Friday, September 28, 2012

Bukit Bendera aka Penang Hill

Sebaik menyelusuri Jambatan Pulau Pinang, destinasi pertama yang dituju ialah Bukit Bendera.
Ini merupakan kunjungan pertama buat Khalish dan Ilhan. Malah seingat Bapak, kali terakhir Bapak ke Bukit Bendera ketika berada di tingkatan empat pada lewat 1990-an.

Waktu itu kereta kabelnya berwarna merah dan tidak silap ditarik dengan tali namun kali ini kemudahannya sudah jauh lebih moden.

Perjalanan dari stesen kaki bukit ke stesen terakhir ke puncak bukit cuma memakan masa kira-kira 5 minit sahaja.

Tiket menaiki kereta kabel bagi dewasa warganegara Malaysia ialah RM8 manakala Khalish dan Ilhan yang masing-masing berumur 3 tahun dan 2 tahun pula percuma sahaja.
Macam biasa Khalish sentiasa teruja untuk menaiki kereta kabel yang ala-ala keretapi, Ilhan pula cuma ikut-ikut abangnya tetapi sepanjang berada di dalam kereta kabel, dia yang duduk di sisi Bapak mengeraskan badan dan mukanya pucat sentiasa memandang ke puncak bukit..heheh...

Sampai ke puncak bukit, seperti pelancong lain, kami mengambil gambar berlatar belakang panorama Bukit Bendera. Panorama Pulau Pinang termasuk Komtar, Jambatan Pulau Pinang dan projek pembinaan jambatan kedua dapat dilihat dengan mata kasar walaupun cuaca agak jerebu.

Tak cukup dengan itu, kami menggunakan perkhidmatan teropong yang disediakan. Caj RM1 dengan menggunakan syiling 50 sen dua keping. Untuk memudahkan pelancong, perkhidmatan tukaran syiling disediakan pekerja yang menjaga teropong terbabit.
Perut pula berbunyi. Bapak teringat dulu ada medan selera berhampiran stesen kereta kabel tetapi kini sudah dirobohkan. Selepas berjalan kaki di sekitar puncak bukit kami nampak seorang penjaja kacang kuda.

Niat hati untuk membeli kacang kuda untuk menggalas perut tetapi penjaja mengambil masa lama melayan sepasang pelancong dari Timur Tengah. Kagum juga penjaja yang dipercayai dari kaum India itu memperkenalkan barang jualannya dalam bahasa Arab.

Tengah-tengah tunggu giliran membeli itu, Orang Rumah Bapak perasan Astaka Medan Selera tidak jauh dari situ. Terus kami tinggalkan penjaja kacang kuda itu tanpa membeli apa-apa.

Sebagai mengembalikan nostalgia, Bapak memesan laksa Penang dan ABC. Bapak suka ABC Bukit Bendera sebab ada buah kabong dan ramuannya masih sama dengan kunjungan Bapak terakhir kira-kira 16 tahun lalu.
Saiz hidangannya laksa Penang juga besar sesuai dengan harganya RM4 semangkuk. Berdasarkan perbualan Bapak dengan peniaganya, makcik tersebut sudah mencari rezeki di puncak Bukit Bendera sejak puluhan tahun lalu.

Sebenarnya di tingkat bawah Astaka tersebut, ada Muzium Burung Hantu yang mengenakan caj kemasukan RM10 untuk dewasa. Selain itu ada juga perkhidmatan jip untuk kita menjelajah sekitar Bukit Bendera.

Namun kerana kekangan masa kerana hari itu hari Jumaat, kami segera menuruni Bukit Bendera tepat waktu tengah hari.

2 comments: