubur lambuk yang disuap ibunya, kali ini Khalish tak mahu duduk diam.

Bak bayi yang baru dapat 'kaki', Khalish teruja tawaf satu dewan tersebut. Pusing dari penjuru kanan ke penjuru kiri; dari depan ke belakang. Namun apabila kenalan Bapak menegurnya, dia segera 'membatukan diri'. Bapak cuma pantau dari dekat...

Aktiviti Khalish tawaf satu dewan tidak berakhir biarpun Orang Rumah Bapak selesai solat, tanpa hiraukan Rektor UTP, Datuk Zainal Abidin Kasim tengah berucap dan mahu menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, dia ralit berjalan.
Akhirnya Khalish jadi kanak-kanak terakhir yang menerima duit raya. Biarpun didukung Orang Rumah Bapak ke atas pentas, dia meronta-ronta sebaliknya mahu berjalan sendiri mengambil duit raya itu.

Sebaik sahaja sampul duit raya dihulur kepada Khalish, dia buat tak kesah; lebih teruja nak jelajah pentas tersebut.

Reaksi Khalish membuatkan Datuk Zainal Abidin secara spontan mendukung Khalish. Sebaik sahaja melihat muka Rektor UTP itu, reaksi Khalish tiba-tiba gembira dan teruja.

Khalish yang sebelum ini tak berapa nak orang, punya serasi dengan Datuk Zainal Abidin sampai Bapak nak ambil dia semula daripada dukungan Rektor UTP itu, Khalish buat tak tahu sahaja..heheh...

Habis misai dan songkok Datuk Zainal Abidin dimainnya, naik malu juga Bapak dan Orang Rumah Bapak masa itu, nasib baik Rektor UTP tersebut cam sporting je...heheh...
Bapak dan Orang Rumah Bapak pelik juga, akhirnya kami sepakat rasa Khalish dah keliru, mesti dia ingat Rektor UTP tu datuk dia, pasal misai beliau tak ubah cam ayah Bapak..heheh...

Saturday, July 3, 2010

Rashidah bukan isteri Bapak!

Dua hari lalu, semasa jari-jemari Bapak baru hendak mula 'menari' pada papan kekunci komputer sejurus memasuki pejabat tiba-tiba telefon bimbit Bapak berdering.

Terpampang nombor telefon talian tetap dari Lembah Klang yang tidak diketahui asal-usulnya. Apabila Bapak menjawab panggilan itu, terdengar suara :

"Hello, boleh bercakap dengan suami Rashidah,er...Puan Rashidah," kata seorang wanita misteri yang suaranya separuh manja...

"Puan Rashidah? saya bukan suami Puan Rashidah," jawab Bapak.

"Kira salah nombor lah ni, maaf encik," balas wanita itu lalu memutuskan panggilan.

Walaupun agak pelik dengan panggilan tersebut terutamanya kelibat Rashidah yang dimaksudkan, Bapak abaikan sahaja...

Namun pada lewat petang sewaktu Bapak mahu memasuki kereta untuk pulang ke rumah sesudah tamat waktu kerja, nombor telefon sama kelihatan pad skrin telefon bimbit Bapak.

Kali ini panggilan di buat oleh seorang wanita misteri (WM) lain :

WM : Hello,Boleh bercakap dengan suami Puan Rashidah?

Bapak : Maaf, salah nombor.

WM : Salah nombor? (macam tak percaya dengan kenyataan Bapak.)

Bapak : Ye saya bukan suami Puan Rashidah. Saya memang ada isteri tapi nama isteri saya Sxxxxx. Boleh saya tahu puan hubungi dari mana? sebab pagi tadi pun ada orang call bertanya hal sama...

WM : Ooo, saya dari IJN.

Bapak : Institut Jantung Negara ker?

WM : Ye. kalau salah nombor takpe la...

Perbualan telefon itu berhenti setakat itu sahaja.

Terdetik di hati Bapak mungkin Puan Rashidah dimaksudkan kini sedang bertarung nyawa di IJN, usaha untuk menghubungi keluarga terdekatnya pula gagal. Kesian pula tapi apa yang Bapak boleh bantu...

Tang macam mana kakitangan IJN dapat nombor telefon bimbit Bapak pun satu persoalan juga. Dah lebih lima tahun Bapak pakai nombor ni tak pernah pula dapat panggilan serkap jarang macam ni...

Bapak amat pasti hanya mengahwini seorang sahaja wanita dan Orang Rumah Bapak bukan bernama Rashidah. Untuk kepastian selepas itu Bapak menghubungi Orang Rumah Bapak, ternyata beliau ada di rumah, sedang memasak di dapur...

Girlfren-girlfren lama zaman muda-muda dulu sorang pun takde bernama Rashidah...

Rashidah yang Bapak pernah dengar cuma lagu 'Taman Rashidah Utama' nyanyian Wings...betul Bapak tak tipu ni..hehehe...

Sunday, June 6, 2010

Shahir AF8 : Ikon Belia Perak 2010

Shahir AF8 sudah jadi Ikon Belia Perak 2010.

Dia akan terima anugerah tersebut daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada perhimpunan sempena sambutan Hari Belia peringkat Perak di Arena Square, Teluk Intan pada 4 petang ini.
Dengar ceritanya, bekas anggota kumpulan nasjid, Saujana ini dipilih kerana prestasi dan kesungguhannya dalam bidang seni serta sahsiah dia sebagai seorang yang berbudi pekerti.

Semalam dalam kira-kira 5.30 petang, juara AF8 itu disambut oleh kira-kira 100 ahli keluarga dan peminat (Shahir FC) dalam satu majlis doa selamat di rumah keluarganya di Taman Bandar Baru, Kampar.

Turut hadir Pengetua AF8, Norman KRU dan isteri.

sekian, terima kasih.

Wednesday, April 28, 2010

Bantuan Beras Percuma

Baru-baru ini Bapak berkesempatan menghadiri Seminar Kepenggunaan anjuran Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM).

Seperti biasa pengisiannya berupa ceramah mendidik menjadi pengguna bijak dan menyentuh isu kepenggunaan seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), pemakanan sihat dan GST.

Namun berbeza dengan seminar kepenggunaan yang lain, di tengah-tengah perjalanan program, ada acara cabutan bertuah.

Bapak tak pasti motif acara selingan itu diadakan, mungkin untuk menarik perhatian peserta untuk mengikuti seminar tersebut kot...

Bapak terkejut diumumkan salah seorang peserta yang bertuah itu dan tambah terperanjat hadiah yang dimenangi ialah sekampit beras!
Gambar hiasan

Tersengih-sengih Bapak memikul kampit beras itu menuruni pentas ala-ala penerima beras bantuan...heheh..

Rupa-rupanya bukan Bapak seorang, hampir semua pemenang cabutan bertuah itu masing-masing menerima sekampit beras.

Akhir program, Bapak cuba merisik Presiden PPPM, Datuk Firdaus Abdullah, rasional disebalik pemberian beras.

"Lazimnya hamper yang mengandungi banyak makanan dalam tin dan snek akan menjadi hadiah cabutan bertuah. Kami persatuan pengguna, tak gunalah buat ceramah pengguna bijak dan pemakanan sihat tapi jadi seperti cakap tak serupa bikin dengan memberi hamper terbabit kepada peserta.

"Sehubungan itu, kami ganti dengan sekampit beras. Lebih praktikal lagipun hadiah itu dapat dirasai seisi keluarga kerana ia makanan ruji kita," katanya.

Logik..logik...

Friday, April 23, 2010

LHDN, ku tunggu duitku

Awal pagi tadi Bapak terjaga dari tidur pada pukul 2.30 pagi. Mata segar, langsung tak rasa nak tidur walaupun secara logiknya Bapak baru terlelap 4 jam.

Bapak termenung sekejap (Orang Rumah Bapak & Khalish punya nyenyak tidur).. Apabila Bapak tengok kalendar, baru teringat ada urusan wajib bulan ini yang perlu diselesaikan.

Alang-alang tak boleh tidur baik Bapak selesaikan hal ehwal percukaian menerusi e-filing. Bapak terus ke bilik komputer dan membuka salah satu fail.

Setelah memeriksa audit dalaman yang dibuat beberapa minggu lalu, Bapak log on website LHDN dan tak sampai 5 minit, urusan yang sering dibuat saat-saat akhir itu selesai.

Seperti diduga setelah ditolak pelepasan cukai seperti pembelian buku, takaful dan zakat, Bapak dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan. Apatah lagi pendapatan tahunan 2009 Bapak merosot lebih RM10,000 daripada 2008...

Yang ditunggu kini cek pemulangan potongan cukai berjadual (PCB) daripada LHDN...Walaupun tak berapa banyak seperti tahun lepas tapi rasanya nilainya cukup untuk membeli 'hadiah' yang Orang Rumah Bapak request sempena ulang tahun kelahirannya tidak lama lagi.
-----------------------------------------------------------------------------------
Baru-baru di FB, Bapak ditag dengan gambar ini.

Bukannya kes baru, peristiwa ni terjadi pada 2009. Bapak tersengih je, malas nak layan...

Cuma nak pesan kat hamba Allah ni, bayar zakat bukan sanggup-sanggup, ia perkara wajib. Zakat pendapatan pun ada pelepasan gak, bukan semua kena bayar. Selepas bayar zakat, dapat pula rebat cukai pendapatan...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails