Sunday, July 17, 2011

Tanda Ramadan semakin hampir

Semalam, Bapak menemani Orang Rumah Bapak menempah baju raya. Habis Khalish dan Ilhan turut diangkut bersama.

Di Ipoh, kami tiada tukang jahit khas, biasanya Orang Rumah Bapak menempah baju di Pasar Besar Ipoh. Senang, lepas habis urusan dengan tukang jahit, kami terus masuk ke dalam pasar, beli ikan dan barang basah..heheh...

Ini kali pertama Ilhan masuk pasar, bulat matanya menumpukan perhatian kepada objek yang pertama kali dilihat. Khalish dulu semasa belum beradik, pernah beberapa kali di bawa semasa kami memberi barang keperluan di Pasar Besar Ipoh yang dahulunya juga lokasi Super Kinta.

Tapi biasanya Bapak pergi sendiri ke pasar, Orang Rumah Bapak tunggu sahaja di rumah. Itu budaya ayah dan ayah mertua yang menurun ke Bapak...

Cerita pasal tempah baju raya maksudnya tak lama lagi nak puasa. Bulan Ramadan kali ini agak berbeza kerana ayah mertua dan mak mertua bercadang untuk menunaikan umrah sebulan sepanjang bulan puasa.

Insyaallah kami akan menghantar mereka di KLIA pada 28 Jun ini.... Ayah mertua dan mak mertua dijadual pulang ke tanah air pada 2 Syawal.

Friday, July 15, 2011

Tersilap jersi..heheh



Apa yang diorang mengarut ni..? heheh...

Tuesday, July 12, 2011

Dah tahu conteng, padamlah sendiri

Dah namanya budak-budak, Khalish sejak berumur setahun memang suka menconteng. Pantang nampak pensil, pen dan krayon, mulalah dia melakar lukisan abstrak.

Macam biasa, permukaan yang paling disukai ialah dinding dan lantai. Apa pun Bapak dan Orang Rumah Bapak cuba mendisiplinkan dia. Selain sentiasa melakukan pemantauan, kami berikan Khalish kertas untuk menconteng.

Contenglah semahu-mahunya. Berapa banyak pun kertas dia nak, kami sediakan. Kami juga sentiasa memastikan semua alat tulis diletakkan ditempat tinggi, jauh daripada jangkauan Khalish.

Ada juga Orang Rumah Bapak ajar Khalish menulis terutamanya abjad dan nombor tetapi selepas siap ditulis, kertas terbabit diconteng juga dengan lukisan abstraknya.

Malam tadi selepas solat Maghrib, tengah Bapak menidurkan Ilhan di bilik belakang dan Orang Rumah Bapak sibuk di dapur menyediakan juadah makan malam, Khalish memasang niat 'berkarya'.

Entah dari mana dia dapat pen pun tak tahu (rasanya Orang Rumah Bapak sepahkan ke lantai lepas buat menu mingguan kot...). Bapak perasan Khalish asyik menconteng dinding betul-betul berhadapan dengan bilik tidur Ilhan semasa membuka pintu bilik itu setelah adik Khalish benar-benar nyenyak tidur.

"Khalish buat apa tu?, bak!," tegur Bapak sambil meminta pen yang sedang dipegang Khalish.

Khalish terkejut, sejurus menyerahkan pen ke tangan Bapak, dia cepat berlari ke satu sudut dan mengambil permainannya yang berbentuk dadu diperbuat daripada span dan kain.

Cepat-cepat dia menggesel-geselkan dadu itu ke dinding seolah-olah mahu memadamkan contengannya itu.

Itu bukan pemadam, itu dadu...tak tahu nak gelak ke apa...hehehe...

Monday, July 11, 2011

Rasionalisasi Susu Khalish

Tak seperti Ilhan yang mendapat susu ibu sepenuhnya, Khalish bergantung kepada susu formula. Sejarahnya pernah Bapak ceritakan dalam Susu Ibu vs Susu Formula.

Sekarang Khalish sudah berusia dua tahun dua bulan dan berada dalam tahap ketiga susu formula.

Memang sejak awal perkahwinan, Bapak merancang memastikan semua anak-anak Bapak mendapat bekalan susu sepenuhnya secara berkala sehingga berumur sekurang-kurangnya lima tahun.

Dua tahun pertama dengan susu ibu sepenuhnya (dalam kes Khalish, terpaksa mendapat bantuan susu formula). Kemudian bertukar kepada susu formula tahap ketiga sehingga berumur tiga tahun dan selepas itu susu formula tahap terakhir.

Jenama susu formula tersebut telah dipilih. Namun Bapak perhatikan harganya semakin lama semakin meningkat. Mula-mula Bapak pejamkan mata sahaja tetapi makin dibiarkan, makin 'melampau' pula dengan alasan kenaikannya terlalu remeh.

Awal bulan ini, pengeluar susu jenama yang Khalish minum itu telah menambah baik nutrisinya daripada 4 kali DHA kepada 5 kali DHA. Walaupun kenaikan cuma sekali ganda, namun kenaikannya hampir menjangkau RM10. Rasanya berbaloi tak?

Kami sedar jenama susu formula itu bukanlah satu-satu pilihan yang ada di pasaran biarpun ia bukan barang kawalan.

Daripada sakit emosi berpendirian seperti segelintir rakyat negara ini gemar menyalahkan kerajaan setiap kali berlaku kenaikan harga barangan macamlah Malaysia sebuah negara berpaksikan sistem ekonomi sosialis, baiklah kami gunakan kuasa pengguna.

Bukan apa Bapak berpendapat apabila berlaku kenaikan harga tidak munasabah, yang perlu lebih 'ditekan' dan diberi 'pengajaran' ialah pengeluar (sektor swasta) barulah kena dengan konsep permintaan dan penawaran yang diamalkan dalam sistem ekonomi negara ini.

Kerajaan pula perlu dipastikan bertegas sebagai agen periksa dan imbang sistem pasaran dengan peruntukan sedia ada seperti Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2010.

Pembelian susu jenama tersebut dihentikan dan digantikan dengan susu formula jenama lain tak kurang khasiatnya yang difikirkan pengganti terbaik dan sesuai untuk Khalish.

Alhamdulillah Khalish setakat ini tiada masalah dengan penukaran jenama susu formulanya...

Sunday, July 10, 2011

Selera besar Ilhan

Ilhan yang kini sudah berusia 8 bulan makin lama makin aktif. Setiap hari hampir semua bahagian rumah tak terkecuali dapur ditawafnya.

Kalau dulu setiap petang, kepulangan Bapak dari pejabat disambut Khalish sahaja, sekarang Ilhan pun dah sertai sama. Sambil meniarap serapat mungkin ke jerigi besi sliding door, dia akan menunggu Bapak sambil tersengih-sengih.


Kadang-kala, Ilhan bangun awal menghantar Bapak untuk ke pejabat. Dia melihat Bapak memandu kereta keluar dari pagar rumah dari dalam rumah sambil terpinga-pinga.

Ilhan juga sudah pandai bermain di kawasan tangga. Setiap kali pintu pagar tangga di buka, dia akan bermain-main membuka tutup pintu pagar itu seakan-akan memberi isyarat mahu memanjat anak tangga tersebut bila masanya sampai..heheh

Mulutnya sentiasa nganga mahu merasa makanan yang sedang dimakan ayah, ibu dan abangnya walaupun baru lepas makan bubur, biskut dan minum susu. Banyak kali juga dia cuba merampas makanan yang sedang berada di tangan kami.

Pernah sekali dia cuba minum susu kotak Dutch Lady perasa strawbery yang ditinggalkan sementara Khalish di atas sofa. Nasib baik cepat perasan, ewah macam tahu hisap pakai straw je Ilhan ni kan..hehhe

Bubur Ilhan agak istimewa berbanding Khalish dulu yang kebanyakan bubur nasi bercampur lobak merah, kentang dan serbuk ikan bilis.

Ilhan lebih gemar makan bubur bercampur brokoli, bayam, epal, ayam, daging, jagung, oat dan pisang.

Peel Ilhan yang akan memasukkan apa sahaja objek yang dijumpai ke dalam mulut juga membuatkan kelibatnya sentiasa perlu diperhatikan. Banyak kali juga dia cuba masukkan tisu dan keratan surat khabar ke dalam mulut...

Wednesday, July 6, 2011

Pengalaman menaiki bas awam Ipoh

Ini cerita pertengahan bulan lepas semasa Bapak tiada kenderaan ekoran kereta masuk bengkel selepas peristiwa Patah Kaki.

Bapak terkenang semula selepas melihat beberapa koleksi foto yang diambil pada hari terakhir sebelum kereta Bapak siap diperbaiki.

Hari itu Bapak perlu bekerja setelah off dan bercuti beberapa hari. Niat hati nak tumpang kereta kawan tetapi kebetulan mereka yang tinggal berhampiran rumah Bapak bercuti pula pada hari itu.

Mahu tak mahu Bapak perlu ke pejabat dengan menaiki menggunakan pengangkutan awam. Untuk ke perhentian bas terdekat, Bapak perlu berjalan kaki kira-kira 5 kilometer.

Berpeluh juga, sepanjang perjalanan Bapak cuba kalih perasaan letih dan bosan dengan memerhati sekeliling. Antaranya perkembangan kompleks membeli-belah Mydin dan Terminal Bas Ipoh yang sedang dalam pembinaan.

Dipendekkan cerita, sampailah Bapak di perhentian bas. Kebetulan sudah ada sebuah bas menunggu. Mulanya Bapak teragak-agak juga nak melangkah masuk ke dalam perut bas. Pemandunya sedang nyenyak tidur, siap berdengkur di kerusi pemandu.

Ada beberapa penumpang lain yang bukan warganegara sedia berada di dalam bas. Bapak perhati persekitaran bas agak bersih. Di dinding bas itu tertampal juga beberapa poster yang dicetak menggunakan kertas A4.

Antaranya info tambang bas, foto pemandu berkaraoke, makan durian dan melawat MSAM. Ada juga iklan pemandu menawarkan perkhidmatan sistem audio terutamanya untuk kenduri kahwin.

Bas yang Bapak naiki itu saling tak ubah seperti dalam filem 'Masam-Masam Manis' yang diterbitkan lebih 40 tahun lalu dan tidak berhawa dingin.

Selang 15 minit kemudian sampai sebuah bas lain yang kemudiannya berhenti di belakang bas terbabit. Seorang konduktor bas memasuki bas lalu mengejutkan pemandu yang sedang tidur tadi.

"Sori, hilangkan mengantuk sekejap. Malam-malam saya ada bisnes buka kedai makan," kata pemandu bas tadi memberi alasan.

Beberapa minit kemudian baru bas bergerak, itupun perlahan-lahan. Tanpa hiburan radio, Bapak tak berapa beri perhatian kepada panorama di luar sebab ia dilihat Bapak hampir hari-hari sejak 3 tahun lalu.

Hanya selepas sebuah bas dari syarikat lain yang berjalan di laluan hampir sama cuba memotong bas yang dinaiki Bapak, barulah pemandu melajukan sedikit kenderaannya. Tidak mahu kehilangan pelanggan yang sedia menunggu di beberapa perhentian bas di hadapan agaknya.

Akhirnya apabila sampai di destinasi, Bapak menekan lonceng dan membayar tambang RM1.60 sebelum turun dari bas tersebut.

Itulah sistem pengangkutan awam Ipoh. Khabarnya ada janji-janji manis, ia akan berubah kepada lebih baik dan selesa setelah Ipoh Sentral siap pertengahan tahun depan. Kita tengok sahajalah...

Bapak berfutsal

Terus-terang cakap, sejak berpindah ke Ipoh kira-kira 5 tahun lalu, Bapak jarang bermain sukan kegemaran, futsal. Sebabnya tak payah cerita, kalau nak beri alasan seribu pun boleh..heheh...

Peluang untuk kembali berfutsal hujung minggu lalu tidak dilepaskan Bapak walaupun dalam keadaan fizikal yang sudah jauh berubah daripada mula-mula berpindah ke Ipoh dulu..heheh..

Lokasinya di padang Taman DR Seenivasagam. Main enam sebelah dengan seorang pemain perempuan diwajibkan beraksi bagi setiap perlawanan. Menariknya setiap pasukan menerima jersi original percuma menerusi cabutan.

Mungkin ada konspirasi, pasukan Bapak 'tercabut' jersi Arsenal. Mahu tak mahu terpaksalah Bapak yang digelar kawan-kawan sebagai Alex Ferguson ni pakai...

Apabila turun gelanggang, Bapak perasan banyak yang telah 'hilang' terutamanya skil dan stamina biarpun banyak berfungsi sebagai pemain pertahanan (faktor jersi kot...heheh).

Dipendekkan cerita, kemaraan pasukan Bapak disekat di peringkat separuh akhir menerusi tendangan penalti.

Penentuan tempat ketiga dan keempat pun ditentukan menerusi tendangan penalti. Masa itu Bapak tawar diri jadi penjaga gol. Entah macam mana Bapak dapat selamatkan semua tendangan penalti diambil pihak lawan dan dapatlah kami tempat ketiga.

Tuesday, July 5, 2011

Lepas dari mulut Taiwan, nanti Singapura di pusingan kedua

Malaysia bernasib baik mara ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia mengatasi Taiwan berdasarkan peraturan gol di tempat lawan setelah seri agregat 4-4.

Mungkin beberapa keputusan pengadil seperti memberi tiga penalti kepada Taiwan dan mudah melayangkan kad kuning kepada pemain negara namun sebaliknya sekiranya kesalahan dilakukan pemain Taiwan boleh dipertikai.

Namun tidak dapat dinafikan kemenangan Taiwan tersebut berpunca daripada kepincangan barisan negara juga.

Tak banyak perubahan corak permainan barisan pertahanan diperbaiki daripada perlawanan pertama biarpun agak cemerlang pada permulaan. Namun setelah diasak bertalu-talu, mereka mula panik, permainan jadi tidak teratur dan 'clearing' juga berterabur. Mereka juga melakukan kesilapan mudah.

Barisan tengah juga kurang mengcengkam hingga membiarkan posisi itu dikuasai pemain Taiwan. Mereka dibiarkan bebas melakukan hantaran-hantaran lintang yang menghasilkan beberapa percubaan berbahaya.

Tanpa sokongan daripada barisan tengah dan tidak berada dalam prestasi terbaik, barisan serangan, Norshahrul Idhan dan Abdul Hadi tidak menyengat.

Nasib baik ada pemain lain selain penyerang mampu menjaringkan gol, terima kasih Safiq Rahim dan Aidil Zaquan yang menjaringkan gol bertaraf dunia.

Kredit juga harus diberikan kepada penjaga gol, Sharbinee Allawee yang cemerlang mengawal gawang daripada lebih banyak dibocori pemain Taiwan.

Apapun syukur kita sudah mara di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun.

Jadikan tiga perlawanan persahabatan dengan Liverpool, Arsenal dan Chelsea pertengahan bulan ini sebagai medan latihan terbaik untuk memperbaiki kelemahan sebelum turun menentang Singapura pada hujung bulan ini.

Friday, July 1, 2011

Adat Menjulang, Baju Melaka, Sanggul Lintang & Bunga Api

Hujung minggu lepas, kami menghadiri majlis perkahwinan sepupu Orang Rumah Bapak, Hajar di Lubok China, Melaka.

Malam Sabtu selepas solat Isyak, kami bergerak ke sana dari rumah mertua untuk menghadiri majlis Berinai Besar pasangan tersebut.

Teringat majlis Berinai Besar Bapak dan Orang Rumah Bapak tiga tahun lepas, kami pun pakai busana yang dinamakan baju Melaka dan diarak dengan iringan dentuman bunga api dan mercun.

Bezanya Hajar dan suami kena melalui adat menjulang; mereka diangkat oleh lebih kurang enam lelaki setelah duduk di kerusi seperti lanca yang diperbuat daripada besi dan rotan. Pada zaman itu, ia diperbuat daripada buluh.

Mak mertua beritahu kami tak 'dijulang' kerana bukan adat keluarganya yang digelar Melaka Pantai. Mak cakap keluarga Mak Chow (kakak sulung Mak Mertua) duduk di sempadan Melaka dan Negeri Sembilan yang banyak dipengaruhi adat Perpatih.

Bapak perhatikan ada seorang lelaki pertengahan usia pekat loghat Nogorinya yang digelar Buapak ligat memberi arahan tentang adat-istiadat pada malam itu.

Orang Rumah Bapak juga tidak bersanggul lintang seperti Hajar pada majlis Berinai Besar tersebut.

Tak dapat dibayangkan berapa orang diperlukan jika kami (terutamanya Bapak..hehe) perlu 'dijulang' dan berpeluhnya Orang Rumah memakai sanggul lintang seberat 3 kg di atas tudung kepala..hehhe...

Pada malam sama, Abang Ngah dan Kak Ngah (abang Hajar) turut mengadakan majlis akikah dan cukur jambul anak sulung mereka, Iman yang sebaya dengan Ilhan.

Esoknya, selepas menghadiri majlis persandingan Hajar, kami pulang semula ke Ipoh.