Monday, January 12, 2009

Perak Tong runtuh daa...


Gua runtuh, 2 parah, 1 hilang

IPOH - "Semasa saya dan sekumpulan kira-kira 20 yang lain menikmati keindahan panorama indah Bandar Raya Ipoh dari puncak kuil, tiba-tiba sebuah bongkah batu kapur jatuh menghempap anak tangga.

"Runtuhan itu menyebabkan kami semua terperangkap selama kira-kira satu jam setengah dan keadaan di dalam gua itu kelam-kabut dan ramai menjerit ketakutan.''

Demikian cerita S. Vickneswaran (gambar kecil), 23, yang merupakan seorang mangsa yang terperangkap dalam runtuhan batu kapur di Kuil Gua Perak di dalam Gunung Tasek, Jalan Kuala Kangsar di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 3.23 petang itu, kira-kira 20 orang terperangkap di dalam kuil yang lebih dikenali sebagai 'Perak Tong' itu.

Dua yang terperangkap itu cedera parah terkena serpihan runtuhan.

Seorang lagi dipercayai masih terperangkap di bawah timbunan batu kapur.

Vickneswaran dari Sungai Siput di sini berkata, sebaik terperangkap, beliau telah menghubungi bomba.

Menurutnya, beliau dan 16 pengunjung kuil lain dapat dikeluarkan oleh anggota bomba pukul 4.50 petang.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ketika kejadian, 18 pengunjung termasuk tiga perempuan berada di dalam kuil yang berusia 83 tahun itu.

Menurutnya, dua orang daripada pelawat itu merupakan warga China dan Nepal.
``Runtuhan beberapa bongkah batu kapur itu telah menimbus sebahagian daripada 385 anak tangga di dalam gua tersebut,’’ kata beliau.

Katanya, seorang wanita dan lelaki berusia 20-an yang belum dikenali identitinya cedera parah di beberapa bahagian badan.

“Seorang mangsa cedera parah dapat dikeluarkan pukul 4.50 petang dan diekori seorang lagi yang cedera pukul 6.18 petang,’’ kata beliau.

Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Mohammad Nizar memberitahu, pasukan penyelamat mengesyaki seorang lelaki yang juga pengawal keselamatan kuil tersebut masih terperangkap di bawah runtuhan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja penyelamat terpaksa dihentikan buat sementara waktu setelah pihak Jabatan Geosains dan Mineral mengesahkan kawasan di dalam gua berkenaan tidak stabil dengan terdapat beberapa kesan retakan baru yang masih aktif.

No comments:

Post a Comment