Thursday, September 26, 2013

Sejarah Kota Indera Kayangan

Kunjungan ke tempat orang tidak lengkap jika tidak mengunjungi muzium. Ini kerana muzium adalah lokasi termudah dan termurah untuk mengetahui sejarah, budaya dan sosio-ekonomi masyarakat setempat terutama bagi percutian yang singkat.
Oleh sebab itu, Bapak sentiasa mewajibkan lawatan ke muzium setiap kali kami sekeluarga bercuti. Pada kunjung ke Perlis baru-baru ini, kami melawat Muzium Kota Kayang yang berletak di mukim Marhum Kayang kira-kira 4 kilometer dari Kangar.

Seperti situasi lazim kebanyakan muzium-muzium lain di negara ini, suasana sungguh tenang kerana walaupun kemasukan percuma dan ketika itu waktu puncak hanya Bapak, Orang Rumah Bapak, Khalish dan Ilhan pelawat yang berada di Muzium Kota Kayang.

Pada pukul 2 petang, seorang pekerja muzium pun tak kelihatan (mungkin sedang keluar makan tengah hari), kami cuma ditemani siaran Radio Perlis FM yang sengaja dipasang kuat-kuat.
Dengan senang hati, kami melawat Galeri Am, Arkeologi dan Senjata. Terkilan juga tak dapat mengunjungi Galeri Diraja dan Kebudayaan yang berkunci rapat.

Baiklah kita bercerita tentang Muzium Kota Kayang dengan lebih lanjut.

Walaupun ia baru dibina pada 1991 tetapi lokasinya yang dikelilingi  Bukit Papan, Bukit Kubu, Bukit Toh Poh, Bukit Lambung Panah, Bukit Nasi Sebungkus, Bukit Besi Hangit, Bukit Lagi dan Gunung Medan ini mempunyai sejarah yang panjang.
Di sinilah Sultan Kedah ke-15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah yang memerintah pada tahun 1661- 1687 membina Kota Indera Kayangan sebagai pusat pemerintahan.

Baginda juga mengarahkan pembinaan tali air atau terusan dari Kuala Perlis, Perlis ke Anak Bukit, Kedah yang dipercayai tertua di negara ini.

Makam baginda, menantu baginda seorang putera Bugis bernama Juang Tawa dan seorang kerabat atau orang kanan baginda yang masih belum dikenal pasti masih dijaga rapi berhampiran kompleks Muzium Kota Kayang.
Kota Idera Kayangan yang seluas dua hektar ditinggalkan dan pusat pemerintahan Kesultanan Kedah berpindah ke Kota Setar berikutan diserang dalam satu perang saudara akibat perselisihan merebut takhta.

Kisahnya, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah yang digelar Marhum Kayang mahu menabalkan cucunya, Tunku Mangku Putra yang merupakan anakanda Juang Tawa mengantikan baginda.

Hasrat itu bagaimanapun ditentang pembesar negeri yang enggan bersultan Tunku Mangku Putra yang berdarah Bugis sebaliknya mahu Raja Muda Tunku Attaliah untuk menaiki takhta.
Peristiwa itu membuatkan orang-orang Bugis mengambil peluang campur tangan menyerang Kota Indera Kayangan. Bagaimanapun hasrat mereka untuk menabalkan Tunku Mangku Putra sebagai Sultan Kedah tetap tidak kesampaian.


 Pembinaan kompleks Muzium Kota Kayang bermula pada 1991 mengambil inspirasi daripada Kota Indera Kayang.

11 comments:

  1. Begitulah keadaan mana2 muzium negeri, hanya sesetengahnya saja yg berjaya menggamit ramai pengunjung. Jangan sampai tempat kumpulan sejarah ini menjadi sejarah sudahlah...
    Bagus minat dan usaha bapak ini...

    ReplyDelete
    Replies
    1. kita mulakan dari keluarga sendiri, mudah-mudahkan kita dapat lahir dan didik generasi yang lebih menghargai khazanah bangsa dan negara sendiri...

      Delete
  2. assalam tuan (Aku Bapak)....saya ingin membuat pembetulan beberapa fakta sejarah kota indera kayangan dengan tapak muzium kota kayang sekarang dan jugak fakta tuan berkenaan dengan kenyataan ini
    >>( Setelah hampir 200 tahun terbiar dan ditinggalkan, kerabat Raja Perlis, Syed Salim Syed Muhammed al-Jafri membina kediaman setelah tanah yang pernah menjadi tapak Kota Indera Kayangan itu dikurniakan kekandanya, Raja Perlis keempat, Raja Syed Alwi pada penghujung kurun ke-19).

    saya adalah bekas staff muzium negeri perlis yang telah ditutup pada akhir tahun 2009 dan sekarang bertugas di muzium kota kayang...

    kediaman yg dibina oleh tuan syed salim ialah sebidang tanah di jalan kolam dinamakan Rumah Tetamu Lama selepas rumah ini dirobohkan kemudiannya dibina bangunan baru menyerupai rumah tetamu lama..disitulah diberinama MUZIUM NEGERI PERLIS.

    FAKTA RUMAH TETAMU DN SEJARAHNYA TUAN BOLEH TELITI DIBAWAH

    SEJARAH BANGUNAN MUZIUM NEGERI (TAPAK RUMAH TETAMU LAMA)
    Bangunan Muzium Negeri Perlis terletak di Jalan Kolam (Jalan Raja Syed Safi), Kangar berhadapan dengan bekas Kediaman Rasmi Menteri Besar sebelum ini. Bidang tanah yang mempunyai keluasan sekitar 4.84 ekar sebenarnya telah dikurniakan oleh Raja Syed Safi kepada adindanya (yang sebonda) Syed Salim bin Syed Muhammad Al-Jafri. Syed Salim yang dikenali dengan panggilan “Tuan Lim” telah membina rumah kediamannya di tapak itu pada akhir abad ke-19. Beliau dan keluarganya (termasuk anak perempuannya Sharifah Chut dan suami, Syed Alwi) menetap di sini sehinggalah bangunan ini dijual kepada Kerajaan Negeri Perlis (Perlis State Council) iaitu selepas beberapa tahun Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani yang membawa Negeri Perlis bernaung di bawah Kerajaan British.

    Semenjak itu, bangunan ini dijadikan kediaman rasmi penasihat-penasihat British bagi Negeri Perlis. Penasihat British yang pertama, Meadow Frost serta pengganti-pengganti beliau menetap di sini sehingga Perang Dunia Kedua dalam tahun 1941. Selepas peperangan, Penasihat British kedua iaitu E.V.G. Day dan pengganti-penggantinya juga terus menetap di sini sehingga tahun 1957. Semenjak tahun 1941 hingga 1943, bangunan ini diambil alih oleh pihak Pentadbiran Tentera Jepun dan dari tahun 1943 hingga 1945, pihak Berkuasa Tentera Thai pula menduduki bangunan ini. Dalam tempoh tersebut, bangunan ini diduduki oleh pegawai tentera yang menjalankan pentadbiran negeri sehingga bulan September 1945.

    Selepas mencapai kemerdekaan, bangunan ini menjadi kediaman rasmi Menteri Besar Perlis. Menteri Besar pertama yang menetap di sini sehinga tahun 1959 ialah seorang pegawai M.C.S., Dato’ Laksamana Mohd. Razali bin Hj.Mohd.Ali Wasi. Menteri Besar yang baru, seorang ahli politik, Tan Sri Dato’ Sheikh Ahmad bin Mohd. Hashim pula menetap di sini hingga akhir tahun 1971. Bangunan ini dikenali sebagai “Rumah Tetamu” selepas dikosongkan oleh Menteri Besar berikutnya, Dato’ Jaafar bin Hassan pada awal tahun 80-an. Bangunan ini akhirnya dirobohkan dalam tahun 1991 untuk memberi ruang kepada pembinaan bangunan Muzium Negeri sekarang yang rekabentuknya mengambil pelan asal bangunan lama.

    Rujukan Fail Muzium Ngeri Perlis

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih atas teguran En. Azmi. ilmu baru untuk saya, saya akan perbetulkan artikel ini.

      Delete
  3. makluman kedua mengenai galeri kebudayaan dan galeri diraja berkunci rapat.

    untuk makluman tuan pada awal bulan lapan 2013 yg lalu banguna tersebut telah mengalami litar pintas maka sebagai langkah keselamatan kami terpaksa menutup kedua2 galeri tersebut kepda awam...dan sekarang telah dibuka semula kepada lawatan awam.....tuan boleh datang semula membuat lawatan ..

    KEDIAMAN yang tuan maksudkan dalam sejarah kota indera kayangan tersebut sebenarnya adalah terletak di jalan kolam bekas bangunan muzium negeri perlis, kompleks dewan warisan negeri bersebelahan dengan pejabat protokol negeri perlis... .

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaallah saya akan berkunjung semula jika ada rezeki ke Perlis lagi pada masa akan datang

      Delete
  4. pembetulan fakta tersebut agar geberasi y yang baca blog tuan ini tidak tersalah fakta sejarah...

    share belaka email saya meeman05@gmail.com whatsapp 0164740565

    ReplyDelete
  5. Baguih bang mi ni, saya org perlih pun xtau secara detail sejarah negeri kesayangan ni

    ReplyDelete
  6. Bila la dapat pi sana. . Orang pekan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bapak doakan semoga dapat rezeki orang Pekan ke Perlis

      Delete