Monday, June 20, 2011

Malaysia ikat Lebanon

MALAYSIA berjaya mendapat bekalan terbaik apabila mengikat Lebanon 0-0 pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Sports City, Beirut semalam.

Ia keputusan yang mampu memberikan kelebihan kepada anak-anak buah Ong Kim Swee itu untuk menanti kunjungan Lebanon pada aksi kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.

Pada aksi yang berlangsung pada sebelah petang waktu Lebanon dengan cuaca panas terik itu semalam, Malaysia tampil dengan berhati-hati dan lebih bertahan pada separuh masa pertama.

Namun pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor sempat melakukan percubaan yang ditepis penjaga gol Lebanon pada minit ke-11 manakala tandukan Izzaq Faris Ramlan 10 minit kemudian sedikit tinggi.

Biarpun lebih banyak mengasak, Lebanon tidak banyak dapat melakukan percubaan berbahaya untuk menguji penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Bersambung babak kedua, tempo permainan berubah sama sekali apabila Malaysia dilihat mula menguasai perlawanan.

Pada minit ke-51, Izzaq terlepas peluang terbaik apabila gagal menampan kemas bola hantaran leret Irfan Fazail di dalam kotak penalti.

Wan Zack selepas itu berjaya melepaskan dua rembatan kencang pada minit ke-54 dan ke-61 tetapi berjaya ditepis penjaga gol Lebanon.

Pada masa kecederaan, penyerang gantian, Syahrul Azwari Ibrahim hampir memberikan gol kemenangan tetapi percubaannya di hadang keluar pemain pertahanan Lebanon. - Kosmo!

No comments:

Post a Comment