Monday, February 1, 2010

Kuala Lumpur oh Kuala Lumpur

Hampir empat tahun lepas, Bapak berkenalan dengan seorang gadis. Mulanya ia sekadar pertemuan biasa namun kebetulan kami menyewa di taman perumahan yang sama, merapatkan perkenalan itu.

Begitupun boleh dikatakan hampir setiap minggu, gadis tersebut yang merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pulang di kampung halamannya di Melaka.

"Anak manja ye?," duga Bapak secara bergurau kepada gadis tersebut pada suatu hari.

"Taklah kita (saya) rimas dengan Kuala Lumpur (KL). Sibuk memanjang, orangnya pun macam-macam perangai. Tak macam kat rumah di Melaka, tenang," jelasnya.
Bapak cuma tersenyum. Tak seperti gadis itu, biarpun dilahirkan di Teluk Intan, Bapak membesar hingga ke menara gading di kota metropolitan ini.

Bapak melalui dari zaman bas mini, bas Srijaya, komuter, bas Intrakota, LRT hingga Rapid KL.

Memang sesak dan pantas namun bagi Bapak keadaan itulah yang membuatkan dunia terasa hidup dan bererti.

"Saya rasa tak lama lagi saya akan tinggalkan KL untuk dihantar bertugas di negeri lain. Tapi lambat laun saya tetap akan merindukan suasana KL," kata Bapak mengakhiri pertemuan dengan gadis itu pada hari tersebut.

Tidak lama kemudian gadis tersebut tamat pengajian dan memulakan kerjaya di kampung halamannya, Melaka sementara Bapak pula ditugaskan ke Ipoh.

Takdir Allah menentukan gadis itu kemudiannya menjadi Orang Rumah Bapak dan beliau mula menjadi orang Ipoh, bandar raya yang tak berapa sibuk berbanding KL sejak setahun setengah lalu.

Hari ini Bapak teringat kata-kata empat tahun lepas : " Saya tetap akan merindukan suasana KL."

Bapak rindu :
roti pita yang dijual di sebuah gerai di Jalan Tuanku Abdul Rahman
Perpustakaan Kuala Lumpur yang sentiasa ada buku keluaran terbaru untuk dipinjam
Kinokuniya
sahabat terutama bekas teman serumah di Seksyen 4, Wangsa Maju
pastinya keluarga (walaupun berjumpa sekurang-kurangnya 2 bulan sekali)



Selamat Hari Wilayah Persekutuan buat warga KL, Labuan dan Putrajaya!

No comments:

Post a Comment