Friday, December 31, 2010

Sorotan 2010 Bahagian 4

Oktober
-----------

a) Gadis bisu dikhuatiri jadi pengemis
Kehilangan seorang gadis dari kalangan orang kurang upaya (OKU) Nor Yuniza Mohd. Yunus, 22, lebih sebulan setengah lalu meresahkan keluarganya kerana dia dikhuatiri dipaksa menjadi pengemis.
Gadis itu yang cacat pendengaran dan pertuturan itu didakwa kali terakhir ditemui mengemis di Sungai Udang, Melaka.

Nor Yuniza dilaporkan hilang selepas keluar ke bandar Kuala Kangsar yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya seorang diri tanpa membawa pakaian pada 21 Ogos lalu.

b) 6 nelayan maut bot dilanggar kapal tangki
Enam nelayan mati selepas bot yang mereka naiki terbalik akibat dilanggar sebuah kapal tangki minyak di Selat Melaka di lokasi 10 batu nautika dari Kuala Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor semalam.
Semasa kejadian pada pukul 3.40 pagi, 10 lagi nelayan termasuk lapan warga Thailand yang turut berada di dalam bot itu selamat selepas mereka sempat berpaut pada bot itu selama kira-kira tujuh jam sebelum diselamatkan.

Kesemua 16 nelayan yang menjadi mangsa dilanggar sebuah kapal tangki minyak dikatakan sedang tidur akibat keletihan selepas mengerah keringat masing-masing untuk menangkap ikan sejak pukul 1 tengah hari.

c) Ibu mangsa nahas Simpang Ampat hiba terima ijazah arwah anak
Suasana hiba menyelubungi Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila Selamah Ismail, 56, mengambil skrol ijazah mewakili anaknya, Norazmi Abdul Karim, 24, yang terbunuh dalam nahas Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka pada Ahad lalu.
Tambah menyentuh hati, akibat terlalu sedih, Selamah yang tidak dapat menahan kesedihan tiba-tiba jatuh terduduk sejurus menerima skrol ijazah terbabit daripada Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim.

d) Keistimewaan kerapu yang pemalu
Berbanding kerapu bersaiz biasa, permintaan terhadap kerapu gergasi bersaiz 100 kg ke atas lebih tinggi kerana tekstur lapisan antara kulit dan isi yang lebih kenyal dan manis hingga menjadi dambaan sesiapa yang memakannya.

Permintaan amat tinggi dan biasanya akan habis dalam jangka masa lima hari sahaja termasuk kerapu seberat 170 kg. Kerapu bersaiz biasa pula biasanya berjaya dijual hampir 8 kg sehari.
Kecuali insang, sisik dan isi perut, hampir kesemua bahagian dan organ kerapu gergasi boleh digunakan untuk masakan dan bahagian ikan kerapu gergasi yang paling berharga dan mendapat permintaan tinggi terutama di kalangan masyarakat Cina ialah tulang belakang. Tulang belakang kerapu gergasi akan dikerat-kerat kecil sebelum direneh dengan pelbagai herba Cina untuk dijadikan sup.

Cara memakannya, sum-sum yang terdapat pada tulang belakang itu akan dihisap. Selain rasanya manis, orang Cina percaya ia mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.

November
-------------
a) Guru melecur gel pemanas makanan meletup
Seorang guru melecur teruk di kepala apabila disambar api kesan letupan bahan api berbentuk gel yang dinyalakan di bawah sebuah bekas dulang berisi lauk-pauk.
Berikutan kejadian pada majlis makan malam tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, Batu Gajah dekat sini pada kira-kira 8.30 malam itu, Ainon Mardhiah Elias, 39, melecur di bahagian dahi, rambutnya sedikit terbakar dan mata serta pipinya bengkak.

b) Dibunuh berebut daging babi hutan
Gara-gara tidak berpuas hati dengan pengagihan daging seekor babi hutan yang diburu, dua beradik sanggup menikam rakan mereka sehingga mati di hadapan rumah mangsa di kuarters Ladang Sungai Samak, Hutan Melintang, Teluk Intan.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, K. Perumal, 27, mati dalam perjalanan ke klinik setelah ditikam dengan pisau lipat oleh seorang daripada suspek berkenaan.

c) Putu Perak kuih warisan Perak
Fauzila Harun, 35, mengkomersialkan kuih tradisional Perak, Putu Perak ke peringkat nasional.
Kini, Putu Perak buatan Zie boleh didapati hampir setiap hari di sudut Makanan Popular Perak Bazar Agrobest di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam arah selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan mulai Februari lalu.

d) Empat anak singa Afrika lahir di Zoo Taiping
Zoo Taiping dan Safari Malam di sini menerima anggota baru dengan kelahiran empat ekor anak singa Afrika pada 10 Oktober lalu.
Pengarah Zoo Taiping, Dr. Kelvin Lazarus berkata, dua ekor anak singa jantan dan dua anak singa betina terbabit lahir selang 20 minit antara satu sama lain bermula 7.30 pagi.

Keempat-empat anak Singa Afrika itu adalah baka da ripada induk singa betina, Dewi, 6, dan singa jantan, Zulu, 4.

Dewi berasal dari Zoo Argentina dan mula ditempatkan di Zoo Taiping dan Safari Malam sejak be berapa tahun lalu.

Disember
--------------
a) Datuk Zulkifli Abdullah bertukar ke Kuala Lumpur
Datuk Zulkifli Abdullah melepaskan jawatan sebagai Ketua Polis Perak pada Majlis Serah Tugas di Mes Pegawai Polis Perak di Ipoh baru-baru ini.
Jawatan Ketua Polis Perak dipangku Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof dalam majlis yang disaksikan Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Ghazali Mohd. Amin.

Zulkifli yang menerajui Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak selama tiga tahun empat bulan telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.

b) Rumah tergadai kerana hutang ah long
Gara-gara meminjam wang RM1,000 daripada ah long, seorang wanita bukan sahaja terpaksa menanggung beban hutang RM60,000 malah lot rumah kedai milik ibunya juga hampir tergadai.
Tang Yoke Kum, 29, berkata, dia meminjam wang tersebut daripada ah long pada pertengahan tahun lalu selepas berhadapan dengan masalah perniagaan restoran.

Paling menakutkan apabila dia pernah diserang dua orang ah long dengan parang dan di gugut supaya membayar baki hutangnya di rumahnya di Taman Wang di sini pada pukul 9.30 malam, 11 November lalu.

c) 6 pendaki Gunung Chabang tersesat
Keriangan 10 pendaki untuk menawan puncak Gunung Chabang yang mempunyai ketinggian 1,219 meter berhampiran Pos Slim, Simpang Pulai dekat sini bertukar mimpi ngeri apabila enam daripada mereka tersesat ke dalam hutan.
Enam daripada ahli kumpulan ekspedisi itu termasuk tiga pelajar institusi pengajian tinggi tersasar kira-kira 18 kilometer (km) dari kaki gunung ketika empat lagi sudah berada di puncak pada pukul 11.30 malam.

Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditemu dalam keadaan selamat oleh pasukan pencari dan penyelamat.

d) Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dihukum bersalah makan rasuah
Senario di Mahkamah Sesyen Ipoh berbeza apabila seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak yang sebelum ini bertanggungjawab menghukum pesalah, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan denda RM210,000 selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah.

Hassan Basri Shapie, 56, dikenakan hukuman tersebut selepas Hakim Tan Hooi Leng mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap bukti pihak pendakwaan atas semua pertuduhan yang dilakukan tertuduh sekitar 7 Ogos 2006 hingga 6 September 2007.
Bagaimanapun tertuduh hanya dipenjara 10 tahun setelah Hooi Leng memerintah hukuman empat daripada tujuh pertuduhan tersebut dijalankan serentak. Namun Hassan Basri bakal berhadapan hukuman penjara tambahan sebanyak 42 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Begitupun permohonannya untuk menangguhkan pembayaran denda itu dalam tempoh sebulan dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh beberapa hari kemudian.

Empat syarat tambahan perlu dipatuhi oleh Hassan Basri seperti wang jaminan dinaikkan kepada RM105,000 berbanding RM35,000 sebelum ini.

Wang jaminan dinaikkan kepada RM15,000 bagi setiap pertuduhan (tujuh pertuduhan), perintah penahanan dokumen perjalanan kekal dan tertuduh perlu menandatangani bon jaminan dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh juga dikehendaki membayar wang pendahuluan bayaran denda sebanyak RM25,000 seperti dipersetujui.

e) Pengawai polis maut helikopter meletup
Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang sedang menjalani latihan penerbangan maut apabila helikopter jenis R-44 yang dipandunya secara solo terhempas lalu terbakar di sebuah bekas lombong berhampiran Estet Liang Kee, Malim Nawar dekat sini.

Kejadian pukul 2.15 petang itu mengakibatkan Mohd. Sukri Osman, 31, mati dalam keadaan mengerikan dengan sebahagian tubuhnya dari paras pinggang ke atas hangus.

f) Tiket kereta api ETS terus ke KLIA
Orang ramai kini boleh menggunakan perkhidmatan kereta api terus dari bandar raya ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor dengan tiket bersepadu perkhidmatan tren elektrik (ETS)-KLIA dan ETS-LCCT.
Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan berkata, dengan tiket tersebut, pengguna kini boleh menggunakan kemudahan ETS dan Express Rail Link (ERL) untuk menuju kedua-dua lapangan terbang tersebut dengan satu tiket sahaja.

Tiket bersepadu itu boleh dibeli di kaunter ETS Stesen Keretapi Ipoh di sini dan Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur tanpa perlu membuang masa beratur di kaunter ERL untuk membeli tiket lain.

g) 27 termasuk 25 pelancong Thailand maut nahas bas persiaran Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands
Seramai 27 orang maut membabitkan 25 pelancong Thailand, pemandu bas, Omar dan pemandu pelancong, Soontorn a/l Kian, 38, setelah bas ekspres milik San Express Holiday itu terbabas dan terbalik dalam nahas ngeri yang berlaku pada pukul 11.40 pagi.
Bas bernombor pendaftaran AFX 2266 yang didakwa didaftarkan atas permit sebuah syarikat di Jitra, Kedah itu dikatakan hilang kawalan semasa menuruni laluan berbukit sebelum merempuh pembahagi jalan berdekatan Kampung Juang, Simpang Pulai.

25 mangsa warga Thailand yang terbunuh diterbangkan dengan dua pesawat Hercules C-130 dari Bangkok, Thailand.

4 comments:

  1. Selamat Tahun baru bapak...

    Wah...banyak rangkuman berita bapak buat.
    Ustazh yang melecur tu junior sekolah ckLah. Kakak kepada penceramah terkenal Ustaz Kazim Elias (adik YB Dato' Najmudin Elias)

    ReplyDelete
  2. ckLah

    Ustazah Ainon Mardhiah ni junior ckLah rupanye..

    anyway selamat tahun baru ckLah sekeluarga!

    ReplyDelete
  3. ustazah ainon tu warden sy di SMKSY dulu..huhu

    alhamdulillah skrg dah sembuh spenuhnya..:)

    ReplyDelete
  4. Ain,

    alhamdulillah Ustazah Ainon dah sembuh...

    ReplyDelete