Thursday, March 14, 2013

Kerana tiga biji kacang tanah....

Sejak lebih 3 minggu lalu, hospital sudah menjadi bagaikan rumah tidak rasmi kami.

Bermula dengan demam Khalish yang tak kebah-kebah akibat peristiwa Alahan Kacang, Bapak nekad membawanya ke Hospital Pantai Ipoh. Dia terus ditahan sebaik sampai ke hospital.

 Imbasan x-ray dan ujian darah kemudiannya menunjukkan paru-paru dan sel darah merahnya sudah dimasuki kuman. Puncanya virus yang menyebabkan kahak terlalu banyak hingga menyebabkan paru-parunya kembang.

Masuk ke dalam wad, baru lah kami tahu bukan Khalish seorang yang kena tetapi majoriti kanak-kanak dan bayi yang berada di situ menghidap penyakit sama.

Sepanjang Khalish terlantar di hospital, Bapak dan Orang Rumah Bapak bergilir-gilir menjaga dia Siang Orang Rumah Bapak, malamnya pula Bapak bergegas ke hospital sejurus pulang bekerja.

Mahu tak mahu, Ilhan terpaksa di bawa bersama di hospital pada siang hari walaupun doktor mengingatkan virus tersebut sangat aktif dan boleh berjangkit terutama kepada individu yang antibodi lemah.
Keadaan Khalish yang pertama kali terlantar di hospital menggamit atuk dan nenek kedua-dua keluarga datang menjenguk. Berkat doa dan sokongan moral dari semua, Khalish sembuh dan dibenarkan keluar wad selepas lima hari dirawat. Begitupun dia terpaksa dikurantin, tak dibenarkan ke tadika selama seminggu.

Namun ujian masih belum berakhir, perkara yang paling ditakuti akhirnya menjadi kenyataan apabila Ilhan pula yang dijangkiti. Ada ketikanya keadaan Ilhan lebih menakutkan dari Khalish kerana suhu badannya kerap tiba-tiba meningkat sehingga 40 darjah celcius terutama pada tengah malam.

Sudah berpengalaman, kami tak menunggu lama untuk menghantar Ilhan ke hospital. Sebab Ilhan masih menyusu badan, mahu tak mahu Orang Rumah Bapak yang perlu menjaga dia di hospital. Sementara Bapak menjaga Khalish yang masih belum sihat sepenuhnya dan sering meragam di rumah.

Belum sempat Ilhan sembuh, Bapak pula dijangkiti virus sama. Pengalaman Bapak mendapati virus itu menyebabkan demam panas melampau khususnya pada tengah malam, selesema dan kahak dalam kuantiti terlalu banyak sehingga keluar bersama darah, sakit semua sendi badan, migrain dan tekak sakit.

Bapak cuba melawan dengan makan ubat dan minum air banyak-banyak tetapi gagal dan akhirnya terpaksa menyerahkan diri untuk ditahan wad.
Virus itu secara tak langsung juga menyebabkan penyakit sinus atau resdung Bapak semakin menggila.

Dalam keadaan Bapak dan Ilhan masih dirawat di dalam wad, Khalish di bawa pulang neneknya ke kampung di Melaka.Walaupun sedih, itu penyelesaian terbaik untuk kebaikan Khalish agar dia yang masih belum pulih sepenuhnya dijangkiti semula virus tersebut.

Hanya Orang Rumah Bapak terselamat dari virus tersebut. Memang itu doa Bapak, biarlah beliau terus sihat memandang Orang Rumah Bapak ada urusan penting hujung minggu ini...

Alhamdulillah Bapak sudah dibenarkan keluar wad semalam sehari selepas Ilhan. Namun kami masih perlu berehat di rumah dan keluar di tempat keramaian masih tidak digalakkan. Syukur kepada Allah mengizinkan kami sekeluarga hampir melepasi ujian ini...

4 comments:

  1. ujian demi ujian bapak kena harungi...harap bapak bersabar...saya juga mendoakan kesembuhan untuk semua ahli keluarga bapak...

    ReplyDelete
  2. hmmm... baru ni selepas cuti raya cina... saya sendiri diserang selsema yg teruk hingga menjadi demam batuk dan semput... bila diamati semula... mmg tak salah berpunca dari kacang... sbb semasa cuti tsbt... sakan saya makan biskut kacang tumbuk + terlalu banyak - suami beli sebalang besar di kedai runcit dikampung... serik dah makan biskut kacang... :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. doktor yg merawat Khalish beritahu alahan kacang kalau luaran, boleh sebabkan gatal2 kulit, kalau dalaman boleh sebabkan radang...

      Delete