Sunday, May 15, 2011

Man United juara EPL kali ke-19

Dah lama rasanya tak buat entry pasal bola...heheh...
Misi lebih 20 tahun untuk mengatasi rekod Liverpool sebagai pasukan terbanyak menjuarai EPL akhirnya diselesaikan Manchester United malam semalam.

Kejuaraan kali ke-19 sah apabila satu mata yang diperlukan dapat diraih setelah mencapai keputusan seri 1-1 dengan Blackburn.

Terima kasih kepada penjaga gol Blackburn, Paul Robinson kerana mengasari Hernandez yang mendorong sepakan penalti yang disempurnakan Wayne Rooney pada minit ke-73.

Jaringan pendahuluan Blackburn oleh Brett Emerton membuktikan Man U memerlukan penjaga gol lain yang lebih berwibawa selain Tomasz Kuszczak untuk menggantikan posisi Edwin De Sar yang akan bersara akhir musim ini.

Prestasi Man United sepanjang musim ini penuh warna-warni. Skuad diperkuat dengan tiga pemain baru, Hernandez, Chris Smalling dan Bebe (macam takde beri sumbangan signifikan je Bebe ni...)

Pada awal musim agak ketinggalan dengan Chelsea dan Arsenal, ditambah pula dengan ragam Rooney. Nasib baik Berbatov yang agak 'lembik' dua musim terdahulu kembali menyerlah hingga telah menjaringkan 21 gol dalam kempen EPL.

Pertengahan musim seolah-olah memberi harapan 'untouchable team' apabila tidak tertewas sehinggalah kalah kepada Wolves pada awal Februari.

Kekalahan kepada Liverpool, Chelsea dan Arsenal memberi sedikit debaran namun takhta tidak tergugat kerana pesaing-pesaing juga tidak konsisten terutama selepas cabaran Liga Juara-Juara mereka berakhir.

Selepas ini Man United berpeluang untuk mendapat kejuaraan berganda dengan syarat menewaskan Barcelona pada final Liga Juara-Juara di Stadium Wembley, London pada 28 Mei ini.

Namun macam Bapak pernah beritahu dulu, itu adalah bonus kerana apa yang lebih penting dan prestij dalam bola sepak Inggeris ialah kejuaraan EPL.

No comments:

Post a Comment