Wednesday, December 29, 2010

Sorotan 2010 Bahagian 2

April
------
a) DUN Perak kecoh, pembangkang buat perangai
Ketenangan pada majlis perasmian Penggal Ketiga, Sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang ke-12 kelmarin bertukar kecoh apabila kumpulan wakil rakyat Pakatan Rakyat mula menunjukkan belang sebenar pada hari kedua persidangan.

Poster-poster yang mengandungi perkataan menghina dibawa masuk ke dalam dewan manakala tiga ADUN pembangkang iaitu Tai Sing Eng (PKR-Kuala Sepetang), Chang Lih Kang (PKR-Teja) dan Yee Sue Kai (DAP-Pokok Assam) pula enggan membaca soalan lisan mereka.
Sing Eng juga bertindak kasar dengan cuba mencederakan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor) dengan menghayun failnya ke arah kepala Menteri Besar Perak itu tetapi sempat dihalang oleh beberapa Bentara.

Setelah tindakan provokasi mereka gagal menghuru-harakan perjalanan persidangan, semua 28 ADUN pembangkang yang diketuai Mohamad Nizar Jamaluddin (Pas-Pasir Panjang) bertindak keluar dewan pada pukul 11 pagi sambil mencaci anggota polis yang berkawal.

b) Hukuman khidmat masyarakat ganti hukuman sebat
Bekas model, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah kerana minum arak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang tidak akan menjalani hukuman enam sebatan seperti yang diputuskan pada 18 Julai 2009.
Sebaliknya, ibu tunggal berusia 33 tahun itu dititahkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah untuk melakukan kerja khidmat masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Jalan Tengku Muhammad, Kuantan selama tiga minggu sebagai hukuman gantian.

Sejurus menjalani hukuman khidmat sosial, Kartika Sari mengambil keputusan menenangkan diri di Kedah.

c) Penangan ribut petir Tanjung Tualang dan Batu Gajah
Seorang lelaki maut dipanah petir manakala seorang warga emas yang cacat penglihatan dan pendengaran mengigil ketakutan bersendirian di rumah semasa Tanjung Tualang dan Batu Gajah dilanda ribut petir.
Kejadian pukul 6 petang itu berlaku ketika Zahari Din, 48, sedang menjala ikan di sebuah bekas lombong di situ dengan menaiki sampan bersendirian.

Alang Halimah Amban, 60, pula bersendirian di rumah kerana anaknya, Roslee Razali, 33, keluar bekerja dalam kejadian yang menyebabkan rumahnya rosak teruk dipukul ribut.

d) Penderitaan bayi tanpa hidung dan mata
Penjagaan bayi lelaki malang, Lee Chai Lim yang sebelum ini ditinggalkan di Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Ipoh (PKKC) di sini setelah enggan diterima ibu bapanya kini diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan negeri Perak.
Chai Lim yang dilahirkan tanpa hidung dan mata, mulut tidak sempurna manakala kaki dan tangan mengalami kecacatan bagaimanapun meninggal dunia beberapa minggu kemudian.

Mei
------

a) Asaari Muhammad meninggal dunia
Bekas pemimpin dan pengasas pertubuhan Al-Arqam, Asaari Muhammad, 73, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Pakar Ipoh di sini pada kira-kira 2.10 petang.

Seorang pengikutnya, Marzuki Hussain, 57, berkata, Asaari yang dikenali sebagai Abuya oleh pengikutnya dimasukkan di hospital itu pada Selasa lalu setelah mengadu tidak sihat sehari selepas tiba di bandar raya ini.

Jenazah bekas pemimpin Al-Arqam dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan.

b) Histeria Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syeikh Abdul Ghani, Bidor
Kelibat yang didakwa hantu serta kanak-kanak berkepala besar dikatakan punca sekumpulan 40 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syeikh Abdul Ghani diserang histeria hampir setiap hari selama dua bulan.
Ada antara pelajar itu yang kebanyakannya menuntut di tingkatan dua hingga lima bertindak agresif, menangis, melolong, memaki hamun dan melawan semasa cuba ditenangkan oleh pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Untuk meredakan masalah, pihak sekolah telah mengadakan beberapa program kerohanian seperti bacaan ayat suci al-Quran di surau sekolah.

c) Presiden Meru Bikers maut kemalangan
Biarpun pening kepala, demi minatnya terhadap motosikal berkuasa tinggi, Mohd. Helmy Jaafar, 39, meng gagahkan diri jua menyertai konvoi beramai-ramai ke Cameron Highlands dari Meru, Selangor.

Namun keputusannya itu tragedi apabila beliau yang juga Presiden Meru Bikers terbunuh setelah motosikal Yamaha Fazer FZ1N ditunggangi terbabas ketika melalui selekoh tajam di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, Ipoh.

Jun
------
a) Kecoh kilang kicap diserbu
Operasi bersepadu membanteras penyalahgunaan sijil halal di sebuah kilang memproses kicap di Menglembu di sini semalam kecoh apabila anggota penguat kuasa dihalang daripada menyita barangan rampasan.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu, anggota penguat kuasa pada mulanya dilarang daripada merampas barangan rampasan seperti botol kicap, botol kosong dan label yang dianggarkan bernilai RM1,000 oleh seorang wanita yang merupakan pemilik kilang tersebut.
Wanita itu kemudian berjaya ditenteramkan apabila Penolong Pengarah (Bahagian Penyelidikan) Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Fakhrul Zaman Abu Mansor memberitahu akan meminta bantuan polis sekiranya tugas mereka terus dihalang.

Fakhrul Zaman memberitahu pemeriksaan mendapati produk kicap keluaran kilang tersebut menggunakan logo pengesahan halal yang telah tamat tempoh sejak Jun 2009.

b) Sindiket bookie judi Piala Dunia tumpas
Lima sindiket bookie judi bola sepak Piala Dunia Afrika Selatan 2010 yang beroperasi di bandar raya ini dan Taiping dengan nilai pertaruhan sehingga RM5 juta tumpas.
Seramai lima lelaki berusia 25 hingga 43 tahun diberkas di lima premis berlainan ketika sedang leka menerima pertaruhan secara dalam talian.

c) Big School MCKK jadi warisan negara
Bangunan asal Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang dikenali sebagai The Big School kini digazetkan sebagai Warisan Kebangsaan.
Pesuruhjaya Warisan, Profesor Emeritus Datuk Zuraina Majid berkata, keputusan untuk mengazetkan The Big School berusia 101 tahun itu diambil mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan diputuskan pada 14 Februari 2009.

Bangunan tersebut dipilih bukan sahaja kerana usia dan senibina yang sudah melebihi 100 tahun tetapi peristiwa bersejarah yang berlaku di dalamnya dan sumbangan MCKK yang besar kepada perkembangan negara.

d) Tahfiz cilik
Kebolehan Darwisha Adriana Rozali, 3, menghafaz surah dalam al-Quran mengagumkan kira-kira 1,000 hadirin termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada majlis ulang tahun keempat Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi, Ipoh semalam.

Dia bersahaja menghabiskan 96 ayat yang terdapat dalam surah a-Waqiah itu dalam tempoh tidak sampai 15 minit!

No comments:

Post a Comment