Monday, November 8, 2010

Alkisah menanam uri

Dalam empat adik-beradik, Bapak dan adik kedua, Wan adalah individu kidal sementara adik ketiga dan keempat menggunakan tangan kanan. Malah generasi pertama dan kedua keluarga kami tiada yang kidal.

Ada kepercayaan mengatakan Bapak dan Wan menjadi individu kidal kerana semasa uri kami hendak ditanam, tangan kiri digunakan untuk memasukkan uri tersebut ke dalam tanah.

Antara yang kuat mempercayainya ialah Mama dan Opah. (walaupun dakwaan tak semestinya benar kerana mereka berdua tidak melihat proses menanam uri Bapak dan Wan)

Ayah pula yang merupakan individu bertanggungjawab menanam kedua-dua uri itu sehingga hari ini tidak pernah mengiya atau menidakkan dakwaan tersebut yang diketahui asal-usulnya..

Apapun Bapak masih ingat semasa adik ketiga, Siddiq dan adik bongsu, Amira lahir Mama dan Opah kerap mengingatkan agar uri kedua-dua adik terbabit ditanam dengan tangan kanan.

Berbalik kepada Bapak, sebelum kelahiran anak kedua, Bapak tak punyai pengalaman langsung menguruskan uri.
Semasa Khalish lahir di Melaka kira-kira setahun setengah lalu, proses membasuh dan menanam uri diuruskan ayah mertua Bapak.

Sepatutnya Nenek (nenek Orang Rumah Bapak) yang menguruskan uri berkenaan tetapi oleh kerana Bapak pulang dari hospital agak lewat malam (Khalish dilahirkan lewat petang), uri itu disimpan sementara di dalam peti sejuk sementara menunggu untuk diuruskan selepas Subuh.

Namun pada kira-kira 6.30 pagi, Bapak yang keluar dari bilik sejurus solat Subuh mendapati uri Khalish telah siap ditanam ayah mertua Bapak.

"Dah siap, Ayah dah tanam dekat pokok bunga kertas depan rumah lepas Subuh tadi," kata ayah mertua Bapak selamba.

Tak pasti pula ayah mertua Bapak tanam uri tu dengan tangan kanan ke kiri...(tak tergamak juga nak tanya..heheh).

Namun setelah Khalish berumur setahun nampak kecenderungannya lebih kepada tangan kanan.

Apabila anak kedua Bapak dilahirkan di Ipoh, mahu tak mahu Bapak uruskan sendiri uri dia.

Akibat asyik tertangguh (anak kedua Bapak lahir lima hari daripada tarikh jangkaan), pada hari dia dilahirkan baru Bapak terhengeh-hengeh mencari bahan-bahan untuk membersih dan menanam uri.

Garam kasar, asam keping, limau nipis sudah ada namun untuk membeli kain putih Bapak ke Riamoda, Greentown. Mahu tak mahu kena beli semeter kain putih setelah permintaan untuk membeli kurang daripada kuantiti itu tidak dapat dipenuhi...
Lubang dikorek di depan rumah betul-betul bersebelahan susur keluar ke Lebuh raya Utara-Selatan.

Bapak pernah dengar ada yang menanam uri dalam belanga tanah, ada yang menanam bersama-sama pensel dan buku, malah diletakkan pelita di atas 'kuburan' uri tersebut selama tujuh malam...

Namun Bapak tak buat semua tu, tak perlu kot...heheh

No comments:

Post a Comment