Translate

Sahabat Bapak

Tuesday, October 4, 2011

Membeli nombor ekor di bank

Semalam selepas makan tengah hari, rakan sepejabat Bapak mengajak menemannya ke sebuah bank yang terletak di tengah-tengah bandar raya Ipoh untuk menunaikan ceknya.

Sebaik sampai ke bank itu, beliau terus mengambil nombor giliran sambil Bapak mengambil kesempatan berurusan dengan mesin ATM..

Oleh kerana gilirannya masih panjang, Bapak berpusing-pusing di dalam bank tersebut sambil membaca beberapa risalah pembankan.

Di satu sudut Bapak perhatikan peel seorang lelaki. Dalam lingkungan 40-an rasanya. Suaranya lantang sedang berbual-bual dalam bahasa Tamil yang diselangi bahasa Inggeris dan Melayu.

Pelanggan lain tidak memperdulikan dia, mungkin sedang berbual menerusi telefon bimbit dengan menggunakan bluetooth tapi di telinga tak nampak pula gajet tersebut...

"Aku rasa ada tak kena dengan mamat yang duduk depan sekali tu.Kita tunggu je apa yang akan jadi," kata Bapak kepada rakan sepejabat Bapak.

Tak lama kemudian, nombor giliran lelaki itu tertera dan dia segera berlari menuju ke kaunter. Sampai di tengah jalan dia berhenti seraya berkata mahu ke kaunter 8 (sedangkan bank itu cuma ada 4 kaunter dengan 2 kaunter sahaja beroperasi...)

Sampai di kaunter no 2, dia dengan lantang memberitahu :

"Kasi nombor ekor!." Terkejut kerani wanita kaunter tersebut dan hampir semua pelanggan di dalam bank itu ketawa serentak.

"Mana ada nombor ekor, sini bank bukan kedai 3D!," balas kerani wanita itu berulang kali kepada lelaki terbabit. Penyataan terakhir sengaja dinyaringkan dengan nada garang bagi menyembunyikan ketakutannya.

"Kalau tak da jual nombor ekor jangan marah-marah," balas lelaki itu beredar sambil mengomel-ngomel dalam bahasa Tamil.

Dalam riuh-riuh tersebut, seorang pelanggan lelaki yang berpakaian baju pak guard memberitahu lelaki terbabit selalu ditemuinya membuat kacau dan meminta sedekah ketika dia bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Yer ker.. yang tadi buat-buat macam lelaki tak wujud kenapa? hehe...Eh, mana polis bantuan bank ini? hehe..
















Monday, October 3, 2011

Mengenang Fatah (Lagak A Mamud)

Beberapa hari lalu ketika Bapak menyelak suratkhabar, Bapak terbaca berita mengenai kartunis Fatah.

 Sayu melihat keadaannya yang uzur dan terpaksa berkerusi roda akibat penyakit saraf tulang belakang  yang dideritai sejak beberapa tahun lalu.

Tambah menyedihkan dalam usia 57 tahun, Fatah yang menetap bersama ibunya di Kampung Alur Tembusu, Dungun dan bergantung hidup bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM).

Consortium Cartoonist At Work (CAW) memberi komitmen membantu memasarkan lukisan Fatah bagi
 menampung kos rawatan perubatan dan perbelanjaan hidup.

Selesai membaca berita itu, Bapak segera ke bilik bacaan dan mencari koleksi Lagak A Mahmud yang dibeli pada usia muda Bapak.

Sebelum itu karya-karya Fatah pernah Bapak baca dalam majalah Gila-Gila, majalah satira komik yang Bapak baca sejak mula merangkak membaca lagi.
Fatah bukan calang-calang kartunis. Stoke lukisannya begitu rapi dan jalan ceritanya asli dengan budaya tempatan.

Biarpun pekat dengan loghat Terengganu, ia tidak menghalang Bapak daripada memahami susur galur budaya, sejarah dan cara hidup masyarakat negeri Pantai Timur itu terutama pada zaman 60-an dan 70-an menerusi Lagak A Mamud.

Batin Bapak tergerak untuk membantu Fatah. Tapi bagaimana?

Buat permulaan Bapak doakan agar dia segera sembuh daripada deritanya. Terima kasih kerana telah memberi input berguna secara santai dan menwarnai zaman kanak-kanak Bapak.

Bapak akhiri dengan perenggan terakhir prakata Fatah dalam koleksi Lagak A Mamud :

'Semuanya ini wujud kerana hari ini adalah juga untuk tatapan pada hari esok.'



Saturday, October 1, 2011

Lukisan abstrak di perut...

Selepas pulang ke pasar membeli barangan basah dan menunggu Orang Rumah Bapak menyiapkan hidangan makan tengah hari, Bapak bersantai sebentar.

Ilhan lena tidur, Khalish menonton animasi Tarzan di saluran Disney. Mahu tak mahu kena layan Tarzan sebab Khalish sudah ralit menontonnya, apa tah lagi alat kawalan jauh (remote control) televisyen sudah berada di bawah ' kawalan' dia...

Sesekali sahaja, Khalish keluar dari ruang tamu untuk minum air dan ambil biskut sebelum menonton televisyen semula sehingga animasi Tarzan itu tamat.

Berbaring di atas sofa buat mata Bapak pejam celik, pejam celik. Lama-lama terlena.Sebelum mata tertutup, Bapak perasan Khalish sudah sengih-sengih memandang Bapak tetapi Bapak buat tak tahu sahaja.
Sedar-sedar seperti ada objek menari-menari di atas perut Bapak. Apabila membuka mata, perut Bapak penuh dengan contengan pen hasil karya Khalish.

"Apa ni Khalish, mana dapat pen ni?," respons Bapak sambil Khalish seperti biasa secara spontan membuat aksi 'memadam' dengan menggeselkan bantal busuknya di contengan tersebut.

"Khalish nak lukis gambar senyum kat perut kot cam iklan tu," jelas Orang Rumah Bapak dari arah dapur sambil gelak-gelak.

Tak cukup kertas, buku, dinding dan lantai, perut ayah pun Khalish nak conteng yer....


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails