Translate

Sahabat Bapak

Monday, January 5, 2015

Sayang Sarawak sungainya sempit...

Setelah mencari dan bertanya penduduk tempatan, akhirnya Bapak sekeluarga sampai ke Restoran Warung Nusantara untuk makan tengah hari.  Restoran yang reka aturnya mengingatkan Bapak dengan restoran Nasi Kandar Ayam Merah (Vanggey) di Jalan Yang Kalsom, Ipoh itu sebenarnya terletak di belakang hotel kami menginap.

Selesai makan dalam pukul 1 tengah hari, ada dua cadangan iaitu pulang sebentar ke hotel untuk menunaikan solat Zuhur atau berjalan kaki ke Kuching Waterfront.

Akhirnya kami memilih untuk meneruskan perjalanan ke Kuching Waterfront sambil melilau mencari masjid atau surau berhampiran untuk menunaikan solat.
Apabila hampir ke tebing Sungai Sarawak,  ayah mertua Bapak nampak dua buah masjid di seberang. Kebetulan kami memang merancang untuk ke seberang untuk membeli kek lapis.

Kami menaiki bot penambang dari jeti berhampiran Hotel Riverside dengan tambang seorang RM1 termasuk Khalish dan Ilhan. Mula-mula ingatkan bot itu dikendali  dengan dayung rupa-rupanya dengan enjin diesel...hihihi
Sampai di seberang kami menunaikan solat jamak, qasar Zuhur dan Asar di Surau Raudzatussalihin, Kampung Boyan, Petra Jaya. Usai, kami berjalan kaki mula-mula ke Mira Cake House kemudian ke Kek Lapis Dayang Salhah.

Waktu itu Mira Cake House menawarkan percuma satu kek lapis bagi setiap lima pembelian manakala Kek Lapis Dayang Salhah pula percuma satu bagi 10 pembelian. Secara purata, harga satu kek lapis di dua-dua kedai tersebut ialah RM1O.

Kek lapis di Mira Cake House lebih lembap berbanding Dayang Salhah. Ikut selera masing-masing.
Ada bermacam-macam nama bagi variasi kek lapis masing-masing, ada Aaron Aziz, Menuju Puncak (AF la tu..kikiki), Ngap Sayot, Harimau Malaya, Sayang Sarawak, Datuk K, Ariana Rose, Ombak Rindu, 1Malaysia dan Tunku Abdul Rahman.

Paling best sebab kita boleh rasa setiap kek lapis tersebut. Biasanya bekas uji rasa diletakkan di kaunter pembayaran.
Bagi Bapak, Dayang Salhah lebih teratur sebab melabel setiap jenis kek lapis yang memudahkan kita melakukan pembelian kek yang sesuai dengan tekak kita.

Kakitangan Dayang Salhah juga lebih mesra pelanggan berbanding Mira Cake House yang acuh tak acuh sahaja menjawab pertanyaan dan permintaan kita. Dayang Salhah juga menawarkan perkhidmatan menghantar kek lapis yang dipesan di hotel secara percuma.
Hari itu  tidak beli apa-apa pun kerana kami merancang untuk datang semula pada hari terakhir di Kuching. Namun dalam kepala, sudah ada variasi kek lapis yang hendak di beli nanti.

Selepas itu, kami menaiki semula bot penambang untuk menyusuri Sungai Sarawak. Mulanya memang dalam perancangan, kami hendak menyusur sungai tersebut pada waktu hampir senja, orang kata cantik pemandangan.
Tapi ayah mertua berpendapat alang-alang sudah sampai, baik diteruskan sahaja. Lagi siang, terang lagi nampak macam-macam.

Pada mulanya pakcik bot penambang itu minta RM15 satu kepala = RM90  tetapi selepas tawar-menawar tambang menjadi RM50 sahaja. Perjalanan memakan masa lebih kurang sejam.
Sepanjang perjalanan, kami nampak pelbagai bangunan di kiri-kanan tebing sungai seperti DUN Sarawak, Kediaman Rasmi TYT Sarawak, Fort  Margherita dan Masjid Bahagian Kuching.
Terdapat juga jambatan penjalan kaki ke DUN Sarawak yang sedang dalam pembinaan. Katanya ia berbentuk bengkok seperti S. Mungkin bagi membolehkan bot dan kapal persiaran melalui bawahnya.

Secara umumnya Kuching Selatan banyak didiami masyarakat Cina manakala Kuching Utara atau Petra Jaya pula diduduki masyarakat Melayu dan peribumi.

Angin sayup-sayup sepanjang perjalanan membuatkan Khalish, Ilhan, Orang Rumah Bapak dan  mak mertua tertidur di dalam bot..hihihi.

Pakcik bot itu beritahu kalau kena musim, Sungai Sarawak banyak udang. Selain itu, sungai tersebut juga banyak ikan patin tetapi penduduk setempat tak berapa minat. Tak tahu pula banyak patin spesies apa yang ada di Sungai Sarawak itu..
Apabila diberitahu buaya pun ada, Bapak terus mengangkat tangan yang gemar benar mencelup-celup di sungai terbabit..huhuhu..

Monday, December 22, 2014

Kuching oh kucing

Alhamdulillah hajat untuk membawa ayah dan mak mertua berjalan-jalan ke Kuching, Sarawak akhirnya tercapai awal bulan ini.

Cadangan itu sudah tertangguh selama dua tahun kerana pada tahun, 2012, Bapak terpaksa bercuti lama gara-gara buku lali patah manakala tahun lalu pula anak-anak Bapak terutama Khalish asyik keluar-masuk hospital...
Rezeki itu tiba pada akhir tahun ini. Kami terbang ke Kuching dengan menggunakan perkhidmatan MAS. Ini pengalaman pertama Khalish dan Ilhan menaiki kapal terbang.

Punya teruja tetapi sepanjang penerbangan sejam 45 minit itu dihabiskan oleh dua beradik itu tersebut tidur. Yelah, sewaktu penerbangan pergi, mereka sudah dikejutkan pada pukul 5 pagi dan subuh-subuh kami sudah berada di KLIA bagi mengejar penerbangan pukul 8.05 pagi.

Sewaktu pulang pula, penerbangan yang dijadualkan pukul 4.25 petang terpaksa ditunda kepada pukul 6 petang gara-gara masalah cuaca. Tersadai hampir dua jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Sepanjang percutian 3 hari 2 malam di Kuching, kami menginap di Hotel Avira Gateway. Kami memilih apartmen yang mempunyai dua bilik yang lengkap dengan kemudahan mesih basuh dan dapur.

Antara lokasi yang kami lawat :

a) Tugu kucing
Kalau tak silap Bapak, terdapat tiga tugu kucing di bandar raya Kuching Selatan.

Kami bergambar tugu kucing yang terdapat di persimpangan Jalan Greebhill dan Jalan Padungan. Memang tak sah  menjejakkan kaki ke  Kuching tanpa berposing dengan tugu kucing sebagai bukti...hehehe..

a) menyusuri Sungai Sarawak
Ada tiga pengangkutan  untuk menyusuri Sungai Sarawak iaitu  kapal persiaran, teksi air dan bot penambang.

Kami memilih bot penambang, enam orang iaitu empat dewasa dan dua kanak-kanak dikenakan caj RM50.

b) Kedai kek lapis Dayang Salhah dan Mira Cake House
Ada banyak pengusaha kek lapis di Kampung Boyan dan Kampung Gersik tetapi kami terpengaruh dengan saranan di media sosial untuk memilih di dua kedai paling popular iaitu Mira Cake House dan Dayang Salhah.

c) Main Bazaar
Deretan kedai yang menjual barang cederamata untuk dibawa pulang sebagai ole-ole.  Kena rajin survey kerana walaupun menjual barangan  yang sama, harga berbeza mengikut kedai.

d) Pantai Damai
Terletak berhadapan Kampung Budaya Sarawak.  Berlatar Gunung Santubong, pasir pantainya lebar walaupun ketika air pasang.

Dari jauh nampak sebuah kapal karam yang sengit sebelah namun masih belum dapat ditunda sehingga kini.

e) Kampung Budaya Sarawak
Dikenali sebagai muzium hidup kerana menempatkan kediaman dan memaparkan cara hidup enam suku kaum utama di Sarawak.

Lawatan berakhir dengan persembahan kebudayaan dan  menikmati makanan tempatan yang disediakan di dalam bekas buluh di kafe berhampiran.

f) Masjid Jamek Negeri Sarawak
Masjid negeri Kuching yang terletak di Kuching Utara. Kami berkesempatan menunaikan solat jamak dan qasar Zuhur dan Asar di masjid ini.

g) Muzium Kucing
Ia merupakan sebuah galeri di Dewan Bandaraya Kuching Utara yang khusus tentang haiwan kucing.

Koleksinya amat lengkap dan antara galeri inisiatif PBT terbaik yang pernah Bapak lawati setakat ini. Kemasukan percuma tetapi caj membawa telefon bimbit untuk mengambil gambar dikenakan RM3.

h) Kompleks Kubah Ria
Kompeks yang menempatkan pasar basah dan kering. Kami membeli ikan terubok masin, pes bubur pedas dan laksa sarawak, sagu linut, kebaloi, beras bario, mee kolok dan lada hitam serta lada putih di sini.

i) India Street
Lokasi Orang Rumah Bapak dan mak mertua memborong kain ela bercorak pua kumbu. Katanya sebagai untuk membuat baju bagi sambutan hari raya. Lama lagi tu, tak pasti pula yang dimaksudkan Aidilfitri atau Raya (Tahun Baru) Cina...hehehe



Friday, December 19, 2014

Terjah Big Bad Wolf (BBW) di dinihari

Hujung minggu lalu, Khalish dan Ilhan mengikut Mak Ngahnya bercuti di A Famosa Resort. Tinggal Bapak dan Orang Rumah Bapak berdua sahaja di rumah.

Walaupun tak perlu berebut saluran televisyen dengan Khalish yang asyik mahu menonton cerita kartun dan Ilhan pula yang ralit menyepah barang mainan di ruang tamu, rasa sunyi pula.

Sambil menonton televisyen, Bapak pandang Orang Rumah Bapak, Orang Rumah Bapak pandang Bapak. Bosan...
Tepat pukul 11 malam, Orang Rumah Bapak memberi cadangan untuk ke Big Bad Wolf (BBW). Bapak setuju je, penghujung tahun ini, bagus juga mencari ruang untuk memenuhkan kouta rebat cukai pendapatan.

Lagipun Khalish dan Ilhan tiada, rilek sikit proses nak mencari dan memilih buku. Orang kata kecil-kecil elok dididik anak-anak itu minat dengan buku tetapi Bapak rasa tak sesuai bawa dua beradik tersebut ke pesta buku yang besar macam BBW.

Boleh lari fokus dibuatnya layan karenah mereka.  Apatah lagi Bapak tak suka bawa anak-anak keluar malam-malam, kasihan mereka.. Lagipun Khalish jenis tidur awal, paling lambat pukul 10 malam dah terlentok...
Selepas memecut di Lebuh Raya SKVE dan Besraya, kami sampai di Pusat Konvensyen Mines. Bapak pegang satu raga, Orang Rumah Bapak juga pegang satu raga. Masing-masing pilih buku kesukaan sendiri dan jumpa berhampiran kaunter bayaran.

Pertama kali terjah BBW tengah-tengah malam, Bapak tengok ramai juga pengunjung. Apa nak hairan, pesta buku ni buka 24 jam. Ada juga yang kendong bayi dan seret anak-anak kecil pagi-pagi buta itu.

Sedar-sedar sudah pukul 2 pagi. Bapak tengok raga Orang Rumah Bapak penuh dengan buku tetapi kebanyakannya buku kanak-kanak lah. Sudoku kesukaannya tak dilupa .
Semata-mata nak dapatkan diskaun tambahan 5% dan beg percuma, Bapak bayar guna kad kredit Hong Leong Bank. Sambil memegang beg percuma yang bagi Bapak sekadar cukup syarat, "Minggu ini juga aku selesaikan hutang kad kredit ini...hihihi"

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails