Sunday, October 31, 2010

Lahirnya permata kedua kami

Alhamdulillah Orang Rumah Bapak telah selamat melahirkan anak kedua kami pada 27 Oktober lalu setelah lebih 27 jam dimasukkan ke hospital.

Bayi kami yang seberat 3.3 kg dilahirkan secara normal pada 7.11 pagi. Sebelum itu Orang Rumah Bapak mula dihantar ke dewan bersalin dari wad pada kira-kira 2.30 pagi.

Syukur kali ini Bapak dapat menemankan Orang Rumah Bapak sewaktu saat-saat melahirkan di bilik bersalin. Pengalaman pertama yang berharga dan bererti. (Khalish dulu dilahirkan secara pembedahan cesarean).

Alhamdulillah keadaan ibu dan bayi sihat. Selepas sehari berada di wad, mereka dibenarkan keluar. Kini Orang Rumah Bapak dan bayi kedua kami dalam proses untuk berpantang di Melaka, Khalish pun akan turut serta.

Tuesday, October 26, 2010

Saatnya makin hampir...

Sejak Jumaat lalu, mak mertua Bapak sampai dari Melaka. Mulanya datang dengan ayah mertua dan adik ipar bongsu, Umai dengan menaiki ETS dari Seremban.

Keesokan harinya, ayah mertua dan Umai pulang semula ke Melaka dengan menaiki ETS juga. Ayah mertua masih ada kantin yang perlu diuruskan, Umai biarpun sudah menjalani PMR, masih perlu bersekolah.

Mulai Sabtu juga, Orang Rumah Bapak tidur bertemankan mak mertua Bapak di tingkat bawah sementara Bapak menemani Khalish di bilik tidur utama di tingkat atas.

Tanda-tanda nak bersalin semakin lama semakin kerap mendatangi Orang Rumah Bapak. Bermula 8.30 malam semalam, beliau asyik mengira tempoh kontraksi.

Awal pagi tadi kira-kira 2.30 pagi, lena Bapak dikejutkan mak mertua. Katanya sakit nak bersalin Orang Rumah Bapak semakin kuat. Bapak cepat-cepat turun ke tingkat bawah sambil mendukung Khalish yang sedang nyenyak tidur.

Sudahnya 4 pagi, Orang Rumah Bapak meminta untuk dihantar ke hospital. Seraya Bapak menghidupkan enjin kereta, Khalish tiba-tiba bangun dan terus meluru ke sliding door.

Cepat-cepat Bapak mendukung dia dan membawa masuk semula ke dalam rumah, Khalish merengek, seolah-olah tahu hendak ditinggalkan.

Setelah memujuk Khalish yang kemudiannya ditinggalkan kepada neneknya untuk dijaga, Bapak membawa Orang Rumah Bapak ke hospital.

Perjalanan ke hospital sejauh kira-kira 10 km agak tenang kerana jalan legang pada awal pagi.

Sampai di hospital, Orang Rumah Bapak segera diperiksa sementara Bapak diminta jururawat untuk membuat pendaftaran. Bapak berjalan kaki hampir 2 km ke satu-satu kaunter pendaftaran yang dibuka pada awal pagi itu.

Oleh kerana wang tunai dalam tangan tidak mencukupi, Bapak ke mesin ATM berdekatan tapi malangnya semuanya sama ada tidak berfungsi atau kering kantungnya.

Mahu tak mahu Bapak menawarkan untuk membayar deposit dengan kad debit ataupun kad kredit tapi kedua-duanya ditolak.

"Kalau tak da cash, nanti-nantilah bayar Encik," katanya kakitangan di kaunter pendaftaran itu ringkas sambil menyiapkan dokumentasi.

Sampai semula di Wad Bersalin, Orang Rumah Bapak masih di dalam dan Bapak cuma dibenarkan menanti di ruang menunggu bersama beberapa bakal bapa lain yang sedia ada di situ sekian lama.

Tunggu punya tunggu Subuh pun masuk, nasib baik surau disediakan di dalam ruang menunggu. Akhirnya, pukul 10 pagi, baru Bapak dimaklumkan Orang Rumah Bapak akan dimasukkan ke wad bagi menunggu saat kelahiran.
Selepas menghantar Orang Rumah Bapak ke dalam wad, Bapak pulang ke rumah sebentar untuk membersihkan diri dan menjenguk Khalish.

Ya Allah, permudahkanlah kelahiran ini dan aku mohon Kau lindungilah keselamatan isteri dan anakku...

Tuesday, October 19, 2010

Susu Ibu vs Susu Formula

Semasa menunggu kelahiran Khalish dulu, Bapak dan Orang Rumah Bapak berazam untuk memberi anak sulung kami ini dengan susu ibu sepenuhnya.

Malah botol susu langsung tiada dalam senarai barangan kelengkapan menyambut Khalish.

Namun kita merancang, perancangan Allah lebih baik. Sejurus Khalish dilahirkan, setitik susu ibupun gagal dikeluarkan Orang Rumah Bapak.

Rasa nak mengalir air mata melihat Khalish bersungguh-sungguh cuba menghisap areola tapi susu tak keluar-keluar... Akhirnya mahu tak mahu Khalish diberi susu formula oleh pihak hospital.

Menurut doktor pakar bidan, senario susu ibu tak keluar sejurus kelahiran itu mungkin berpunca daripada kelahiran menerusi cesarean yang dialami Khalish dan biasanya ia akan normal (susu ibu akan keluar) selepas dua hari bersalin.

Memang susu ibu Orang Rumah Bapak keluar pada lewat hari kedua kelahiran tetapi ia tidak begitu memberansangkan biarpun dibantu penggunaan pam susu manual.

Khalish cuma menerima susu ibu selama kira-kira dua minggu sahaja. Susu ibu kering begitu sahaja selepas itu walaupun pelbagai usaha telah dibuat...Terpaksalah susu formula menjadi alternatif.

Setelah meminta pandangan doktor bayi dan pakar farmasi, Bapak memilih Enfa. Bermula dari Enfalac A+, Enfapro A+ setelah berusia 6 bulan dan insyaallah akan beralih kepada Enfagrow pada bulan depan.
Walaupun mengakui susu formula jenama itu tidak mampu menggantikan khasiat susu ibu, pencapaian Khalish setakat hari ini begitu memberansangkan.

Cuma harganya makin lama makin naik. Setin yang biasanya bertahan untuk seminggu berkos lebih RM70. Demi anak, Bapak pejam mata sahaja bertahan...

Untuk adik Khalish ini, Bapak dan Orang Rumah Bapak sebolehnya berazam apa yang berlaku pada Khalish tidak berulang. Kami mahu bayi tersebut menerima susu ibu sepenuhnya.

Beberapa langkah telah diambil. Antaranya, kami telah beli pam susu elektrik jenama Spectra 3 untuk membantu pengeluaran susu ibu. Botol susu anti colic, bebas BPA dan puting breastflow pun ada dibeli.
Usaha telah dibuat, kami berdoa agar Allah mempermudahkan hajat kami ini...

Monday, October 18, 2010

Menanti kelahiran adik Khalish

Jika mengikut jangkaan, insyaallah adik Khalish bakal dilahirkan pada 31 Oktober ini. Kiranya tinggal dua minggu lagi.

Debarannya sama je macam tunggu kelahiran Khalish dulu..Bagi Bapak, anak pertama ke anak kedua dan selanjutnya sama je sebab pada masa itu orang rumah kita bakal bertarung nyawa waktu melahirkan, siapa yang tak cuak...

Sejak beberapa minggu lalu, Bapak dah ambil alih serba sedikit tugas menjaga Khalish sepeti memandikan, menukar lampin, basuh apa yang patut, main-main, bacakan buku dan tidurkan Khalish.

Khalish pun macam paham, sejak akhir-akhir ni dia sangat manja ngan Bapak, kalau ada ayah, ibu dia pun tak berapa nak layan...heheh...

Persiapan untuk kelahiran baru tak la serapi masa Khalish, banyak guna yang lama, masih elok ye lah beza pun 1 tahun 6 bulan je...

Namun masih beli beberapa helai baju baru dan yang paling penting bantal, selimut dan tilam kena beli baru, khas untuk baby.

Tu takleh kongsi ngan Khalish, lagipun bak kata Orang Rumah Bapak, bantal dan selimut Khalish dah 'berkapang'...heheh...
Sejak beberapa hari lalu, Orang Rumah Bapak sudah terima tanda-tanda kelahiran tapi beliau kata itu cuma kontraksi palsu...cuma semakin lama semakin kerap...