Sunday, September 30, 2012

Kempunan Mee Sotong Padang Kota Lama

Antara Bapak paling mengidam apabila berkunjung di Pulau Pinang ialah menikmati Mee Sotong Hameed dan Coconut Shake Jalil di Astaka Taman Kota Lama di Padang Kota Lama.

Kebetulan lokasinya tidak jauh dari hotel kami menginap, berjalan kaki lebih kurang dua minit sahaja.

Tetapi sebab Bapak tak selidik betul-betul, sewaktu sampai di astaka berkenaan pada pukul 9 malam, kedua-dua gerai makanan tersebut sudah ditutup. Rupa-rupanya ia cuma dibuka dari pukul 11 pagi hingga 5 petang sahaja.

Memang tiada rezeki nak rasa mee sotong dan coconut shake tersebut pada kunjungan kali ini.

Sebab perut perlu di isi juga terutama anak-anak, kami menapak ke Medan Selera Renong Padang Kota Lama yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ.

Risau juga Khalish dan Ilhan merungut terpaksa berjalan kaki lebih jauh tetapi nasib baik mereka ralit memerhati hiasan lampu lip-lap yang memeriahkan pokok-pokok dan bangunan di sekitar Padang Kota Lama.
Sebab dah makan nasi kandar pada sebelah petangnya, kami cuma memilih untuk menjamah sotong kangkung. Saiz hidangnya sesuai untuk kami sekeluarga dan berharga RM10.

Untuk Khalish dan Ilhan, Orang Rumah Bapak memesan mee sup campur. Sebab tak biasa dengan stail sup utara, Orang Rumah Bapak ingat sup campur cuma ada daging dan ayam sahaja tetapi sebenarnya perut turut menyelit dalam kuah sup tersebut.

Orang Rumah Bapak memang tak pandai makan perut buat-buat geli, terpaksalah Bapak memakannya. Namun cuma separuh jalan kerana selepas itu. Ilhan dengan selamba mengunyah baki perut yang ada . Dasar anak kelahiran utara..hehhehe.. lainlah abangnya, Khalish yang lahir di Melaka. Banyak pantang makannya..hehheh
Waktu Bapak jalan-jalan di medan selera yang memisahkan ruang makanan Muslim dan bukan Muslim itu, Bapak perasan sebuah gerai yang menjual Coconut Shake. Tak dapat Jalil, yang ni pun jadilah.

Rasanya Bapak tak pasti berbeza ke tak tetapi harga mahal 50 sen berbanding Coconut Shake Jalil yang dijual RM2.50 segelas.
Sebelum balik, Orang Rumah Bapak memesan pesembur di gerai Gani Pesembur. Sebab dah kenyang, ambil yang asas-asas sahaja dan caj dikenakan RM8. Orang Rumah Bapak berpuas hati, katanya sedap.



Saturday, September 29, 2012

Orang mengidam mencari Jeruk Madu Pak Ali di Pasar Chowrasta

Bapak hanya menjeling sebelah mata apabila Orang Rumah Bapak sejak dari rumah berkali-kali menekankan barang mesti di beli semasa kunjungan di Pulau Pinang ialah jeruk.

Bukan sebarang jeruk tapi Jeruk Madu Pak Ali. Alasannya jeruk madu Pak Ali segar dan tak menyebabkan batuk. Sebab kenapa jeruk bukan makanan atau barangan lain macam buah pala ke, pesembur ke, laksa Penang ke tidak pula dinyatakan.

Sampai di Pulau Pinang, Orang Rumah Bapak beriya-iya mengajak kami ke Sungai Nibong bagi mencapai misinya tersebut.

Bapak beritahu beliau, tak perlu ke Sungai Nibong semata-mata untuk mencari Jeruk Madu Pak Ali kerana cawangannya terdapat di Pasar Chowrasta, Georgetown. Lagi punkami hanya mahu beli jeruk bukan membuat lawatan sambil belajar ke kilangnya.
Pada mulanya Orang Rumah Bapak enggan percaya.Katanya kunjungan terakhir kami di Pasar Chowrasta kira-kira dua tahun lalu, cawangan tersebut tak wujud lagi.

Namun Bapak berjaya menyakinkan beliau selepas menunjukkan beberapa laman blog rakan-rakan yang pernah berkunjung ke pulau mutiara ini dalam masa terdekat.

Oleh itu, selepas selesai menikmati nasi kandar Line Clear di Jalan Penang, kami berjalan kaki ke Jalan Chowrasta. Tak jauh, tak sampai satu kilometer rasanya. Pentunjuk termudah, ia berdekatan dengan Mydin.

Tersengih Orang Rumah Bapak. Bermacam-macam jeruk diambilnya tetapi dalam kuantiti sedikit, nak rasa-rasa gamaknya.
Cawangan Jeruk Madu Pak Ali itu memasang klip video Buletin Utama yang memaparkan interviu pemilik industri kecil dan sederhana (IKS) tersebut berdurasi hampir dua minit berulang-ulang kali.

Bapak pula pilih jeruk buah pala berkulit dan bawang putih. Tetapi sampai di rumah baru perasan bukan bawang putih tetapi bawang holland kecil. Terpaksa lah Bapak menghabiskannya sorang-sorang sebab Orang Rumah Bapak tak berkenan.

Nasi Kandar Line Clear yang overrated

Alang-alang sampai ke Pulau Pinang, Orang Rumah Bapak teringin makan nasi kandar Line Clear yang terkenal itu.
Bapak pula boleh layan kehendak Orang Rumah Bapak sedangkan restoran nasi kandar Vanggey yang letaknya lebih kurang 10 langkah je dari pejabat pun, Bapak boleh pandang sebelah mata je selama ini...

Kesukaan Orang Rumah Bapak kepada nasi kandar tak payah dihairankan. Kalau ikut kajian sejarah, susur galur beliau ada kena mengena dengan Jawi Peranakan..heheh..

Bapak punya nak tahu juga apa yang bestnya nasi kandar Line Clear yang katanya terletak di tengah-tengah dua deretan bangunan kedai tu...
 
Tapi nak cari kedai nasi kandar tersebut yang terletak di Jalan Penang bukan mudah bagi Bapak.

Bergantung kepada Google Maps pun tak boleh harap, akhirnya minta tolong rakan sekerja Bapak merangkap kawan baik Orang Rumah Bapak, Liza yang sememangnya anak jati Pulau Pinang jadi jurupandu arah menerusi panggilan telefon.
Akhirnya jumpa juga kedai nasi kandar tersebut, tempat letak kereta tak susah sebab ada betul-betul di seberang jalan Line Clear (tapi sejam caj RM4 lah...)

Orang Rumah Bapak minta nasi putih separuh dengan lauk sotong kari, kena caj RM6.20. Bapak pula pesan standard nasi putih, ayam goreng dengan kuah campur, cajnya RM7.20.

Sebab kami tahu kuah kari nasi kandar Line Clear agak pedas, untuk Khalish dan Ilhan pula kami pesan nasi beriani kosong dengan ayam goreng dipecah kepada dua pinggan dengan harga RM5.50.

Bagi Bapak walaupun harga agak tinggi sikit dari Vanggey tapi berpatutan kerana saiz hidangan sepinggan dan ayam agak besar sesuai dengan nilainya.

Sambil mengunyah papadom, Bapak menikmati nasi kandar Line Clear. Bagi tekak Bapak, campur tolak ia tak berapa lari dengan rasa nasi kandar Vanggey walaupun teknik kuah campurnya rasanya lebih baik.

Adakah selepas ini Bapak akan menjadi peminat setia nasi kandar Line Clear? Kalau nasi kandar Vanggey yang orang gelar nasi ganja itu pun Bapak tak ketagih langsung, apatah lagi Line Clear..heheh...

Friday, September 28, 2012

Al-Fatihah buat Raja Bola, Ghani Minhat

Kita kehilangan Raja Bola, Gani Minhat (Tan Sri Abdul Ghani Minhat) yang menemui Penciptanya pada 10.35 pagi tadi.

Allahyarham yang berumur 76 tahun meninggal dunia setelah mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN kira-kira tiga hari lalu.

Bekas penyerang dan pemain sayap itu mencurahkan bakti untuk skuad Selangor dan kebangsaan ini dari tahun 1953 hingga 1968. Sepanjang karier bersama pasukan kebangsaan, Ghani membantu Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka tiga tahun berturut-turut dari tahun 1958 hingga 1960.
Selain itu, beliau juga mengetuai skuad kebangsaan yang meraih pingat emas pada Sukan SEAP 1961 manakala pada Sukan Asia setahun kemudian, pingat gangsa pula diraih.

Gelaran Raja Bola diberi Persatuan Bolasepak Selangor pada tahun 1959 sebagai menghargai sumbangannya pada sukan bola sepak negeri itu.

Penghormatan itu tepat kerana allahyarham telah menjaringkan 106 gol dalam 15 perlawanan termasuk 11 jaringan ketika Malaysia menewaskan Filipina 15-1. Rekod itu masih gagal diatasi sehingga kini.

Ghani juga merupakan pemain negara pertama ditawar untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris pada 1962.Namun beliau menolak lamaran Cardiff City tersebut dan membuat keputusan menjelajah England dan Eropah selama empat bulan.

Dalam tempoh empat bulan itu, Allahyarham mengikuti kursus di West Ham United dan Eintracht Frankfurt, Jerman.

Sebaik bersara, Ghani memperolehi sijil kejurulatihan dari FIFA pada 1969 seterusnya menjadi jurulatih kebangsaan selama lima tahun dari 1971.

Pada pertengahan tahun ini, beliau dianugerahi pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.





Bukit Bendera aka Penang Hill

Sebaik menyelusuri Jambatan Pulau Pinang, destinasi pertama yang dituju ialah Bukit Bendera.
Ini merupakan kunjungan pertama buat Khalish dan Ilhan. Malah seingat Bapak, kali terakhir Bapak ke Bukit Bendera ketika berada di tingkatan empat pada lewat 1990-an.

Waktu itu kereta kabelnya berwarna merah dan tidak silap ditarik dengan tali namun kali ini kemudahannya sudah jauh lebih moden.

Perjalanan dari stesen kaki bukit ke stesen terakhir ke puncak bukit cuma memakan masa kira-kira 5 minit sahaja.

Tiket menaiki kereta kabel bagi dewasa warganegara Malaysia ialah RM8 manakala Khalish dan Ilhan yang masing-masing berumur 3 tahun dan 2 tahun pula percuma sahaja.
Macam biasa Khalish sentiasa teruja untuk menaiki kereta kabel yang ala-ala keretapi, Ilhan pula cuma ikut-ikut abangnya tetapi sepanjang berada di dalam kereta kabel, dia yang duduk di sisi Bapak mengeraskan badan dan mukanya pucat sentiasa memandang ke puncak bukit..heheh...

Sampai ke puncak bukit, seperti pelancong lain, kami mengambil gambar berlatar belakang panorama Bukit Bendera. Panorama Pulau Pinang termasuk Komtar, Jambatan Pulau Pinang dan projek pembinaan jambatan kedua dapat dilihat dengan mata kasar walaupun cuaca agak jerebu.

Tak cukup dengan itu, kami menggunakan perkhidmatan teropong yang disediakan. Caj RM1 dengan menggunakan syiling 50 sen dua keping. Untuk memudahkan pelancong, perkhidmatan tukaran syiling disediakan pekerja yang menjaga teropong terbabit.
Perut pula berbunyi. Bapak teringat dulu ada medan selera berhampiran stesen kereta kabel tetapi kini sudah dirobohkan. Selepas berjalan kaki di sekitar puncak bukit kami nampak seorang penjaja kacang kuda.

Niat hati untuk membeli kacang kuda untuk menggalas perut tetapi penjaja mengambil masa lama melayan sepasang pelancong dari Timur Tengah. Kagum juga penjaja yang dipercayai dari kaum India itu memperkenalkan barang jualannya dalam bahasa Arab.

Tengah-tengah tunggu giliran membeli itu, Orang Rumah Bapak perasan Astaka Medan Selera tidak jauh dari situ. Terus kami tinggalkan penjaja kacang kuda itu tanpa membeli apa-apa.

Sebagai mengembalikan nostalgia, Bapak memesan laksa Penang dan ABC. Bapak suka ABC Bukit Bendera sebab ada buah kabong dan ramuannya masih sama dengan kunjungan Bapak terakhir kira-kira 16 tahun lalu.
Saiz hidangannya laksa Penang juga besar sesuai dengan harganya RM4 semangkuk. Berdasarkan perbualan Bapak dengan peniaganya, makcik tersebut sudah mencari rezeki di puncak Bukit Bendera sejak puluhan tahun lalu.

Sebenarnya di tingkat bawah Astaka tersebut, ada Muzium Burung Hantu yang mengenakan caj kemasukan RM10 untuk dewasa. Selain itu ada juga perkhidmatan jip untuk kita menjelajah sekitar Bukit Bendera.

Namun kerana kekangan masa kerana hari itu hari Jumaat, kami segera menuruni Bukit Bendera tepat waktu tengah hari.

Thursday, September 27, 2012

Tragedi Penang : Datang ceria, pulang bertongkat

Hujung minggu lalu, Bapak sekeluarga ke Pulau Pinang,cadangnya untuk menghadiri kenduri perkahwinan rakan seuniversiti Bapak.

Kenduri itu di Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam tetapi sehari sebelum itu kami bercuti singkat di bahagian pulau.

Sempat juga memanjat Bukit Bendera, menjamah nasi kandar Line Clear, cari jeruk di Pasar Chowrasta dan lepak sambil ratah sotong kangkung dan pesembur di Padang Kota Lama.

Pagi Sabtu itu, kami mendaftar keluar dari hotel di Lebuh Penang dalam keadaan hujan baru reda.

Sebelum ke kenduri kahwin berkenaan, Bapak bercadang membawa Orang Rumah Bapak, Khalish dan Ilhan berkunjung ke Muzium Negeri Pulau Pinang, Muzium Islam Pulau Pinang dan menaiki feri menyeberang ke Butterworth dari Terminal Feri Raja Uda, Georgetown.

Namun sudah takdir Allah, semua yang dirancang selepas check out dari hotel tersebut tinggal perancangan sahaja. Sebaik sahaja membantu Khalish masuk ke perut kereta dengan Orang Rumah Bapak sudah berada di tempat duduk hadapan sambil memangku Ilhan, Bapak tergelincir jatuh ke parit.

Gara-gara permukaan jalan licin, kaki kanan Bapak termasuk ke dalam parit tersebut yang setinggi paras peha. Bapak cuba untuk bangun tetapi badan agak tidak stabil dan tambah panik apabila rasa buku lali bergerak-gerak.

Alhamdulillah ramai yang prihatin dan membantu. Sementara menunggu ambulans sampai, ada yang sudi menyediakan kerusi untuk Bapak berehat, memberi ais untuk melegakan kesakitan malah ada memberi nasihat agar tabah berhadapan dengan takdir Allah.
Pagi itu, bukan pengalaman pertama menaiki feri Pulau Pinang yang Khalish dan Ilhan rasai tetapi berada di dalam perut ambulans menemani ayahnya mendapatkan rawatan ke hospital.

Dipendekkan cerita, pemeriksaan x-ray mendapati sendi buku lali Bapak beralih dengan dua kesan patah lalu pembedahan pun dijalankan hari itu juga.

Rasa ralat niat untuk menghadiri kenduri perkahwinan rakan seuniversiti, Hafez aka Apit berakhir dengan pasangan pengantin baru itu pula yang menziarahi Bapak di hospital.

Apa pun niat untuk bertemu rakan-rakan lama terubat juga biarpun di kamar hospital. Terima kasih Minal, Asro, Mat Jemali, Jairi dan Gabuk kerana sudi menziarahi Bapak.

Terima kasih kepada Liza, mak, ayah dan suaminya, Ehsan yang banyak membantu meringankan beban Orang Rumah Bapak. Begitu juga dengan rakan-rakan lain yang prihatin sudi menziarah mahupun menelefon bertanya khabar.

Rasa bersalah juga Bapak membuat Ayah dan Mama susah hati dan bergegas ke Pulau Pinang dari Petaling Jaya sebaik sahaja mengetahui musibah ini.

Penghargaan buat  barisan doktor, jururawat dan kakitangan Hospital Pulau Pinang dan Hospital Pantai Bayan Lepas yang bertungkus-lumus memberi perkhidmatan terbaik.

Alhamdulillah Bapak kini sudah selamat pulang ke rumah di Ipoh biarpun dengan kaki bersimen dan dijangka berehat dalam tempoh tiga bulan.

Bapak redha dengan ujian Allah ini dan semoga ia mampu menjadi kifarah meringankan dosa-dosa yang lalu.. Doakan Bapak cepat sembuh.

Monday, September 3, 2012

Salam Aidilfitri 1433


Walaupun Syawal sudah memasuki hari ke-16, tak terlewat rasanya Bapak untuk mengucapkan Selamat Aidilfitri 1433. Mohon maaf zahir batin.

Tahun ni giliran kami menyambut 1 Syawal di rumah keluarga Orang Rumah Bapak di Masjid Tanah, Melaka. Oleh kerana cuti raya Bapak tidak panjang, kami beraya pula di rumah orang tua Bapak di Petaling Jaya pada raya ketiga sebelum Bapak memulakan tugas di Ipoh pada raya kelima.

Minggu lalu baru Bapak sekeluarga berkesempatan menziarahi Opah dan Pak Uda di Teluk Intan.