Sunday, August 16, 2009

Angkara Selesema

Sehingga entry ini ditulis, seramai 59 rakyat negara ini telah terkorban akibat penularan wabak Influenza A (H1N1).

Syarikat Bapak pun dah ambil beberapa langkah pencegahan seperti mewajibkan pemakaian topeng muka kepada semua pekerja dan mensyaratkan mereka yang mempunyai tugasan luar negara mengambil cuti 3 hari sebaik sahaja pulang ke tanah air sebagai langkah kurantin diri.

Di Kuala Lumpur, langkah pencegahan yang diambil syarikat Bapak lebih ekstrem seperti mengambil suhu badan setiap kakitangan setiap hari. Malah tetamu yang mempunyai simptom selesema babi boleh dihalang daripada memasuki premis syarikat.


Kebetulan pada ketika ini cuaca tidak menentu telah menyebabkan ramai demam, selesema dan batuk. Bagi kebanyakan rakyat biasa, ia menyebabkan panik kerana mereka tidak dapat memastikan sama ada masalah kesihatan mereka alami adalah positif H1N1 ataupun tidak kerana simptomnya agak serupa. Maka penuhlah klinik dan hospital kerajaan sekarang ini untuk melakukan pemeriksaan.

Semalam, Bapak yang balik rumah Orang Tua di PJ membawa adik bongsu, Mira ke klinik kesihatan berdekatan. Dia mengalami demam, selesema, batuk dan pening. Guru sekolah juga telah melarangnya ke sekolah selagi tidak benar-benar sembuh.

Walaupun telah ke klinik swasta sebelum ini, gejala tersebut masih belum reda, . Yang diberi cuma panadol, ubat selesema dan ubat batuk. Oleh itu, kerana tidak puas hati, kami ke klinik kerajaan untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh. Alhamdulillah, ternyata Mira negatif H1N1, namun perlu berehat dan mendapat nutrisi berkhasiat untuk benar-benar pulih.

Tambah membimbangkan Khalish yang berusia tiga bulan juga sudah mula batuk-batuk. Suhu badannya kadang-kala naik. Orang Rumah Bapak telah membawanya ke klinik swasta baru-baru ini.

Namun batuknya tak surut-surut, tambah membuat Bapak mengamuk apabila diberitahu doktor swasta terbabit memberikan Khalish ubat batuk. Walaupun Bapak bukan lulusan perubatan tapi setahu Bapak, bayi berusia bawah 2 tahun, biasanya tidak diberi ubat batuk...batuk Khalish memakin teruk setelah diberi ubat batuk tu...

Bapak yang naik angin telah menyuruh Orang Rumah Bapak membawa Khalish ke klinik kesihatan, pastikan tahap kesihatan dan check paru-paru dan jantung dia. Alhamdulillah, negatif...

Bapak juga telah arahkan Khalish dikurantin, tak benarkan sesiapa bermain dan mendekati dia tanpa memakai topeng muka dan membasuh tangan dengan cecair membunuh kuman. Orang Rumah Bapak pun telah diajar teknik menepuk bayi agar dapat mengeluarkan kahak..

Over tak Bapak?heheh...maafkan suamimu...(Orang Rumah Bapak)

Tinggal seminggu je lagi Khalish dan ibunya di Melaka kerana Bapak dijadualkan membawa mereka pulang ke Ipoh pada 23 Ogos ni. Biarpun seminggu tapi rasanya terlalu lama kerana mereka tiada di depan mata...doakan semuanya selamat!

No comments:

Post a Comment