Thursday, February 28, 2013

Jom meriahkan Roadshow Huggies Dry Pants : Tukarlah untuk Lebih Senang Dipakai @ Mydin USJ

 Masanya sudah tiba tukar untuk lebih senang dipakai!

Dengan Lampin Huggies Dry Pants, pemakaian lampin bayi kini semudah koyak, salin dan lepas. Semuanya dalam tempoh 30 saat sahaja.

Apatah lagi, Huggies satu-satunya jenama lampin bayi pakai buang pertama Malaysia yang terbukti secara klinikal membantu menghalang ruam lampin.

Huggies Dry Pantas juga memenuhi ciri-ciri tidak mudah bocor yang memberi keselesaan kepada si Manja dan kesenangan kepada ibu bapa.
Inginkan lebih kepastian? Saksikan dengan mata sendiri di Roadshow "Huggies Dry Pants Tukarlah untuk Lebih Senang Dipakai" yang kini sedang berlangsung di ruang legar Mydin USJ sehingga 3 Mac 2013 ini.

Pengunjung akan ditunjukkan secara praktikal betapa mudahnya memakaikan Huggies Dry Pants kepada si Cilik.

Jika anda boleh mengatasi tempoh 30 saat tersebut, sertailah cabaran yang menawarkan pelbagai hadiah menarik!

Ingat, sesi persembahan dan cabaran berkenaan diadakan pada pukul 10 pagi, 2 petang dan 10 malam setiap hari sepanjang Roadshow Huggies Dry Pants.
Jangan lupa juga untuk dapatkan sampel percuma Huggies Dry Pants di samping berhibur seisi keluarga dengan pelbagai acara sampingan seperti pertunjukan silap mata, badut, tarian bayi dan peraduan Si Cilik Fotogenik.

Pelbagai promosi hebat dan hadiah percuma produk penjagaan bayi dan kanak-kanak Huggies juga disediakan sepanjang Roadshow tersebut.

Datanglah beramai-ramai! Acara penutup yang meriah akan diadakan dari pukul 8 malam hingga 9 malam pada Ahad.

Untuk maklumat lanjut, sila layari  laman Facebook Huggies, www.facebook.com/Huggies.Malaysia




Tuesday, February 26, 2013

Alahan kacang

Sejak kecil kami perasan Khalish alah dengan kekacang terutama kacang tanah, hazelnut, badam, kacang hijau dan gajus.
 Begitupun dia ok je kalau makan kacang panjang dan kacang buncis.

Masa dulu Khalish akan cirit-birit tetapi sekarang ini apabila sudah besar sikit, dia akan muntah-muntah dan demam.

Sukar sebenarnya nak menghalang naluri kanak-kanaknya untuk menikmati makanan berasakan kacang terutama mentega kacang.

Cara terbaik menjauhkan makanan-makanan tersebut daripada Khalish. Kalau kami nak makan pun kena sorok-sorok daripada pengetahuan dia.

Awal-awal lagi Orang Rumah Bapak sudah beritahu perkara tersebut kepada guru tadikanya.
 Beberapa hari lalu, Orang Rumah Bapak teringin makan rojak buah. Beliau taruh kacang tanah goreng yang kemudiannya menarik perhatian Khalish.

Simpati dengan rengekan Khalish, Orang Rumah Bapak benarkan anak sulung kami itu mengunyah dua, tiga biji kacang tanah.

Sudahlah tidak lama selepas itu suhu badannya mula naik. Cepat-cepat kami bawa dia ke klinik. Malamnya pula Khalish muntah selang sejam. Dua hari kemudian barulah dia kebah.
 Bapak sudah berkira-kira untuk menambah satu lagi bahan larangan untuk di bawa masuk ke rumah selain belacan dan jering iaitu kacang tanah...

Monday, February 25, 2013

Sotong Cecumit

Salah satu makanan kesukaan Bapak semasa kecil-kecil ialah cecumit iaitu sotong kering kecil yang sedap dibuat sambal.
 Biasanya Bapak dapat merasai sambal cecumit apabila pulang ke kampung Mama di Pulau Indah (dulu dikenali sebagai Pulau Lumut), Pelabuhan Klang.

Arwah atuk selalu membelinya di sebuah kedai runcit terletak berhampiran jeti milik seorang lelaki Cina yang digelar Bulat.

Namun berikutan peredaran masa (atuk pun sudah hampir 5 tahun meninggal dunia) cecumit sukar didapati.
Dalam tempoh berbelas tahun cuma sekali sahaja Bapak menjumpai ia dijual di pasar malam di Jelapang, Ipoh dua, tiga tahun lepas.

Itupun seminggu je dijual selepas itu tiada lagi cecumit didapati di pasar malam itu. Banyak kali juga sepanjang hampir 7 tahun menetap di Perak, Bapak singgah ke Lumut dan Pangkor semata-mata untuk mencari cecumit tetapi hampa.
 Akhirnya penantian berakhir pada kunjungan kami ke Lumut baru-baru ini. Walaupun harganya RM5.80 per100 gram, Bapak pejamkan mata sahaja sebab dah lama mengidam..hehe..

Sunday, February 24, 2013

Kedai Makan Upin Ipin : Anak-anak gembira, mak bapak 'ala-ala'

Kedai Makan Upin Ipin sebenarnya sudah dibuka di Mydin Meru Raya, berhampiran rumah kami sejak Oktober 2012. Tetapi sebab pada masa itu, Bapak masih dalam MC kerana patah kaki, kami baru dapat mengunjungi baru-baru ini.

Seperti kebanyakan kanak-kanak lain di negara ini, Khalish dan Ilhan peminat setia siri animasi itu, maka kunjungan ke Kedai Makan Upin Ipin lebih kepada untuk mengembirakan mereka.

Sampai ke sana, dua beradik itu mula teruja dengan dekorasi kedai makan tersebut yang memaparkan watak-watak siri animasi Upin dan Ipin serta Pada Zaman Dahulu dan mereka bergambar sakan.

Sesudah itu, kami kembali ke misi sebenar mengunjungi restoran iaitu menikmati makanan. Ralat juga keistimewaan kad keahlian Kelab Upin Ipin tidak dapat digunakan dengan alasan sistem cawangan tersebut belum bersedia.

Cerita mengenai kad Kelab Upin Ipin pernah diceritakan dalam entri Saya ahli kelab Upin & Ipin

Bapak memilih Nasi Goreng Atuk. Dari foto menu nampak menyelerakan tetapi ia sebenarnya cuma nasi goreng kosong berserta telur mata kerbau, keropok sayur, sehiris tomato dan dua cucuk sate disiram kuah kacang.
Maaf kata, rasa nasi gorengnya yang tawar mengingatkan Bapak, nasi goreng yang dimasak Orang Rumah Bapak pada awal perkahwinan. Untuk memberi keadilan, nasi goreng Orang Rumah Bapak sewaktu baru belajar memasak jauh lebih sedap...
Khalish pula memesan Ayam Goreng Upin Ipin. Ayam goreng salut tepung nipis berserta kentang goreng dan salad mentah tetapi harganya lebih mahal daripada Chicky Meal dan Happy Meal..

Nasi ayam yang dimakan Ilhan biasa-biasa sahaja namun Orang Rumah Bapak agak berpuas hati dengan nasi daging merah dari segi rasa dan saiz hidangannya yang besar.
Khalish dan Ilhan lebih ralit menonton siri Upin Ipin di televisyen disediakan daripada makan. Sedikit sangat yang luak, akhirnya makanan yang tidak habis itu diminta bungkus untuk di bawa pulang...

Kosnya dua kali ganda dari makan menu yang hampir sama di restoran tom yam. Pendek kata andai selepas ini Khalish dan Ilhan beriya-iya mengajak ke Kedai Makan Upin Ipin lagi, biarlah cuma minuman yang dipesan sambil membiarkan mereka nenonton siri animasi tersebut di situ.
Jika itu boleh menggembirakan anak-anak...

Ada beberapa gambar mengenai Kedai Makan Upin Ipin, Mydin Meru Raya di Kedai Makan Upin Ipin

Membuat Aiskrim Homemade

Sejak memasuki tadika, Khalish enggan minum susu tepung lagi. Sehubungan itu untuk keperluan kalsium dia, kami memberi Khalish minum susu Dutch Lady Kid sebagai sarapan sebelum ke tadika.
Mahu tak mahu sudah masanya kamu tebus mata Kelab Sustagen. Khalish telah meminum susu jenama tersebut bagi mengantikan susu Enfa sejak dia berumur dua tahun setengah.

Cerita mengenai penyusuan Khalish dan Ilhan pernah diceritakan dalam entri Rasionalisasi Susu Khalish dan Susu Ibu vs Susu Formula
Setelah dikira, mata terkumpul itu melayakkan Khalish untuk menebus ice cream maker.  Girang dia sebaik ice cream maker itu dihantar posmen ke rumah
Percubaan pertama Orang Rumah Bapak membuat aiskrim kacang hijau dari lebihan bubur. Bapak yang lebih-lebih...hehehe

Saturday, February 23, 2013

Segmen Bloglist 12 Jam Oleh Mialiana.com



Pencarian bloglist Mia bermula tepat jam 12.01 tengahari dan akan berakhir jam 11.59 malam nanti. Semua dijemput join.

Syarat-syaratnya :
  1. Follow blog Mialiana.com, Add To Circle Google+ Mia Liana dan Like Fanpage Mialiana.com
  2. Buat entri bertajuk Segmen Bloglist 12 Jam Oleh Mialiana.com
  3. Copy coding yang telah disediakan dan paste kan ke dalam ruangan HTML dan Publish entri.
  4. Tinggalkan URL entri anda ke dalam ruangan komen ini.
Senang dan mudah bukan?

15 blog yang bertuah akan dipilih oleh Mia Liana sendiri dan kepada yang terpilih nanti diminta agar memasukkan blog Mialiana.com ke dalam bloglist mereka juga.

tunggu apa lagi... jom support Mia Liana ya...

Royal Belum World Drums Festival

Di Perak sekarang ini sedang berlangsung Royal Belum World Drums Festival. Festival persembahan dram edisi kedua itu membabitkan 11 kumpulan termasuk 9 daripada luar negara. Antaranya dari Azerbaijan, Australia, Maldives, Mesir, Singapura, Indonesia dan Thailand.
Kumpulan kesukaan Bapak ialah Natiq Rhythm daripada Azerbaijan. Bapak masih ingat tahun lepas, mereka 3 orang cuma duduk di atas kerusi sambil memegang gendang kecil seperti kompang. Tapi selepas mereka mula beraksi, gamatnya terasa dan bukan dibuat-buat.

 Kumpulan Egyptian Nile Folkloric Musical Troupe dari Mesir pun tak kurang hebatnya. Nampak je sebahagian anggotanya terdiri daripada atuk dan nenek berusia 60 tahun ke atas tapi persembahan buat kita macam berada di negara Arab.
 Dulu sebelum penganjuran kali pertama pada tahun lalu, Bapak ingatkan mereka akan buat persembahan di dalam Taman Negeri Royal Belum. Rupa-rupanya mereka akan menjelajah beberapa lokasi di Perak sebelum Malam Gala di Dataran MBI, Ipoh dan Padang Lapang Terbang Gerik.

Dengar ceritanya pada tahun hadapan, prestij festival ini akan meningkat apabila bakal dimasukkan sebagai salah satu acara  Kalender Tahun Melawat Malaysia 2014.

Hajat Bapak nak bawa Khalish menonton persembahan di Mydin Meru Raya tetapi sebab dia demam, Ilhan jadi galang ganti.

Namun kami balik sebelum persembahan kedua tamat kerana Ilhan tak berminat. Bukan sahaja buat muka blur, dia bantai nak tidur di atas kerusi sewaktu ahli-ahli muzik sedang beriya-iya membuat persembahan.
Mata Ilhan segar semula apabila Bapak dia memasuki pasar raya untuk membeli beberapa barang yang dipesan Orang Rumah Bapak.

Ilhan memang kurang minat suasana bising dan ramai orang berbanding Khalish yang cenderung muzik bergendang.

Berbalik kepada Royal Belum World Drums Festival 2013, kumpulan drum berkenaan telah mengadakan pocket show di Aeon Seri Manjung dan Taiping Sentral Mall pada Rabu dan pada Khamis pula di RTC Gopeng dan Mydin Meru Raya.
Malam ini mereka akan beraksi di Gerik sebelum Malam Gala di Ipoh yang akan turut disaksikan Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah pada malam esok.

Lagi gambar menarik di  Royal Belum World Drums Festival 2013

Friday, February 22, 2013

Kembali ke hospital..

Hari ini genap 5 bulan peristiwa yang menyebabkan buku lali kanan Bapak patah. Kisah di sebaliknya pernah Bapak ceritakan dalam entri Tragedi Penang : Datang ceria, pulang bertongkat  dan  ke dewan bedah lagi...
 Alhamdulillah Bapak sudah boleh kembali berjalan semula sejak pertengahan Disember lalu. Tidak dapat 100 peratus seperti dulu tapi pergerakan Bapak bertambah baik dari sehari ke sehari. Simptom buku lali bengkak hingga sebesar bola ping pong pada awal-awal mula melangkah dulu kini sudah semakin berkurangan.

Begitupun  rasa tak selesa dan sedikit sakit masih terasa terutama terlalu banyak bergerak pada hari berkenaan.Itu sudah dijangkakan kerana menurut doktor yang merawat Bapak,  antara risiko selepas kepatahan buku lali ialah radang sendi atau arthritis.Doktor memberikan pil Artril 250 bagi mengurangkan kesakitan akibat arthritis.
 Baru-baru ini Bapak menjalani pemeriksaan rutin. Seperti dijangka imbasan x-ray mengesahkan tulang rawan di antara buku lali dan tapak kaki sudah semakin berkurangan. Tulang rawan itu bagai pelincir yang membolehkan buku lali dan tapak kaki berhubung dan bergeser tanpa kita rasa sakit.

Sehubungan itu, doktor menasihatkan buku lali kanan Bapak di suntik dos cecair pelincir yang menyerupai pengganti tulang rawan. Ia suatu ikhtiar kerana tidak dapat dipastikan berapa lama cecair itu boleh bertahan..

.Pendek kata kalau nak selamat, jangan mengada nak buat aktiviti lasak cam panjat gunung, main futsal dan bertomoi...

Beberapa jam lagi, Bapak akan 'menyerah diri' kembali untuk menginap di hospital bagi menjalani prosedur tersebut. Insyaallah Bapak akan dibenarkan keluar hospital pada esok. Doakan Bapak ye...

Thursday, February 21, 2013

Laksa Pangkor

Pertama kali Bapak mengetahui wujudnya laksa Pangkor ini melalui pembacaan di majalah. Nama sebenarnya laksa mee dan dikatakan hanya terdapat di sekitar Pulau Pangkor, Lumut dan Pantai Remis sahaja.
 Bezanya versi Pangkor, kuahnya diperbuat daripada ikan sementara Pantai Remis dari udang dan ketam. Tapi tak pernah sekali pun Bapak pernah merasa laksa mee buatan air tangan orang Pulau Pangkor dan Pantai Remis.... (tak jumpa pun kedai makan/restoran jual laksa mee kat kawasan situ..)

Yang Bapak jumpa mee laksa mentah yang rupanya seakan-akan mee sanggul di beberapa gerai menjual hasil laut di bandar Lumut.  Laksanya lebih kenyal seakan-akan spaghetti.  Sebab nak merasa, Orang Rumah Bapak buat sendiri laksa Pangkor. Resepinya beliau belajar dari pengusaha Hasil Laut Jamilah.
 Kuah laksa Pangkor cair seolah-olah sup atau masak pindang. Malah tidak seperti kuah laksa lain, isi ikan tidak dihancurkan tetapi ikan dimasukkan seekor-ekor.

Cuma kepala ikan sahaja dikisar halus bagi memekatkan sedikit kuah. Jenis ikan yang biasa digunakan pula ialah sama ada ikan kembung atau tongkol.

Selain itu laksa Pangkor dimakan bersama sambal udang kering yang lagi pedas lagi best.

Tuesday, February 19, 2013

Kempunan kelapa jeli dan Rojak Manjung

Kali terakhir kami minum air kelapa jeli Seri Manjung sewaktu Ilhan berusia 4 bulan pada Februari 2011.
cerita 2 tahun lalu...
 Kelapa jeli ini bukan yang dalam cawan plastik tu tapi sebiji kelapa muda segar. Kita minum dari kelapa itu sejuk-sejuk dari straw dengan separuh airnya dah jadi jeli. Dulu sebiji RM2.50 je, kali terakhir Bapak dengar dah berharga RM3.50.

Lokasinya kat Seri Manjung di belakang  Maybank. Setahu Bapak ada cawangan di Pulau Pinang yang diurus anaknya dan terbaru Kuala Lumpur. Tapi sesampainya kami di lokasi berkenaan, kedai tersebut dah tukar jadi bangunan hotel bajet...

Tergaru-garu kepala Bapak tak dapat petunjuk kedai kelapa jeli itu dah tutup atau tukar ke lokasi lain..
camni lah rupa Rojak Manjung...
 Khalish sudah mula menuntut janji...terpaksa Bapak pujuk tukar haluan untuk menikmati Rojak Manjung pula. Namun gerai makanan signature Manjung tu pun tutup juga pada hari itu.

Memang takde rezeki kami..Akhirnya Bapak belanja Khalish minum air kelapa muda di gerai berhampiran hotel yang kami menginap pada kunjung di Lumut tempoh hari.
 Tengok dari muka, macam tak ikhlas je Khalish minum air kelapa muda tu..huhuhu

Monday, February 18, 2013

Siput lokan sekilo RM2

Masa kecil-kecil dulu, di kampung Bapak  siput lokan boleh dikatakan hidangan eksklusif yang boleh didapati pada hari raya sahaja.
 Itupun kat rumah tok sidang dan penghulu sahaja yang menyajikan rendang lokan. Pagi-pagi raya lepas solat Aifilfitri, terus cabut bertandang ke situ...hehe..

Masa bujang dulu, Bapak pernah beli lokan RM5 sekilo di Pasar Tani Seksyen 17 Petaling Jaya. Minta Mama buat rendang untuk pagi raya. Lepas kahwin, Bapak perasan kat Pengkalan Balak, Melaka berhampiran kampung Orang Rumah Bapak ada gerai jual lokan. Sekilo RM4.
 Masa lalu di  Pantai Remis tempoh hari, lokan dijual hanya RM2 sekilo. Kata penjualnya, lokan tersebut didapati di paya bakau berhampiran.
 Bapak pun borong sampai 5 kilo, baru RM10. Tapi bila kopek cenkerang baru dapat semangkuk penuh je..
Apapun puas juga makan lokan masak masam manis dan rendang lokan; Orang Rumah Bapak masak.

Sunday, February 17, 2013

16 Februari yang sentiasa diingati

Semalam genap 7 tahun Bapak dan Orang Rumah Bapak dipertemu sehingga membawa kepada pembinaan keluarga pada hari ini.
genap 7 tahun...
 Kisah permulaan perkenalan kami pernah Bapak ceritakan dalam entri Bukan 14 Februari tapi 16 Februari. Tanggal 16 Februari 2006 amat bererti kepada Bapak kerana Orang Rumah Bapak adalah anugerah berharga daripada Allah selain iman, nyawa, anak-anak dan kegembiraan ibu bapa.

Jangan tanya tarikh sebenar Bapak dan Orang Rumah Bapak 'declare' kerana ia tak pernah wujud dalam kamus percintaan kami. Yang Bapak ingat bagi menunjukkan komitmen, Bapak pergi menghadap kedua orang tua Orang Rumah Bapak di Melaka.

Selepas mereka berkenan, Orang Rumah Bapak diperkenal kepada keluarga Bapak pula. Kemudian barulah proses berkenalan antara 2 keluarga, merisik, meminang, bertunang dan akhirnya ijab kabul pada 31 Mei 2008.
pertunangan
 Oleh kerana perhubungan kami di kira cinta jarak jauh (Bapak di Perak, Orang Rumah Bapak di Melaka), dalam tempoh 2 tahun sebelum bersatu, tanggal 16 Februari sentiasa di isi dengan aktiviti bersama dengan sentiasa menjadi kenangan.

16 Februari 2007, Orang Rumah Bapak diperkenal dengan keluarga Bapak di Petaling Jaya. Beliaulah calon isteri pertama dan terakhir Bapak bawa ke rumah. Geli hati apabila mengingatkan kembali ujian memasak yang dikendalikan Mama untuk Orang Rumah Bapak..hehehe...

Pada 16 Februari 2008 pula kami menghadiri kursus pra perkahwinan di Zura's Academy, Bangsar.
Orang Rumah Bapak yang pilih bagi membolehkan kami berkursus bersama-sama. Antara yang turut sama pada sesi itu ialah Khai AF dan Rosma AF.
 Semalam Orang Rumah Rumah Bapak buat cheese cake dan pizza. Bukan nak meraikan sangat tapi Khalish dan Ilhan suka makan..hehe..

Saturday, February 16, 2013

Tutorial membuat petai jeruk

Sewaktu menuruni Simpang Pulai dari Cameron Highlands tempoh hari, kami singgah sebentar di gerai Orang Asli untuk membeli durian bukit. Bapak sambar seikat petai yang turut dijual.
 Orang Rumah Bapak beriya-iya nak buatkan Bapak petai jeruk. Cara membuatnya beliau belajar daripada internet. Tetapi esoknya balik dari kerja, Bapak perhatikan sesuatu yang pelik tentang petai jeruk yang Orang Rumah Bapak buat.

Beliau rendam petai dengan kulit-kulit hijau sekali di dalam air garam. Dakwanya tak mahir mengopek petai dengan kulit pulih yang menyaluti petai tersebut.

Bapak syak silapnya pada  langkah awal pembuatan petai jeruk itu iaitu rendam sebentar dengan air panas untuk memudahkan proses mengopek kulit, 

Orang Rumah Bapak cuma gunakan air suam yang dah hampir sejuk. Begitupun beliau tetap mempertahankan tekniknya. Keputusannya selepas 2 hari, hasil petai jeruk itu memang lah tak jadi..

Bapak geram beli petai baru di Pasar Besar Ipoh. Kali ini biarlah anak jati Perak ini buat sendiri petai jeruk itu..heheheh
 a) mula-mula potong papan petai tersebut dalam beberapa mata petai sahaja bagi setiap keping untuk memudahkan proses merendam dalam air panas dan mengopek kulit.
 b) sementara itu jerang air dalam kuali besar. Apabila hampir mendidih,  masukkan kepingan petai tadi ke dalam kuali.
 c) keluarkan kepingan petai tersebut apabila warna kulitnya hampir layu. Motif merendam petai dalam air panas bukan untuk memasakkanya tetapi memudahkan proses mengopek kulit.
 d) lumur mata petai dikopek bersama lapisan putihnya dengan garam

e) masukkan petai tadi ke dalam balang yang sudah dipenuhi air. Indikator garam mencukupi ialah air yang diisi petai tadi jernih dan tidak keruh.
 f) masukkan dua, tiga biji cili padi jika mahu beri rasa pedas kepada petai jeruk tersebut. Simpan dalam peti ais selama dua hari, dua malam sebelum boleh dinikmati bersama nasi panas-panas.

Friday, February 15, 2013

Wakenabeb dengan TNB..

Balik sahaja dari kerja, Orang Rumah Bapak menunjukkan notis gangguan bekalan elektrik daripada TNB.
Menurut notis itu beberapa hari lagi taman perumahan kami dan sekitar akan mengalami keputusan bekalan elektrik dari pukul 11 malam hingga 7 pagi esoknya.

11 malam hingga 7 pagi? Maksudnya kami perlu bertidur dalam kegelapan dan berpanas pada malam tersebut.
 Sebab kasihankan Khalish dan Ilhan (dan Bapak juga..hehehe) akan  kegelisahan tidur kepanasan, Bapak termakan hasutan Orang Rumah Bapak untuk menginap di hotel pada malam berkenaan...

Ramai juga jiran-jiran mengambil tindakan sama namun jiran sebelah yang mempunyai ramai anak yang sudah besar memilih untuk terus berada sambil bertemankan lampu suluh.

Memandangkan di tempat sendiri, hotel yang dipilih biasa-biasa sahaja. Tak berbaloi bermalam di hotel berbintang besar. Yang terlalu bajet juga sangat perlu dihindar, takut mimpi ngeri nanti kami sekeluarga jadi saksi aktiviti malam di situ.

Peluang bermalam di tengah-tengah Ipoh digunakan untuk merasai suasana selepas senja bandar raya itu yang jarang kami lakukan sebelum ini.
 Selepas makan malam di sebuah kedai makan di pinggir Sungai Kinta, kami berjalan-jalan di River Walk River Front. Suasana lampu-lampu pokok berwarna-warni persis mini I-City menjadikan ia tumpuan pelancongan terbaru  sejak akhir tahun lalu.

Bezanya tempat parkirnya percuma dan tak perlu kena caj RM10 macam yang di Shah Alam tu...
Antara daya tarikan lain ialah beberapa jambatan  yang dibina menyerupai binaan jambatan terkenal dunia seperti London Bridge dan San Fransisco menyeberangi Sungai Kinta.
 Selain di hadapan Hotel Kinta Riverfront, River Walk Kinta River Front boleh dimasuki dari Taman DR Seenivasagam. Lepak-lepak malam diteruskan dengan menikmati burger bakar di Jalan Lim Bo Seng.

Esok paginya kami bersarapan di Din Kuehtiaw yang terletak di Medan Selera Stadium Perak.
Selepas mendaftar keluar dari hotel, kami pulang ke rumah. Anak jiran, Nadia dengan ceria memberitahu kami bahawa pada malam tadi bekalan elektrik cuma terputus tak sampai 10 minit sahaj.

Bapak dan Orang Rumah Bapak saling berpandangan...

"Cis kita kena beb ngan TNB..hehehe,"

Lagi gambar menarik River Walk Kinta River Front di  River Walk Kinta River Front dan Pinggiran Sungai Kinta

Thursday, February 14, 2013

Bermain dengan penyu Segari

Selepas melepasi ladang kelapa sawit dan kawasan ternakan ayam, baru kami sampai di Pusat Pengurusan Penyu, Segari. Ia bersebelahan Baitul Hilal.

Beberapa keluarga mengambil kesempatan cuti Tahun Baru Cina ini untuk berkhemah dan memancing di perkarangan pintu masuk pusat tersebut. Pasir pantainya yang putih halus seakan melambai-lambai Khalish dan Ilhan untuk bermain jika tidak dipantau.

Pusat Pengurusan Penyu Segari mempunyai pusat penerangan, kawasan bertelur dan penetasan, kolam anak penyu dan kolam penyu dewasa. Info dari pusat penerangan memberitahu hanya spesies penyu agar dan lipas mendarat di Segari untuk bertelur.
 Berbanding dengan Pusat  Konservasi Hidupan Liar Tuntung Bota, lebih banyak anak penyu berjaya dibiakkan di sini. Khalish dan Ilhan tak dapat menahan geram memerhati anak-anak penyu comel. Nasib baik ada pagar besi memisahkan kolam, jika tidak mahu mereka terjun untuk bermain dengan anak-anak penyu tersebut.

Orang Rumah Bapak pula ralit mengacau penyu dewasa. Beliau membuat suara penyu yang menyerupai bunyi berdengkur untuk menarik perhatian penyu-penyu berkenaan yang tengah berendam di dalam dasar kolam memunculkan kepala di permukaan kolam.
 Sekali dua bolehlah terperdaya penyu-penyu tersebut tapi apabila taktik sudah terbongkar, ada seekor penyu melepaskan geram menghempaskan sayapnya menyebabkan air terpercik. Mencicit lari Orang Rumah Bapak..hehe..
 Ada juga kolam khas untuk tuntung laut. Berbanding penyu, tuntung laut lebih pasif. Seekor daripadanya boleh bertenggek di atas sebuah batu berjam-jam tanpa bergerak. Meditasi agaknya..hehe...

Wednesday, February 13, 2013

Mee Udang Lipan Pantai Remis

Orang kata kalau ke Pantai Remis jangan melepaskan peluang untuk merasai mee udang lipan.

 Udang tersebut mendapat nama dari kulitnya yang keras dan berketak-ketak menyerupai lipan. Jika digoreng atau dimasak bersama kuah terlalu lama, isinya yang nipis itu akan mencair.

Orang Rumah Bapak ada beberapa kali memasak masakan berasas udang lipan termasuk mee udang lipan hampir setiap kali makanan laut itu dijual di pasar sekitar Ipoh.

Berbalik kepada mee udang lipan, sebelum ini tak pernah sekali pun Bapak berkesempatan walaupun ada juga beberapa kali melalui Pantai Remis.
 Cuti-cuti kali ini kami letakkan Restoran Udang Lipan 3R sebagai antara senarai teratas perlu dikunjungi.
Petunjuk termudah ke restoran ini ialah papan tandanya berhadapan dengan Arena Square Pengkalan Baharu. Jarak restoran berkenaan dari simpang tersebut lebih kurang 2km.

Selain mee udang lipan, kami juga memesan nasi goreng udang lipan dan udang lipan goreng tepung. Pendek kata semuanya udang lipan..hehe..

Teruja kami sebab semuanya dah dikopek kulit. Pertama kali puas makan udang lipan sebab sebelum ini kami tak pandai kopek kulit udang lipan mentah.
 Kunyah udang lipan goreng tepung rangup yang dihidang bersama french fries dan coleslaw terasa macam makan ayam KFC pula..hehe..
 Tapi sebab udang lipan 'togel', kuah mee udang kurang manis. Mee udang lipan yang Orang Rumah Bapak masak memang terasa kemanisan dari air rebusan kulit udang lipan. Nasi goreng pula, Orang Rumah Bapak kata agak pedas (beliau memang tak tahan pedas...hehe..)