Wednesday, May 20, 2009

Memori Indah itu

Kali ini Bapak nak coretkan detik-detik Orang Rumah Bapak melahirkan anak sulung kami untuk kenangan peribadi. Sesungguhnya ia adalah memori indah yang kekal sehingga ke akhir hayat.

Hari itu sesampai Bapak di hospital, doktor terlibat, Datuk Dr. Khoo Kim Eng memaklumkan kepada Bapak, air ketuban kandungan Orang Rumah Bapak tiba-tiba menyusut ketika diperiksa sehari sebelum itu.

Katanya, berdasarkan pengetahuannya, keadaan itu berpunca daripada diabetes yang dihidapi Orang Rumah Bapak pada lewat kehamilan.


Menurutnya, diabetes menyebabkan salur darah menipis dan ia dipercayai punca air ketuban yang merupakan pelindung dan salah satu elemen penting kepada penyaluran sumber makanan dan oksigen kepada kandungan menyusut sekali gus mungkin membahayakan bayi.

Oleh kerana pintu rahim pula cuma terbuka 0.5 cm pada masa itu, induksi diperlukan. Kebanyakan masa Bapak menemani Orang Rumah Bapak di bilik bersalin selain Mak Mertua Bapak yang sekali sekala masuk ke dalam bilik itu memberi semangat kepada anaknya yang sedang melalui pengalaman baru itu. (Seorang sahaja ahli keluarga dibenar menemani di bilik bersalin)

Tidak lama kemudian, Orang Rumah Bapak mulai merasai kesakitan kontrasi sebenar. Belas Bapak melihat beliau menahan sakit hingga mukanya berkerut-kerut dan memegang kuat tangan Bapak dan sisi katil. Kalau boleh, hendak sahaja Bapak menggantikan tempatnya...

Namun sampai pukul 3 petang, bukaan pintu rahim hanya terbuka 2 cm sahaja. Untuk mengurangkan risiko terhadap ibu dan bayi, doktor mencadangkan pembedahan caesarean dilakukan.

Orang Rumah Bapak memandang tepat muka Bapak ketika itu dan Bapak cuma mampu menganggukkan kepala.

Bapak berlari menemui Mak Mertua Bapak di luar untuk memberitahu hal tesebut dan beliau berkata : "Kita pasrah sahaja, yang penting ibu dan anak selamat."

Ayah Mertua Bapak pula yang dihubungi pula berkata : ""Buatlah apa yang terbaik."

Bapak berlari semula ke bilik bersalin dan menghantar Orang Rumah Bapak hingga ke bilik pembedahan ke tingkat lima. Setelah sempat mencium dahi Orang Rumah Bapak, Bapak bergegas ke tingkat enam untuk membawa Mak Mertua ke ruang menunggu di sebelah bilik pembedahan.

Kemudian Bapak menghubungi Mama Bapak di Petaling Jaya untuk memberitahu hal berkenaan. Pada masa itu, debarannya hanya Allah sahaja yang tahu, tak putus-putus Bapak berdoa agar semuanya selamat.

Tak lama kemudian, mak saudara (Mak Encik) dan suaminya sampai ke hospital bersama adik ketiga Orang Rumah Bapak, Echa.

Lebih kurang 4.15 petang, nama Bapak dipanggil jururawat yang sedang menolak katil kecil yang mempunyai seorang bayi diatasnya.


"Ini anak Encik. Bayi lelaki (sambil menunjukkan alat sulit anak Bapak). Lahir 4.10 petang tadi. Dia sihat, isteri Encik pun selamat, sekarang perutnya sedang dijahit," katanya jururawat itu kepada Bapak.

Bapak tergamam pertama kali melihat zuriat sendiri. "Err..saya nak azan anak saya," reaksi awal Bapak melihat anak sulung Bapak yang sedang menanggis sekuat hati.

"Biar kami bersihkan dan panaskan dia dulu. Encik, boleh tunggu isteri Encik yang mungkin keluar kejap lagi dulu," jawab jururawat itu ringkas sambil membawa anak Bapak ke tingkat enam.

Lebih kurang 5 petang, Orang Rumah Bapak yang masih belum sedar keluar dari bilik pembedahan, setelah dimaklumkan doktor Orang Rumah Bapak stabil dan mencapai bungkusan yang mengandungi uri, Bapak segera bergegas di tingkat enam.

Sesampai di bilik bayi, seorang jururawat Cina yang melihat Bapak segera berkata : "Mahu sembahyang anak?

"Sembahyang? (azan kot maksudnya)," Bapak segera menganggguk dan kemudiannya diarahkan memasuki satu sudut di bilik bayi itu.

Sambil seorang jururawat Melayu pula menunjukkan arah kiblat, anak Bapak diserahkan. Terasa canggung memegang anak sendiri buat kali pertama. Kalimah Azan dilaungkan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya.

Kemudian Bapak dan ahli keluarga lain termasuk Ayah Mertua yang baru sampai melawat Orang Rumah Bapak yang baru sedar di dalam wad pemantauan. Alhamdulillah, semuanya selamat.

Selepas itu sesudah solat Asar, barulah Bapak dan Mak Mertua terbuka selera menjamah makanan buat pertama kali pada hari bersejarah itu di sebuah medan selera berhampiran hospital terbabit.

11 comments:

  1. Bapak,
    Speechless n tragik.. tak sedar mengalir air mata ni..

    Tahniah untuk kalian berdua..

    ReplyDelete
  2. Kalau dapat menyambut dan menyaksikan sendiri kelahirannya, lagi indah! tahniah untuk both of you! Kak Myza dapat peluang bersalin dgn suami by the side semasa bersalinkan ketiga2 anak! It was really a wonderful experience! Tapi di Pusat Rawatan Islam Az-Zahra' BB Bangi, dgn pakar wanita dan nurse wanita! Apa nama baby?

    ReplyDelete
  3. Seronok kan jd bapa...satu pengalaman yg kita sendiri merasainya...ada peluang nnti cuba lihat sendiri proses kelahiran berlaku...lebih memberi makna kepada ayah dan ibu!

    ReplyDelete
  4. Congratulation!...Seronok ye menerima kehadiran zuriat sendiri.. Alhamdulillah semuanya sihat dan selamat. Jaga isteri dan anak bapak baik2 ketika dalam pantang..

    ReplyDelete
  5. Tahniah bapak, selamat menjadi seorang Ayah...

    ReplyDelete
  6. Salam Bapak..

    Alhamdulillah.. selamat semuanya.. semoga membesarnya anak menjadi kebanggan kedua ibubapa, bangsa dan agama.. Insya Allah..

    Tahniah.. :)

    p/s - Melaka di mana eh??? kalau ada kelapangan mau jugak datang berziarah :)

    ReplyDelete
  7. Lamanya saya tak jengok bapak....sorry. Anyway dah pun jadi the real Bapak la nie...Tahniahnya bapak!

    ReplyDelete
  8. Ana : terima kasih.

    Kak Myza : memang Bapak berharap dapat lihat sendiri kelahiran anak pada masa akan datang. doakanlah yer!

    Hanis : terima kasih

    DUN Behrang : doakan Bapak lihat proses agung itu pada kelahiran akan datang

    Kak Tirana : alhamdulillah akak dah sihat. terima kasih, insyaallah saya akan pegang pesanan akak itu.

    Kak Alia : terima kasih

    Kak Isma : terima kasih. rumah mertua Bapak di Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah. Kak Isma, Melaka kat belah maner?

    Anis : terima kasih, cikgu Anis

    ReplyDelete
  9. Salam Bapak..

    Laaa.. Masjid Tanah ke??? Dekat sangat2.. akak di Paya rumput Cheng.. tak jauh mana..

    ReplyDelete
  10. Salam Kak Isma.

    Lupa pulak guna nick name payarumput..heheh.. Bapak ni bukan asal Melaka tapi rasanye tahu Cheng tu kat ner. memang tak jauh mana..

    Insyaallah, Bapak balik kampung Khamis ni

    ReplyDelete