Monday, February 22, 2010

Dulu hp, sekarang Khalish nak laptop pula

Alkisahnya semasa Khalish berusia 4 bulan, ibunya mendukung Khalish sambil menggunakan PC. Perbuatan Orang Rumah Bapak menekan keyboard untuk menaip perkataan itu diperhatikan Khalish dengan teliti.

Esoknya, tanpa diduga Khalish merapatkan badannya ke PC lalu jari-jemarinya menekan keyboard dengan berhati-hati. Orang Rumah Bapak teruja melihak aksi bayi yang baru 4 bulan itu.

Namun 'kebenaran' itu membuatkan Khalish 'ketagih' untuk bermain dengan keyboard. Selepas itu, kemahirannya meningkat seiring dengan usianya.

Tak cukup dengan keyboard PC, keyboard laptop ayah dan ibunya juga nak dikerjakan. Kadang-kala Khalish cuba bermain dengan mouse mengeluarkan cahaya yang menarik perhatiannya.

Tanpa mengetahui fungsi sebenar keyboard, dia asyik menekan, semakin hari semakin ganas dan naik 'syeikh' seolah-olah seorang pemain piano yang sedang klimaks dengan muziknya.

"Tak boleh jadi ni, lama-lama bukan kerja kita sahaja terganggu tapi boleh jahaman PC dan laptop tu...," cerita Orang Rumah Bapak kepada maknya pada suatu hari.
Mak Mertua Bapak teringat laptop permainan Umai (adik bongsu Orang Rumah Bapak) yang tersadai di stor untuk diberikan kepada Khalish.

"Elok lagi ke tu? Umai pun dah 15 tahun, baik beli baru," tanya Orang Rumah Bapak kepada ibunya.

"Nanti check, ok kot. benda tu bukannya lama sangat ada empat, lima tahun. Beli masa Umai dah sekolah dah," jawab Mak Mertua Bapak.

Setelah diselongkar laptop permainan itu didapati masih dalam keadaan baik dan baru-baru Khalish menjadi pemilik barunya.

Biarpun laptop permainan itu ada pelbagai permainan interaktif, tapi itu Khalish tak kisah, yang penting dia dapat melempiaskan kegemarannya menekan keyboard...heheheh

Saturday, February 20, 2010

Khalish ke Jepun!

Biasanya Khalish akan memberi dua isyarat untuk memberitahu dia dah 'lemas' lepak kat rumah sahaja dan mahu mengajak ayah dan ibunya keluar berjalan-jalan bagi mendapat angin.

Pertama, Khalish akan mengoyang-goyang roda strollernya dan kedua, dia akan mengetuk cermin sliding door berkali-kali dengan tapak tangannya sambil mukanya memandang kepada ayah atau ibunya.

"Ok..ok..petang ni, lepas Asar kita pergi Taman Jepun," kata Bapak kepada Khalish setelah melihat dia memberi isyarat itu berkali-kali sejak tengah hari.

Selepas itu Khalish barulah memberhentikan perbuatan mengetuk cermin sliding door sambil bersengih riang...
Sebenarnya Taman Jepun adalah salah satu taman konsep yang terdapat di Taman D.R. Seenivasagam terletak kira-kira 8 km dari rumah Bapak.

Taman tersebut dibina sempena memperingati pengisytiharan Ipoh dan Fukuoka, Jepun sebagai bandar raya berkembar pada 1989.
Lanskap taman berkenaan yang bertemakan Jepun direka oleh pegawai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan bantuan dan nasihat beberapa pegawai dari bandar Fukuoka.

Seperti taman rekreasi bertemakan negara matahari terbit yang lain, empat objek utamanya ialah buluh, pagoda, ikan koi dan tasik.

Khalish memang teruja dibawa ayah dan ibunya mengelilingi Taman Jepun, matanya meliar melihat pemandangan yang mendamaikan tersebut.

Namun ia tak bertahan lama kerana tidak lama kemudian dia mula gelisah ekoran berpeluh lebat.
Cuaca sekarang memang terik dan bahangnya masih terasa biarpun berada di taman rekreasi...

Thursday, February 18, 2010

Bukan 14 Februari tapi 16 Februari

16 Februari adalah salah satu tarikh penting bagi Bapak dan Orang Rumah Bapak. Kami berkenalan pada tarikh itu empat tahun lepas.

Kisahnya, pada 15 Februari 2006, bos Bapak tersilap merangka jadual kerja, seorang rakan sekerja Bapak yang sepatutnya off day keesokan harinya kerana shift malam telah dijadual bekerja pula.

Kesilapan itu hanya disedari kira-kira pukul 9 malam ketika tugasan kerja keesokan harinya telah diagih-agihkan. Rakan sekerja Bapak itu kemudian telah memberitahu bos mengenai perkara tersebut dan merayu tetap diberikan off day.

Dia dengan selamba mencadangkan Bapak sebagai ganti dan apabila ditanya bos, Bapak tidak menolak. (kebetulan pada masa itu Bapak tidak mempunyai sebarang rancangan lain, awek pun takde lagi untuk berdating dan tawaran bekerja pada off day itu datang dengan double pay...heheh)

Sudahnya pagi 16 Februari itu Bapak melakukan tugasan yang sepatutnya dilakukan rakan sekerja Bapak di KL Sentral dan disitulah Bapak dan Orang Rumah Bapak bertemu buat kali pertama...

Apa yang berlaku selanjutnya telah menjadi sejarah....

-----------------------------------------------------------------------------------
Tarikh 16 Februari diingati secara sederhana tahun ini. Selain pakej berjalan sambil menyejukkan badan dari cuaca bahang di 'atas gunung' seperti tahun lepas, Bapak menghadiahkan Orang Rumah Bapak jam tangan yang diingininya sekian lama, Khalish pula menerima beberapa helai baju baru..

"B nak hadiah apa?," tanya Orang Rumah Bapak kepada Bapak (ada ke tanya...heheh)

"Blackberry boleh? jawab Bapak selamba

Dahi Orang Rumah Bapak berkerut, Bapak tergelak kerana kat mana suri rumah ni nak cekau duit untuk beli blackberry..heheheh

"Gurau je la, belanja steamboat pun ok," kata Bapak.

Dipendekkan cerita tengah hari itu kami makan steamboat tetapi sesi tersebut tak berapa tenang kerana Khalish meragam kerana permintaannya nak makan steamboat sama-sama tak dilayan..(gigi baru dua batang, ada hati nak makan steamboat..heheh)

Saturday, February 13, 2010

Khalish mula membaca!

Salah satu janji (ala-ala manifesto juga la..heheh) Bapak kepada Orang Rumah Bapak sebelum kami bernikah dulu ialah Bapak akan membacakan buku kepada anak-anak kami sebelum mereka masuk tidur setiap malam.

Anak sulung kami kini sudah berusia sembilan bulan dan tiba masanya janji itu ditepati. Sebenarnya sejak Khalish berusia lima bulan lagi, Bapak dan Orang Rumah Bapak telah mengenalkan dia dengan huruf dan abjad menerusi kad imbas.

Selain itu beberapa bentuk asas dan anggota badan itu telah diajarkan kepada dia juga menerusi kad imbas. Respons dia memang baik, Khalish memang berminat untuk belajar..(walaupun kadang-kala dia ketawa terbahak-bahak semasa sesi pembelajaran itu...)
Baru-baru ini Bapak membelikan dia dua buah buku, satu berbahasa Melayu, satu lagi berbahasa Inggeris.

Setiap malam sebelum tidur, Bapak akan membacakan buku-buku secara bergilir-gilir selang semalam. Khalish khusyuk mendengar Bapak membacakan buku itu dengan memperbagaikan suara bagi setiap watak dalam buku terbabit.

Kalau tak dibaca sehari, Khalish mesti gelisah dan susah nak tidur. Kadang-kadang kalau Bapak ada kerja malam dan balik lewat, Orang Rumah Bapak yang membacakan buku tersebut kepadanya.

Tapi Orang Rumah Bapak cepat-cepat pesan,

"Ibu bacakan Khalish buku ini kadang-kadang je kalau ayah dia sibuk. Ayah jangan ambil kesempatan, bukan taknak bacakan Khalish buku tapi nak buat camne kan ayah dia dah janji...."

Ye la....hehehe

Thursday, February 11, 2010

Orang ada hp, Khalish pun nak hp

Salah satu 'permainan' kesukaan Khalish ialah telefon bimbit. Bukan yang mainan tetapi asli. Semestinya yang menjadi 'mangsa' ialah telefon bimbit ayah dan ibunya.

Nak kata Khalish suka mengajuk tingkah laku Bapak dan Orang Rumah Bapak menggunakan telefon bimbit berkenaan tak juga kerana setiap kali kedua-dua Atuk, Nenek dan Nenda mahu berbual mahupun mendengar suara dia di talian, Khalish akan mendiamkan dan membatukan diri. Lepas talian ditamatkan baru dia bersuara sakan semula...

Khalish suka memegang dan bermain dengan telefon bimbit. Dia juga suka lihat fotonya yang menjadi background skrin kedua-dua telefon bimbit ayah dan ibunya serta cahaya yang keluar dari skrin berkenaan apabila keypadnya ditekan.
Tapi kalau setakat itu sahaja takpa la, dia memperlakukan telefon bimbit itu seperti barang permainannya yang lain. Kadang-kala apabila dia dah naik 'syeikh', dihempas-hempas dan dihempuk-hempuk ke lantai telefon bimbit itu.

Nak dibelikan Khalish telefon mainan tapi tak yakin pula, maklumlah kebanyakannya buatan China, nanti risau digigit-gigit kerana dikhuatiri warna permainan berkenaan mengandungi toksik...

Akhirnya Bapak mengikut cadangan Orang Rumah Bapak agar 'menghadiahkan' Khalish salah satu daripada koleksi telefon bimbit Bapak yang telah rosak.

"Khalish, ni hp baru Khalish!," kata Bapak sambil menghulurkan telefon bimbit rosak itu kepadanya.

Khalish menyambut telefon bimbut itu dengan girang. Tak lama kemudian dia memicit-micit keypad telefon bimbit itu seperti kelaziman.

"A..a...," kata Khalish sambil memandang tepat ke muka ayah dan ibunya seolah-olah bertanya kenapa skrin telefon bimbit tersebut tak bercahaya dan memaparkan fotonya seperti selalu..

Bapak dan Orang Rumah Bapak buat-buat tak tahu sahaja. Beberapa saat kemudian, telefon bimbit terbabit dilempar Khalish ke dinding.

Berlari anak mendapatkan telefon bimbit itu sambil Orang Rumah Bapak mendukung Khalish yang menangis... tak menjadi taktik kami rupanya....heheheh

Kembali Daripada Pertapaan

Sejak awal tahun ni rasanya blog Bapak ni dah banyak terabai. Entry baru pun dah lama tak posting, naik bersawang dah...heheh

Kalau nak cari alasan memang banyak...hehehe... Sebenarnya selama ni selain off day, Bapak aktif berblog waktu malam setelah membereskan komitmen kerja di waktu siang.

Biasanya selepas menjalankan rutin membaca buku dan menidurkan Khalish, Bapak akan menghadap komputer untuk aktiviti blog. Namun sejak akhir-akhir ini broadband connection Bapak slow sangat. asyik 'tertolak' jer. nak ziarah blog kekawan pun payah benor apatah lagi nak updated blog sendiri...

naik tensen dibuat, daripada tekanan darah Bapak naik, baik Bapak layan benda lain cam fb ker..heheh

apapun Bapak try cari solution agar blog kesayangan Bapak ni terus bernyawa...okla, Bapak nak pi ambik Khalish, sekarang Khalish tengah gegar-gegar stroller dia, sebelum apa-apa terjadi, baik selamatkan apa yang patut, Orang Rumah Bapak tengah masak tue..

Monday, February 1, 2010

Kuala Lumpur oh Kuala Lumpur

Hampir empat tahun lepas, Bapak berkenalan dengan seorang gadis. Mulanya ia sekadar pertemuan biasa namun kebetulan kami menyewa di taman perumahan yang sama, merapatkan perkenalan itu.

Begitupun boleh dikatakan hampir setiap minggu, gadis tersebut yang merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pulang di kampung halamannya di Melaka.

"Anak manja ye?," duga Bapak secara bergurau kepada gadis tersebut pada suatu hari.

"Taklah kita (saya) rimas dengan Kuala Lumpur (KL). Sibuk memanjang, orangnya pun macam-macam perangai. Tak macam kat rumah di Melaka, tenang," jelasnya.
Bapak cuma tersenyum. Tak seperti gadis itu, biarpun dilahirkan di Teluk Intan, Bapak membesar hingga ke menara gading di kota metropolitan ini.

Bapak melalui dari zaman bas mini, bas Srijaya, komuter, bas Intrakota, LRT hingga Rapid KL.

Memang sesak dan pantas namun bagi Bapak keadaan itulah yang membuatkan dunia terasa hidup dan bererti.

"Saya rasa tak lama lagi saya akan tinggalkan KL untuk dihantar bertugas di negeri lain. Tapi lambat laun saya tetap akan merindukan suasana KL," kata Bapak mengakhiri pertemuan dengan gadis itu pada hari tersebut.

Tidak lama kemudian gadis tersebut tamat pengajian dan memulakan kerjaya di kampung halamannya, Melaka sementara Bapak pula ditugaskan ke Ipoh.

Takdir Allah menentukan gadis itu kemudiannya menjadi Orang Rumah Bapak dan beliau mula menjadi orang Ipoh, bandar raya yang tak berapa sibuk berbanding KL sejak setahun setengah lalu.

Hari ini Bapak teringat kata-kata empat tahun lepas : " Saya tetap akan merindukan suasana KL."

Bapak rindu :
roti pita yang dijual di sebuah gerai di Jalan Tuanku Abdul Rahman
Perpustakaan Kuala Lumpur yang sentiasa ada buku keluaran terbaru untuk dipinjam
Kinokuniya
sahabat terutama bekas teman serumah di Seksyen 4, Wangsa Maju
pastinya keluarga (walaupun berjumpa sekurang-kurangnya 2 bulan sekali)



Selamat Hari Wilayah Persekutuan buat warga KL, Labuan dan Putrajaya!