Friday, March 29, 2013

Beli tiket bas, dapat baucar percuma

Walaupun dimanja atuk dan neneknya sepanjang berada di kampung, dia mampu bertahan tak sampai seminggu.

Hampir setiap hari Khalish yang tidak pernah berpisah daripada kami bertanyakan bila ayah, ibu dan adiknya, Ilhan akan pulang ke kampung mengambilnya kembali untuk pulang ke Ipoh. Masuk seminggu, dia sudah mula meragam mendesak kami pulang segera ke kampung.

Oleh kerana Bapak baru masuk bekerja selepas MC selama seminggu kerana dirawat di hospital, Orang Rumah Bapak dan Ilhan pulang dahulu ke kampung di Melaka dengan bas bagi meredakan keadaan.

Bapak menyusul selepas itu selepas permohonan cuti diluluskan 4 hari kemudian. Orang Rumah Bapak dan Ilhan menaiki bas ekspres di Terminal Amanjaya yang baru beberapa bulan beroperasi.
 Walaupun terminal bas ni tak sampai 3 km dari rumah, ini kali pertama kami ke sana. Seperti lapangan terbang, Terminal Amanjaya mempunyai balai pelepasan di tingkat bawah dan balai ketibaan di tingkat atas.

Biarpun fasilitinya moden ia agak lengang memandangkan hanya separuh sahaja pengendali bas ekspres di Perak yang beroperasi di situ. Separuh lagi masih cuba bertahan di terminal bas lama di Medan Gopeng.

Begitupun masalah itu dijangka selesai sepenuhnya selewat-lewat akhir bulan depan selepas pihak terlibat telah menandatangani MoU tentang pemindahan operasi bas ekspres di hadapan MB Perak kelmarin.
Bagi menarik lebih ramai pengunjung, pengurusan Terminal Amanjaya memberikan baucar RM5 bagi setiap pembelian tiket bas. Tersengih Ilhan, ada sahaja idea dia untuk mempengaruhi ibunya menghabiskan baucar itu pada masa itu juga.

Selaku peminat tegar siri animasi Tyo The Little Bus, Ilhan teruja dapat menaiki bas buat kali pertama.
"Uuu besh ( best)...", mulutnya tak henti-henti mengomel riang sepanjang perjalanan.

Thursday, March 28, 2013

Jalan-Jalan Taiping

Baru- baru ini Orang Rumah Bapak mempunyai urusan di Taiping. Urusan itu mengambil masa sehari suntuk dari pagi hingga petang.

Alang-alang itu kami terutama Bapak dan Ilhan ambil kesempatan bersiar- siar di sekitar bandar tersebut.
Agak ralat juga Khalish tak dapat bersama kerana telah dihantar ke kampung ekoran masalah kesihatan yang melanda dia, Ilhan dan Bapak tempoh hari.

Padahal Khalish yang beriya-iya sebelum ini mahu ke Zoo Taiping...

Antara lokasi yang kami sempat singgah : -

a) Rampai Selera Taiping.
Juga dikenali sebagai Cashier Market. Tahun lepas PM, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah bersarapan di sini. Kami menjamah pesembur dan rojak mee. Ilhan pula makan nasi beriani ayam.

Dulu Bapak pernah beli popia Omar di medan selera ini tapi Orang Rumah Bapak berapa gemar kerana agak pedas. Kali ini kami beralih kepada popia Ella. Lebih kena dengan tekak kami rasanya.

b) Masjid India Taiping
Setelah selesai makan tengah hari dan menghantar Orang Rumah Bapak dan Ilhan ke hotel, Bapak terkocoh-kocoh mencari masjid untuk mendirikan solat Jumaat.
Yang Bapak nampak Masjid India Taiping yang terletak di persimpangan betul-betul di tengah-tengah bandar Taiping. Secara jujur Bapak tak faham langsung khutbah yang dibaca dalam bahasa Tamil. Tetapi berdasarkan beberap ayat al-Quran yang dibacakan khatib, ia berkaitan ibadat solat, zakat, umrah dan haji.

Bukan Bapak seorang sahaja lelaki Muslim Melayu yang menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut pada masa itu. Tak tahu mereka faham bahasa Tamil ke tak....

c) Yong Tau Fu Bomba
 Orang kata kalau singgah Taiping tak sah kalau tak pekena Yong Tau Fu di medan selera yang terletak bersebelahan Balai Bomba dan Penyelamat Taiping.
Kami memilih gerai kedua dari jalan besar yang dipunyai bekas pelajar SMK King Edward VII. Secara jujur kuahnya yang agak masam tak kena dengan tekak kami.

Mujur ada sate ayam dan kambing yang kuah kacangnya menetapi selera sebagai ganti.

d) Funfair Taiping
 Fokus Ilhan untuk makan malam terganggu apabila dia perasan ada pesta ria (funfair) di seberang jalan Medan Selera Bomba.

Bersungguh-sungguh dia mengajak Bapak dan Orang Rumah Bapak untuk melayan permintaannya bermain di funfair buat kali pertama.

e) Zoo Taiping
Bapak dan Ilhan antara pengunjung terawal kerana terus ke sini sejurus menghantar Orang Rumah Bapak ke lokasi beliau berkursus.

Sampaikan penjaga kaunter tiket bertanyakan kami berasal dari mana. Tak tahu pulak kalau penduduk Taiping dikenakan tiket lebih murah untuk ke zoo...hehehe..

Mahu tak mahu Bapak dan Ilhan berjalan kaki kerana perkhidmatan trem hanya bermula pada pukul 10.30 pagi ( masa tu kami habis tawaf pun satu zoo...)

Banyak kali juga kami berhenti untuk Ilhan berehat dan minum air. Teruja juga Ilhan sebab ini kali pertama dia je Zoo Taiping. (Dulu dia pernah ke Zoo Melaka).

Sebelum balik kami bergambar dengan ular sawa albino. Rilek je Ilhan..

f) Kueh Teow Goreng Doli
Bapak secara tidak sengaja terperasan Restoran Kueh Teow Goreng Doli yang terletak berhadapan Klinik Pergigian Taiping. Sebelum ini selalu dengar tentang kesedapan kueh teow tersebut, ada juga kata rasanya dah kurang berbanding dulu...

Baik Bapak rasa sendiri kueh teow yang dimasak dengan kayu arang ini. Secara kebetulan, buat dua hari berturut-turut di Taiping, kami berjaya mengelak dari makan nasi..hehehe..

f) Muzium Perak 
Sebenarnya Bapak berhasrat untuk melawat The First Galleria tapi sewaktu Bapak sampai pada pukul 1.30 petang, pemandu pelancongnya sedang rehat makan tengah hari dan dijangka kembali pada pukul 2.30 petang. (lawatan ke The First Galleria akan ditemani oleh seorang pemandu pelancong yang menerangkan sejarah Taiping).
Alternatifnya Bapak dan Ilhan ke Muzium Perak yang kini mengenakan caj RM2 untuk dewasa. Bahan-bahan pamerannya masih sama tetapi susun aturnya lebih menarik dan tersusun. Teruja Ilhan melawat muzium yang tertua di negara ini buat pertama kali.

Selepas solat Zuhur di surau Muzium Perak, hujan pun turun membuatkan kami membatalkan hasrat untuk ke The First Galleria.

g) Kota Ngah Ibrahim
Untuk mengelak daripada hujan yang sedang turun di Taiping, Bapak memecut kereta ke Matang dan singgah ke Kota Ngah Ibrahim.
Selain ibu pejabat Ngah Ibrahim, bangunan tersebut pernah menjadi pusat pentadbiran Jepun dan maktab perguruan sebelum digazet sebagai muzium.

g) Hutan Paya Bakau Matang
  Lokasi terakhir kami di Taiping, Konon-konon untuk mendidik Ilhan tentang kepentingan memelihara alam sekitar. Rasanya ini pertama kali dia melihat pokok bakau pelbagai spesies secara dekat.

Sunday, March 17, 2013

Huggies Dry Pants Tukar untuk lebih senang dipakai : Cerita Ilhan

SEPERTI bapa lain yang mempunyai anak kecil, pemilihan lampin bayi pakai buang sesuai antara aspek diberi perhatian serius.

Apatah lagi Ilhan seperti juga abangnya, Khalish mempunyai kulit yang agak sensitif. Jika salah pemakaian, ruam lampin mudah terjadi.

Setelah mencuba beberapa jenama lampin bayi pakai buang, Huggies paling memikat hati kerana terbukti secara klinikal membantu menghalang ruam lampin.
Walaupun Ilhan seperti bayi lelaki lain kerap membuang air kecil, Huggies Dry tak mudah bocor sekali gus memberi keselesaan kepada dia dan kesenangan kepada ibubapa.

Harganya juga berpatutan dan memberi nilai ekonomi kerana secara purata Ilhan hanya memerlukan empat helai lampin bayi pakai buang sehari.
 Seiring dengan peredaran masa, Ilhan yang kini berusia  dua tahun semakin lasak dan suka meniru hampir setiap perbuatan dan tingkah laku abangnya, Khalish.

Dia juga mahu jadi seperti abangnya yang sudah tidak lagi memakai lampin bayi pakai buang walaupun secara praktikalnya masih belum memahami peraturan ke tandas.

Pernah sekali diikutkan kehendaknya, Ilhan dengan selamba memberitahu dia sudah chichi (buang air kecil) hanya selepas melakukan hajatnya itu di ruang tamu...huhuhu

Terpaksalah kami mengejar dia yang gemar berlari-lari anak keliling rumah selepas kali selepas mandi semata-mata mahu memakaikannya lampin bayi pakai buang.
 Penyelesaiannya kami disyorkan untuk mencuba Huggies Dry Pants. Semudah koyak, salin dan lepas dalam tempoh kurang 30 saat.

Tambah Ilhan suka, dia menganggap lampin jenis itu saling tak ubah seperti seluar dalam yang dipakaikan kepada abangnya, Khalish. Tak hairanlah Ilhan memanggil Huggies Dry Pants sebagai Spender Huggies.

Bangga dia memakai Huggies Dry Pants kerana terasa dilayan seperti kanak-kanak besar seperti abangnya..hehehe…

Manfaat penggunaan Huggies Dry Pants semakin ketara sewaktu satu demi satu keluarga kami termasuk Ilhan terganggu kesihatan sehingga terpaksa ditahan di dalam wad hospital baru-baru ini.

Orang Rumah Bapak berperang untuk memastikan dia kekal ceria bagi membolehkan Ilhan mahu menerima rawatan dengan selesa agar kesihatannya cepat pulih.
Dengan hanya memakai Huggies Dry Pants, Koyak, Salin dan Lepas, Ilhan gembira bermain biarpun seorang diri.

Dengan ralit bermain, dia melupakan sedikit kesakitan dan kurang merengek. Senario itu telah membuatkan kesihatannya pulih dengan segera. Alhamdulillah...
Bolehlah Orang Rumah Bapak memberi tumpuan lebih kepada Khalish dan Bapak yang turut jatuh sakit.

Memang Huggies Dry Pants, Tukar untuk lebih senang dipakai!


Kawan-kawan kalau mahu dapatkan sampel percuma, boleh pohon di http://www.huggies-community/request-a-sample.aspx

Makluman lanjut boleh didapati di www.facebook.com/Huggies.Malaysia

nota :  Ini adalah Posting Tajaan

Thursday, March 14, 2013

Kerana tiga biji kacang tanah....

Sejak lebih 3 minggu lalu, hospital sudah menjadi bagaikan rumah tidak rasmi kami.

Bermula dengan demam Khalish yang tak kebah-kebah akibat peristiwa Alahan Kacang, Bapak nekad membawanya ke Hospital Pantai Ipoh. Dia terus ditahan sebaik sampai ke hospital.

 Imbasan x-ray dan ujian darah kemudiannya menunjukkan paru-paru dan sel darah merahnya sudah dimasuki kuman. Puncanya virus yang menyebabkan kahak terlalu banyak hingga menyebabkan paru-parunya kembang.

Masuk ke dalam wad, baru lah kami tahu bukan Khalish seorang yang kena tetapi majoriti kanak-kanak dan bayi yang berada di situ menghidap penyakit sama.

Sepanjang Khalish terlantar di hospital, Bapak dan Orang Rumah Bapak bergilir-gilir menjaga dia Siang Orang Rumah Bapak, malamnya pula Bapak bergegas ke hospital sejurus pulang bekerja.

Mahu tak mahu, Ilhan terpaksa di bawa bersama di hospital pada siang hari walaupun doktor mengingatkan virus tersebut sangat aktif dan boleh berjangkit terutama kepada individu yang antibodi lemah.
Keadaan Khalish yang pertama kali terlantar di hospital menggamit atuk dan nenek kedua-dua keluarga datang menjenguk. Berkat doa dan sokongan moral dari semua, Khalish sembuh dan dibenarkan keluar wad selepas lima hari dirawat. Begitupun dia terpaksa dikurantin, tak dibenarkan ke tadika selama seminggu.

Namun ujian masih belum berakhir, perkara yang paling ditakuti akhirnya menjadi kenyataan apabila Ilhan pula yang dijangkiti. Ada ketikanya keadaan Ilhan lebih menakutkan dari Khalish kerana suhu badannya kerap tiba-tiba meningkat sehingga 40 darjah celcius terutama pada tengah malam.

Sudah berpengalaman, kami tak menunggu lama untuk menghantar Ilhan ke hospital. Sebab Ilhan masih menyusu badan, mahu tak mahu Orang Rumah Bapak yang perlu menjaga dia di hospital. Sementara Bapak menjaga Khalish yang masih belum sihat sepenuhnya dan sering meragam di rumah.

Belum sempat Ilhan sembuh, Bapak pula dijangkiti virus sama. Pengalaman Bapak mendapati virus itu menyebabkan demam panas melampau khususnya pada tengah malam, selesema dan kahak dalam kuantiti terlalu banyak sehingga keluar bersama darah, sakit semua sendi badan, migrain dan tekak sakit.

Bapak cuba melawan dengan makan ubat dan minum air banyak-banyak tetapi gagal dan akhirnya terpaksa menyerahkan diri untuk ditahan wad.
Virus itu secara tak langsung juga menyebabkan penyakit sinus atau resdung Bapak semakin menggila.

Dalam keadaan Bapak dan Ilhan masih dirawat di dalam wad, Khalish di bawa pulang neneknya ke kampung di Melaka.Walaupun sedih, itu penyelesaian terbaik untuk kebaikan Khalish agar dia yang masih belum pulih sepenuhnya dijangkiti semula virus tersebut.

Hanya Orang Rumah Bapak terselamat dari virus tersebut. Memang itu doa Bapak, biarlah beliau terus sihat memandang Orang Rumah Bapak ada urusan penting hujung minggu ini...

Alhamdulillah Bapak sudah dibenarkan keluar wad semalam sehari selepas Ilhan. Namun kami masih perlu berehat di rumah dan keluar di tempat keramaian masih tidak digalakkan. Syukur kepada Allah mengizinkan kami sekeluarga hampir melepasi ujian ini...

Wednesday, March 13, 2013