Translate

Sahabat Bapak

Monday, April 15, 2013

Menjenguk Kota Ngah Ibrahim

Mengunjungi Kota Ngah Ibrahim di Matang mengingatkan Bapak pengalaman menyaksikan pengebumian semula pemilik asal bangunan tersebut, Ngah Ibrahim pada 9 September 2006.

Sebelum itu pembesar Melayu Perak tersebut telah dimakam di Singapura sejak lewat abad ke-19 gara-gara  dibuang negeri kerana terlibat dalam konspirasi membunuh Residen Inggeris pertama, JWW Birch. Wasiat terakhir agar jasadnya dikebumi di bumi kelahiran hanya termakbul 110 tahun kemudian.
Kota Ngah Ibrahim bukan sekadar pusat pentadbiran anak Long Jaafar berkenaan ketika mentadbir daerah Larut yang waktu itu kaya dengan bijih timah. Rumah agam yang diperbuat daripada batu berasal dari Gunung Hijau, Taiping menjadi saksi beberapa peristiwa bersejarah penting yang berlaku di Taiping.

Selepas terpaksa dikosongkan Ngah Ibrahim secara paksa oleh British, ia menjadi kediaman rasmi Penolong Residen Inggeris, Kapten T.C.S Speedy. Kebetulan Speedy pernah digaji Ngah Ibrahim sebagai pembantu pada zaman kegemilangannya.
Bangunan yang dibina pada 1856 itu juga pernah menjadi lokap dan bangunan mahkamah untuk pembicaraan Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor kerana membunuh JWW Birch. Mereka kemudiannya dihukum gantung sampai mati di hadapan Kota Ngah Ibrahim pada tahun 1877.

Kota Ngah Ibrahim juga pernah menjadi menjadi kampus maktab perguruan pertama negara pada tahun 1913 sehinggalah Maktab Perguruan Sultan Idris (kini dikenali UPSI) di Tanjung Malim beroperasi 10 tahun kemudian.

Pada zaman pendudukan Jepun, ia digunakan sebagai ibu pejabat tentera. Selepas Jepun berundur, premis tersebut digunakan semula sebagai Sekolah Rendah Kebangsaan Matang tahun 1985 dan mula dijadikan muzium oleh Jabatan Muzium dan Akuiti Perak.
Semua lipatan sejarah itu boleh diceritakan secara jelas di Kota Ngah Ibrahim. Ilhan yang masih kecil juga seronok bermain dengan replika gajah yang bernama Larut.

Peristiwa kaki gajah milik Long Jaafar itu bersinar-sinar selepas melalui kawasan berselut menjadi permulaan penemuan bijih timah dan pembukaan Larut yang kini dikenali sebagai Taiping.
Sebelum pulang, Bapak membawa Ilhan menziarah pusara Ngah Ibrahim untuk menyedekah doa. Kisah Ngah Ibrahim menyedarkan kita betapa perit jika silap penghitungan.

Jangan ulangi kesilapan mengharapkan bantuan kepada pihak yang kemudian menjadi duri dalam daging kepada kita. Kelak maruah diri dan tanah air tergadai...

4 comments:

  1. Menarik juga pergi tempat bersejarah ini apatah lagi tahu akan sejarahnya. Perjuangan orang dulu yg sanggup berkorban apa sahaja demi tanah air tercinta. Belum lagi berkesempatan melawat kesini. Entah bila lah...

    ReplyDelete
    Replies
    1. semoga berkesempatan menziarah Kota Ngah Ibrahim ni..

      Delete
  2. boleh tanya ? pihak mana yang mengurus pembinaan kota ngah ibrahim tersebut ?

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails