Saturday, September 21, 2013

Misi 2 hari 1 malam Perlis

Percutian bagi Bapak haruslah mempunyai pengisian yang sesuai dan memberi kepuasan untuk seisi keluarga. Di samping memberi ketenangan kepada suami yang bercuti daripada rutin kerjayanya, keseronokan kepada isteri memenuhi kehendaknya, pendidikan secara tidak formal kepada anak-anak tidak harus diketepi.

Bagi Bapak, walaupun merupakan negeri terkecil di Malaysia, Perlis memenuhi kriteria tersebut. Kesempatan menikmati makanan laut segar di Kuala Perlis dan menerokai sejarah awal negeri tersebut di Muzium Kota Kayang cukup menenangkan Bapak.

Kunjungan ke Taman Ular dan Reptilia, Taman Anggur dan Gua Kelam memberi peluang kepda Khalish dan Ilhan melihat sendiri kehidupan flora dan fauna yang selama ini kebanyakannya hanya disaksikan di kaca televisyen sahaja.

Untuk Orang Rumah Bapak, kebebasan membeli apa sahaja di Wang Kelian sudah cukup menghiburkan beliau..

Dalam masa dua hari semalam, kami menerokai Perlis dari Kuala Sanglang hingga ke Wang Kelian. Antaranya : -

a) Kuala Perlis
Kuala Perlis bukan sekadar salah sebuah pintu masuk ke Pulau Langkawi sahaja tetapi mempunyai tarikan pelancongannya tersendiri.

Kami memanfaatkan kehidupan malam di pekan ini dengan menikmati makanan laut di Medan Selera Kuala Pelis, menaiki kereta kuda dan bersolat serta beriktikaf di Majlis Al-Hussain aka Masjid Terapung Kuala Perlis.

b) Muzium Kota Kayang
Muzium ini dibina tapak Kota Kayang yang menjadi pusat pemerintahan Sultan Kedah ke-15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I yang memerintah antara tahun 1661 hingga 1687.

Dibina pada 1999, muzium ini memaparkan sejarah awal Perlis, zaman penaklukan Siam, penjajahan Jepun dan awal kemerdekaan. Terdapat juga Galeri Arkealogi, Senjata, Diraja dan  Kebudayaan.

Kemasukan percuma dan dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali Hari Raya Aidilfitri pertama.

c) Taman Ular dan Reptilia Perlis
Diiktiraf sebagai taman ular yang terbesar di negara ini. Dalam berani-berani takut, Khalish dan Ilhan mendekati hampir semua 150 ekor ular dari 34 spesies yang ditempatkan sama ada di dalam sangkar mahupun peti kaca.

Tiket kemasukan dewasa RM4 manakala Khalish dan Ilhan masuk percuma kerana di bawah 5 tahun.

d) Taman Anggur Perlis
Beriya-iya kami berjanji dengan Khalish dan Ilhan untuk membeli anggur banyak-banyak tetapi sampai-sampai sahaja di kaunter tiket Taman Anggur Perlis, kakitangan sambil tersengih menasihatkan kami membatalkan lawatan sebab anggur yang ditanam masih berputik.

Sebab tak nak kempunan kami bergambar juga di pintu depan ladang anggur tersebut sambil memujuk Khalish dan Ilhan... siap ambil gambar putik anggur sebagai bukti..hehehe

e) Wang Kelian
Bangun pagi-pagi semata-mata untuk sampai awal ke Wang Kelian. Nasib baik pada pukul 9 pagi, tak ramai lagi pengunjung dapatlah Bapak parkir kereta serapat mungkin dengan pos imigresen.

Memang rambang mata, angkutlah selagi kedua-dua tangan larat. Di nasihatkan baik jangan bawa anak-anak kecil untuk memudahkan urusan. Kalau tak kena lah terima 'drama' macam Khalish yang banyak songeh asyik ajak balik sebab tak tahan panas terik matahari dan Ilhan yang sanggup berguling-guling di atas lantai semata-mata untuk mendapatkan semua permainan yang dia mahukan..heheheh

f) Gua Kelam
Sudah banyak perubahan positif berbanding lawatan terakhir Bapak dan Orang Rumah Bapak pada Mei 2008. Kereta sudah boleh diparkir berhampiran pintu masuk Gua Kelam (caj RM1 dikenakan)..

Penerokaan di dalam Gua Kelam pun semakin menarik dengan pencahayaan berwarna-warni.

Secret Garden yang menempatkan pelbagai tanaman herba juga semakin kemas dengan penyediaan tempat duduk untuk pengunjung bersantai sebentar.

Tiket kemasukan dewasa RM1 dan Khalish sepatutnya dikenakan caj 50 sen tetapi dikecualikan pula...

g) Ladang Nipah Kipli
Kami menamatkan kunjungan ke Perlis dengan minum air nira nipah di Kuala Sanglang.

Hasil inisiatif Encik Kipli yang merupakan penduduk Kampung Timbul, air nira nipah tersebut dijual pada harga RM2 segelas.

Kami minum di gazebo yang dikelilingi pohon-pohon nipah yang mengamit minat Khalish dan Ilhan.

No comments:

Post a Comment