Tuesday, November 9, 2010

Detik indah itu...

Bapak nak coretkan detik-detik Orang Rumah Bapak melahirkan anak kedua kami untuk kenangan peribadi. Sesungguhnya ia adalah memori indah yang kekal sehingga ke akhir hayat.

Selepas menghantar Orang Rumah Bapak ke dalam wad pada kira-kira 10 pagi 26 Oktober, Bapak pulang ke rumah sebentar untuk membersihkan diri dan menguruskan Khalish.

Selepas itu dua kali Bapak menjenguk Orang Rumah Bapak di wad pada sebelah tengah hari dan petang. Menurut doktor, Orang Rumah Bapak dijangka akan melahirkan pada lewat malam atau awal pagi.

Oleh itu, hanya selepas menidurkan Khalish pada kira-kira 10 malam baru Bapak kembali semula ke hospital. Mula-mula Bapak ke kaunter pendaftaran untuk menguruskan pembayaran deposit yang tertunggak sebelum ini.

Kemudian Bapak menunggu bersama bakal bapa lain di ruang menunggu di Dewan Bersalin. Oleh kerana agak mengantuk, Bapak tidur sebentar di surau berhampiran.

Pada kira-kira 2.30 pagi, Orang Rumah Bapak menghantar SMS yang mengatakan beliau akan dimasukkan ke bilik bersalin pada bila-bila masa kerana bukaan sudah 3 cm.

Bapak terus bangun daripada tidur dan kembali semula di ruang menunggu. Sejam kemudian baru Bapak dipanggil masuk oleh jururawat bertugas.

Sebelum masuk Bapak diminta memakai pakaian berwarna putih ala baju doktor dan membasuh tangan dengan antiseptik.

Apabila sampai di bilik bersalin terbabit, Bapak nampak Orang Rumah Bapak sedang berbaring sambil menahan kesakitan. Sepanjang berada di bilik tersebut, Bapak asyik mengenggam tangan Orang Rumah Bapak dan memintanya bersabar sambil berzikir.

Beberapa kali Bapak diminta keluar sebentar dari bilik bersalin semasa doktor dan bidan memeriksa Orang Rumah Bapak.

Pada kira-kira 6 pagi, Bapak keluar dari bilik bersalin terbabit untuk solat Subuh. Ketika itu bukaan sudah hampir 5 cm.

Di dalam surau, Bapak terlena sebentar di atas sejadah sesudah berdoa. Sedar-sedar sudah 6.30 pagi, Bapak segera ke kaunter jururawat untuk meminta izin memasuki bilik bersalin semula.

Namun tidak dibenarkan kerana jadual Orang Rumah Bapak diperiksa doktor agak hampir dan dicadangkan untuk memasuki semula bilik bersalin selepas pukul 7 pagi.

Bapak kembali di ruang menunggu sambil melihat papan kenyataan elektronik yang memaparkan status bakal ibu yang berada di Dewan Bersalin.

Hampir pukul 7 pagi, seorang bidan bergopoh-gapah memanggil Bapak, katanya Orang Rumah Bapak hampir bersalin.

Sebaik sahaja memakai baju khas dan mencuci tangan, Bapak meluru ke bilik bersalin yang menempatkan Orang Rumah Bapak.

Pada masa itu Orang Rumah Bapak sedang meneran. Bapak diminta oleh bidan dan jururawat untuk memangku kepala dan menahan lengan Orang Rumah Bapak.

Sambil menggigit kuat selimut, Orang Rumah Bapak mengeluarkan seluruh tenaga meneran semahu-mahunya. Ada sedikit percikan air mata di matanya membuatkan Bapak sayu...

Sambil terus memangku kepala dan menahan lengan Orang Rumah Bapak, jantung Bapak berdegup deras pada masa itu dan terdiam seribu bahasa melihat sendiri proses kelahiran.

Panik sebentar Bapak apabila melihat sebahagian kepala bayi sudah mula keluar dan diminta oleh bidan untuk memimpin tangan Orang Rumah Bapak agar dapat memegang sedikit rambut bayi. Ia bertujuan untuk menguatkan lagi semangat Orang Rumah Bapak untuk melalui proses itu.

Akhirnya pada 7.11 pagi, proses kelahiran selesai. Alhamdulillah kelahiran kali ini berlaku secara normal.
Sejurus diangkat bidan, terpaku Bapak melihat rambut dan raut mukanya tak ubah Khalish masa dilahirkan. Anak lelaki itu kemudiannya diletakkan di dada Orang Rumah Bapak. Dia mula menangis namun tangisannya tidak sekuat dan senyaring Khalish dulu..

Salah seorang jururawat meminta Bapak mengazankan bayi kami, Bapak yang blur sebentar terus mengikut permintaan itu...

Kemudian Bapak diminta keluar dari bilik bersalin dan menunggu semula di ruang menunggu sehingga dipanggil. Di papan kenyataan elektronik sudah tertera status Orang Rumah Bapak sudah bersalin.

Bapak terus menghubungi Mak Mertua, Mama dan adik ipar, Azam untuk memberitahu berita gembira itu.
Kira-kira 8.30 pagi, Bapak dipanggil seorang jururawat Cina untuk mengazan anak kedua. Bapak terus mengambil wuduk sebelum mengikut jururawat tersebut.

Pengalaman bersama Khalish menyebabkan Bapak kurang kekok memegang bayi baru dan setelah berada menghadap kiblat, azan dilaungkan ke telinganya. Mata berkelip-kelip seolah memandang sesuatu, saling tak ubah seperti Khalish dulu...

Pada pukul 10.30 pagi baru Orang Rumah Bapak dan bayi dibenarkan keluar dari bilik bersalin dan Bapak menemani mereka hingga ke wad.

6 comments:

  1. tahniah bapak...comel! seronok la khalish dapat adik bru...

    sape name baby tu?

    ReplyDelete
  2. Cik Panadol,

    nama adik Khalish nanti Bapak bagitau...hehehe

    ReplyDelete
  3. selalu baca pengalaman ibu2 je masa melahirkan anak, ni entry dari si suami masa temankan isteri melahirkan anak..rasa terharu pulak tiba2..mesti pengalaman yg tak kan bapak lupa sampai bila2 kan..kenangan terindah ;)

    hee..adik khalish mmg comel sangat!

    ReplyDelete
  4. Erina,

    memang pengalaman yg abadi sepanjang hayat...

    ReplyDelete
  5. sebak baca cerita bapak nih... bertapa kuat nya semangat seorg ibu.... tahniah bapak...pengalaman berharga tu

    ReplyDelete
  6. Cik Bedah,

    memang semangat seorang ibu tak terbanding...

    ReplyDelete