Thursday, February 17, 2011

Kuning & Biru

Pada penghujung tahun lalu, Bapak menukar talian telekomunikasi pascabayar telefon bimbit daripada 'Biru' kepada 'Kuning'.

Saja mahu beralih angin setelah 10 tahun setia dengan 'Biru'.

Februari adalah bulan pertama Bapak perlu membayar bil telefon yang menggunakan talian 'Kuning'.

Pagi tadi, pergilah Bapak ke pusat perkhidmatan 'Kuning' yang letaknya bersebelahan dengan pusat perkhidmatan 'Biru'.

Seperti di 'Biru', Bapak juga mahu membayar bil dengan menggunakan mesin pembayaran automatik.

Berkali-kali ditekan-tekan skrin sesentuh mesin pembayaran automatik tersebut namun gagal berfungsi walaupun tidak rosak ataupun tergendala.

Nasib baik datang seorang pengawal keselamatan separuh usia mahu membantu.

"Bukan tekan cam tu dik, lentikkan sedikit jari tu," jelasnya sambil menunjukkan aksi jari lentiknya pada skrin sesentuh tersebut.

Kemudian Bapak mengikut saranannya walaupun hati nak tergelak melihat aksi 'jari lentik' sendiri.

Tak sampai dua saat, not duit kertas terakhir memasuki perut mesin pembayaran automatik itu, 'Kuning' terus menghantar SMS mengesahkan pembayaran bil sudah diterima.

Kagum juga dengan kepantasan memberi respons kerana dengan 'Biru' dulu biasanya paling cepat 2 minit.

Begitupun urusan Bapak tak selesai kerana resit bukti pembayaran pula tak keluar.

Kalau ikutkan hati nak blah sahaja tetapi pak Guard tadi minta Bapak tunggu sebentar kerana resit akan keluar dari perut mesin pembayaran automatik itu setelah pelanggan kedua selesai berurusniaga.

Biarpun pelik, Bapak layan dan tunggu memandangkan telah ada seorang pelanggan lain menunggu di belakang.

Sambil menunggu pelanggan itu mengurus bilnya, Bapak membaca senaskhah surat khabar berbahasa Inggeris yang diedarkan secara percuma di situ.

"Ha, ini resit encik, ini pula resit encik (pelanggan kedua," kata Pak Guard terbabit sambil menghulurkan resit kepada kami berdua.

Dengan penuh kehairanan, Bapak dan pelanggan kedua yang juga seorang lelaki hampir sebaya dengan Bapak saling berpandangan.

Kami ketawa serentak!hehehe...

Friday, February 4, 2011

Tribute to Gary Neville...

LONDON - Bekas kapten Manchester United, Gary Neville akhirnya mengumumkan persaraannya kelmarin.

Selepas 20 tahun mengabdikan diri sebagai pemain bola sepak, Neville yang bakal menjangkau usia 36 tahun pada 18 Februari ini, kini bukan lagi milik United.

Bersama-sama David Beckham, Ryan Giggs, Paul Scholes, Nicky Butt dan adiknya, Phil Neville, Neville memulakan kariernya ketika membantu Akademi United menjuarai Piala FA Remaja pada 1992.

Sejak itu, Neville menandatangani kontrak untuk beraksi bersama skuad The Red Devils pada Julai 1991.

Sepanjang beraksi bersama United, Neville telah membuat penampilan sebanyak 602 perlawanan.

Dia telah memenangi lapan trofi Liga Perdana England, tiga kejuaraan Piala FA, dua gelaran Piala Liga dan masing-masing satu dalam Piala Antara Benua serta Kelab-Kelab Dunia.

Neville pada awalnya mampu menjulang lebih banyak kejuaraan bersama United, namun terpaksa bergelut dengan masalah kecederaan yang berpanjangan yang mana menyaksi- kan dia hanya beraksi seba- nyak 31 perlawanan sepanjang empat musim sebelum ini.

"Saya telah menjadi penyokong setia United sepanjang hidup saya dan telah memenuhi segala impian yang pernah saya idamkan sebelum ini.

"Saya sebenarnya sangat kecewa kerana karier saya sebagai pemain bola sepak sudah berada di penghujung.

"Namun saya perlu menerima hakikat bahawa ia pasti akan menjelma juga suatu hari nanti.

"Bagi saya, kini adalah masa yang paling sesuai untuk saya mengumumkan persaraan.

"Saya telah beraksi bersama sebuah kelab yang menakjubkan yang dibarisi pemain-pemain terbaik dunia.

"Saya sangat bertuah kerana menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan melakarkan pelbagai kejayaan dan hasilnya, United kini dilabel sebagai salah sebuah kelab terbaik dunia," jelas Neville.

Selain beraksi bersama United, Neville juga antara tonggak utama skuad kebangsaan England.

Neville membuat penampilan bersama skuad Three Lions sebanyak 85 kali.

"Neville merupakan contoh terbaik kepada pemain-pemain muda ketika ini yang mana dia sentiasa bekerja keras, setia dan bijak.

"Sebagai pemain serta penyokong sejati United, dia telah melalui karier yang menakjubkan di Old Trafford," kata pengurus United, Alex Ferguson. - AP