Saturday, April 14, 2012

LRT itu keretapi

Sejak menaiki keretapi ke Hatyai dan Kuala Lumpur tempoh hari, Khalish semakin obses dengan pengangkutan awam tersebut.

Baru-baru kami sekeluarga merancang ke KLCC, lokasi yang bagaikan rumah ketiga (selepas rumah keluarga dan kolej kediaman) Bapak masa muda-muda dulu tapi kini sudah hampir empat tahun tidak dijejaki.

Sedang kereta yang Bapak pandu melalui Jalan Bangsar, Khalish perasan LRT.

"Keretapi, keretapi..nak naik keretapi (dia anggap LRT itu keretapi)," katanya berulang-ulang dengan nada makin lama semakin tinggi untuk menarik perhatian.

Sudahnya Bapak meletakkan kenderaan di kawasan letak kereta berhampiran Stesen LRT Bangsar untuk menunaikan hajat Khalish tersebut.

Bercerita tentang LRT pula, sudah lebih enam tahun Bapak tidak menaikinya walaupun ia merupakan kenderaan rasmi semasa Bapak bekerja di Kuala Lumpur dulu.
Oleh sebab itu, Bapak agak termangu sebentar memahami fungsi mesin tiket. Baru tahu juga kad tiket LRT kini sudah ditukar kepada token berbentuk syiling.
Macam biasa LRT agak sesak dengan penumpang tapi mungkin sebab pengaruh iklan 'Budi Bahasa Budaya Kita', Khalish dan Ilhan mudah dapat tempat duduk. Bapak dan Orang Rumah Bapak sekadar tumpang sekaki..heheh..

Friday, April 13, 2012

Gempa bumi, tsunami & banjir

Ketika entry ini ditulis, di luar sana hujan lebat mencurah-curah dan kilat sabung-menyabung.

Bapak terkenang lebih 1,000 mangsa banjir di Kuala Dipang, Kampar yang kini ditempatkan dua pusat pemindahan sementara ekoran rumah mereka ditenggelami banjir awal pagi semalam.
Tentang rumah ditinggalkan semakin tenggelam satu hal, bagaimanapun orang tua dan kanak-kanak serta bayi hendak tidur di dalam bilik darjah dalam keadaan sejuk ini biarpun tilam dan selimut telah disediakan...

Petang kelmarin Acheh dilanda lagi gempa bumi. Kali ini sekuat 8.6 skala richer yang menyebabkan banyak tempat di negara kita turut merasai gegarannya.

Perak tak terkecuali dengan sekurang-kurang lima daerah terlibat. Namun Bapak yang ketika itu berada di pejabat tidak merasainya. Apabila Orang Rumah Bapak dihubungi, lega diberitahu Khalish dan Ilhan ralit bermain di laman rumah pada masa tersebut.

Amaran awal tsunami agak mengentarkan terutama terkenang keluarga mertua yang menetap berhampiran kawasan pantai Selat Melaka. Mujur Allah tidak mengizinkannya.

Syukur kita tidak 'terpilih' menjadi insan yang ditimpa musibah namun amat rugi jika tidak mengambil pengajaran daripada kisah orang lain....

Wednesday, April 11, 2012

Daulat Tuanku

Hari ini Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ditabalkan sebagai Yang di Pertuan Agong ke-14 sementara Sultanah Kedah, Tuanku Hamina sebagai Raja Permaisuri Agong.

Istiadat pertabalan tersebut merupakan acara penting kerana Seri Paduka merupakan Ketua Negara dalam sistem Raja Perlembagaan yang diamalkan Malaysia.

Tuanku Abdul Halim mengemudi negara dalam dua era, 1970-an dan kini. Era pertama ketika Malaysia  baru pulih daripada kesan peristiwa 13 Mei 1969 dan kedua, ketika lapan tahun lagi negara menuju sasaran menjadi negara maju.

Malaysia adalah salah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem beraja. Secara umum sistem pemerintahan beraja terbahagi kepada tiga iaitu sistem raja berlembagaan, sistem raja berkuasa multak dan campuran.

32 negara mengamalkan sistem raja berlembagaan : -
1) Malaysia
2) Andorra
3) Antigua and Barbuda
4) Belgium
5) Belize
6) Bhutan
7) Kemboja
8) Kanada
9) Denmark
10) Grenada
11) Jamaica
12) Jepun
13) Jordan
14) Kuwait
15) Lesotho
16) Liechtenstein
17) Luxembourg18) Monaco
19) Maghribi
20) Belanda
21) New Zealand
22) Norway
23) Papua New Guinea
24) St Kitts and Nevis
25) St Lucia
26)  St. Vincent and Grenadines
27) Solomon Islands
28) Sepanyol
29) Sweden
30) Thailand
31) Tuvalu
32) Britain

 Lima negara mengamalkan sistem beraja berkuasa mutlak
1) Brunei
2) Oman
3) Qatar
4) Arab Saudi
5) Swaziland

Dua  negara mengamalkan sistem beraja campuran
1) Bahrain
2) Emiriah Arab Bersatu (UAE)